ANWAR DIPECAT

Pukul  5.30 petang hari Rabu 2 September 1998 menamatkan spesikulasi lebih 2 tahun tentang kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar dipecat dari kedua-dua jawatan tersebut dan semua jawatan kerajaan yang berkaitan. Sehingga rencana ini ditulis, kedudukan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO masih belum diputuskan oleh Majlis Tertinggi. Kenyataan Jabatan Perdana Menteri tidak menyebut langsung sebab-sebab perlucutan kedua-dua jawatan tersebut.

Sejak krisis keretakan hubungan Mahathir-Anwar menjadi modal para pencacai politik, ramai yang menelah bahawa riwayat Anwar sebagai TPM di bawah rejim Mahathir tidak akan kekal lama. Selepas meletusnya isu kronisme dan nepotisme dalam Perhimpunan Agung UMNO 1998 serta penyebaran buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", suara-suara sumbang gerombolan hasad dan dengki mengenai keretakan hubungan Mahathir-Anwar semakin kuat kedengaran. Mahathir dikatakan tersinggung dan akan membalas dendam. Zahid menjadi mangsa pertama. Anwar perlu dihukum. Desas desus mengenai perletakan jawatan Anwar kuat bertiup. Akhbar-akhbar tertentu (Utusan Malaysia & Berita Harian) menjadi peramal menjaja khabar angin ini ke serata pelosok tanah air. Anwar berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan. Mengenai Anwar sebagai seorang yang kuat berpegang kepada prinsip, Mahathir tentunya tidak akan menunggu Anwar untuk merubah pendiriannya. Langkah terakhirnya - pecat Anwar, tamatkan karier politiknya.

Inilah yang terjadi pada petang Rabu itu, Mahathir membuat move dan menamatkan spekulasi. Ramai penyokong Anwar menangis. Ramai yang bergegas ke kediaman rasmi berrsebelahan Sri Perdana itu - termasuk pemimpin kanan UMNO dan mahasiswa. Sembahyang hajat dan doa mengiringi surat perlucutan jawatan. Tidak pernah terbayang di fikiran ramai orang bahawa Dr. Mahathir akan mengambil tindakan ini. Kedua-dua TPM sebelum Anwar meletak jawatan dengan tidak payah dipecat. Ini kali pertama Dr. Mahathir memecat seorang ahli jemaah menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi ianya berlaku ketika negara sedang dalam mood Hari Kebangsaan dan ceria menyambut Sukan Komanwel. Tetapi itulah Dr. Mahathir. Seorang politikus yang sukar ditelah.

Rakyat bertanya, kenapa Anwar dipecat? Soalan ini hanya Dr. Mahathir yang boleh menjawabnya. Jangan terkejut jika nanti seribu satu sebab (dalil) yang keluar. Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri boleh melakukan apa sahaja. Walau apapun, perlu diingat. Meskipun perlantikan dan pemecatan seorang ahli Jemaah Menteri adalah kuasa prerogative perdana Menteri, Dr. Mahathir perlu berlaku adil. Sekurang-kurangnya, tinjau-tinjaulah suara rakyat. Ini kerana, rakyat yang memilih pemimpin. Undi di tangan rakyat. Jangan mereka dipersendakan. Janagan mereka dilupakan ketika mengambil sebarang keputusan penting. Ini soal masa depan negara. Soal masa depan negara jangan diletakkan di dalam tangan sendiri.

Anwar kelihatan tenang ketika berucap di hadapan ratusan penyokong di kediaman rasmi beliau. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang keresahan. Malah, ucapannya masih seperti biasa - bertenaga lagak seorang pejuang lewat zaman mudanya. Nadanya masih sama. Teruskan perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Perangi rasuah, fitnah, kebobrokan politik dan kebatilan. Penyokong-penyokong diingatkan supaya bertenang, bertindak secara hikmah dan hormat pada undang-undang. Utamakan ketinggian akhlak dan kemurniaan moral dalam perjuangan.

Walau apapun, Anwar akan melangkah pergi. Tiada siapa pun yang boleh menghalang. Anwar akan digerhanakan dalam persada politik tanahair. Wajah beliau tidak lagi akan terpampang di dada-dada akhbar. Siapa pun Anwar, Apa pun yang diperkatakan tentang beliau, yang pentign ialah perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Perjuangan ini perlu disambut. Generasi muda perlu terus mempertahankan kejernihan idealisme. Jangan sekali-kali berganjak dari landasan penting ini. Jangan gadaikan prinsip perjuangan dengan kemewahan duniawi. Jangan sekali-kali berasa tergugat dengan ugutan gerombolan hasad dan dengki. Ingatlah, walau bagaimana hebat sekalipun perencanaan mereka, Perencanaan Allah sesungguhnya lebih utama.

Wamakaru wamakarallahu wallahu khairul makirin.