Make your own free website on Tripod.com

Bab 5

Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor Menerima British

 

 

Objektif Pembelajaran

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini, anda seharusnya dapat:

 

1. Menjelaskan mengapa British meluaskan kuasanya ke Kedah, Perlis,

2. Kelantan dan Johor pada kurun ke-19.

3. Menjelaskan bagaimana British meluaskan kuasanya ke Kedah,

4. Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor pada kurun ke-19.

5. Merumuskan bagaimanakah Johor dapat mengekalkan kemerdekaannya daripada penjajah British sehingga tahun 1914.

6. Merumuskan kesan perluasan kuasa British di negeri-negeri Melayu.

7. Mengambil iktibar daripada campur tangan British dalam urusan negeri-negeri Melayu.

 

Ringkasan

 

Negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ada kaitan dari segi sejarah dengan Negara Siam. Negeri-negeri ini pernah dikatakan menghantar Bunga Emas kepada negeri Siam, walaupun pengaruh Siam tidak begitu kuat. Setelah British campur tangan di negeri-negeri Melayu, ada pedagang-pedagang yang berminat terhadap

negeri-negeri Melayu Utara.

Pada mulanya pihak British ingin mengekalkan negeri Siam sebagai negeri perantaraan dengan Burma, dan kuasa-kuasa Barat lain seperti Perancis. British telah mengiktirafkan pengaruh Siam ke atas negeri-negeri Melayu Utara. Sungguhpun ini tidak disukai oleh negeri-negeri Melayu tersebut, British telah menandatangani beberapa perjanjian sulit dengan Siam bagi menentukan nasib dan masa depan negeri-negeri Melayu berkenaan kecuali Johor. Sultan-sultan negeri-negeri Melayu berkenaan tidak bersetuju dengan syarat-syarat Perjanjian Bangkok tahun 1909. Namun, British telah melantik penasihatnya di setiap negeri terlibat.

Sementara itu Johor masih bebas daripada naungan British sehingga tahun 1914 apabila Johor juga terpaksa menerima penasihat Britsh. Keengganan sultan-sultan negeri berkenaan menyertai Persekutan yang ditubuhkan pada tahun 1896, menyebabkan wujudnya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Hubungan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu

dengan British dan Siam. Menjelang akhir kurun ke-19, terdapat dua jenis pentadbiran British di Tanah Melayu iaitu:

 

 

1.     Negeri-negeri Selat ( P.Pinang, Singapura dan Melaka)

2.     Negeri-negeri Melayu Bersekutu ( Perak, Selangor, Negeri Sembilandan Pahang)

 

Negeri-negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pula dikaitkan dengan Siam yang menganggap negeri-negeri itu di bawah kekuasaannya. Bagaimanapun Siam tidak menguasai negeri-negeri itu. Malah negeri-negeri itu beranggapan "Hubungan itu adalah semata-mata satu pengakuan mengikut adat mengenai ketuanan luar negeri."

Negeri-negeri Melayu Utara menghantar Bunga Emas setiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai tanda ketuanan. Bunga emas merupakan pohon yang diperbuat daripada emas dan batangnya daripada perak.Bagaimanapun nilainya tidak tetap bergantung kepada kemakmuran setiap negeri. Kedah misalnya pernah menghantar Bunga Emas bernilai $5000.00 dan Bunga Emas Kelantan pernah bernilai $11 000.00. Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang berjaya mengelakkan campur tangan kuasa asing dan diperintah oleh Sultan yang merdeka.

 

Hubungan Siam dengan Perlis

 

Sebelum 1842, Perlis adalah sebahagian daripada Kedah. Pada tahun 1842, Siam mengembalikan takhta kerajaan Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Siam memisahkan Perlis daripada Kedah kerana ingin menjadikan Perlis sebagai jajahan takluknya. Raja Siam , Raja Rama III mengiktirafkan Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis pertama. Baginda ditabalkan di Bangkok dengan gelaran Phya Songkeram Rammu Wisit Wilis Asmara Phya Perlis

 

Hubungan Siam dengan Kelantan

Pengasas kerabat diraja Kelantan ialah Long Yunus bin Long Sulaiman. Pada tahun 1800, perang saudara berlaku antara Tengku Muhammad (menantu sultan) dan Long Muhammad (putera Long Yunus). Dalam pergolakan tersebut, Tengku Muhammad telah tewas dan berundur ke Terengganu. Pembesar Kelantan telah menabalkan Long Muhammad sebagai sultan dengan gelaran Sultan Muhammad I.  

