Fikrah Islamiyah
DARI MASJID RUSILA
Oleh TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Dendam Yahudi dan Nasrani terhadap Islam

 

 

MARILAH kita mengambil pengajaran daripada cabaran yang dialami oleh Rasulullah s.a.w yang merupakan seruan Yahudi dan Nasrani ketika peristiwa Isra' dan mikraj, peristiwa Rasulullah s.a.w. menjadi tetamu Allah Taala. 

Janganlah kita menyangka bahawa ajaran-ajaran dan seruan-seruan Yahudi dan Nasrani itu hanya berlaku kepada Rasulullah s.a.w. dan terhenti pada malam Isra' dan Mikraj itu sahaja, tetapi perlu disedari bahawa ianya akan berterusan sehingga hari kiamat selagi wujudnya orang-orang Yahudi dan orang-orang yang menganut agama Kristian dan masih ada orang yang menjadi umat Islam. 

Allah Taala memberitahu semenjak 1400 tahun yang lalu bahawa orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian tidak akan sekali-kali redha terhadap umat Islam kecuali umat Islam mengikut agama mereka dengan firmanNya yang bermaksud: 

"Ramai di kalangan ahli kitab mengharapkan kamu murtad menjadi kafir setelah kamu beriman kerana perasaan hasad dengki di dalam diri mereka setelah nyata kepada mereka kebenaran." 

(Surah al-Baqarah ayat: 109).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: 

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka." 

(Surah al-Baqarah ayat 120). 

Orang-orang Yahudi dan Nasrani bukan sekadar memendamkan perasaan tidak rela kepada umat Islam di dalam hati-hati mereka, bahkan melakukan usaha-usaha untuk memadamkan agama Allah Taala dan menghancurkan umat Islam dengan melancarkan permusuhan ke atas umat Islam. 

Orang Yahudi itulah yang merancang peperangan Ahzab di zaman Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk menghancurkan negara Islam di bawah pimpinan baginda s.a.w., dan mereka juga yang mencetuskan peperangan-peperangan di masa pemerintahan khulafah Ar-Rasyidin, merekalah yang melancarkan peperangan salib sehingga mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1924 di Turki dan merekalah yang menghidupkan api peperangan yang melibatkan umat Islam pada hari ini seperti di Bosnia dan Kosovo. 

Apabila kerajaan Uthmaniyah hilang dari alam nyata yang merupakan kejayaan kepada perancangan-perancangan Yahudi dan Nasrani sejak beratus-ratus tahun sebelum itu, maka tanahair umat Islam di bahagikan sesama kuasa penjajah. Mereka akan memastikan umat Islam tidak akan bersatu kerana sekiranya umat Islam bersatu di bawah satu kerajaan Islam maka penyatuan ini akan mengancam dan membahayakan kepentingan Yahudi dan Kristian di negara umat Islam. 

Di dalam usaha mereka untuk menghancurkan Islam dan umat Islam sejak sekian lama, golongan ahli kitab mengetahui bahawa Islam adalah agama yang benar datang daripada Allah Taala dan Nabi Muhammad s.a.w. itu merupakan benar-benar seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada seluruh umat manusia sebagaimana Allah Taala pernah mengutuskan Nabi Musa dan Nabi Isa a.s. kepada bani Israel. Adapun agama Yahudi dan agama Kristian yang ada pada hari ini yang dianuti oleh musuh-musuh Islam pada hari ini hanyalah penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan terhadap ajaran para nabi dan rasul yang diutuskan kepada mereka sendiri. 

Walaupun pada zaman ini masyarakat dunia memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia, namun orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menguasai sebahagian besar negara yang dianggap kuasa besar dunia dan negara-negara yang paling lantang bercakap tentang hak asasi, tidak sekali-kali akan memberikan hak dan kepada umat Islam. 

