BERITA - BERITA menarik PERLAWANAN AKHIR Piala Dunia 2002 - Yokohama, Jepun 30hb Jun 2002

 

 

BERITA [1] :

 

YOKOHAMA: Perlawanan akhir Piala Dunia semalam menemukan dua gergasi dari benua berbeza - sesuatu yang amat dinantikan selama 50 tahun - dan pertemuan itu jelas menjadi milik Ronaldo.

Penyerang Brazil itu bergandingan dengan Rivaldo untuk `mencairkan’ pertahanan Jerman yang ibarat tembok besi dengan dua jaringan selepas rehat bagi membantu pasukan Latin Amerika itu menjulang trofi emas itu buat kali kelima dengan kemenangan 2-0.

Brazil harus berterima kasih kepada sentuhan Ronaldo yang menjelmakan kejayaan buat mereka, sekali gus meletakkan negara itu sebagai pasukan pertama muncul juara di alaf baru.

Jaringan itu juga membantu penyerang Inter Milan berkenaan menghimpun lapan gol peribadi pada Piala Dunia 2002 dan muncul penjaring terbaik kejohanan untuk mendakap satu lagi trofi tambahan - anugerah Kasut Emas.
Persembahannya kali ini turut melenyapkan igauan empat tahun lalu di Perancis serta episod kecederaan yang berpanjangan lebih dua tahun.

“Saya gembira dan amat berbangga malam ini (semalam). Saya menghadiahkan gol ini kepada anggota keluarga saya dan juga doktor pakar tulang (Gerard Saillant) yang merawat dan memberi sokongan ketika saya bergelut mencari sentuhan asal ,” kata Ronaldo sambil air mata membasahi pipinya di Stadium Yokohama, malam tadi.

Sejurus wisel penamat ditiup pengadil Itali, Pierluigi Collina, semua pemain dan pegawai pasukan menari, menangis dan berlutut menyambut kejayaan gemilang itu.
Ronaldo dan Rivaldo - gandingan paling berbisa dengan 13 gol sesama mereka - memeluk dan mengibar bendera Brazil.

Sambil itu, lautan penyokong skuad hijau-kuning itu dengan tarian samba dan paluan gendang turut meledak menyambut kejayaan pasukan mereka yang berjaya menumbangkan lawan yang hadir dengan reputasi terbaik dari segi pertahanan.

Sepanduk yang dijulang juga menyebut dengan kata-kata dalam bahasa Portugis “Penatcampeao” yang bermaksud Brazil adalah juara dunia lima kali.
Gandingan 3R - Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho tampak agak terlalu hebat bagi Jerman menepis serangan ibarat ombak ganas itu pada pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan dalam final.

Brazil kini mengorak jauh selaku jaguh mutlak di kalangan juara dengan lima kejuaraan sambil Jerman dan Itali masing-masing terikat dengan tiga.
Jurulatih Jerman, Rudi Voeller tidak menafikan Brazil adalah pasukan hebat dan berhak menjuarai kejohanan kali ini.

“Kami puas hati dengan apa yang dicapai. Kami tidak beraksi baik sebagaimana dijangkakan malam ini (semalam).

“Pada babak pertama kami menguasai permainan dalam tempoh 30 minit pertama tapi apabila permainan makin panas Brazil berjaya menunjukkan keupayaan mereka, khususnya permainan individu. Jelas pihak lawan lebih kuat dalam situasi satu lawan satu,” kata pengendali berusia 42 tahun itu.

Sambil itu, selain sikap bijak menyusun strategi taktikal, faktor kepercayaan ke atas anak buahnya adalah elemen yang membantu jurulatih, Luiz Felipe Scolari muncul juara buat kali kelima.

Scolari terus menaruh harapan ke atas Ronaldo ketika ramai sudah hilang keyakinan ke atas penyerang itu sebelum kejohanan bermula.
Pengendali itu menaruh kepercayaan besar dan meletakkan penggempur utama itu selaku pemusnah dan jelas congakan itu berjaya dengan kemenangan 2-0 ke atas Jerman.

“Apa yang membezakan kami dengan lawan adalah kualiti permainan individu setiap pemain dan ada kalanya faktor ini menjadi rencah utama membawa kejayaan,’ kata Scolari, malam tadi.

Dia kemudian menjerit “Juara” sebagai merujuk kepada kehebatan Brazil serta hak mereka muncul juara kali ini.

Dia juga tidak kisah sama ada pemainnya beraksi dengan corak menghiburkan atau sebaliknya asalkan keputusan memihak kepada Brazil.