Walau bagaimanapun baginda diancam oleh Terengganu dan demi menjaga keselamatannya, Sultan Muhammad I mendapatkan bantuan daripada Siam. Pada tahun 1832, satu perjanjian persahabatan dimeterai antara Kelantan dan Siam.

 

Hubungan Siam dengan Kedah

Semasa Sultan Ahmad Tajuddin memerintah Kedah, baginda diarahkan oleh Siam untuk menghantar Bunga Emas kepadanya. Siam bercita-cita untuk meluaskan kuasanya ke negeri-negeri Melayu yang lain. Pada tahun1818, Sultan Ahmad Tajuddin telah menyerang Perak atas perintah Siam kerana Perak enggan menghantar Bunga Emas sebagai ufti.

Tindakan Sultan Ahmad Tajuddin tidak membekalkan askar dan senjata ketika Siam menentang Burma menimbulkan kemarahan Siam. Baginda enggan mengadap Raja Siam walaupun diperintahkan berbuat demikian, akibatnya Raja Ligor diperintahkan menyerang Kedah. Namun, Sultan Ahmad Tajuddin melarikan diri ke Pulau Pinang dan baginda cuba mendapatkan bantuan British tetapi gagal.

 

Hubungan Siam dengan Terengganu

 

Hubungan Siam-Terengganu bermula apabila Siam meminta bantuan ketenteraan daripada Terengganu untuk menyerang Ligor pada tahun 1781. Sultan Mansyur Syah dihadiahkan sebahagian harta rampasan daripada Ligor sebagai balasan.

 Pada tahun 1871, Sultan Mansyur menghantar Bunga Emas kepada Raja Siam untuk mengeratkan persahabatan antara kedua-dua buah negeri. Bagaimanapun Siam menggangap tindakan Sultan Mansyur Syah itu sebagai meminta naungan Siam. Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, hubungan Terengganu-Siam adalah baik. Baginda telah berusaha untuk mengekalkan kebebasan dan kedaulatan Terengganu . Namun Siam tetap mendakwa berkuasa ke atas Terengganu.

 

Hubungan British dengan Siam

 

Perjanjian Burney 1826

Hubungan awal British dengan Siam bermula dengan utusan Crawford 1822 yang membawa kepada termeterinya Perjanjian Burney 1826. Selepas itu pegawai-pegawai British di Negeri-negeri Selat mendesak kerajaan British meluaskan pengaruh ke negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Pada ketika itu terdapat beberapa kuasa asing yang sedang berusaha meluaskan pengaruh di rantau ini. Kuasa-kuasa itu adalah Peranchis yang membina sebuah terusan di Segenting Kra, Russia menjadikan Ujong Salang pangkalan laut, Jerman menguasai Pulau Langkawi dan Amerika

Syarikat ingin memperluaskan kuasanya di Terengganu.

Untuk memastikan tiada perluasan pengaruh kuasa Barat lain di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu maka perjanjian Sulit British-Siam 1897 ditandatangani. Antara isi kandungan Perjanjian Sulit itu ialah:

 

1. Siam tidak boleh menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada kuasa lain.

2. British mengiktirafkan negeri-negeri ini di bawah kawalan Siam.

3. Siam berjanji tidak akan menyerahkan sebarang hak perdagangan dan wilayah kepada kuasa asing tanpa persetujuan British.

4. British akan membantu Siam jika diserang musuh.

Perjanjian Sulit-Siam 1897

Perjanjian Sulit British-Siam 1897 ini telah berjaya menghalang perluasan kuasa Barat yang lain di Tanah Melayu dan Siam.Untuk mengukuhkan lagi syarat perjanjian 1897 ini, satu perjanjian sulit yang lain ditandatangani iaitu perjanjian sempadan British-Siam 1899. Perjanjian ini menetapkan sempadan antara Reman ( jajahan Siam) dengan negeri Perak, Kelantan,Terengganu dan Pahang.

Melalui perjanjian ini, British dengan tegas berjaya menghalang perluasan pengaruh kuasa Barat lain di Siam dan Negeri negeri Melayu Utara. Melalui perjanjian tahun 1899 ini juga, Siam menyerahkan semua bahagian Perlis dan Setul kepada Sultan Kedah.

