AGAMA

Mingguan Malaysia 07 April 2002

Minta bantuan jin untuk cari kebenaran

SOALAN: Saya mendapat kontrak membuka kantin di sebuah kilang di Larkin, Johor. Oleh kerana banyak urusan seperti pergi ke bank, ke pasar, menghantar anak ke sekolah, ada kalanya saya terpaksa meninggalkan kaunter dan tempat saya digantikan oleh tukang masak buat sementara. Lama-kelamaan saya menyedari hasil kutipan jualan harian ketika dia menjaga kaunter berkurangan.

Saya tidak menuduh tukang masak ini mengambil wang kerana saya tidak nampak. Akhirnya saya menemui seorang lelaki yang memberi khidmat rawatan tradisional dengan menurun.

Dia memberitahu bahawa tukang masak ini sudah lama mengambil duit, sekurang-kurangnya RM50 sehari. Katanya, kalau saya terus percayakan tukang masak, saya akan menghadapi masalah besar satu hari kelak.

Ketika menurun, lelaki ini membahasakan dirinya sebagai ``datuk'' dan memanggil saya dan juga orang yang datang menemuinya ``cucu''. Adakah saya termasuk dalam golongan orang yang menilik? - SALAMIAH Kasim, Johor Bahru.

JAWAPAN:

Allah subhanahu wa taala memberi puan murah rezeki dengan mendapat kontrak kantin di kilang yang ramai pekerja, tetapi sayangnya puan mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah yang memudaratkan diri dan juga iman puan.

Sepatutnya apabila puan menyedari pendapatan susut setiap kali tukang masak itu duduk di tempat juruwang, puan perlu memastikannya berada di dapur sahaja untuk memasak.

Saya yakin peluang untuknya menipu di dapur adalah sedikit berbanding ketika dia berada di meja juruwang. Di dapur dia hanya berupaya mencuri tulang, atau membawa balik sedikit bahan makanan. Kalau perlu, pekerja seperti ini yang terbukti pecah amanah, dibuang sahaja.

Tidak semua orang boleh betah melihat wang mengalir di tangan, biarpun yang menjaga wang itu anak sendiri atau adik-beradik. Walaupun demikian, perlu difahami tidak semua orang tidak amanah. Dalam keadaan seperti ini, puan perlu berada di meja juruwang.

Puan mencari jalan mudah untuk mengatasi masalah merosot kutipan dengan menemui orang yang berada dalam keadaan menurun. Orang yang menurun itu adalah orang yang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Otak atau pemikirannya ketika itu tidak berfungsi langsung atau berfungsi tetapi tidak normal seperti biasa. Pergerakan tubuhnya sama ada tangan, kaki, pergerakan badan dikuasai oleh satu objek atau makhluk yang meresap dalam tubuh, yang terdiri daripada jin-jin.

Jasad orang yang berkenaan ketika itu hanya merupakan sarung atau kelongsong yang tidak mempunyai ikhtiar atau daya bertindak. Mungkin ikhtiar dan daya bertindak dan berfikir itu wujud ketika itu tetapi terlalu sedikit, iaitu pada tahap sedar sahaja.

Atas kejadian seperti inilah maka orang yang berada dalam keadaan seperti ini bertukar suaranya ketika berhadapan dengan pesakit atau orang yang mempunyai masalah seperti yang berlaku pada puan, bertukar dialek yang digunakan, menggunakan bahasa yang tidak pernah digunakan ketika dalam keadaan normal, ataupun bersuara seperti orang tua, padahal orang yang berkenaan tidak tua sangat.

Hal demikian melihatkan bahawa makhluk yang meresap dalam tubuh itu terdiri daripada orang tua. Setelah sempurna tugasnya melakukan rawatan, atau menyelesaikan masalah pelanggan atau pesakitnya, orang yang terlibat akan bertanya apa yang dikatakan orang ``datuk'' ketika dia menurun kepada orang yang menemuinya, ataupun bertanya kepada orang yang membantunya ketika dia menurun.

Ini membuktikan bahawa orang yang berada dalam keadaan seperti ini atau yang dikenali sebagai ``menurun'' tidak menyedari apa yang berlaku atas dirinya ketika itu.

Apabila puan bertemu dengan orang yang seperti ini, puan pada hakikatnya meminta pertolongan dengan jin yang meresap dalam tubuh manusia untuk menilik punca merosotnya pendapatan kutipan kantin yang puan kendalikan. Makhluk jin ini telah berbicara dengan puan melalui perantaraan lidah manusia.

Ketika menurun, makhluk yang meresap dalam tubuh manusia itu boleh mengetahui hal-hal yang ghaib. Dalam peristiwa atau kejadian yang sedang berlaku, keadaan manusia itu seperti orang sakit yang sedang berada di rumah sakit atau terlantar di rumah.

Makhluk ini boleh mengetahui dengan mudah kerana pergerakan jin itu boleh berlaku begitu cepat. Ia boleh pergi melihat apa yang sedang berlaku ke atas orang-orang tertentu dan dengan cepat juga memberitahu kepada manusia melalui perantaraan lidah orang yang menurun tadi.

Untuk mengetahui hal-hal yang telah berlaku, makhluk ini akan bertanyakan kepada ``qarin'' pesakit atau orang yang terlibat.

Itulah di antara keistimewaan makhluk jin yang boleh mengetahui hal-hal yang ghaib, yang sedang dan telah berlaku, lalu diberitahu kepada orang tertentu melalui lidah manusia supaya dapat difahami oleh mereka yang berdialog dengannya.

