Berita Harian Online
Khamis 21 Mei 1998  24 Muharam 1419

Pendidikan sekolah rendah perlu kaedah baru

DALAM mana-mana sistem pendidikan, jika ia terlalu banyak dikuasai oleh pelajaran akademik, program-programnya dijelmakan dalam keadaan tidak bersemangat dan tidak mesra. Acapkali programnya diwujudkan dalam keadaan 'gopoh' iaitu sebelum pelajar memahami satu-satu unit secara mendalam, ia sudah beralih ke unit yang baru. Program-program pendidikan yang diwujudkan dalam suasana 'gopoh' ini adalah satu paradoks iaitu belajar banyak tetapi tahu sedikit. Pelajar tidak mempunyai pemahaman mendalam dalam program pendidikan seperti ini. NIK AHMAD NIK YAACOB mengulas.
 
 

PENDIDIKAN yang terlalu tertumpu kepada akademik banyak melahirkan aspek pertandingan dan kerja secara individu. Ia sentiasa memperlihatkan amalan sistem ganjaran dan hukuman yang mudah melahirkan prejudis terhadap pelajar yang lemah dalam pelajaran mereka.

 Sebilangan besar kanak-kanak datang ke sekolah, terutama kanak-kanak Tadika dan darjah satu, bukan kerana mahu belajar sebagai pilihan utama mereka. Mereka datang kerana ingin bersama-sama dengan kawan-kawan mereka. Dalam masa yang sama mereka berhadapan dengan bermacam-macam perasaan - takut, gerun, marah, penyayang, bimbang dan sebagainya.

 Dalam situasi beginilah, tugas utama guru ialah membina kekuatan emosi yang positif di kalangan murid-murid ini. Pembinaan emosi dan sosial ini amat penting dan perlu diterapkan terlebih dahulu iaitu sebelum perkembangan akademik lagi.

 Tujuan mendidik ialah untuk melahirkan individu secara menyeluruh dan bukan saja pelajar yang cemerlang akademiknya.

 Pendidikan bertujuan membentuk sahsiah manusia seperti sifat kerjasama, tak putus asa, bertanggungjawab, komitmen dan sebagainya. Pelajar yang terbentuk secara begini juga akan maju dalam bidang akademik mereka.

 Pada masa ini sifat peribadi seperti kerjasama, penyayang, hormat-menghormati, bertanggungjawab dan sebagainya banyak terbentuk secara tersendiri, tidak terancang dan bebas. Ia wujud di celah-celah pelajaran akademik secara kebetulan. Sebab itulah pegangannya tak kuat dan mudah terhapus apabila berhadapan dengan sifat negatif yang lebih kuat pengaruhnya.

 Pembentukan sahsiah seperti yang disebutkan di atas perlu diprogramkan secara terancang dan formal. Ia perlu diwujudkan dalam bentuk kurikulum yang diintegrasikan antara amalan dan teori.

 Di peringkat sekolah rendah murid-murid bergaul sesama mereka selama enam tahun. Ambillah separuh dari masa ini untuk membina perkembangan sosial secara lebih formal dengan melahirkan kurikulum yang lebih terperinci.

 Perhubungan guru dan murid, murid dengan murid dan murid dengan masyarakat perlu diprogramkan secara lebih bermakna supaya pembabitan mereka dapat membina sahsiah dalam aspek persahabatan, kerjasama, bertanggungjawab, melaku sesuatu dengan sebaik mungkin, menjaga keselamatan diri dan orang lain, sentiasa menjaga kesihatan diri, menaruh kepercayaan kepada kawan, bertimbang rasa terhadap seseorang, menyayangi alam semula jadi yang berhampiran mereka, belas kasihan kepada binatang, mengemari benda yang cantik dan mulia, menunaikan janji, mematuhi peraturan yang ditetapkan, bertanggungjawab dan menyayangi harta benda awam dan sebagainya.

 Sebagai contoh, persahabatan. Ia tidak boleh dibiarkan berlaku secara semula jadi dan bebas. Sifat ini perlu dibentuk. Persahabatan lahir untuk mencapai beberapa matlamat sosial seperti rasa kekitaan, perasaan kemesraan, gembira dengan kehidupan persekitaran, (bilik darjah, sekolah) dan sebagainya.

 Inilah personal growth yang perlu diprogramkan ke dalam hidup setiap murid sebelum perkembangan akademik dimulakan.

 Untuk membentuk sifat peribadi yang baik ini akan memakan masa yang lama. Tetapi apabila murid sendiri membentuk matlamatnya dan menilai pencapaian diri sendiri dengan bantuan guru, maka sifat ini boleh dan cepat dicapai.

 Bincangkan matlamat peribadi murid yang boleh mencerminkan tingkah laku mereka. Wujudkan aktiviti yang boleh membantu mencapai matlamat itu setiap hari. Sebagai contoh, matlamat peribadi pelajar boleh berbentuk seperti ini:

 l "Saya mahu bersihkan bilik darjah tanpa disuruh oleh guru" atau

 l "Saya mahu tolong emak membasuh pinggan" atau

 l "Saya mahu basuh tangan sebelum makan"

 Bincangkan dengan murid-murid perkara seperti, 'Bilik darjah yang macam mana yang kita mahu?", "Mari kita sama-sama wujudkan matlamat bilik darjah kita," "Mari kita berkawan", "Mari kita berkongsi kerja bersama?", atau "Mari kita jaga kebersihan kelas kita."