 

Keadaan Negeri-negeri Melayu

Sehingga tahun 1874, British mengamalkan dasar tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Namun ketetapan ini tidak diikutti oleh pegawai-pegawai British. Hal ini terjadi kerana mereka ingin menguasai kekayaan ekonomi negeri-negeri Melayu. Di samping itu, keadaan ini terjadi kerana kebimbangan terhadap kuasa-kuasa Barat yang lain akan mendahului mereka.

Penguasaan Siam ke atas negeri-negeri yang asalnya merdeka adalah disebabkan beberapa keadaan dan pergolakan yang berlaku dalam negeri-negeri itu. Inggeris yang berminat pada negeri-negeri di bawah kekuasaan Siam itu telah menjalankan beberapa strategi secara halus

untuk mencapai hasrat mereka melalui pengaruh Siam.

 

Keadaan di Kedah

 

Campur tangan Inggeris di Kedah bermula pada tahun 1772 apabila utusan

Edward Monkton dihantar ke Kedah untuk merudingkan perlindungan British. Rundingan ini gagal kerana tiada jaminan ketenteraan kepada Kedah. Ketibaan Francis Light ke Pulau Pinang pada tahun 1786 membawa lembaran baru dalam hubungan Kedah-British.

Janji-janji kosong Light dan keadaan yang terdesak menyebabkan Sultan Abdullah bersetuju menyerahkan Pulau Pinang kepada British pada 11 Ogos 1786. Melalui perjanjian damai, persahabatan dan perikatan, Sultan Abdullah terpaksa mengiktirafkan pendudukan British di Pulau Pinang setelah cubaan baginda untuk mendapatkan kembali gagal. Pada tahun 1800, Seberang Prai juga diambil oleh Kompeni Hindia Timur Inggeris (KHTI)

Pada kurun ke-19, Kedah merupakan negeri naungan Siam. Kedah mengambil kesempatan membebaskan diri apabila Siam berperang dengan jirannya Burma. Siam kembali kuat semula di bawah Dinasti Chakri dan mengarahkan Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Kedah ketika itu menghantar Bunga Emas kepada Siam serta bantuan senjata dan tentera untuk melawan Burma

Pada tahun 1816, Siam telah mengarahkan Kedah menyerang Perak, tetapi Sultan Ahmad Tajuddin enggan.Bagaimanapun pada tahun 1818, Kedah terpaksa menyerang Perak kerana ancaman Siam. Sultan Perak diturunkan takhta dan digantikan oleh Raja Muda sebagai wizurai Kedah. Pada tahun 1819, Perak terpaksa menghantar Bunga Emas ke Siam. Pada tahun 1821, Sultan Ahmad Tajuddin diarahkan oleh Siam untuk pergi ke Bangkok menjawab beberapa tuduhan iaitu:

tidak berpuashati dengan hal ehwal Perak

permintaan bekalan alat-alat tidak dipenuhi

terdapat uru-ura Kedah berpakat dengan Burma untuk menyerang

Siam

 

Sultan Ahmad Tajuddin cuba mendapatkan bantuan ketenteraan daripada KHTI untuk membantu baginda tetapi gagal. Ini kerana KHTI takut Siam akan berpakat dengan Burma menyerang KHTI di India. Tambahan lagi hubungan persahabatan dengan Siam lebih penting. Walau bagaimanapun pada tahun 1822, British telah menghantar utusan John Crawford ke Bangkok yang bertujuan untuk memperbaiki hubungan dagang British di Bangkok.

Di samping itu, perutusan itu bertujuan untuk mendapatkan jaminan bahawa hasil-hasil dari Kedah dibenarkan masuk ke Pulau Pinang. Dalam pertemuan itu, Inggeris juga cuba berunding tentang pengembalian takhta Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin, tetapi pihak Siam tidak membenarkan.

Walaupun Crawford mendapatkan persetujuan Siam, tetapi apabila menyedari kelemahan tentera Siam menyebabkan British menghantar utusan Henry Burney ke Ligor pada tahun 1826 untuk mendapatkan pengesahan perjanjian daripada Raja Siam. Antara kandungan dalam Perjanjian Burney adalah:

 

British mengiktirafkan negeri Kedah sebagai hak Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin tidak dibenarkan tinggal di Kedah, Pulau

Pinang, Seberang Prai, Perak, Selangor dan Burma.

Siam tidak boleh menghalang dan mengganggu perdagangan British

di Kelantan dan Terengganu.

