Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

DALIL GEBATAN RAKYAT

From: Algojo
Date: 06 May 1999
Time: 11:49:16

Comments

Allah mencipta mengikut ketentuanNYA, dan manusia tidak dilahirkan serba sama. Justru, kita tidak perlu memuja kecemerlangan si hebat sekaligus tidak perlu mengeji keterbatasan si kerdil. Justru, segalanya tegak atau tumbang mengikut ketentuan persekitaran di sekelilingnya. Si hebat hanya menjadi hebat kerana kekerdilan si kerdil.

Ya, kita si kerdil juga punya peranan. Dengan menyalakan pelita kecil, kita mendesak mereka yang lebih berkebolehan menjalankan peranan mereka; dan untuk itu, apabila si kerdil enggan menjadi diri mereka sendiri, si kerdil akan menghalang orang biasa menjadi hebat!

Banyak daripada kita adalah orang kerdil,sama ada kita suka atau tidak; namun kita melakukan kesilapan besar dengan membiarkan pelita kecil kita tidak bernyala lantaran bimbangkan cahayanya tidak mampu menyaingi matahari. Lontarkan kebimbangan itu! Biar sejarah melupakan jutaan pelita kecil dan menyanjung cahaya gemilang matahari. Redha kita adalah denganNYA; dan tiada cahaya, walau sekedip manapun yang terlepas daripada naungan hidayahNYA.

Hatta gemilang matahari itu pun tidak lebih daripada gabungan jutaan cahaya kecil. Ayuh, mari nyalakan pelita kecil kita. Di dalam sempadan negeri sendiri, masyarakat sendiri, di dalam kumpulan kecil kita sendiri, di dalam lingkungan dan daerah sendiri, mari nyalakan pelita kecil kita. Siapakah yang dapat menyangkal bahawa cahaya yang paling gemilang pun berpunca daripada percikan yang paling kecil?

Ikhlas. Jangan impikan kejayaan tanpa mula-mula menyalakan percikan. Jangan menunggu untuk gah berjasa dan membiarkan sumbangan kecil terkubur dalam angan-angan.

Hari ini kita hidup; untuk menyalakan pelita kecil,untuk memberi sedikit sumbangan, untuk berbuat amal, ibadat dan pengorbanan yang kerdil.

Hari ini kita hidup.

Esok mungkin sudah terlambat.

~ abdul qayyum ~

Last changed: May 06, 1999