 Matlamat ini dibincang bersama murid. Guru rangka dan aturkan program serta laksanakan aktiviti yang terancang ini supaya ia dapat disemaikan ke dalam tingkah laku murid.

 Pamerkan matlamat ini di papan kenyataan kelas dengan menggunakan tulisan pelajar itu sendiri. Matlamat ini berubah-ubah mengikut suasana masa dan keadaan.

 Inilah keunikan satu-satu bilik darjah yang bermirip ke arah perkembangan sosial. Di dalamnya wujud suasana kasih sayang, kerjasama, hormat menghormati, tolong menolong dan seumpamanya. Suasana seperti inilah yang akan membantu pencapaian akademik yang baik.

 Pada masa ini terlalu banyak program pendidikan lebih merupakan satu paradok iaitu 'Belajar banyak tetapi tahu sedikit'. Dalam pelajaran Sains umpamanya, pelajar diajar cara binatang memelihara anak, binatang menjaga dan melindungi telur, tumbuh-tumbuhan menyebar biji benih, tanpa tujuan sebenarnya tajuk-tajuk ini diwujudkan. Ia beralih dari satu unit ke satu unit secara tergesa-gesa. Inilah bentuk pendidikan yang cetek. Pengetahuan dan ilmu yang dibekalkan banyak berbentuk memberi maklumat dan diterima oleh pelajar secara menghafal dan mengingat.

 Dalam sistem yang berkualiti lebih baik ianya bercorak 'Belajar sedikit tetapi tahu banyak', iaitu murid mempelajari secara mendalam. Apabila pendekatan seperti ini diwujudkan, banyak masa murid dan guru digunakan untuk menyiasat, mengeksperimen, mencari kepastian dan sebagainya. Pendekatan pendidikan seperti inilah yang boleh membantu pelajar melahirkan deep understanding.

 Kepada satu-satu topik pendidikan, baik untuk bahasa, agama, sains, geografi atau sosial, aktiviti melukis, menulis, membincang, membuat lawatan (jika sesuai), membahas, merancang, membuat ramalan dan sebagainya adalah amat penting. Sebagai contoh: Topik: Bunga.

 Apakah matlamat yang hendak dicapai melalui topik ini?

 a) Adakah ia untuk melahirkan sifat cintakan keindahan alam? atau

 b) Adakah ia untuk mempelajari pelbagai jenis bunga? Atau apa?

 Objektif (a) adalah lebih jelas, berfaedah dan mampu menyemai sifat cintakan kepada kecantikan alam semula jadi dan sifat bertanggungjawab menjaga kecantikan alam supaya ia tidak dirosakkan.

 Bagi mencapai objektif ini ia perlu dirancang dengan program yang efektif seperti:

 l Perhati pelbagai jenis bunga

 l Lihat warna bunga

 l Apakah yang menarik pada bunga? Warnanya? Rupanya? Baunya? Atau apa?

 l Binatang apa yang tertarik pada bunga?

 l Adakah binatang-binatang ini merosakkan bunga-bunga itu?

 l Apakah akan berlaku pada bumi kita jika tidak ada pokok bunga? (Pada rumah kita, pada sekolah kita?)

 l Bagaimanakah kita jaga supaya bunga ini tidak rosak?

 l Lukiskan sekuntum bunga dan warnakan bunga itu

 l Di dalam bilik darjah pamerkan gambar yang cantik-cantik. Namakan bunga-bunga itu.

 l Minta murid-murid bawa bermacam-macam jenis bunga ke kelas dan hiaskan satu sudut dengan bunga-bunga ini.

 l Pamerkan bunga-bunga yang dilukis oleh murid

 l Nyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan bunga seperti Bunga Tanjung, Bunga Melor dan sebagainya.

 l Di luar bilik darjah wujudkan aktiviti menanam pokok bunga. Wujudkan kumpulan-kumpulan untuk menjaganya supaya ia hidup subur.

 Inilah antara aktiviti yang dapat mengekalkan deep appreciation and understanding yang mampu membentuk sahsiah manusia.

 Objektif (b) tidak mempunyai matlamat yang jelas. Ia diwujudkan semata-mata untuk mengetahui jenis bunga tanpa ada kaitan dengan sifat menghargai, menyayangi dan rasa tanggungjawab. Dan inilah pendekatan yang banyak kita wujudkan dalam sistem pendidikan kita hari ini.

 Pada hemat saya kita perlu mencari pendekatan baru dalam sistem pendidikan sekolah rendah. Biarlah dalam setiap program yang dilaksanakan itu wujud budaya kerjasama, hormat menghormati, tolak ansur, kasih sayang, tolong-menolong kerana budaya seperti inilah akan menjadikan murid itu bermotivasi.

 Kalaulah budaya seperti ini boleh diwujudkan dan diutamakan terlebih dahulu daripada budaya akademik, sekolah akan jadi pusat pendidikan yang amat baik untuk semua murid.