British tidak akan menguasai Kedah, menyerang atau

mengangguinya. British tidak akan membenarkan Sultan Kedah dan

pengikut baginda menyerang, mengganggu atau merosakkan Kedah

atau tanah jajahan Siam.

 

Perjanjian Low

 

Perjanjian Burney 1826 tidak menyentuh negeri Perak. Oleh itu apabila

terdapat ura-ura Siam akan menyerang Perak, British telah menghantar James Low untuk mengadakan perjanjian dengan Sultan Perak. Pada 18 Oktober 1826, Perjanjian Low ditandatangani antara James Low dengan Sultan Perak dan KHTI akan memberi bantuan ketenteraan kepada Perak jika diserang. Namun syarat ini dipenuhi sekiranya Perak tidak membuat hubungan atau pakatan dengan Siam, Ligor, Selangor atau negeri-negeri Melayu yang lain.

Perjanjian Anderson 1827 pula ditandatangani antara John Anderson dengan Selangor

dan Sungai Bernam menjadi sempadan di antara Perak dan Selangor. Sementara itu Sultan Ahmad Tajuddin terus berusaha memulihkan kekuasaan baginda di Kedah. Menurut Perjanjian Burney 1826, Sultan Ahmad Tajuddin tidak dibenarkan menetap di Kedah, P.Pinang, Seberang Prai, Perak, Selangor dan Burma. Pada tahun 1831 baginda menetap di Melaka.

 

Baginda terus berusaha mendapatkan kembali takhta kerajaan Kedah daripada Siam. Pada bulan April 1831, Sultan Ahmad Tajuddin menyerang Kedah dan berjaya menghalau Siam, tetapi pada bulan Oktober 1831 Siam kembali ke Kedah

Cubaan pada tahun 1837 juga gagal kerana dikalahkan oleh KHTI. Sultan Ahmad Tajuddin menghantar surat bantahan kepada Residen Konsular di Pulau Pinang. Pada tahun 1838, baginda berjaya menghalau Siam dari Kedah, sehinggalah pada tahun 1839 apabila kapal-kapal perang British menyekat Kedah dan Siam kembali berkuasa. Setelah menyedari bahawa usaha-usaha ketenteraan baginda tidak akan berhasil, Sultan Ahmad Tajuddin pun memulakan usaha-usaha diplomasi dan perundingan. Pada tahun 1841, Sultan Ahmad Tajuddin menghantar putera sulung baginda iaitu Tengku Anom (Tengku Daei) ke Bangkok untuk berunding.

Maka pada tahun 1842, Raja Siam mengembalikan takhta kerajaan Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin kerana menyedari pemberontakan hanya akan memusnahkan kemakmuran Kedah. Bagaimanapun dua syarat dikenakan kepada Kedah iaitu Kedah mesti kekal sebagai jajahan takluk Siam dan mesti menghantar Bunga Emas tiga tahun sekali. Syarat kedua pula menggariskan bahawa wilayah-wilayah bebas seperti Kubang Pasu dan Setul dipulangkan kepada Kedah. Perlis pula dipisahkan daripada Kedah dan menjadi sebuah negeri yang merdeka.

 

Keadaan di Kelantan

 

Kesultanan Kelantan telah diasaskan oleh Long Yunus, seorang Bugis dari Patani. Selepas kemangkatan baginda pada tahun 1800 telah berlaku perang saudara antara menantu baginda (Tengku Muhammad dari Terengganu) dengan puteranya (Long Muhammad) kerana berebut takhta negeri. Long Muhammad yang disokong oleh pembesar negeri berjaya mengusir Tengku Muhammad dan ditabalkan menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan

Muhammad I.

Pada tahun 1832, Sultan Muhammad I menghantar utusan ke Siam untuk memohon perlindungan jika diserang oleh kuasa luar, terutamanya dari Terengganu. Satu persetiaan dibuat antara Siam dan Kelantan. Siam akan membantu Kelantan jika diserang oleh musuh terutamanya Terengganu. Sebagai balasan, Sultan Muhammad I berjanji akan menghantar Bunga Emas ke Negara Siam setiap tiga tahun sekali. Selain daripada itu, pihak Siam juga akan dirujuk apabila berlaku perang saudara atau perebutan takhta. Selepas kemangkatan Sultan Muhammad I, berlaku lagi perang saudara di Kelantan pada tahun 1835 - 1837 antara Long Senik Mulut Merah dan Long Jenal. Kemenangan Long Senik mengalahkan Long Jenal disampaikan kepada Siam. Malah pembesar Siam dijemput menghadiri pertabalan sultan. Long Senik Mulut Merah ditabalkan menjadi Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II (1837 - 1886). Hubungan ini menyebabkan Siam menganggap Kelantan adalah di bawah kuasanya. Sebaliknya Kelantan pula menganggap ini sebagai tanda persahabatan dan suatu penghormatan.

