Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

MENTERI KESIHATAN YANG BANYAK PENYAKIT

From: MAT MENTALON
Date: 05 May 1999
Time: 00:12:58

Comments

Saudara Webmaster DOI MOI,

Artikel ini disebarkan melalui Laman Web Anjung Reformasi pada 9 Februari 1999. Malangnya Laman ini telah dorman dan artikel ini tidak disimpan dalam arkib. Saya harap pengunjung DOI MOI dapat membaca dan mengambil iktibar daripada artikel ini bersama artikel bertajuk 'Rejim Mahathir Tersungkur Angkara Babi' bertarikh 20 Mac 1999. Maruah bangsa Melayu-Islam dipersimpangan, digadai dan dilacurkan oleh anak bangsa sendiri. Tumbangkan Rejim Mahathir yang ZALIM!

Salam Reformasi. Mat Mentalon

***

Siapa tidak kenal Menteri Kesihatan, 'playboy' Chua Jui Meng dari MCA yang gemar dirinya ditonjolkan di media massa dan kaca televisyen. Berita di televisyen seolah-olah tidak lengkap kalau tidak menyiarkan hal-ehwal beliau. Serba-serbi berkaitan urusan kesihatan beliau tidak mahu melepas peluang ke hadapan membuat pengumuman. Saudara kembar beliau dalam UMNO pula ialah Menteri Pendidikan, Najib Abdul Razak yang mempunyai tabiat yang sama. Terlalu kerap kita disajikan dengan berita Dasar Penswastaan Pendidikan yang kontroversi, mengeliru dan semakin kucar kacir.

Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Pendidikan pula terperosok, dipinggirkan dan diarah 'duduk diam-diam' dalam arus keghairahan kedua-dua menteri ini berlumba-lumba membolot ruang menonjolkan imej politik masing-masing. Rakyat lantik bagi peluang bercakap tetapi mereka tidak ketahuan batasan hadnya, 'macam murai cabut ekor'. Cukup!.

Kali ini saya berhajat menceritakan alkisah Master Chua. Kebelakangan ini menyepi cuba menyembunyikan diri semenjaknya merebaknya isu hangat penyakit berjangkit berpunca daripada BA-'ALIF-BA-YA (babi).

Selain merasmikan persidangan, simposium, mesyuarat, hospital, klinik, 'pusat bilan' (pusat bidan), beliau amat ghairah membuat pengumuman penyakit pelik-pelik. Kalau penyakit AIDS, taun, malaria, untut, kudis buta, 'kudis celik', panau, kurap, denggi sememangnya ramai rakyat sudah tahu. Tetapi semenjak beliau menjadi Menteri Kesihatan banyak lagi penyakit-penyakit baru diumumkan. Sehinggakan Pak Lang, Pak Ngah, Mak Lang dan Mak Ngah, rakyat wargadesa yang ingin menyebut nama-nama penyakit baru ini terpaksa berhempas pulas bergulung lidah dan bersembur air liur. Sedikit masa dulu heboh kejadian wabak penyakit Enterovirus (Coxsackie), diikuti penyakit Kala Azar, Chikungunya dan terakhir ialah Japanese Encephalitis B (JE). Entah apa pula jenis bala wabak penyakit lain akan diumumkan sama-samalah kita tunggu. Beliaulah pakar!

Kalau diamati semenjak wabak penyakit JE menular dari Perak Darul Ridzwan ke Negeri Sembilan Darul Khusus dan sehingga ke Shah Alam beliau nampak kurang senang, malah tidak seperti kebiasaan marah pula dengan pihak media kerana memperbesarkan cerita. Sememangnya isu ini besar kerana rakyat mulai tahu punca sebenarnya ialah daripada babi. Mereka yang dijangkiti penyakit ini pasti akan menemui ajalnya dalam masa yang amat singkat melalui serangan ke bahagian saraf otak . Seperti penyakit virus yang lain tiada cara mengubatinya kecuali melalui pencegahan dan pengawalan daripada terus merebak sama ada melalui suntikan pelali vaksin kepada penduduk yang tinggal berhampiran kandang babi. Kalau mahu jalan mudah dan benar-benar mahu menyelamatkan nyawa manusia musnah sahaja babi-babi.

