Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

Pendekatan Yang Diduga - UM - 4.5.99

From: Wirawan
Date: 03 May 1999
Time: 22:35:56

Comments

SEWAJARNYA IA MEMBUKA MATA DAN HATI SEMUA UMAT ISLAM MENGENAI KEDUDUKAN HUKUM SYARIAH DALAM NEGARA KITA

APAKAH KITA BOLEH MENGHARAPKAN KERAJAAN BN MENJULANG MARTABAT UGAMA ISLAM? FIKIRKANLAH.

Utusan Malaysia - 4.5.99

Pendekatan yang diduga

KEBANYAKAN akhbar tempatan Khamis lalu (29 April 1999) menyiarkan berita di muka depan masing-masing mengenai keputusan rayuan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja (perayu), yang merayu supaya perbicaraan dan sabitannya di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu diisytiharkan tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Sebagaimana kita semua telah pun maklum, Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara menolak rayuan perayu sebagai tidak berasas. Justeru, mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa prosiding dan sabitan Mahkamah Sesyen pada 19 September tahun lalu itu adalah sah. Keputusan mahkamah menolak rayuan perayu sebenarnya telah dibuat pada 3 Mac lalu.

Apa yang dimaklumkan minggu lalu oleh akhbar tempatan kepada para pembaca adalah sedutan alasan-alasan bertulis penghakiman tersebut.

Dalam penghakiman bertulis itu, khabarnya Mahkamah Persekutuan (yang dianggotai oleh Tun Mohd Eusoff Chin, Tan Sri Lamin Mohd. Yunus dan Datuk Dr. Zakaria Yatim) menegaskan bahawa apabila seorang Muslim di negara ini melakukan satu kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil dan dalam masa yang sama boleh juga dibicarakan di Mahkamah Syariah, terserahlah kepada pihak berkuasa berkenaan untuk memilih forum yang mana satu untuk maksud membicarakan tertuduh dan menghukumnya sebaik sahaja sabit kesalahannya.

Dalam penghakiman bertulisnya setebal 26 halaman, Mahkamah Persekutuan menyatakan, antara lain, bahawa skop kesalahan 'kelucahan melampau' di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan adalah lebih 'luas' jika dibandingkan dengan kesalahan 'liwat' di bawah Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. Mahkamah juga menyatakan walaupun asas pertuduhan yang dibuat terhadap perayu (semasa prosiding berjalan) ada menyebutkan secara khusus perkataan 'meliwat', ini tidak menjadikan kes itu terkeluar dari bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Persekutuan juga menegaskan bahawa dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Mahkamah Sesyen itu, mahkamah tidak membicarakan tertuduh kerana melakukan kesalahan liwat. Apa yang dibicarakan olehnya adalah sekadar kesalahan kelucahan melampau (It was merely dealing with an offence of gross indecency) di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga menegaskan terdapat perbezaan yang nyata antara Akta Jenayah Syariah itu dengan Kanun Keseksaan. Akta Jenayah Syariah itu dipakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sahaja, dan itupun kepada umat Islam sahaja, manakala Kanun Keseksaan dipakai di seluruh negara dan kepada semua lapisan rakyat, tanpa mengambil kira pegangan agama.

Mengenai Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mengambil pendekatan bahawa Fasal (1) dan Fasal (1A) Perkara itu hendaklah dibaca bersama, dan tidak ditafsirkan secara literal. Sebaliknya, ia hendaklah ditafsirkan secara kontekstual supaya konsisten dengan kelicinan jentera kehakiman di negara ini. Kaedah pentafsiran yang boleh mendatangkan ketidaktentuan dan keadaan kelam-kabut (uncertainty and confusion) tidak boleh dipakai, kata mahkamah lagi.

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa memandangkan Fasal (1) Perkara 121 itu telah memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Sesyen membicarakan semua kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (kecuali kesalahan yang membawa hukuman maut), dan bidang kuasa sedemikian telah pun dilaksanakan oleh Mahkamah Sesyen selama ini, adalah satu perkara yang akan amat menyusahkan dan tidak masuk akal (grave incovenience and absurd) jika sekarang diputuskan bahawa Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa membicarakan kesalahan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, hanya semata-semata kerana tertuduh adalah seorang penganut agama Islam.

Menyentuh hujah peguam pihak perayu bahawa perayu menanggung risiko dibicarakan dua kali di bawah dua undang-undang yang berasingan dan di dua mahkamah yang berasingan, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa perkara itu tidak akan berlaku disebabkan tertuduh dilindungi oleh Perkara 7(2) Perlembagaan. Peruntukan undang-undang ini menjamin seorang itu tidak akan dibicarakan dan dihukum kali kedua bagi satu kesalahan yang sama kecuali jika sabitan kesalahan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintah oleh suatu mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah yang telah mensabitkannya

IMPLIKASI KEPUTUSAN

Hendaknya implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan ini dapat dikaji dengan teliti oleh semua pihak yang berkaitan. Pada hemat saya, keputusan ini perlu dibaca sepenuhnya dan dianalisis oleh mereka yang bertanggungjawab terhadap keberkesanaan undang-undang Islam di negara ini, oleh mereka yang menganggotai dan mentadbir institusi kehakiman Islam di semua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan, dan oleh semua ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri beragama Islam yang atas bahu mereka terserah tugas mencorak perundangan Islam di negara ini.

Persoalan utama yang terbit dari keputusan kes ini bolehlah saya simpulkan secara mudah begini. Apakah kita masih merasa selesa dan mahu terus membiarkan orang Islam di negara ini tertakluk kepada satu undang-undang lama (digubal dalam zaman penjajahan) apabila satu perundangan Islam yang baru mengenai perkara yang sama sudah pun wujud dan Mahkamah Syariah kita (yang telah pun dikemaskini) sudahpun mampu membicarakan dan memutuskannya?

Sehubungan itu, apakah kita masih merasa selesa diri dan rela serta sanggup membiarkan institusi kehakiman Islam (yang pada satu masa dulu dipandang kerdil dan daif oleh golongan tertentu) terus menerus dibayangi oleh Mahkamah Sivil?

Sebelum terbaca penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Sukma ini, saya dan sahabat-sahabat lain (yang telah selama ini mengikuti secara teliti perkembangan konflik bidang kuasa mahkamah ini) menyangka bahawa 'kata terakhir' (the last word) mengenai Perkara 121 (1A), termasuklah isu exclusivity bidang kuasa Mahkamah Syariah, telah pun diputuskan secara muktamad oleh tiga panel hakim Mahkamah Agung dalam kes Habibullah (yang saya rasa pembaca setia ruangan ini semua sudah pun tahu). Setelah membaca sedutan penghakiman Mahkamah Persekutuan ini (setakat mana yang telah dapat disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan), saya sendiri tak tahu apa nak kata. Yang terlintas di kepala saya adalaah hanya satu persoalan - 'Apa lagi selepas ini?'

Last changed: May 06, 1999