TAUHID AR-RUBUBIYYAH DAN TAUHID AL ULUHIYYAH

 

Makna kalimah tauhid:

Kalimah tauhid ‘La ilaha illallah’ bermaksud tiada Tuhan selain Allah. Sungguhpun ringkas, kalimah ini mempunyai pengertian yang luas dan mendalam bagi kehidupan seorang muslim.

Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’

 

Tauhid ar-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah:

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beriktiqad bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan bagi sekelian alam manakala Tauhid al-Uluhiyyah pula bermaksud menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan.

 

Tauhid ar-Rububiyyah:

Antara pengertian kalimah Rabb ialah as-Sayyid (Tuan), al-Malik (Yang Memiliki sesuatu), Pencipta sesuatu, Penguasa terhadap sesuatu, Pendidik serta Pengasuh makhluk-Nya, Penjaga maslahat makhluk-Nya serta Penguatkuasa perintah-Nya terhadap makhluk-Nya.

Oleh itu, Tauhid ar-Rububiyyah ialah iktiqad atau keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai sifat yang sempurna. Segala sesuatu yang ada di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT. Dialah Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam). Dialah yang berkuasa, menjadi, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, maka tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, maka tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya. Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’ (berkuasa) untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu." (Al-An’am: 17)

Dengan itu, semua makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya serta berharap kepada-Nya. Apa yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu jika manusia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah.

Begitu juga dengan kecerdikan, kebijaksanaan dan kepandaian yang dimiliki manusia, semuanya datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia sebenarnya bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah.

Ini kerana hakikat sebenarnya ialah manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk serta gerak nafasnya datang daripada Allah.

Dengan keyakinan itu, maka timbullah kesan tauhid dalam diri seorang muslim. Dia hanya takut kepada Allah dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu juga kerana keyakinannya kepada Allah.

Kesan keyakinan sedemikian terbukti dalam kehidupan Rasulullah dan sahabatnya. Sebelum keluar berhijrah ke Madiah, Rasulullah SAW memerintahkan Saidina Ali RA tidur di atas katilnya sedangkan ketikaitu musuh Islam sedang mengintip untuk membunuh Rasulullah. Bagaimanapun, Saidina Ali sanggup mengikut perintah Rasulullah SAW kerana yakin dengan kehendak dan kekuasaan Allah.

Keyakinan yang sama juga pernah dapat kita lihat pada Khalid al-Walid RA. Beliau pernah mendapat luka yang banyak kerana berperang di jalan Allah. Namun keyakinannya dengan kekuasaan Allah menyebabkan dia meneruskan pertempuran melawan musuh.

Saidina Bilal bin Rabah RA pula sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah matahari yang terik serta diseksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya. Bagaimanapun dia tetap mempertahankan keimanannya.

Kini ramai manusia yang kehilangan keyakinan ini. Mereka yakin kepada yang lain daripada Allah. Mereka takut kepada kegagalan, ketua, kematian dan sebagainya. Oleh itu menjadi kewajipan bagi pendakwah-pendakwah Islam untuk mengembalikan manusia kepada keyakinan tersebut.

 

Makhluk bersifat fakir:

Manusia sebenarnya bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Begitu juga dengan makhluk laim seperti haiwan dan tumbuhan. Semuanya bersifat fakir kerana mereka adalah makhluk dan berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Firman Allah SWT di dalam Hadith Qudsi yang bermaksud:

"Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepada-nya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku. Hai manusia, kamu semua lapar kecuali mereka yang aku berikan makan. Oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku. Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripadaKu."

Sebaliknya Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (yang tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Fathir: 15)

Fakir adalah sifat setiap makhluk ciptaan Allah manakala kaya adalah sifat al-Khaliq (Pencipta).

 

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah:

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu wujud, Maha Esa dan tiada sesuatu menyamai Allah dari segi Rububiyyah. Jika mahu dibuat analogi kita lihat pada tulisan di papan hitam, maka sudah pasti ada yang menulisnya. Orang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.

Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya ialah makhluk ciptaan Allah. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah. Tidak ada orang yang berakal waras menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendiri.

Begitulah hebatnya ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.

Sebenarnya terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Rabb kita adalah Allah.

 

Fitrah mengakui Rububiyyah Allah:

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima akal. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah." (Az-Zukhruf: 87)

"Dan jika kamu bertanyakan mereka: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui." (Az-Zukhruf: 9)

Tidak sukar untuk membuktikan hakikat Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap insan menjadi buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah yang bersifat Maha Pencipta.

 

Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia:

Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki perasaan mahu mengakui Allah sebagai Rabb al-’Alamin. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi?" (Ibrahim: 10)

"Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya." (An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad) dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada rasa sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada pada saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar."
(Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan pelbagai.