 

Keadaan di Terengganu

 

Kerajaan Terengganu hari ini diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin I dari Johor pada 1726. Hubungan Terengganu dengan Siam  mula terjalin semasa pemerintahan Sultan Mansur apabila Siam meminta bantuan Terengganu untuk menyerang Ligor. Bagaimanapun sepanjang abad ke-19, Terengganu tidak pernah mengiktirafkan mana-mana kuasa luar sebagai penaungnya. Sungguhpun begitu, perang saudara kerana perebutan takhta berlaku pada tahun 1831 antara Tengku Mansur II dan anak saudaranya Tengku Umar. Kedua-dua pihak tidak merujuk kepada Siam .

Begitu juga selepas kemangkatan Sultan Mansur II pada tahun 1836. Perang saudara meletus antara pengikut Tengku Umar dan Sultan Muhammad (putera Sultan Mansur II) yang berakhir dengan kemenangan kepada Tengku Umar yang seterusnya dilantik sebagai sultan dengan gelaran Sultan Umar. 

Terengganu pula terus menikmati kemakmuran perdagangan dalam abad ke-19. Menurut catatan Kisah Pelayaran Abdullah, Terengganu menghasilkan kain sutera, sarong, seluar, baju ikat pinggang  keris, pedang, lembing, tombak, gula, nyior, minyak sapi, rotan dan tamar.

Sultan Zainal Abidin III (1881-1919) berjaya menjalinkan hubungan baik dengan Siam. Baginda juga seorang yang alim dan memerintah negeri dengan cekap berlandaskan hukum Islam. Negeri Terengganu dibahagikan kepada 13 buah daerah di bawah seorang ketua pentadbiran. Baginda juga memajukan perdagangan terutama dengan Singapura

 

Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu Menerima Penasihat British

 

Perjanjian Bangkok tidak mendapat restu semua sultan negeri yang terlibat. Tindakan  Siam menyerahkan negeri-negeri tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemerintah.

 

Penasihat British di Kelantan

 

Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British melantik J.S.Mason sebagai penasihat British di Kelantan. Sultan Muhammad IV bukan sahaja tidak bersetuju dengan Perjanjian Bangkok namun baginda enggan juga menerima J.S Mason.  Ini kerana perjanjian itu dibuat tanpa kehadiran dan persetujuannya. Oleh itu, satu rundingan diadakan antara Sultan Kelantan dan pihak British. Berikutan dengan itu, Perjanjian British-Kelantan ditandatangani pada tahun 1910. Menurut perjanjian ini, Kelantan akan menerima naungan British.  J.S.Mason dilantik sebagai penasihat British di Kelantan. Tugas beliau ialah memberi nasihat dalam bidang pentadbiran kecuali dalam bidang agama dan adat istiadat negeri Kelantan.

Penasihat British di Terengganu

Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1919) dari Terengganu juga tidak bersetuju dengan Perjanjian Bangkok kerana beranggapan Terengganu adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat. Baginda juga enggan menerima surat penyerahan kuasa oleh W.H Colay dan wakil Siam, Phya Raj Phinitachai. Pihak British terus mengadakan rundingan dengan Sultan Zainal Abidin III.

Akhirnya pihak British berjaya memujuk Sultan Zainal Abidin III menandatangani Perjanjian Sultan Zainal Abidin III- British pada tahun 1910 yang membawa kepada perlantikan W.L.Conlay sebagai wakil British.  J.L Humpreys dilantik dengan rasminya sebagai penasihat British di Terengganu pada tahun 1919. Beliau bertugas memberi nasihat dan mengemukakan cadangan dalam bidang pentadbiran

Dalam usaha baginda untuk memelihara kedudukan dan kedaulatan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah menggubal Undang-undang Tubuh Negeri 1911(Perlembagaan Terengganu). Peluang British untuk mengukuhkan kedudukan di Terengganu terbuka dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1919.

