Ehwal Semasa
reformis.jpg (9838 bytes)
ReformIS

[ Berita (News) | Cari (Search) | Menu Utama (Main Menu) | Hantar Berita (Submit News) ]

PERKIM Akan Ditutup?

From: Ketua Perusuh
Date: 07 May 1999
Time: 05:05:49

Comments

Kita semua tahu akan kewujudan PERKIM, iaitu satu daripada organisasi (NGO) yang bertindak mentarbiah serta menjaga kepentingan saudara-saudara baru (mualaf). Mungkin ada antara kita yang tidak menyedari bahawa PERKIM sebenarnya adalah sebuah NGO.

Seperti NGO-NGO yang lain PERKIM tidak ada mempunyai sumber kewangannya tersendiri melainkan sumber tersebut datangnya daripada sumbangan para dermawan dan sedikit bantuan daripada pihak kerajaan.

Dua hari yang lepas, saya ada berbicara dengan seorang saudara baru (baru tiga tahun memeluk Islam) mengenai perkembangan PERKIM. Sahabat saya mengatakan ada ura-ura PERKIM akan ditutup memandangkan ada beberapa masalah dalaman.

Masalah dalaman yang paling utama ialah mengenai ketidak kemampuan pembayaran gaji kakitangan PERKIM. Beliau memberikan contoh PERKIM yang terdapat di sebuah negeri utara Malaysia. Di sana, kakitangan PERKIM cuma ada empat orang yang terdiri daripada seorang kerani, seorang pegawai tadbir dan dua orang pegawai tarbiah.

Beliau memberitahu saya bahawa organisasi PERKIM dikendalikan oleh beberapa orang AJK yang beliau kata tidak mempunyai kerja selain daripada bermesyuarat sahaja. Selalunya cadangan daripada pegawai tadbir dan pegawai tarbiah akan ditolak oleh AJK PERKIM atas sebab-sebab yang tidak berapa kukuh.

Bahkan ada beberapa cadangan yang bernas pun ditolak juga. AJK ini dibayar dengan elaun untuk setiap kali mesyuarat. Rakan saya tersebut amat tidak bersetuju dengan adanya AJK (berbayar pula) sedangkan mereka tidak melakukan banyak kerja.

Pada pendapat rakan saya sewajarnya AJK tersebut dimansuhkan jawatannya kerana mereka tidak efektif. Cukuplah dengan adanya kerani, pegawai tadbir dan pegawai tarbiah untuk menjalankan urusan pentadbiran PERKIM. Ini kerana kos untuk membayar elaun AJK amatlah besar berbanding dengan tugas yang dilakukan.

Rakan saya ini mencadangkan jika pihak PERKIM ingin mengurangkan petugas pada masa kegawatan ini, maka bolehlah mereka memberikan opsyen kepada kerani untuk meletak jawatan. Ini kerana kerani bukanlah mempunyai tugasan yang penting berbanding dengan pegawai tadbir dan pegawai tarbiah.

Saya ada bertanya kepada rakan saya mengenai bantuan daripada Baitulmal. Beliau mengatakan bahawa bantuan dari Baitulmal adalah terlalu kecil. Inilah yang memusykilkan saya kerana potongan bayaran zakat telah banyak dikutip sejak dari tahun-tahun yang lepas.

Pada saya, bantuan zakat dan Baitulmal patut digunakan untuk tujuan PERKIM ini dan bukannya wang zakat itu digunakan untuk tujuan perniagaan. Saya rasa pihak yang mengendalikan zakat dan Baitulmal mungkin telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak urusan zakat dan Baitulmal.

Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk menuduh mana-mana pihak. Cuma saya ingin menanyakan ke mana perginya wang zakat dan Baitulmal? Setiap tahun pasti kita akan dapat membaca laporan kewangan mana-mana syarikat awam atupun bank yang tersiar di laman akhbar-akhbar utama. Akan tetapi, saya tidak pernah melihat Urusan Zakat Dan Baitulmal dipaparkan pada mana-mana laman akhbar.

Adakah pihak yang menguruskan zakat dan Baitulmal takut untuk memberikan pendedahan mengenai ke manakah perginya wang zakat dan Baitulmal? Sewajarnya penyata itu dikemukakan untuk tatapan semua. Barulah ini dikatakan telus.

Saya bukan hendak mengungkit mengenai wang yang telah saya dan orang lain zakatkan. Ini kerana urusan zakat adalah wajib bagi orang-orang yang beriman. Bagi yang tidak mahu membayar itu mungkin mereka ini belum lagi beriman. Wahai semua orang yang beriman, perlulah anda membayar zakat untuk tujuan membersihkan diri anda daripada kekotoran bakhil. Persoalan yang utama disini ialah bagaimana dapat kita semua usahakan supaya PERKIM akan tetap wujud.

Benar atau tidak PERKIM akan ditutup bukanlah masalah utama yang perlu difikirkan tetapi yang utama ialah ke mana perginya wang kutipan zakat? Sudah habiskah dijolikan oleh Yusof Noor atau ...?

Jika urusan zakat adalah telus, maka siarkan penyata kewangan Pusat Pungutan Zakat dan juga nyatakan ke mana wang zakat telah digunakan. Ini adalah untuk semua rakyat Malaysia mengaudit dan menilai tahap keberkesanan urusan zakat. Jika anda (PPZ dan Yusof Noor) tidak dapat menyediakan penyata ini untuk tujuan pemeriksaan umum, maka sesungguhnya urusan zakat adalah tidak telus.

Maka berjawablah anda di hadapan Tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak. Ini kerana saya tidak akan mengizinkan setiap sen daripada wang zakat yang telah saya keluarkan digunakan untuk tujuan yang bukan haknya. PERKIM perlulah diselamatkan demi meneruskan kesinambungan usaha Rasulullah s.a.w. Semoga PERKIM akan tetap ada.

Last changed: May 07, 1999