Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

KENAPA KES LIWAT TERHADAP ANWAR DITERUSKAN?

From: Shahnon jr
Date: 05 May 1999
Time: 13:08:37

Comments

Saya adalah di antara rakyat Malaysia yang terperanjat dengan tindakan pihak pendakwaraya meneruskan dakwaan kes liwat terhadap Anwar. Rasa terkejut orang ramai bukanlah tidak berasas. Sesiapa yang mengikuti perbicaraan kes salah guna kuasa terhadap Anwar selama 77 hari dari 2 November 1998 sehingga 14 April 1999 tentu masih ingat tentang:-

· kenyataan Datuk Mohd Said Awang pada 6 November 1998 bahawa beliau telah melaporkan kepada PM pada 1997 bahawa tuduhan-tuduhan salah-laku seks dan liwat terhadap Anwar (berdasarkan siasatan beliau) adalah tidak berasas. Bagaimanapun laporan tersebut telah “hilang” dan tidak dapat dikemukakan dalam mahkamah;

· afidavit Datuk S. Nallakaruppan bahawa beliau dipaksa oleh polis supaya mengaku bahawa Anwar memang terlibat dalam salah-laku seks melibatkan ramai perempuan termasuk yang sudah berkahwin dan berbangsa asing;

· afidavit dan pengakuan bersumpah Sukma, Dr Munawar dan Mior yang mengaku dipaksa oleh polis Cawangan Khas untuk mengaku diliwat oleh Anwar. Dr Munawar, yang sekarang berada di Amerika, masih menceritakan pengalaman ngeri beliau semasa dalam tahanan polis Malaysia;

· deklarasi bersumpah Manjeet Singh Dillon bertarikh November 1998 mengenai niat jahat (malafide) Abdul Gani Patail, sebagai Ketua Pendakwaraya, untuk mendapatkan bukti palsu salah-laku seks dan liwat oleh Anwar dari Datuk Nallakaruppan. Seterusnya, Hakim Augustine tidak membenarkan Manjeet Singh memberi keterangan bagi pihak Anwar kerana keterangan beliau tidak relevan kepada kes rasuah;

· kenyataan mengejutkan dari Azizan pada 16 Disember 1998 bahawa “..Anwar tidak meliwatnya dan sebab itu dia masih mengunjungi kediaman Anwar...”;

· kenyataan Dr Zahari Noor pada 29 Disember 1998 bahawa hasil pemeriksaan beliau ke atas Sukma mendapati tiada kesan Sukma diliwat; dan

· pindaan pendakwaan terhadap Anwar di mana Hakim Augustine menggugurkan segala kenyataan mengenai salah-laku seks dan liwat oleh Anwar. Para pemerhati berpendapat pengguguran fakta tersebut berikutan kegagalan pihak pendakwaraya membuktikan sebarang salah-laku seks dan liwat itu.

Mengapa pihak pendakwaraya masih meneruskan pendakwaan salah-laku seks dan liwat terhadap Anwar meskipun mengalami kesukaran untuk membuktikannya? Telahan saya adalah seperti berikut:-

· Anwar memang kaki liwat dan kuat seks dan pihak pendakwaraya memang mempunyai bukti kukuh (bukan setakat tilam dan bulu) untuk mendakwa beliau; atau

· Anwar perlu dijatuhkan hukuman atas dakwaan salah-laku seks kerana ianya menjadi asas kepada pemecatan Anwar dari kabinet oleh Dr M dan dari UMNO oleh Majlis Tertinggi UMNO; atau

· Anwar perlu dibuktikan bersalah atas dakwaan salah-laku seks bagi mematikan saman malu oleh Anwar terhadap Dr M bernilai RM100 juta; atau

· Anwar perlu dibuktikan bersalah atas dakwaan salah-laku seks dan liwat bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Dr M menjelang pilihanraya umum; atau

· Kerajaan Barisan Nasional akan menggunakan kes ini hanya untuk memburuk-burukkan Anwar menjelang pilihanraya umum. Tindakan memburuk-burukan Anwar telah dilakukan dalam kes rasuah tempohari di mana setelah segala kenyataan salah-laku seks dan liwat dikeluarkan oleh pihak pendakwaraya, Hakim Augustine (atas permintaan pendakwaraya) menukar dakwaan lalu memutuskan segala kenyataan salah-laku seks tidak relevan. Lalu pihak peguambela tidak berpeluang untuk menafikan dakwaan dan kenyataan tersebut.

Apa yang pasti, perkataan “liwat”, “dubur”, ”pungkur”, “lobang keramat” “seks”, “kemut” dan sebagainya sudah tentu tersiar di muka depan akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selamat Membaca.DM

Last changed: May 06, 1999