Inilah bala yang diturunkan Allah Azza Wajalla, walaupun ada yang masih meragui dan menafikannya. Master Chua, mana rakyat Melayu-Islam tidak terkejut. Bilangan babi yang dipelihara di Malaysia berjumlah 2,444,1529 (2.4 juta) ekor dan diternak di lebih daripada 1,909 ladang-ladang yang berselerak di ceruk rantau termasuk di bandar di seluruh negara. Angka-angka ini amat memeranjatkan. Sudah pastinya semua rakyat dalam kebimbangan. Pembawa penyakit ini ialah nyamuk Culex yang membiak di air kotor bertakung di longkang-longkang dan kolam di sekeliling kandang babi. Berita yang kurang menyenangkan ialah virus JE adalah endemik di Malaysia. Keupayaannya 'bergabung' dengan virus lain seperti virus denggi memungkinkan wujudnya kombinasi virus (virus complex) yang berkeupayaan merebaknya penyakit baru yang lebih bahaya. Pembawa penyakit denggi ialah nyamuk Aedes tidak seperti nyamuk Culex, membiak di air bersih. Perkara ini bukan mustahil kerana entiti virus itu sendiri mampu menjalani replikasi dan mutasi (mutation) untuk menghasilkan 'strain' virus yang lebih 'virulent'. Kalau ini berlaku bala penyakit baru ini akan turut berhijrah ke bandar, mungkin lebih hampir dengan rumah Master Chua.

SubhanAllah, kalau hasil negara datangnya dari punca yang haram, inilah bala yang diturunkanNya. Babi yang begitu banyak rupa-rupanya bukan sekadar untuk kegunaan penduduk bukan-Islam tempatan malahan dieksport ke Singapura dan negara jiran lain. Malaysia, kononnya sebuah negara Islam seperti dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Umno mempunyai cita-cita menjadikan pengeksport terbesar daging babi di Asia Tenggara. Satu lagi kejayaan 'Mahathir Boleh' oleh kerajaan BN. Tidak cukup dengan babi peliharaan, daging babi hutan turut dieksport secara haram. Kalau tidak percaya pergi tanya pegawai Perhilitan.

Pusat penyembelihan babi terbesar di Malaysia pula terletaknya di Seksyen 15, Shah Alam, ibu Negeri Selangor Darul Ehsan di mana hampir 90% penduduknya ialah Melayu-Islam. Betapa hinanya kita dan tidak hairanlah kalau Ustaz Kamal Ashaari melalui pita ceramah 'Mayat Manusia Bertukar Menjadi Babi' begitu emosional sekali. Tempoh hari pada malam sunyi syahdu menjelang Syawal, saya menitis air mata mendengar ceramah beliau kerana begitu terharu mengenang maruah bangsa tergadai dan nasib anak-pinak generasi akan datang. [Amaran: Pita kaset ini telah diharamkan. Sesiapa yang memilikinya boleh didenda RM10,000 satu pita kaset].

Semasa penjajahan British, pemeliharaan dan penjualan babi dikawal rapi supaya tidak menyinggung perasaan orang Melayu-Islam. Sebaliknya semenjak 'Merdeka', semakin menjadi-menjadi dan hasil mahsul negara termasuklah dari hasil eksport babi sehingga ada pembesar-pembesar negara sanggup mempunyai saham dalam kilang pengeluaran makanan babi. Patutlah bilangan kandang tumbuh bagaikan cendawan seolah-olah direstui oleh 'orang atas'. Negeri-negeri yang mempunyai bilangan ladang babi terbesar ialah, Negeri Sembilan Darul Khusus 741 buah, diikuti oleh Perak Darul Ridzwan 616 buah dan Pulau Pinang 355 buah. Turut menghantar wakil dalam 'Pertandingan Ladang Babi' dan tersenarai antara pengeluar terbesar ialah Selangor Darul Ehsan 293 buah, Melaka 104 buah dan Johor Darul Takzim 85 buah.