Sebenarnya apa yang berlaku di Bosnia dan Kosovo jelas menunjukkan betapa tidak adilnya orang-orang Yahudi dan Nasrani. Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-Pertubuhan dunia yang lain berusaha membela umat Islam tetapi mereka menangguhkan usaha-usaha yang telah diputuskan itu sehingga bosnia dan Kosovo menjadi medan peperangan dan pertumpahan darah yang mengorban dan mengalirkan darah umat Islam. 

Sebaliknya pula apabila keputusan untuk menyerang Iraq, mereka melancarkan serangan tanpa menangguhkannya lagi. Mereka juga mengambil keputusan untuk menyerang Sudan dan Afghanistan tanpa mendapat apa-apa kebenaran daripada masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

Walaupun sebegitu zalim dan tidak adilnya orang-orang Yahudi dan Kristian terhadap umat Islam, tetapi sebahagian besar daripada umat Islam tidak sedar dan insaf berpunca kerana mereka dipimpin oleh mereka yang telah disesat dan diasuh oleh Yahudi dan Kristian melalui perancangan yang sangat rapi. 

Kita hendaklah sedar bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian ke atas umat Islam bukan sahaja dengan sistem persenjataan tetapi yang lebih bahaya daripada itu ialah serangan pemikiran melalui pendidikan, media massa dan lain-lain sehingga mereka berjaya melahirkan daripada kalangan anak-anak orang Islam, nama mereka nama Islam, kulit mereka seperti kulit orang Islam dan bercakap dengan bahasa yang dicakapkan oleh orang Islam tetapi membawa fikrah atau pemikiran Yahudi dan Kristian. 

Mereka menganut berbagai-bagai fahaman dan ideologi yang dilahirkan oleh ahli falsafah Yahudi dan Kristian. Ideologi-ideologi inilah yang diamalkan di negara-negara umat Islam. Semua fahaman dan ideologi yang bertentangan dengan Islam diasaskan oleh orang-orang Yahudi seperti fahaman kapitalis diasaskan oleh seorang Yahudi yang bernama Adam Smith, fahaman komunis diasaskan oleh Karl Marx yang juga merupakan seorang Yahudi. Dan fahaman-fahaman yang lain lagi diasaskan oleh orang-orang Yahudi bertujuan untuk memecah-belahkan manusia dan menimbulkan permusuhan yag berterusan sesama mereka sehingga membolehkan orang-orang Yahudi terus menguasai dunia. 

Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman ini diserapkan ke dalam sistem pendidikan dan pemikiran kanak-kanak Islam pada beberapa ketika dahulu dan kanak-kanak tersebut kini telah dewasa dan telah diberi lesen oleh penjajah-penjajah untuk memerintah negara-negara umat Islam. Negara-negara umat Islam yang mahu merdeka daripada cengkaman penjajah tidak akan diberi kemerdekaan selagi tidak ada daripada kalangan anak-anak orang Islam yang menganut fahaman penjajah dan sanggup melakukan kerja-kerja diamanahkan oleh penjajah. 

Inilah cabaran umat Islam dan inilah kenyataan yang berlaku di zaman ini yang digambarkan secara isyarat oleh Allah Taala pada malam Isra' dan Mikraj kepada Rasulullah s.a.w. Marilah kita memahami betapa banyaknya cabaran yang terpaksa dilalui oleh umat Islam sebelum mereka bertemu dengan Allah Taala sebagaimana banyaknya cabaran dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. sebelum dijemput mengadap Allah Taala pada malam Isra' dan Mikraj. 

Tidak ada yang menyelamatkan Rasulullah s.a.w. pada malam Isra' dan Mikraj apabila diseru oleh panggilan-panggilan Yahudi, Nasrani dan dunia melainkan kekuatan iman dan istiqomah. Marilah kita meningkatkan iman dan istiqomah kita sehingga kita bertemu dengan Allah Taala dan inilah yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. 

Firman Allah yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang beriman, sekiranya kamu taat kepada segolongan ahli kitab nescaya mereka akan memurtadkan kamu menjadi kafir setelah kamu menjadi orang-orang beriman." 

(Surah Ali Imran ayat 100).


 

Ke Laman Utama