Awan, asap dan jerebu dalam al-Quran

Ruangan Iqra oleh Dr Abdurrahman Haqqi

ANDAINYA Galileo seorang Muslim, tentunya dia tidak akan mengalami hukuman tragik oleh pihak gereja yang membawa kepada kematiannya. Ini kerana teori putaran buminya memang disokong oleh kebenaran al-Quran beberapa abad sebelumnya. Pada zamannya, di Eropah yang sedang dalam kegelapan, akidah mereka yang menyatakan bahawa bumi tidak berputar pada porosnya dan siapa yang mempercayai sebaliknya akan mengalami nasib seperti Galileo.

 Bumi berputar menurut al-Quran? Sungguh suatu keajaiban yang sudah dinyatakan al-Quran 1431 tahun yang lalu jika dibandingkan dengan Dark Era Eropah.

 Untuk membuktikannya, mari kita perhatikan ayat al-Quran yang bermaksud "Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awam; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya Dia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan" (QS. an-Naml: 88).

 Mungkin anda tertanya-tanya bahawa ayat di atas tidak menyebutkan putaran bumi. Dan mungkin demikian juga yang difikirkan oleh orang Islam terdahulu. Tapi, jika kita perhatikan ayat berkenaan dengan saksama kita memang akan berpendapat bahawa bumi memang berputar pada porosnya. Kunci pemahamannya terletak pada 'awan'.

 Ayat itu menyebutkan bahawa gunung-ganang tidak diam seperti yang kita sangka kerana ia sebenarnya bergerak seperti bergeraknya awam. Jika gunung-ganang bergerak seperti awan sedangkan gunung-ganang berada di atas bumi bukankah buminya yang bergerak? Kerana jika benar gunung-ganangnya sendiri yang bergerak sudah tentu Gunung Tahan atau Gunung Kinabalu sudah jauh berlari dari Malaysia padahal kedua-duanya masih ada, yang satu di Semenanjung manakala satu lagi di Sabah. Jadi, dengan menganalogikan permasalahan kepada awan, satu fakta sains sudah kita perolehi.

 Di samping menggunakan lafaz sahab untuk awan, al-Quran juga ada menggunakan lafaz muzni (QS al-Waqi'ah: 69) dan rukam (QS. an-Nur: 43) dan kedua-duanya dirujuk kepada awan yang membawa hujan.

 Awan adalah pembawa rahmat Allah kepada manusia, firman-Nya bermaksud: "Allah jualah yang menghantarkan angin; lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awam itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya berkelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya, mereka serta-merta bergembira" (QS. ar-Rum: 48). Tetapi, di samping itu ia juga boleh membawa malapetaka, firman-Nya bermaksud: "Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu untuk menakutkan (daripada panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air)" (QS. ar-Ra'du: 12).

 Satu lagi yang serupa dengan awan kerana sama-sama berada di atas permukaan bumi adalah asap. Malah ada awan yang berasal daripada asap. Bukan itu saja, langit pun dulunya berupa asap. Allah berfirman maksudnya: "Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah langit sedangkan langit itu masih berupa asap lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela ataupun dengan paksa". Kedua-duanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dan sukarela" (QS. Fussilat: 11).

 Dalam sains dibuktikan bahawa sesuatu itu jika darjat pemanasnya semakin tinggi maka ia akan menjadi cair, menguap dan berasap. Demikianlah kejadiannya ketika Allah mencipta bumi selama dua hari manakala isinya empat hari (QS. Fussilat: 9-10). Asap atau dukhan dalam ayat itu adalah wap air yang berterbangan ketika diciptakan bumi kerana panasnya" (Ibnu Katsir, Mukhtasar Tafsir..., III/257).

 Allah juga menamakan salah satu surah al-Quran dengan ad-Dukhan (Asap) yang terdiri daripada 59 ayat dan salah satu fadilat membacanya adalah permintaan ampun oleh 70 ribu malaikat bagi pembacanya selepas solat Maghrib. Dan juga, salah satu tanda datangnya kiamat daripada 10 tanda lain adalah asap (HR Muslim) sebagai penjelasan ayat 10 surat ad-Dukhan yang bermaksud: "Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) ketika langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)".

 Awan dan asap sudah kita bincangkan di atas, bagaimana dengan jerebu? Saya hampir tidak percaya ketika melihat Kamus Dewan Edisi Baru 1991 muka surat 493 untuk mengetahui erti 'jerebu'. Kerana, selepas melihat ke atas ke bawah, ke samping kanan-kiri saya tidak menjumpainya. Sayapun akhirnya beranggapan jerebu itu adalah apa yang sedang kita hadapi di luar sana yang pandangan mata kita terhadkan oleh 'benda putih' bak asap atau awan atau kabus atau kabut atau kapas yagn hampir membawa kepada keadaan darurat negara.

 Ia dikatakan berpunca daripada pembakaran alam sekitar secara berlebihan oleh sesetengah pihak kerana ketamakan, kerakusan atau terpaksa.

 Jika jerebu adalah demikian halnya maka tidak ada lain ia merupakan bukti ayat al-Quran yang bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di luar dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (QS. ar-Rum : 41).

 Apakah yang kita laksanakan setakat ini sudah memadai untuk menghapus jerebu. Kita tidak perlu membuat kipas angin atau alat penghisap gergasi. "Seboleh mungkin", tulis Minda Pengarang Berita Harian Selasa lalu, "Kita tidak mahu negara ini diisytiharkan darurat alam sekitar. Kita mahu negara kita terus dilindungi. Sebelum kita sampai ke tahap itu, kita yakin kerajaan akan melakukan apa saja agar negara kita terhindar daripada keadaan yang telalu buruk. Sementara menunggu musim hujan berterusan yang akan menyerap segala ampai yang terapung, kita percaya kerajaan akan menggunakan kemampuan teknologi untuk meredakan ketegangan". Maka, pandai-pandailah kita menggunakan awan dan asap untuk mengatasi jerebu. Insya Allah!