Pengganti baginda, Sultan Muhammad Syah II terpaksa tunduk kepada tekanan British dan menandatangani Perjanjian British-Sultan Muhammad Syah II tahun 1919. Antara isi kandungan perjanjian tersebut adalah penasihat British dilantik untuk memberi nasihat kepada Sultan Terengganu mengenai pentadbiran negeri kecuali hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat. Selain itu, kerajaan Terengganu akan menanggung perbelanjaan perjawatan penasihat British.  Pungutan dan pembayaran hasil negeri dilaksanakan mengikut nasihat penasihat British.

 

Penasihat British di Kedah

 

Bertempat di Alor Star pada 15 Julai 1909, penyerahan Kedah kepada British dilakukan oleh Walter James Franklin bagi pihak Siam dan British diwakili oleh William George Maxwell. Baginda Sultan Abdul Hamid Halim Syah membantah penyerahan itu kerana mencabar kedaulatan Kedah.

Namun begitu British tetap menghantar George Maxwell sebagai penasihat British. Kehadiran Maxwell tidak disenangi oleh kerabat diraja Kedah dan pegawai kerajaan Kedah. Akibatnya berlaku pergeseran mengenai bidang kuasa penasihat antara penasihat Tunku Mahmud ibnu Sultan Ahmad Tajuddin iaitu seorang  kerabat diraja Kedah dan Ketua Majlis Mesyuarat Negeri.

Pergeseran ini berlanjutan sehinggalah satu perjanjian ditandatangani pada tahun 1923 yang menentukan bidang kuasa Penasihat British iaitu penasihat dalam semua aspek pentadbiran kecuali hal agama dan adat istiadat Melayu. Melalui perjanjian ini, W.Peel dilantik sebagai Penasihat British di Kedah.

 

Penasihat British di Perlis

 

Raja Perlis iaitu Raja Syed Alwi Jamalulail juga membantah penyerahan Perlis kepada British kerana dibuat tanpa persetujuan baginda. Baginda hanya menerima perlantikan seorang Penasihat Kewangan British, iaitu H.A Duke pada tahun 1905. Duke bertugas menasihati baginda dalam hal-hal kewangan kerajaan Perlis. Pada 1909, Siam menyerahkan Perlis kepada  British.

Bagaimanapun British tetap melantik Meadows Frost sebagai  penasihat British yang pertama di Perlis.  Frost membantu Raja Perlis membentuk sebuah Majlis Negeri, membangunkan ekonomi, memajukan pelajaran dan sistem pengangkutan dalam negeri.  Jalan kereta api diperbaiki dan dipanjangkan dari Alor Star ke Padang Besar di sempadan Siam pada 1918.

Pada tahun 1930, perjanjian ini menentukan bidang kuasa Penasihat British dan perlantikan L.A.Allen sebagai Penasihat British yang baru.

 

Johor Menerima Penasihat British dan Pemodenan Johor

 

Johor merupakan negeri terakhir yang dikuasai oleh Inggeris melalui perlantikan seorang penasihat British pada tahun 1914. Kerajaan Johor berjaya mengekalkan kemerdekaannya kerana bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan pemerintahnya iaitu Temenggung Ibrahin (1825 -1862), Sultan Abu Bakar (1862-1895) dan Sultan Ibrahim (1895-1959).

Pemerintah Johor dapat memelihara kemerdekaan dengan melaksanakan dasar pemodenan dalam bidang politik, sosial dan ekonomi.Pemodenan ini dibantu oleh pegawai kanan kerajaan seperti:

 

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad

Dato' Abdul Rahman bin Andak

Dato' Muhammad Salleh bin Perang

Dato' Muhammad Ibrahim bin Munshi

 

Kedudukan Johor yang berhampiran dengan Singapura memudahkan pemerintah Johor mempelajari selok-belok pentadbiran British. Sultan-sultan Johor menjalankan beberapa dasar luar negeri seperti menjalinkan persahabatan dengan British bagi menjamin kedaulatan Johor.

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad. Sultan Abu Bakar melantik Dato' Jaafar bin Haji Muhammad sebagai Setiausaha Kerajaan Johor yang pertama pada tahun 1868. Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang pertama dari tahun 1882 - 1919.

Antara perubahan yang dilakukan oleh Dato' Jaafar ialah mewajibkan pegawai British memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Arahan juga dikeluarkan supaya bendera Union Jack mestilah dikibarkan lebih rendah daripada bendera negeri Johor. Selain daripada itu, beliau juga menetapkan supaya surat rasmi kerajaan mestilah ditulis dalam bahasa Melayu. Beliau meninggal dunia pada tahun 1919.

