Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

Dr M akan serah jawatan apabila Abdullah sedia

From: Bernama
Date: 03 May 1999
Time: 12:57:33

Comments

JITRA (Kedah) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam menbayangkan bahawa beliau akan tetap menjadi Perdana Menteri Malaysia untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi walaupun ada tuntutan untuk beliau meletakkan jawatan, demikian menurut agensi berita Bernama.

"Ya...saya akan serahkan jawatan itu selepas pilihanraya. Bila...kita tidak tahu. Mungkin selepas satu tahun atau dua tahun atau tiga tahun atau empat tahun," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini ketika mengulas laporan akhbar Jepun, Mainichi Shimbun, mengenai hasratnya itu.

Mainichi Shimbun, salah sebuah akhbar terkemuka di Jepun, dalam keluarannya Jumaat lepas, ada memuatkan wawancara dengan Dr Mahathir di Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut Dr Mahathir sebagai berkata beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Abdullah apabila timbalannya itu bersedia.

Ditanya tentang apa yang dimaksudkannya dengan "bersedia", Dr Mahathir berkata: "Kita kena tengok, buat penilaian."

Dalam wawancara dengan akhbar Jepun itu, Dr Mahathir dilaporkan sebagai menilai Datuk Seri Abdullah seorang yang "sudah menjalankan tugas dengan baik setakat ini dan popular" dan bahawa beliau (Dr Mahathir) "agak pasti dia mendapat sokongan daripada semua orang".

Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau tidak ada niat untuk menjadi Perdana Menteri seumur hidup.

"Saya tidak ada niat nak jadi lifetime Prime Minister," katanya.

Beliau berkata ramai orang tidak akan seronok kalau beliau letak jawatan dan sebaliknya pula, ada juga orang akan seronok jika beliau berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata beliau masih mengekalkan jawatan Perdana Menteri kerana hendak menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi yang melanda negara itu sekarang.

"Ini kerana Anwar (mantan Timbalan Perdana Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak tahu menangani ekonomi," katanya.

Beliau berkata tindakan Datuk Seri Anwar seperti menaikkan kadar faedah, memendekkan tempoh pembayaran pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada enam bulan kepada tiga bulan dan menurunkan perbelanjaan kerajaan sebagai merosakkan ekonomi negara. -- Bernama.

Last changed: May 06, 1999