Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

KESAN PERTAMA DARI SHIT

From: Al Kundangi
Date: 04 May 1999
Time: 14:05:49

Comments

Barangkali topik yang paling hangat yang dibicarakan sepanjang seminggu dua ini adalah berkaitan dengan sebuah novel terbaru Shahnon Ahmad, Shit. Ramai ahli politik, golongan penulis, para sasterawan, para penulis pojok,kartunis, kolumnis dan entah apa lagi golongan berminat memperkatakan tentang Shit. Tetapi sepanjang yang kita temui, pebicaraan masing-masing hanyalah menjurus kepada kelucahan yang terdapat dalam novel berkenaan baik bahasanya, masalah yang dibicarakannya atau tokoh-tokoh yang terlibat dalam karya berkenaan.

Begitupun kita belum lagi melihat sebuah ulasan atau tulisan dari mana-mana pengkritik sastera tanah air kita membicarakan novel berkenaan dari sudut pandangan sastera itu sendiri sebagai satu disiplin ilmu. Paling tidak, Mana Sikana dan S.Othman Kelantan ada menyebutkan bahawa satu perbincangan intelektual perlu diadakan bagi mengatasi kekeliruan tentang Shit. Kemudian A.Samad Ismail dalam kolumnya di Berita Harian menyentuh betapa Shit perlu dilihat dari sudut etika dan moral. Aneh juga, kerana sebagai seorang sasterawan/wartawan tersohor negara berbicara sedemikian. Novel Shit bukanlah pesalah moral sehingga ia perlu dibicarakan dari sudut moral dan etika.

Dan yang terlebih pelik, muncul pula SN Abdullah Hussain yang mengatakan beliau terasa berdosa membaca Shit. Atas alasan demikian, beliau lansung tidak mahu membacanya. Ini jelas terlihat dalam wawancara Mingguan Malaysia dengan beliau pada 2.5.1999. Cuma Usman Awang dan Muhammad Salleh mengatakan perlu diadakan perbincangan terbuka tanpa emosi dalam menangani isu novel Shahnon ini. Kita sebenarnya masih menanti bilakah kiritikawan-kirtikawan kita yang arif dalam bidang kritikan sastera muncul dan melihat Shit dengan ilmunya. Kita masih menanti apakah Rahman Shaari, Hashim Awang, Sahlan Mohd.Saman dan ramai lagi tokoh kritikan kita untuk menulis sesuatu sebagaimana yang sepatutnya tentang Shit.

Oleh kerana Shit adalah sebuah novel, maka ia haruslah dilihat sebagai sebuah novel . Dengan kata lain, untuk menilai Shit, kita haruslah melihat ciri-ciri novel yang terdapat padanya. Kita haruslah melihat kepada pokok tema dan persoalannya, permasalahan yang ingin disampaikannya, watak dan perwatakannya, teknik penceritaan yang digunakan oleh pengarang, plot dan jalinannya, gaya bahasa dan sebagainya yang mendukung ciri-ciri sesebuah novel itu.

Ramai yang mengambil bahagian dalam perbincangan tentang Shit setakat ini mengakui belum lagi membacanya. Bagaimana mungkin membicarakan sebuah novel sebelum membacanya? Tentulah perkara seperti itu seumpama cerita orang-orang buta dengan gajah, ada yang mengatakan begitu, ada yang mengatakan begini. Tulisan yang agak jujur tentang Shit sehingga ini dapat dilhat kalau kita membaca tentang catatan Faisal Tehrani dalam Ekslusif bil. 3. Walaupun Faisal adalah penulis muda yang masih mencipta nama tetapi nampaknya Faisal menggunakan pendekatan yang lebih meyakinkan, cuma agak ringkas dan pendek.

Menurut Faisal “sekiranya Shit dilihat sebagai sebuah karya sastera berbentuk satira ,ia adalah sebuah karya sastera yang tinggi mutunya.Beberapa rakan saya yang berpengalaman masih meramalkan karya ini akan mempunyai hayat dalam Sejarah Sastera Melayu.” Faisal seterusnya menyebut tujuh ciri karya satira yang diutarakan oleh Feinberg. Dan ke tujuh-tujuh ciri itu terdapat pada Shit, novel kontroversial Shahnon itu.

Apakah sebenarnya yang ingin dipaparkan oleh Shit sehingga menggemparkan masyarakat kita dalam seminggu dua ini. Tema utama Shit sebenarnya adalah berkisar pada sekumpulan pimpinan utama masyarakat taik yang memang busuk lagi membusukkan itu , yang harus keluar dari lubang dubur(lobang keramat) bila tiba masanya. Tetapi masyarakat taik itu, yang juga mengamalkan sistem politik ala taik tidak mahu keluar dari tempatnya, mereka masih mahu berlingkar dalam usus besar dan kecil sehinggalah ke pintu lobang keramat. Namun untuk keluar tidak mungkin sama sekali. Sebab jika mereka keluar, bau busuknya akan lebih kuat dan akan tercium oleh rakyat jelata di luar, bahkan mereka akan dipijak-pijak sehingga larut . Kumpulan barisan pimpinan taik ini diketuai oleh kepala taik, yang terlebih degil tidak mahu keluar dari lobang keramat itu, malah akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba mengeluarkannya. Sehinggalah pada suatu masa ketulan taik yang paling hampir dengan kepala taik diduga akan mengeluarkannya dari pucuk pimpinan taik. Namun ketulan taik yang cuba berkonspirasi itu dapat ditendang keluar oleh kepala taik dan kuncu-kuncunya. Namun Wirawan, yang tercampak keluar dari barisan pimpinan taik itu, disambut oleh rakyat jelata diluar sana !

Itulah persoalan atau tema utama dalam novel Shit. Kenapakah masyarakat kita cepat melatah dengan perkara sedemikian. Ataukah anggota masyarakat kita yang melatah itu memang sudah sinonim dengan apa yang ingin disampaikan oleh Shit? Wallahu a’lam.

Last changed: May 06, 1999