 

Dato' Abdul Rahman bin Andak

 

Dato' Abdul Rahman bin Andak mendapat pendidikan di England. Abdul Rahman pulang ke Johor pada tahun 1880 dan bertugas sebagai Setiausaha dan Penterjemah di Sekretariat Negeri hingga tahun 1883.
Pada tahun 1885, beliau dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kerajaan Johor. Selepas itu, Sultan Abu Bakar  melantik beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1893 hingga 1909.

Sebagai  Setiausaha Sulit dan penasihat peribadi kepada Sultan Abu Bakar, beliau memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri Johor terutama dalam hal ehwal hubungan luar negeri. Dato' Abdul Rahman berjaya menghalang British menjajah Johor dengan mengadakan beberapa dasar untuk menjamin kedaulatan Johor. Beliau juga memastikan supaya persahabatan terus  terjalin dengan pegawai British agar British tidak berpeluang menguasai Johor. Beliau telah  dianugerahkan gelaran Dato' Seri Amar Diraja. Beliau meninggal dunia pada tahun 1930.

 

Dato' Muhammad Salleh bin Perang

 

Dato' Muhammad Salleh bin Perang pernah memegang jawatan seperti Pesuruhjaya Polis Negeri Johor, Ketua Jabatan Tanah Negeri Johor dan Ketua Jabatan Ukur antara tahun 1856 hingga 1912. Sebagai seorang pentadbir dan jurukur, beliau membuat perancangan pembangunan untuk negeri Johor.
Beliau telah mereka pelan bandar  Muar (bandar Maharani) yang telah diakui oleh British. Pada tahun 1907, beliau berjaya melukis peta negeri Johor bagi memudahkan kerajaan memajukan kegiatan pertanian serta merancang pembangunan bandar serta sistem perhubungan. Beliau dianugerahkan gelaran Dato' Bentara Luar oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1898.

 

Dato' Muhammad Ibrahim bin Munshi

 
Dato' Muhammad Ibrahim ialah anak bongsu kepada Munshi Abdullah dan mendapat pendidikan Inggeris. Beliau ialah pegawai kanan kerajaan Johor yang bertanggungjawab terhadap perkembangan pendidikan moden di Johor.

Pada tahun 1883, Jabatan Pendidikan Johor telah ditubuhkan bagi meningkatkan lagi perkembangan pendidikan. Dato' Muhammad Ibrahim mengetuai jabatan ini dan mengambil langkah mendirikan lebih banyak sekolah di seluruh negeri Johor. Pada tahun 1980-an, undang-undang dikeluarkan bagi mewajibkan pelajaran kepada rakyat Johor. Beliau dianugerahkan gelaran Dato' Bentara Dalam oleh Sultan Abu Bakar.

Temenggung Ibrahim

Pada tahun 1825, Temenggung Abdul Rahman meninggal dunia. Jawatan beliau sebagai Temenggung Singapura dan Johor dipegang oleh anaknya Daeng Ibrahim. Temenggung Ibrahim kemudiannya bermusuh dengan Tengku Ali iaitu putera Sultan Hussain yang mangkat pada tahun 1835. Permusuhan ini ditamatkan dengan perjanjian Tengku Ali-Temenggung Ibrahim 1855. Menurut perjanjian itu, Tengku Ali menyerahkan hak pemerintahan kerajaan Johor kepada Temenggung Ibrahim kecuali kawasan Sungai Kesang dan Sungai Muar. Ini bererti Temenggung Ibrahim menjadi pemerintah sebenar negeri Johor. Dasar pentadbiran beliau ialah mengadakan hubungan persahabatan dengan British. Beliau juga membina pusat pentadbiran yang baru iaitu Tanjung Puteri. Pada tahun 1886, nama Tanjung Puteri ditukar kepada Johor Bharu. Untuk memajukan ekonomi Johor, Temenggung Ibrahim telah memperkenalkan sistem Kangchu pada tahun 1833. Melalui sistem ini, orang Cina digalakkan masuk dan menetap di sepanjang kawasan tebing Sungai Johor. Mereka diberikan surat tauliah atau dokumen yang dikenali sebagai  'Surat Sungai'. Petempatan mereka di kaki sungai dipanggil 'kangkar'. Kangkar akan diketuai oleh seorang kangchu iaitu ketua sungai yang bertugas untuk mentadbir kawasan mengikut peraturan yang ditetapkan.

