PENDEDAHAN BERANI ANWAR IBRAHIM (SIRI 1)

Sekali lagi Tan Sri Mokhtar Abdullah (TSMA), Peguam Negara mempamerkan sikap angkuh dan prasangka terhadap kritikan mengenai tindakan beliau dan jabatannya. Selari dengan nada dan stail ketuanya Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, beliau cuba mengelak dari menjawab dakwaan (dan terakhir dari Sdr. Ezam) terhadap tuduhannya dengan menggunakan kuasa ugutan Akta Hasutan bagi melenyapkan semua tuduhan kecuaian dan kelemahan jabatannya.

Saya ulangi teguran saya terhadap TSMA dan jabatannya mengenai amalan pendakwaan terpilih, pendakwaan berniat jahat serta bersekongkol dengan komplot dan konsfirasi politik. Beliau merupakan Peguam Negara yang paling jelek dalam sejarah Malaysia, merendahkan martabat jabatan sebagai pejabat suruhan; sanggup menggadaikan prinsip dan kemuliaan jabatan semata-mata atas kepentingan peribadi.

Di antara alasan-alasan adalah seperti berikut:

  1. Pendakwaan terhadap Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Kota Melaka - kerana membela nasib seorang gadis Melayu di bawah umur yang mengadu dirogol. Disebaliknya, beliau menutup kes melibatkan aduan salahlaku seks dan rasuah terhadap Tan Sri Rahim Tamby Chik.
  2. Affidavit dalam kes Dato' Nallakaruppan, dipadam mengikut perencanaan politik DS Dr. Mahathir, dan dihebahkan pada 3 September 1998, satu hari setelah saya dipecat. Afidavit tersebut direncana bersama afidavit polis yang dikemukakan oleh Musa Hassan, pegawai suruhan Tan Sri Rahim Noor. Kandungannya termasuk tuduhan rasuah melibatkan wang RM60 juta, salahlaku seks, membocor rahsia kerajaan dan bertindak sebagai agen negara asing.
  3. Kenyataan saya dan surat peguam saya kepadanya memaklumkan kesediaan saya melaporkan diri kepada polis bila-bila masa dikehendaki telah diketepikan. Akibatnya ialah penyerbuan ala gestapo ke rumah saya yang andaikata tidak dikawal mungkin menyebabkan pertumpahan darah. Atas arahan beliau saya ditahan menurut Kanun Kesiksaan Seksyen 377B.
  4. Pegawai Kanan beliau, Dato' Gani Patail berada di Bukit Aman pada malam 20 September, 1998, sewaktu saya dipukul dalam lokap. Penahanan kemudian dipinda mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menutup maklumat mengenai kecederaan. Ini telah menimbulkan tanggapan meluas bahawa Jabatan beliau terlibat dalam komplot melindungi perlakuan jenayah.
  5. Walaupun Dato' Gani Patail mengetahui kecederaan parah dan melihat sendiri kedudukan saya di mahkamah, beliau cuba menghalang saya dari memberi keterangan dengan alasan kecederaan adalah ringan sahaja. Jelas beliau berdusta di mahkamah, berdusta kepada seluruh rakyat. Sebagai salah seorang pegawai kanan, perbuatannya mengenepikan kenyataan dan berdusta begitu rupa adalah perlakuan jenayah iaitu bersubahat dengan penjenayah-penjenayah yang lain yang cuba menyembunyikan kebenaran.
  6. Dalam menangani isu kecederaan parah yang saya alami, TSMA telah sengaja mengenepikan laporan penyiasat polis ACP Mat Zain Ibrahim - laporan yang juga mengaitkan nama Gani Patail dan TPR Azahar Mohamed. Mereka berpakat untuk meremehkan keterangan para doktor dan pakar yang telah memeriksa saya. Sebaliknya beliau melantik pakar rujuk beliau sendiri, Dr. Abdul Rahman Yusof, yang memberikan keterangan tanpa memeriksa saya. Muslihat Mokhtar hanya diketahui dalam kenyataannya bahawa sebahagian dari kenyataan saya mengenai kecederaan saya adalah tidak benar. Suruhanjaya Di Raja yang menyiasat kecederaan saya sebaliknya mendapati saya telah mengalami kecederaan parah yang boleh membawa maut akibat serangan Rahim Noor. Kecuaian dan kelemahan Mokhtar dalam menangani kes tersebut ketara sekali, dengan melengah-lengahkan laporan dan tindakan.
  7. Kenyataan bersumpah peguam Dato' Nallakarupan, Manjeet Singh Dillon, membabitkan nama Mohtar, Gani Patail dan Azhar Mohamed dalam komplot mendesak Dato' Nalla memberikan keterangan mengaibkan saya, agar beliau terlepas dari dakwaan yang boleh dikenakan hukuman mati. Dato' Nalla, bagaimanapun, tidak sanggup berbohong serta rela menghadapi tindakan.
  8. Mengenepikan sahaja tuduhan berat Dr. Munawar Anees, Sukma Dermawan, Mior Abdul Razak dan Azmin Mohamed Ali dan lain-lain mengenai penyiksaan dan ugutan polis untuk membuat pengakuan palsu bahawa mereka diliwat; serta memfitnah saya, Ustaz Haron Din bahkan Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad. Sebaliknya Dr. Munawar, Sukma, Mior dan Azmin didakwa kerana mempertikaikan tindakan polis tanpa apa-apa tuduhan  atau siasatan dilakukan terhadap kegansan polis.
  9. Berpakat dengan DS Dr. Mahathir menggunakan pendakwaan berniat jahat dengan mengugut saya supaya meletakkan jawatan. DS Dr Mahathir menafikannya tetapi sebelum 20 September, 1998 lalu, saya telah memaklumkan kepada puluhan teman mengenai ugutan tersebut. Dato' Seri najib Tun Razak dalam kenyataan yang dilaporkan pada 5 Oktober 1998 ada mengesahkan perkara tersebut.
  10. Merancang dengan Tun Daim Zainuddin mengenai cadangan mendakwa saya atas alasan membocorkan rahsia kerajaan atau salahlaku seks sekiranya tidak meletakkan jawatan. Tun Daim memaklumkan kepada saya pada 12 Ogos, 1998. Saya telah bertanya di Mahkamah , atas alasan apa pakatan dan rundingan Peguam Negara dengan Tun Daim? Apakah kekayaan dan wang ringgit boleh membeli dan menentukan segala-galanya? ....Bersambung....

ANWAR IBRAHIM
Sg. Buloh
®