Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

PROF. JOMO CADANGKAN DS ANWAR KETUAI BARISAN RAKYAT DARI DALAM PENJARA

From: RN
Date: 03 May 1999
Time: 22:11:25

Comments

Kuala Lumpur, Selasa 4 Mei Pada 1 Mei lalu suatu ceramah sempena Hari Pekerja diadakan di Markas PAS, Taman Melewar.

Para penceramah terdiri daripada wakil-wakil barisan parti alternatif rakyat PAS, DAP, PRM dan PKN. Seperti biasa kehadiran ceramah di Markas PAS melimpah-limpah sehingga ramai sekali yang duduk sahaja di jalan-jalan menuju Markas itu, kerana dalam bangunan dan kawasan sekitarnya penuh sesak.

Wartawan RN melaporkan di antara penceramah ialah Prof. Jomo, ahli akademik yang ini menghadapi saman beratus juta dari Tan Sri Vincent Tan Pengerusi Berjaya Corporation, seorang ahli koporat besar dari kumpulan kroni.

"Sampai beratus tahun pun Prof. Jomo tidak akan selesai membayar jumlah yang saman yang beliau kena bayar nanti," kata pengerusi majlis.

Walau bagaimanapun sewaktu memulakan ceramahnya, Prof. Jomo menyatakan dengan tenang supaya tidak usah diambil kisah sangat akan tututan berkenaan, ada lebih baik memberi kita tumpuan kepada para pekerja dan kerja yang banyak yang perlu dilaksanakan oleh kita semua untuk memastikan hak-hak pekerja dan seluruh rakyat dipelihara dengan ADIL.

Cuma yang disentuh berkaitan saman besar yang sedang dihadapi ialah trend saman-menyaman masa kini yang bernilai sampai berpuluh-puluh juta dalam sistem kehakiman yang boleh dibeli dengan wang.

Di antara perkara yang disentuh oleh Prof. Jomo ialah, sebilangan besar rakyat Malaysia adalah dari gulungan pekerja, rakyat. Para pekerja perlu menyertai kesatuan-kesatuan pekerja kerana jumlah yang menyertai sekarang terlalu kecil. Hanya dengan menyertai kesatuan sahaja rakyat dapat menyuarakan tuntutan terhadap hak-hak mereka, juga agar nasib mereka terbela. Jumlah yang kecil adalah disebabkan kurang galakan dari pihak majikan dan kerajaan sendiri dan salah anggap pekerja terutama orang Melayu dan orang Islam terhadap kesatuan pekerja.

Para pekerja perlu prihatin dan memastikan hak-hak mereka terjaga, umpamanya KWSP adalah kepunyaan para pekerja. Para pekerja perlu diberitahu berkaitan kerugian besar yang dilaporkan dalam akhbar berlaku kepada KWSP.

Menurut prof. Jomo lagi, sebilangan besar rakyat adalah dari golongan pekerja, tetapi program PENSWASTAAN hanya menguntungan segolongan kecil yang terdiri daripada para kroni sahaja. Sejarah asal usul perkataan kroni juga telah beliau jelaskan. Mengikut beliau di Malaysia sekarang orang paling penting bukan PM tetapi Tun Daim Zainuddin.

"Kalau Tun Daim senyum, saham di BSKL naik. Kalau Tun Daim menangis, saham di BSKL turun," kata beliau.

Mengenai pasaran saham, Prof. Jomo menjelaskan naiknya harga saham tidak bermaknya ekonomi Malaysia meningkat disebabkan pasaran saham adalah amat mengelirukan.

"Contohnya apabila dikatakan pasaran saham lega, sebenarnya maksudnya ialah ramai orang yang bermain saham akan risau dan gelabah...." katanya.

Berkaitan ekonomi negara yang dikatakan hampir pulih beliau bertanya, "Adakah kerana Menteri Kewangan kita pandai ataupun kerana sememangnya semua negara di rantau ini sedang mengalami keadaan ekonomi yang tidak sebegitu teruk lagi. Ekonomi Thailand, Filipina, malah Indonesia sekarang ini sudah mengalami keadaan yang lebih baik," terang Prof. Jomo.

Paling menarik adalah penyataan berani Prof. Jomo yang ditujukan kepada Barisan Parti Alternatif Rakyat iaitu PAS, DAP, PRM dan PKN. Menurut Prof. Jomo, BN sudah bersedia menghadapi pilihanraya tetapi pihak pembangkang belum bersedia.

"Rakyat masih belum nampak Barisan Rakyat Mana dia? Bila lagi? Masa sudah suntuk."

Beliau juga menyatakan walaupun sebelum ini beliau pernah beberapa kali mengkritik DS Anwar Ibrahim, tetapi pada pandangan beliau, untuk memastikan penyatuan semua rakyat yang menyokong parti-parti alternatif dan ahli-ahli UMNO dan BN sendiri yang juga turut tidak berpuas hati, malah ada yang marah dengan Mahathir dan para konspirator, hanya DS Anwar Ibrahim sahaja yang dapat menjadi PENYATU kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Prof. Jompo menyarankan DS Anwar Ibrahim dijadikan ketua kepada Barisan Parti Alternatif walaupun beliau berada dalam penjara. Kenyataan beliau itu disambut dengan laungan TAKBIR!

Prof. Jomo memohon maaf kepada semua barisan pemimpin PAS, DAP, PKN dan PRM, kerana kenyataanya yang berterus terang itu.

Beliau menasihati semua agar tidak lupa mendaftar untuk mengundi. SPR telah melanjutkan lagi tarikh pendaftaran sahingga 13 Mei. Prof. Jomo membuka rahsia bahawa dalam umur 46 tahun, tahun ini baru beliau mendaftar. Beliau menjelaskan sebelum ini beliau tidak mendaftar kerana tidak nampak jalan untuk membuat perubahan. Kali ini ada peluang, maka itu beliau mahukan semua yang layak mengundi jangan lupa mendaftar agar dapat dilakukan perubahan pada pilihanraya kali ini. - RN

Last changed: May 06, 1999