 

Sultan Abu Bakar (1862 - 1895)

 

Apabila Temenggung Ibrahim meninggal dunia pada tahun 1862, jawatan Temenggung disandang oleh anaknya Abu Bakar dengan gelaran Datuk Temenggung Abu Bakar. Beliau mendapat pendidikan Barat.  Pengetahuannya  yang luas dalam pentadbiran Inggeris membolehkan Johor menjalankan dasar luar berbaik-baik dengan British untuk mengekalkan kemerdekaan. Beliau pernah menjadi orang tengah dalam perang saudara di Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor semasa perluasan pengaruh British dengan menasihatkan pemerintah negeri-negeri tersebut berdamai dengan British untuk mengelakkan penguasaan British. Beliau juga seringkali membuat lawatan ke England dan Eropah untuk mendalami selok-belok pentadbiran. Kebolehan beliau diakui oleh British dan pada tahun 1868 baginda Ratu Victoria menganugerahkan gelaran 'Maharaja' kepada beliau.

Pada tahun 1885, apabila Tengku Ali mangkat, British mengiktirafkan Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Johor yang sah bergelar Sultan. Kedudukan baginda lebih tinggi daripada Gabenor British di Singapura . Baginda boleh berhubung terus dengan kerajaan British di London.

Sultan Abu Bakar bukan sahaja berjaya menyekat penguasaan British dan menjamin kedaulatan Johor, malah baginda bertanggungjawab memodenkan Johor dan digelar 'Bapa Johor Moden'. Pada tahun 1892, Sultan Abu Bakar mengarahkan pembinaan Masjid Abu Bakar yang berfungsi sebagai Masjid Diraja dan Masjid Negeri Johor. Masjid ini direka oleh Haji Mohamed Arif bin Punak dengan dibantu oleh Dato'Yahya bin Awalluddin.

Pemodenan Sultan Abu Bakar

Sultan Abu Bakar melaksanakan pentadbiran Johor mengikut sistem pentadbiran British di Singapura. Pada tahun 1873, baginda menubuhkan beberapa jabatan kerajaan dan melantik pegawai-pegawai British dalam perkhidmatan Jabatan kerajaan.

Antara jabatan kerajaan yang ditubuhkan oleh beliau ialah Jabatan Kewangan, Jabatan Undang-undang, Jabatan Polis, Jabatan Penjara, Jabatan Ukur, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran dan Jabatan Keretapi.

Baginda juga berjaya meningkatkan ekonomi negeri Johor. Kejayaan Sistem Kangchu menjadikan Johor sebagai pengeksport utama lada hitam dan gambir di dunia. Pada tahun 1895, Sultan Abu Bakar memperkenalkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang menjadi asas pemerintahan Johor sehingga kini.

 

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor

 

Antara kandungan penting perlembagaan ini ialah:

Syarat melantik dan menabalkan sultan serta menetapkan aturan, dan wang perbelanjaan bagi menabalkan Sultan Johor.

Peraturan dan kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri, dan Majlis Mesyuarat Negeri. Ahli Majlis Mesyuarat Negeri mestilah terdiri daripada orang Melayu. Majlis Mesyuarat negeri dianggotai oleh rakyat Johor; kedua-dua majlis ini akan membantu sultan.

Aturan mengenai agama dalam negeri Johor

Menetapkan asas hukuman dan undang-undang yang akan dijalankan di mahkamah keadilan

Mengenai perjanjian dengan negara asing Johor Menerima Penasihat British

 

Pada tahun 1909, Sultan Ibrahim didesak untuk mengambil seorang penasihat tidak rasmi berbangsa Eropah. Penasihat ini akan bertugas menasihati baginda dalam pentadbiran. Sultan Ibrahim yang menerima tekanan British akhirnya membenarkan projek pembinaan jalan keretapi di Johor dijalankan. Sultan Ibrahim juga mempertahankan kebebasan dan kedaulatan negeri Johor dengan membuat satu pindaan penting dalam Perlembagaan Johor. Berdasarkan pindaan itu, orang asing yang bukan rakyat Johor tidak boleh menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Langkah Sultan Ibrahim membina pelabuhan Johor Bharu merupakan persaingan bagi Singapura yang akan merugikan British. Tindakan baginda itu memaksa  baginda menerima seorang Penasihat British. Bagi mengekalkan kedudukannya, Sultan Ibrahim terpaksa menerima seorang Penasihat British pada Mei 1914 dan  Douglas Campbell dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Johor.

 

Top | Home