Make your own free website on Tripod.com

ISRAK DAN MIKRAJ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di saat yang mulia dan di hari yang penuh keberkatan ini marilah semua kita berusaha memperkukuhkan keimanan dan mempertingkatkan ketaqwaan kita terhadap Allah SWT dengan melaksanakan ajaranNya, taat segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Dengan demikian Allah SWT menjadikan diri kita mukmin muslim yang sebenar-benarnya sentiasa tunduk patuh dan menyerah diri hanya kepada Allah SWT semata-mata. Firman Allah yang bermaksud.

Dan tiadalah orang yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebajikan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Pada 27 Rejab, 11 tahun kenabian Rasulullah SAW dan dua tahun sebelum hijrah ke Madinah telah berlaku suatu peristiwa Israk dan Mikraj di mana peristiwa tersebut merupakan suatu bukti akan kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram sampai ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya supaya memperlihatkan keterangan-keterangan Kami kepadanya, sesungguhnya Dia mendengar lagi melihat.

Israk ialah perjalanan Nabi Muhammad SAW di malam hari menaiki Burak iaitu satu kenderaan dari syurga, dari Mekah ke Baitu Maqdis (Palestin). Manakala Mikraj ialah naik ke langit dari Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) yang kini ditawan oleh Yahudi laknatullah hingga ke Sidratul Muntaha.

Para ulama' hadith, ulama' feqah dan ulama' tafsir umumnya menegaskan peristiwa Israk dan Mikraj kedua-duanya berlaku di dalam suatu malam dalam keadaan baginda sedar, bersama roh dan jasadnya. Seperti mana dijelaskan di dalam ayat tadi membawa hambaNya berjalan di waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini ialah jasad Nabi Muhammad SAW, bukan rohnya sahaja. Malah bersama tubuh kasar baginda. Sekiranya Israk Mikraj ini berlaku hanya roh baginda sahaja, tentulah ayat tersebut berbunyi yang bermaksud roh hambaNya berjalan di waktu malam. Tetapi nyata ayat mengenai Israk dan Mikraj tidak menyebutkan demikian.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya akan menyatakan tidak mungkin berlaku, atau berbelah bahagi sama ada hendak percaya atau tidak, tetapi bagi orang yang sebenarnya beriman kepada Allah mereka tetap percaya dengan penuh keyakinan.

Setelah baginda Rasulullah menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umumnya, orang-orang kafir mengejek-ngejek Rasulullah dan semakin hebatkan fitnah terhadap baginda. Malah terdapat sebahagian mereka yang lemah keimanan kembali menjadi murtad. Hal ini berbeza dengan orang yang beriman seperti sikap yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a. sebaik sahaja Rasulullah SAW menceritakan kepadanya lalu Abu Bakar membenarkan dengan mengatakan: Benar, aku menyaksikan bahawa engkau adalah Rasulullah, kemudian Rasulullah SAW bersabda: engkau pula wahai Abu Bakar adalah as-Siddik. Selepas dari itu Abu Bakar digelar as-Siddik, yakni orang yang benar.

Demikianlah peristiwa Israk dan Mikraj merupakan satu ujian dan proses pemisahan di antara orang yang benar-benar beriman dengan mereka yang kufur atau tipis imannya terhadap Allah SWT. Adapun orang yang beriman semakin kukuh imannya semakin mantap aidahnya terhadap kekuasaan, kebesaran dan kehebatan Allah SWT dalam mengatur alam seluruhnya.

Sidang Jumaat yang BERBAHAGIA,

Sebelum berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW menghadapi penentangan kaum Musyrikin terhadap dakwah Islamiah yang di bawa oleh baginda. Berbagai-bagai bentuk penentangan telah dilancarkan bukan sahaja kepada Rasulullah semata-mata tetapi meliputi siapa sahaja yang menerima seruan dakwah Islam. Pengikut-pengikut baginda difitnah, diburu, dipulau, diseksa dan ada yang mati syahid, namun keimanan dan keyakinan mereka tetap teguh terhadap Allah dan RasulNya. Mereka terus berada di jalan Islam walaupun mereka menghadapi ujian demi ujian bahkan mereka sanggup mempertahankan Islam sama ada dengan harta mahupun nyawa mereka. Rasulullah SAW sendiri ketika berdakwah di Thaif, baginda telah dilayan dengan herdikan dan sikap yang buruk sekali. Baginda diejek, dibaling batu hingga Rasulullah luka dan berdarah, baginda sangat berdukacita keran kebenaran yang dibawa untuk menyelamatkan mereka daripada seksaan Allah di akhirat dibalas sedemikian rupa. Rasulullah SAW hanya berdoa yang maksudnya:

Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.

Dalam suasana kedukaan ini juga isteri baginda yang disayangi iaitu Saidatina Khadijah yang banyak memberi dorongan dan bantuan dalam kerja-kerja dakwah telah dipanggil pulang oleh Allah. Demikian juga bapa saudaranya Abu Talib yang menjadi tulang belakang mempertahankan Rasulullah, juga kembali menemui Allah Rabbul Jalil. Tentu sekali baginda sebagai manusia biasa merasa kesedihan di atas kehilangan dua orang yang dikasihi itu. Khadijah isteri Rasulullah yang juga dikenali sebagai tokoh korporat wanita di bumi Mekah banyak memberi sokongan hartabendanya dalam dakwah Rasulullah. Manakala Abu Talib menaungi Rasulullah dengan kuasa dan pengaruhnya. Di sini jelas kepada kita bahawa selain kekuatan akidah, kekuatan ekonomi dan pengaruh politik memainkan peranan penting dalam menentukan kelancaran gerakan dakwah Islamiah yang dipelopori oleh Rasulullah.