Orang-orang Melayu-Islam fikirkan apakah hikmahnya dengan kerebakan JE ini. Kalau berlaku kerebakan Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) lembu dan kerbau milik orang Melayu-Islam diambil tindakan yang begitu drastik. Pihak berkuasa bergegas ke desa, mengepung dan menembak lembu-kerbau tidak kira sama ada yang sedang berkubang, dalam semak atau bertambat tanpa berbicara panjang. Kalau penyakit JE babi, Alahai! Istimewanya diberi suntikan vaksin. 'Pakar' kesihatan kita, Master Chua berpendapat lebih murah dan berkesan diberi suntikan vaksin pada babi kesayangannya daripada diberi suntikan vaksin kepada manusia. Kerja menyuntik pula dilakukan oleh petugas-petugas Jabatan Veterinar yang ramainya Melayu-Islam. Baguslah! Masing-masing terloncat-loncat dengan picu penyuntik bergelumang di kandang babi. Kenapa tidak ambil ikhtibar dari kerajaan Hong Kong dengan tanpa berlengah-lengah memusnahkan jutaan ekor ayam apabila Penyakit Hawar Burung (Bird Flu) merebak dan menyebabkan berapa orang penduduk maut.

Satu lagi penyakit yang bakal dibawa oleh Master Chua, kalau BN terus memerintah, ialah PENSWASTAAN HOSPITAL KERAJAAN. Kempen psikologi untuk mempengaruhi minda rakyat menerima cadangan ini sudah lama bermula semenjak cadangan pengkorporatan hospital kerajaan lagi. Ramai yang mempunyai kepentingan terketar-ketar tidak sabar termasuk anak-beranak dan suku-sakat Dr. Mahathir. Master Chua pun apa kurangnya, turut bersetongkol memainkan peranan memberi laluan dan kelonggaran di Kementeriannya supaya rancangan ini terlaksana. Samalah cerita sebelum penswastaan logi bekalan air. Banyak hospital-hospital baru sedang galak dibina dengan wang rakyat supaya bila diswastakan nanti ibarat sedekah habuan kepada penerimanya yang bersifat 'pelahap dan tidak pernah kenyang'. Daim, Menteri Kewangan dan Pengerusi MTEN dengan perancangan yang licik sekali lagi dapat meyakinkan Dr. Mahathir bahawa penswastaan hospital kerajaan dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan Skim Insuran Kesihatan Nasional (National Health Insurance Scheme).

Skim insuran ini mewajibkan setiap rakyat membuat bayaran premium bulanan untuk mendapat khidmat di hospital-hospital yang diswastakan. Drama penswastaan hospital kerajaan akan menonjolkan sebuah syarikat, Al-Kawtar dengan watak-watak terkemuka negara seperti Rashid Hussain, Mokhzani, Mirzan, Ali Abul Hassan, Bahrin Ayob memainkan peranan. Berapakah agaknya nilai kutipan premium insuran wajib ini daripada rakyat jelata? RM10,000,000,000.00 juta (RM10 billion) setahun. Astagfirullahalazim! Inilah antara gejala Dasar Pensyarikatan Malaysia (Malaysia Incorporated) yang dibawa oleh Daim.

Saya tidak ingin membuat ulasan panjang kerana setiap hari jiwa saya memberontak melihat 'perompak-perompak' bermaharajalela. Amat sedih sekali kerana masih ramai rakyat terlalu percaya, taksub dan tidak sedar dengan seorang manusia dalang bernama Dr. Mahathir. Undilah Umno dan BN dan jangan terperanjat rancangan 'jahat' mereka akan terlaksana!

AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar Wassallam.

Last changed: May 06, 1999