Apa yang dikatakan oleh jin melalui lidah manusia itu akan menjadi lebih menarik dan meyakinkan apabila didapati apa yang dikatakan itu dirasakan benar. Puan menyedari tentang kemerosotan kutipan setelah ia berlaku beberapa lama kerana jumlah kehilangan itu sedikit, iaitu lebih kurang RM50 sahaja. Jumlah yang sedikit ini menyebabkan puan tidak berapa pasti sama ada ia berlaku kerana dicuri ataupun kerana pendapatan yang merosot. Biar dalam keadaan apa sekalipun, puan merasakan ada sesuatu yang tidak jujur dengan kutipan itu.

Apabila puan menemui individu yang menurun tadi, dan menyatakan wang yang diambil lebih kurang RM50, maka rasa buruk sangka yang selama ini terpendam dalam sanubari puan akan menjadi kukuh.

Perlu puan sedari bahawa apa yang dikatakan oleh orang seumpama itu ada yang benar, menyebabkan timbulnya keyakinan. Walaupun demikian berbanding dengan kebenaran, kebatilan dan penipuan itu lebih banyak di samping boleh melahirkan perbalahan atau permusuhan di antara manusia.

Manusia telah diadudumbakan oleh jin yang meresap dalam tubuh manusia, lalu berupaya berdialog melalui lidah manusia yang berada dalam keadaan menurun, atau tidak sedarkan diri tadi.

Apabila keadaan seperti ini berlaku, dalam keadaan apa sekalipun akan timbul rasa buruk sangka di antara puan dengan tukang masak yang disuruh menjaga kaunter wang tadi.

Dalam sebuah hadis, riwayat oleh Muslim dalam sahihnya, hadis daripada isteri nabi daripada nabi s.a.w. baginda ada bersabda: Barang siapa datang menemui tukang tilik (arraf), lalu bertanyakan sesuatu, lalu dia mempercayainya, tidak diterima sembahyang selama empat puluh hari.

Muhamad bin Abdul Wahab dalam kibatnya bertajuk Majmu'ah at-Tauhid menyatakan isteri nabi yang dimaksudkan ialah sayyidatina Hafsah. Yang dimaksudkan dengan tukang tilik (arraf), dalam hadis ini ialah al-Kahin, iaitu manusia yang mengkhabar atau memberitahu perkara-perkara ghaib yang akan datang. Menurut pendapat lain, mereka itu memberitahu apa yang tersirat dalam hati.

Dalam hadis ini dijelaskan bahawa arraf atau tukang tilik itu adalah umum tidak kira sama ada ia memberitahu perkara ghaib yang sedang berlaku, yang telah ataupun yang akan berlaku.

Menurut Imam Nawawi, orang yang menemui tukang tilik sembahyang yang dilakukannya tidak mendapat ganjaran atau pahala selama 40 hari, biarpun tanggungjawabnya atau taklif yang mesti dilakukan terlaksana. Sesetengah ulama menyatakan orang yang seperti ini tidak perlu mengulangi sembahyangnya semula.

Amalan merujuk diri sebagai ``datuk'' atau ``tok'' sahaja dan merujuk kepada merka yang datang menemui orang yang seperti ini sebagai ``cucu'' atau ``cu'' sahaja merupakan amalan biasa. Allah s.w.t menjadikan tiga makhluk utama dalam dunia ini, iaitu malaikat, jin dan manusia. Makhluk jin ini ada yang Islam dan ada yang kafir.

Adalah di luar keupayaan manusia untuk menentukan sama ada jin itu Islam atau kafir. Ada jin yang Islam, tetapi perbuatannya jahat tidak ubah seperti jin yang kafir juga. Hal demikian sama berlaku dalam kalangan masyarakat manusia, yang mendakwa dirinya Islam, tetapi kelakuannya berlawanan dengan ajaran syariah.

Kerana itu andainya makhluk jin yang meresap dalam diri manusia yang menurun itu terdiri daripada jin kafir, iblis atau syaitan, lalu dia berdialog dengan puan, ini bererti puan sebenarnya telah meminta pertolongan kepada makhluk ini untuk menyelesaikan masalah kemerosotan kutipan di kantin, pada hal puan sepatutnya merujuk dan kembali kepada Allah kerana puan telah bersaksi mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah.

Apabila puan memanggilnya sebagai datuk, atau tok sahaja, puan sebenarnya sama ada sedar atau tidak sedar telah memuliakan jin tadi dengan memanggilnya menggunakan nama yang begitu besar lagi mulia pada hal makhluk ini adalah musuh Allah. Allah s.w.t menjelaskan (Fatir: 6): Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh, kerana itu dalam keadaan apa sekalipun kamu hendaklah anggapnya sebagai musuh.

Budaya seumpama ini merupakan satu kesilapan yang diwarisi turun-menurun yang bertentangan dengan ajaran Islam. Orang Melayu tradisional juga sering menyebut nama ``datuk'' ketika hendak masuk hutan dan ketika buang air kecil di tempat-tempat tertentu. Ini satu penghormatan yang tidak disedari yang dilakukan oleh manusia yang lebih mulia kepada makhluk musuh Allah.

Selain daripada merujuk dirinya sebagai ``datuk'' makhluk ini adakalanya didakwa sebagai Puteri Gunung Ledang, wali-wali Allah, rijalul ghaib, embah, wali Songo, roh Syeikh Abdul Kadir Jailani dan sebagainya. Hal demikian akan lebih menimbulkan kecelaruan dan boleh menjejaskan iman seseorang.

 

agama | muka depan | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi