Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

KISAH OKT ZULFAKAR HASSAN BASRI

From: RN
Date: 04 May 1999
Time: 13:55:50

Comments

Kuala Lumpur, Rabu 5 Mei Semalam Selasa 4 Mei Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menyambung kes pendakwaan ke atas 126 orang Kumpulan OKT I.

Antara OKT yang dibacakan tuduhannya ialah OKT No. 32B Zulfakar Hassan Basri. Nama beliau disebut oleh Lans Kopral Murali Taran A/L Mutusamy. Beliau ialah saksi ke-6 dalam perbicaraan semalam. OKT Zulfakar ditangkap oleh SB Roslan Muhammad pada Oktober 98 sewaktu beliau sedang berjalan menuju ke tempat letak kereta.

SB Roslan ialah saksi ke-13 dan beliau memberikan keterangan pada perbicaraan 11 Februari lalu. Tetapi pada hari itu, nama OKT Zulfakar tidak dipanggil semasa SB Roslan memberikan keterangannya.

OKT Zulfakar memberitahu wartawan RN, keadaaan waktu beliau ditangkap oleh SB Roslan adalah kelam kabut. OKT Zulfakar telah tersilap menyerahkan kad pengenalannya sekali dengan lesen memandunya kepada SB Roslan disebabkan kedua-dua dokumen itu diletakkan bersama-sama.

Waktu dia ditangkap OKT Zulfakar ditumbuk di bahagian muka beliau oleh SB Roslan kerana menyebut "ALLAH."

SB Roslan berkata, "Ha! Baru sekarang ingat tuhan," selepas dia menumbuk. Dijawab oleh OKT Zulfakar, "Saya ingat Tuhan sepanjang masa."

Kekasaran SB Roslan menyebabkan baju OKT Zulfakar koyak di bahagian kolar dan jam tangannya hilang. OKT Zulfakar memberitahu, beliau dipukul dengan rotan, ditendang, dan ditumbuk di bahagian perut sehingga beliau tersungkur di atas jalan.

Beliau menitiskan air mata bukan kerana menahan sakit tetapi sedih melihat kekasaran polis terhadap dirinya dan terhadap reformis yang lain. Dalam saat beliau dibelasah itu beliau berdoa pada Allah.

"Dengan izin Allah saya tidak merasa sakit di atas pukulan dan kekasaran yang mereka lakukan terhadap saya," kata OKT Zulfakar.

Beliau kemudian dikumpulkan bersama-sama dengan OKT-OKT yang lain dan mereka dibawa ke Balai Polis Bergerak yang terletak di hadapan Gereja dengan menaiki truk polis, bersesak-sesak macam ikan sadin.

OKT Zulfakar kemudian meminta lesen memandunya tetapi dimarahi oleh Lans. Kopral Murali Taran A/L Muthusami. OKT Zulfakar mengatakan polis tidak ada hak memarahinya. Disebabkan beliau berani menjawab, LK Murali membebel-bebal mengatakan tindakan para reformis menyusahkan mereka semua.

LK Murali mengatakan bahawa cutinya terpaksa dibatalkan menyebabkan beliau tidak dapat menyambut Deepavali kerana terpaksa bertugas dari tengah hari hingga ke malam dalam keadaan lapar.

Katanya lagi, dari tengah hari tadi beliau dah tak makan. Beliau memaki-hamun OKT dalam bahasa Inggeris dan terus memprovokasi.

"Sekarang kamu lihat siapa yang menolong kamu? Apa yang kamu dapat dalam perjuangan ini?" katanya. OKT Zulfakar mendiamkan diri sahaja.

Di dalam mahkamah semalam, semasa LK Murali membuat pengecaman, wartawan RN melihat beberapa OKT menunjuk-nunjuk ke arah OKT Zulfakar macam cuba memberitahu "Ini dia orangnya."

OKT Zulfakar kelihatan agak panik dan pura-pura sibuk menulis-nulis, sambil sesekali menjeling kepada LK Murali yang berjalan-jalan dalam mahkamah cuba mengenal wajah OKT yang dia menjadi saksinya.

Akhirnya LK Murali mengaku kepada hakim beliau tidak dapat mengecam OKT Zulfakar. Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak ingat siapa yang menangkap OKT Zulfakar, dan bahawa tidak ada laporan mengenai siapa yang menangkapnya dan dia juga tidak nampak kehadiran saya dalam perhimpunan REFORMASI.

LK Murali memberitahu hakim beliau cuma bertugas membuat dokumentasi tentang tangkapan OKT Zulfakar sebelum OKT itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di Jalan Stadium Kuala Lumpur. - RN

Last changed: May 06, 1999