Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

Penjelasan Daripada Pengarah Penerbitan Kumpulan Karangkraf

From: Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Date: 06 May 1999
Time: 05:28:27

Comments

Seperti yang dijanjikan, Mahazalim akan bertanggungjawab atas maklumat yang telah pun disiarkan tetapi sekiranya Eksklusif menafikan pihaknya bebas dari pengaruh Rosnah Majid dan Daim Zainuddin, maka bersama ini disiarkan penjelasan daripada Pengarah Penerbitan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. mengenai isu 'Siapa Di Belakang Akhbar Eksklusif'. Saya mendoakan kejayaan dan keikhlasan pihak penerbit Eksklusif .

--------------------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum W.W Syukur Alhamdulillah di atas janji saudara untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah saudara siarkan. Bagi memudahkan saudara membuat penyiasatan, saya selaku pengasas, mewakili adik-adik saya yang menganggotai Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf sedia memberi sebarang kerjasama bagi memudahkan penyiasatan saudara.

Memandangkan soal "pemilikan" merupakan isu kepada kontroversi sekarang, ingin saya jelaskan lagi tentang syarikat kami. Kami adalah sekumpulan adik-beradik Melayu Kelantan yang telah selama lebih dua puluh tahun berkecimpung dalam bidang penerbitan. Kami telah diajar dari membungkus buku hinggalah membuat pesanan buku kegunaan murid-murid dan orang ramai di tempat kelahiran kami.

Apabila kami semuanya mendapat bekalan ilmu pelajaran dan pengalaman, kami dibekalkan modal sepenuhnya oleh bapa kami hasil titik peluhnya berniaga songkok, majalah,akhbar dan buku-buku.

Kami memulakan perniagaan menerbitkan buku dengan buku pertamanya, "Kajian Melayu, Sebuah Sorotan" hasil tulisan Johan Jaaffar (Datuk) yang banyak digunakan oleh pelajar STPM. Dari semasa ke semasa perniagaan kami meningkat.

Kemudiannya, kami menjadi penerbit buku-buku terkenal di bawah lambang Karya Bistari Sdn Bhd dan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Akhirnya kami menerbitkan beberapa buah majalah dan akhbar. Eksklusif merupakan penerbitan terkini kami.

Kami mendapat kebenaran menerbitkan Eksklusif kira-kira 10 tahun lepas. Malah kami pernah menerbitkannya untuk tiga keluaran ketika itu tetapi dihentikan kerana tidak mendapat sambutan. Setiap tahun kami memperbaharui lesennya tanpa menerbitkannya. Kami menerbitkan kembali hari ini kerana tuntutan masa.

Kami bersyukur ke hadhrat ALLah s.w.t di atas rezeki yang diberikan di mana sepanjang penglibatan kami dalam bidang penerbitan kami tidak pernah memerlukan sebarang modal daripada orang lain selain adik beradik kami.

Pemilikan modal bererti kekuasaan dan pengaruh. Kami tidak pernah mengundang modal dari luar bagi mengekalkan identiti kami. Dengan berkuasa penuh, bererti kami sepenuhnya berhak dan bertanggungjawab menentu halatuju dasar editorial kami. Kerana mempertahankan kebesan bersuaralah dan memberi keadilan kepada pihalk pembangkang menyebabkan kami kerugian besar apabila akhbar kami , WATAN diharamkan di bawah operasi Lalang pada tahun 1987 dulu.

Menerbitkan Eksklusif bagi kami bukanlah memerlukan modal yang besar lagi sehinggakan terpaksa menjemput seorang kroni memodalinya.

Kami tidak memerlukan pejabat tambahan, tidak perlu membeli peralatan tambahan, tidak juga memerlukan mesin tambahan. Segala kemudahan yang ada untuk kami menerbitkan majalah-majalah lain di bawah bumbung kami boleh kami gunakan untuk menerbitkan Eksklusif. Apa yang perlu ialah beberapa orang kakitangan editorial yang mudah kami perolehi kerana lepasan universiti baru saja menghabiskan peperiksaan mereka akhir Mac lepas. Saudara atau wakil saudara pada bila-bila masa boleh melihat kemudahan yang ada di pejabat kami.

Dasar editorial kami akan kekal sebagaimana yang kami paparkan. Kami sedar akan penolakan pembaca kepada beberapa media arus perdana sekarang. Kami juga akan menerima nasib seperti mereka jika kami melakukan perubahan citarasa. Pembaca adalah raja.

Kami menyiarkan berita dan rencana yang ADIL, DINAMIK dan BERWIBAWA. Kami juga berjuang untuk keadilan, dan seharusnya diberi peluang untuk meneruskan tanggungjawab kami. Adili kami melalui cara persembahan berita kami. Harap tidak ada sebarang prasangka. Jika akhirnya kami ternyata mempunyai niat jahat, lakukan apa yang sepatutnya. Berilah peluang kepada kami menjalankan peranan dan tanggungjawab kami dahulu.

Bagaimanapun, pembaca mestilah faham, kali bukan lidah rasmi parti politik. Pemaparan kami mesti dibuat dengan cara berhati. Lesen menerbitkan Eksklusif boleh ditarik bila-bila masa oleh kerajaan BN. Kami mesti kelihatan Adil dan tidak berpihak. Kami tidak boleh menyiarkan cerita pembangkang semata-mata. Berani kami mesti bertempat.

Rosnah Majid adalah seorang yang begitu asing kepada kami. Ketua Pengarang akhbar Eksklusif ialah Abdul Jalil Ali, yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun dengan kami. Beliau juga tidak mengenali Rosnah. Nama Abdul Jalil tertera dalam semua penerbitan kami. Editor Eksklusif pula ialah Rusmini Fadhil yang dulunya mula-mula bertugas sebagai wartawan Watan (dulu milik kami) kemudian menjadi Editor majalah NONA, Editor DEWAN EKONOMI dan hari ini editor akhbar terbaharu kami itu. Beliau juga tidak mengenali Rosnah.

Saya berdoa penyiasatan yang saudara lakukan itu dapat disegerakan demi keadilan untuk mengelakkan fitnah dan kezaliman. Saya sedar peranan yang dimainkan oleh internet dan inilah juga intipati tulisan saya dalam Eksklusif keluaran Kedua bertajuk "Jangan Perlekehkan Kekuatan Pembangkang". Itulah sebab saya meminta keadilan daripada saudara.

Permintaan ini saya buat sebab sudah banyak laman web telah mirror tulisan saudara. Dan di masjid-masjid besok mungkin lebih banyak risalah diedarkan memburuk-burukkan kami. Saya khuatir, jika lambat bertindak, bukan sahaja Eksklusif yang akan kerugian tetapi seluruh organisasi yang kami bina selama 20 tahun boleh ranap kerananya.

Sekian. Assalamualaikum w.w.b.

Haji Fickry Bin Haji Yaacob,

Pengarah Penerbitan,

Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

Last changed: May 06, 1999