Berdasarkan kudrat dan iradat Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj ini akhirnya dapat mengubat dan menghibur dukacita yang dialami oleh baginda sepanjang menjalani urusan dakwah. Rasulullah diperlihatkan gambaran kehidupan manusia sama ada orang yang soleh dan orang yang derhaka dari segi balasan dan ganjaran, demikian juga baginda dijemput secara khusus untuk menerima kewajipan solat lima waktu. Sesuatu ibadat penting yang menghubungkan di antara hamba dan penciptanya iaitu Allah SWT.

Muslimin sidang Jumaat yang berbahagia,

Sepanjang perjalanan Rasulullah dari Mekah ke Baitu Maqdis, baginda diperlihatkan watak-watak kehidupan manusia, di antara lain ialah baginda melalui satu kaum yang bercucuk tanam, kemudian setelah hasilnya dipetik lalu tumbuh semula. Inilah gambaran orang yang mengorbankan harta benda di jalan jihad fi sabilillah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

Perbandingan orang yang memebelanjakan harta mereka di jalan Allah seperti benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai mengeluarkan seratus biji benih dan Allah akan menambah lagi kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha luas dan Maha mengetahui.

Baginda juga melalui sutu kaum yang menghempapkan kepalanya dengan batu yang besar, kepalanya pecah berkecai, kemudian tumbuh semula, lalu dihempapkan lagi, tumbuh semula dan begitulah seterusnya. Demikian gambaran orang yang meninggalkan solat lima waktu yang diwajibkan.

Rasulullah melalui suatu kaum yang berpakaian koyak rabak di samping memakan pokok-pokok berduri dan daun-daun yang pahit dan batu-batu. Inilah bandingan orang yang tidak membayar zakat.

Seterusnya Rasulullah dipersaksikan suatu kaum yang sedang memegang daging yang baru sahaja dimasak dan lazat pula rasanya dan satu lagi memegang daging yang mentah dan busuk baunya, tetapi ia memilih daging yang busuk dan mentah. Inilah gambaran seorang lelaki yang mempunyai isteri yang sah tetapi menumpahkan nafsunya kepada pelacur.

Diperlihatkan juga seorang lelaki yang mengumpulkan seberkas kayu untuk dipikulnya, dia tidak berdaya memikul kemudian ditambah lagi kayu itu. Inilah bandingan orang yang menerima amanah, ia tidak boleh menunaikan amanah itu, tetapi masih lagi menerimanya kerana tamak dan halobanya kepada harta, pangkat dan kuasa.

Diperlihatkan juga suatu kaum yang menggunting lidah dan bibirnya dengan gunting besi, setelah digunting tumbuh semula, lalu digunting lagi, demikianlah seterusnya. Inilah gambaran orang yang suka membuat fitnah memecah belahkan masyarakat dengan lidahnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Suatu lagi peristiwa dalam Israk dan Mikraj yang wajar menjadi iktibar kepada kita, lebih-lebih lagi di zaman mutaakhar ini di mana umat Islam semakin longgar dengan aqidah Islamiah, ialah peristiwa Rasulullah SAW mencium bau wangi kubur Mashitah seorang hamba Allah yang syahid mempertahankan kesucian aqidah di tengah-tengah kekayaan dan keagungan Fir'aun yang mermaksa keluarga tukang sikat ini mengakui Fir'aun sebagai Tuhan sebenar. Tetapi denghan penuh keberanian dan keyakinan tukang sikat itu tetap mengatakan: Tuhan aku dan Tuhan kamu ialah Allah. Perkara tersebut menimbulkan kemarahan yang amat sangat oleh Fir'aun, lalu memerintahkan supaya dibuat lembu daripada tembaga dan diisi minyak: lalu diganggang di atas api hingga panas menggelegak, kemudian dilontarkan tukang sikat itu dan keluarganya satu demi satu hingga tibalah giliran bayi yang masih kecil, bayi itu masih didokong oleh ibunya, oleh kerana terlalu kasihan ibu terhadap anak itu, ia hampir mengaku kalah dan menyerah kalah kepada kemahuan Fir'aun. Dengan takdir Allah lalu bayi itu berkata: Wahai ibuku! Teruslah dan jangan menyerah kalah, sesungguhnya engkau di atas kebenaran".

Demikian suatu peristiwa luar biasa dengan kehendak Allah, seorang kanak-kanak kecil boleh berkata-kata dengan fasih.

Pengorbanan mempertahankan aqidah hingga sanggup mati merupakan satu kemenangan yang dibalas oleh Allah dengan sebagai syuhada'.

Demikian juga terjadi kepada para sahabat yang berjuang mempertahankan Islam malah akan berlaku sepanjang zaman.

Pengorbanan Mashitah ini telah dilahirkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj atas kehendak Allah supaya menjadi contoh kepada umat Islam tentang pengorbanan Mashitah mempertahankan aqidah dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Marilah kita mengambil i'tibar daripada ketegasan Mashitah dalam menghayati dan mempertahankan aqidah Islamiah agar ianya menjadi dasar dan pegangan yang kukuh di dalam kehidupan kita. Tanpa kita kembali kepada aqidah Islamiah yang sebenarnya manusia terus berada di jurang kehancuran dan kerosakan seperti yang telah terjadi kepada umat yang terdahulu dilaknatkan oleh Allah SWT dengan bala' bencana. Firman Allah yang bermaksud:

Allah telah melaknatkan ke atas orang-orang yang kafir dari kaum Bani Israel atas lisan Daud dan Isa anak Maryam, yang demikian disebabkan mereka itu menderhaka dan sentiasa melanggar perintah Allah, mereka itu selalu tidak melarang terhadap kejahatan yang mereka lakukan.

Delivered by: Ustaz Pirdaus Haji Ismail
Date: 28 NOVEMBER 1997