 

Tauhid al-Uluhiyah:

Tauhid al-Uluhiyah bermaksud mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan rasul iaitu menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyah. Firman Allah SWT yang berikut membuktikan hal tersebut:

"Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasa-nya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku." (Al-Anbiya’: 25)

"Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (An-Nahl: 36)

"Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah (kerana) sesekali tiada tuhan melainkan Dia." (Al-Mu’minun: 23)

"Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud (nabi):
Hai kaumku, sembahlah Allah, sesekali tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya."
(Al-A’raf: 65)

 

Cetusan rasa cinta kepada Allah:

Menyembah atau beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba disifatkan sedang menyembah Allah apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada Allah, bertawakkal kepada Allah, berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Allah, berpaut pada ketentuan Allah, meminta atau berharap serta berserah hanya kepada Allah, mendekati Allah dengan cara sentiasa mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat Allah dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara yang diredhai Allah.

 

‘Ubudiyah semakin bertambah:

Pengertian ‘ubudiyah (pengabdian) kepada Allah akan bertambah mendalam, sebati dan hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya tentang hakikat bahawa manusia terlalu fakir di hadapan Allah, manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada Allah, manusia tidak boleh terlupus daripada kekuasaan dan pertolongan Allah walaupun sekelip mata.

Begitu juga dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah serta rasa rendah diri (khudu’) manusia kepada Allah bertambah teguh apabila semakin mantap makrifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, asma Allah al-husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah dan kehebatan nikmat kurniaan Allah.

Semakin terisi telaga hati manusia dengan pengertian ‘ubudiyah terhadap Allah maka semakin bebaslah dia daripada belenggu ‘ubudiyah kepada yang lain daripada Allah. Dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Itulah setinggi-tinggi darjat yang dapat dicapai oleh seseorang insan.

Allah telah menggambarkan di dalam al-Quran keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat ‘ubudiyah pada peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa ‘ubudiyah Rasulullah SAW pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berdakwah dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan." (An-Najm: 10)

"Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya." (Al-Jin: 19)

"Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa." (Al-Isra’: 1)

 

Tauhid al-Rububiyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyah:

Seperti yang telah dinyatakan, Tauhid al-Rububiyah ialah mengakui keesaan Allah sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyah.

Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari segi Rububiyah dengan segala pengertiannya, akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyah iaitu mengesakan Allah dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah sahaja yang layak disembah, makanala selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa bentuk sekalipun.

Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al-Rububiyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-Rububiyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan Tauhid al-Uluhiyah. Hakikat ini jelas dan tidak boleh dicuai atau diselindungkan lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apa pun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia." (Al-A’raf: 191)

"Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?" (An-Nahl: 17)

"Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah." (Al-Hajj: 73)

Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika seekor lalat mengambil atau merampas sesuatu, mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ternyata yang meminta bersifat lemah dan yang dipinta juga bersifat lemah. Oleh itu akal yang sejahtera tidak akan menerima penyembahan selain daripada Allah. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan daif belaka.

Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain daripada Allah tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun di langit. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit. Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, maka mereka akan rasa kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya." (Saba’: 22)

Al-Quran menceritakan bahawa orang-orang musyrikin sebenarnya mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyah Allah seperti Allah adalah Pemilik langit serta bumi dan Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, maka mereka sepatutnya beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?

"Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertakwa?

"Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?

"Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta." (Al-Mu’minun: 84-90)

 

Sains dan Aqidah Tauhid:

Penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana, atom, manusia, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai bidang industri telah berjaya menyingkap keindahan dan ketelitian ciptaan Allah. Penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru itu menguatkan lagi ajaran aqidah tauhid dan meneguhkan lagi keimanan orang-orang mukmin. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan kebesaran dan keluasan kudrat serta ilmu Allah. Sesungguhnya di sebalik kehalusan ciptaan dan keindahan sistem sejagat ini pasti ada Penciptanya Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.

 

Kedudukan Tauhid Dalam Islam:

Seluruh ajaran Islam adalah berasaskan tauhid. Seluruh kandungan al-Quran berlegar mengenai tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi perkhabaran tentang Allah, sifat Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentadbiran Allah.

Al-Quran membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah terhadap makhluk-Nya.

Al-Quran menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya. Semua ini untuk mengajak mereka menegakkan Tauhid al-Uluhiyah dan Tauhid al-Rububiyah.

Al-Quran menerangkan segala bentuk balasan seksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang zaman dahulu yang telah menderhakai Allah. Semua ini untuk menjelaskan bahawa manusia perlu kembali kepada dasar tauhid dan ibadah kepada Allah.

Oleh itu tauhid adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar segala sistem, perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam Islam bertujuan untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi tauhid di dalam hati orang-orang mukmin.