Berita Harian Online

Pengajaran kisah nabi Ibrahim dan Ismail 

Esok semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Korban. Sempena hari baik ini, kita mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca ruangan ini. Bersempena hari baik ini jangan pula kita lupa kepada saudara seagama yang kurang bernasib baik. Berbanding dengan orang lain, umat Islam di Malaysia jauh lebih beruntung kerana bukan saja dapat beribadat dengan selesa, tetapi hidup dengan aman dan sentosa. Di samping mengingati sahabat seagama dengan kita, yang lebih utama lagi ialah mengingat kembali peristiwa Nabi Ibrahim dengan puteranya nabi Ismail.

 Di dalam al-Quran, Surah Ash-Syafaat l99-111 Allah S.W.T. berfirman, maksudnya: "Dan Ibrahim berkata: sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang salih. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka, tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu". Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah kamu akan mendapati aku termasuk orang yang sabar". Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya. Dan Kami panggillah dia, "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata". Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang yang datang kemudian iaitu kesejahteraan dilimpahkan ke atas Ibrahim. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya dia termasuk hamba Kami yang beriman."

 Inilah peristiwa yang membawa amalan korban sehingga ke hari ini. Peristiwa ini dan peristiwa lain yang berhubung dengan Nabi Ibrahim A.S. ini sesungguhnya penuh pengajaran dan iktibar. 

Sesungguhnya akidah dan iman yang mantap, yang sudah meresap ke dalam diri seseorang insan itu akan mempengaruhi kehidupannya. Pengorbanan dan penderitaan yang dialami Ibrahim dan Ismail adalah satu hal yang bagi kita amat berat tetapi bagi yang teguh imannya semuanya dilakukan untuk Allah dengan rela dan ikhlas hati.

 Penentangan Nabi Ibrahim terhadap kemungkaran seperti penyembahan berhala, kezaliman dan kecongkakan serta maksiat dilakukannya dengan lisan dan perbuatan. Ibrahim menumbangkan berhala dengan tangannya sendiri. Ini adalah contoh terbaik daripada sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: Barangsiapa daripada kamu melihat perbuatan mungkar, maka hendaklah ia mengubah dan menentangnya dengan tangan dan bila tidak sanggup melakukannya dengan tangan, hendaklah dilakukannya dengan lisan dan pada tingkat yang paling ringan hendaklah ia mengingkari perbuatan mungkar itu dengan hatinya. Tingkat terakhir itu adalah tingkat yang menandakan kelemahan iman.

 Bahawasanya Nabi Ibrahim dalam dakwahnya tidak meninggalkan cara mujadalah dengan tujuan agar mereka menggunakan akal dan fikiran mempertimbangkan hujah dan dalil yang dibawanya.

 Ini jelas dalam perdebatan yang berlaku antara Nabi Ibrahim dengan penyembah bintang dan dialog antara baginda dengan Raja Namrud, begitu juga ketika berdepan dengan para hakim sewaktu kes meruntuhkan berhala.

 Perbuatan Nabi Ibrahim memujuk ayahnya dengan sopan santun dan lemah lembut adalah selari dengan ajaran Islam yang mewajibkan anak berbakti dan mentaati orang tuanya.

 Nabi Ibrahim juga menghormati para tamunya. Ia menerima tamunya dengan murah hati. Nabi Muhammad bersabda yang maksudnya: "Hormatilah tamumu, walaupun ia seorang kafir." dan "Tidak termasuk dalam golongannku barang siapa tidak menghormati tamu."

 Nabi Ismail dapat dijadikan contoh sebagai anak yang salih dan taat kepada Allah dan orang tuanya. Ia sedia menyerahkan jiwa dan raganya untuk dikorbankan setelah diberitahu ayahandanya, bahawa hal itu adalah perintah Allah.

 Di dalam kisah Ibrahim dan Ismail yang di dalam al-Quran tercatat dalam 30 ayat dalam 5 surah, terdapat gambaran mengenai sifat dan akhlak dua wanita yang boleh dijadikan teladan. Seorang wanita, isteri Nabi Ismail yang pertama, digambarkan sebagai wanita yang tidak mengenal syukur kepada Allah, sentiasa berkeluh kesah kepada seorang asing yang belum dikenalnya mengenai keadaan rumah tangganya yang serba kekurangan. Sementara, isteri Ismail yang kedua pula, digambarkan sebagai wanita yang bijaksana menunjukkan rasa puasnya tentang rumah tangganya yang bahagia dan sentosa serba cukup.

 Al-Quran Surah Yusof ayat 111 Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya pada kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal.

 Semoga pada hari baik bulan baik ini kita memperolehi sesuatu yang menjadi pengajaran dan kekal dalam perasaan dan minda kita.
 
 

[