“Saya tidak kisah jika kami terpaksa bermain dengan teruk dan kurang menghiburkan selagi kami dapat mencapai objektif muncul juara ia sudah memadai,” katanya.

Apapun, pertahanan Brazil satu ketika seperti mudah tunduk kepada asakan Jerman tetapi berjaya menyerap asakan dan kembali stabil pada babak kedua.
Scolari rimas memikirkan kepincangan ketika itu namun Ronaldo tampil melegakannya dengan dua gol pemusnah.

“Pertahanan kami mendapat kritikan hebat tapi ia tidaklah seburuk mana. Kami mungkin antara pertahanan terbaik dunia,” katanya.

Ronaldo menolak masuk masuk bola hasil satu kesilapan yang jarang sekali dilakukan oleh penjaga gol, Oliver Kahn pada minit ke-67 sebelum mengesahkan trofi emas milik Brazil dengan gol kedua minit ke-79.
Apapun, kekalahan Jerman itu bukan bererti mereka tidak hebat malah berjaya mendapat semula dalam golongan elit.

Tanpa pemimpin sebenar serta segelintir pemain bertaraf dunia selain penjaga gol, Oliver Kahn dan pemain perancang, Michael Ballack Jerman berjaya meneruskan cabaran mereka. Ini tidak seperti pasukan lain dengan bakat yang melimpah tapi kekurangan kesungguhan yang pulang lebih awal.
Setiap pemain bermain habis-habisan sehingga berjaya mara ke final sebelum Kahn melakukan kesilapan pertama dalam kejohanan yang menjadi punca Ronaldo berjaya meledak dua kali.

“Kami tidak harus membiarkan satu gol itu memusnahkan kenangan kami dalam Piala Dunia ini,” kata Kahn.

“Kami perlu meletakkan semula bola sepak Jerman di tempat asalnya dan ini amat mustahak bagi empat tahun yang berikut,” tambahnya yang kini mahu mengalih tumpuan ke Piala Dunia 2006 di negara asalnya.

Kejutan apabila tersingkir pada pusingan pertama Euro 2000 bererti Jerman kehilangan status selaku pasukan pilihan secara automatik sebelum mereka menempah satu lagi aib September lalu.

Pada bulan berkenaan England pimpinan David Beckham membelasah Jerman 5-1 di Munich - kekalahan paling teruk di gelanggang sendiri sejak 70 tahun. Ia juga kekalahan kedua dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Laluan mereka ke Jepun dan Korea Selatan hanya menjadi pasti selepas menewaskan Ukraine 5-2 atas agregat dalam permainan play-off, November lalu.

“Tekanan yang kami galas adalah cukup tinggi dan hakikatnya kami dapat mengatasi kepincangan itu dengan gandingan serta persefahaman kalangan pemain,” kata Voeller.

“Saya berasa kekalahan yang lalu itu membuat kami lebih kuat.”
Pemain tengah Jerman, Dietmar Hamman juga berkata dia juga antara punca kenapa pasukannya mengalah kepada jaringan pertama Ronaldo.

“Dalam keadaan tertekan itu saya mencari pemain lain tapi tidak melihat arah mereka. Saya cuba mengawal bola tapi kehilangannya di kawasan yang tidak harusnya berlaku,” kata pemain dari Liverpool itu.

Hamann hilang kawalan bola kepada Ronaldo yang kemudian menemui Rivaldo dengan hantaran pantas.

Pemain dari Barcelona itu kemudian merembat deras sehingga gagal didakap oleh Kahn dan Ronaldo tampil menolak masuk menjadikan kedudukan 1-0 minit ke-67.

Ronaldo menambah satu lagi minit ke-79 untuk menjadikan Piala Dunia kali ini miliknya sebagai penawar duka kecewa empat tahun lalu.

 

JERMAN

Oliver Kahn, Thomas Linke, Christoph Metzelder, Carsten Ramelow, Dietmar Hamann, Jens Jeremies (Gerald Asamoah), Bernd Schneider, Torsten Frings, Miroslav Klose (Oliver Bierhoff), Marco Bode (Christian Ziege), Oliver Neuville.

BRAZIL

Marcos, Cafu, Lucio, Roque Junior, Edmilson, Roberto Carlos, Gilberto Silva, Rivaldo, Ronaldinho (Juninho), Kleberson, Ronaldo (Denilson).


[1] [2] [3] [4] - Menu Utama Piala Dunia 2002 / SeramaNS dot Com