Kini giliran Ummi Hafilda

Ikhsan: Harakah

Selepas Azizan Abu Bakar ditangkap khalwat dan dijatuhi hukuman tiga bulan penjara, Ummi Hafilda pula diisytiharkan muflis di Mahkamah Tinggi 6 Oktober lalu kerana gagal membayar hutang RM300,000 kepada Uni-Grand (M) Bhd, sebuah syarikat papan tanda.

Kedua-duanya adalah saksi utama dalam kes tuduhan rasuah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buluh.

Anwar juga sedang dibicarakan berhubung kes dakwaan liwat di Mahkamah Tinggi.

Perintah muflis terhadap Ummi Hafilda dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Kanan, Kalyana Kumar dalam kamarnya di Mahkamah Tinggi Sivil Wisma Denmark di sini.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Haji Ayob mengingatkan kerajaan agar lebih berhati-hati pada masa hadapan bagi memastikan saksi-saksi yang terlibat dalam sebarang kes di mahkamah tidak dipersoalkan oleh orang ramai.

"Rakyat melihat dan menilai kewibawaan saksi-saksi yang terbabit dan rakyat juga mahu supaya keutuhan mahkamah dalam membuat penghakiman dan menjatuhi sebarang keputusan itu dapat membuktikan keadilan telah dijalankan dan benar-benar dilihat telah dilaksanakan," katanya