Make your own free website on Tripod.com

Bab 6

Perjuangan Menentang British

 

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran bab ini,

anda seharusnya dapat:

Membincangkan tujuan perjuangan menentang Biritsh.

Menerangkan bentuk perjuangan tokoh-tokoh tempatan.

Menerangkan kesan perjuangan tokoh-tokoh tempatan.

Menanam semangat cintakan tanah air dengan mengambil iktibar daripada perjuangan tokoh-tokoh tempatan.

Penentangan Terhadap British

 

Pengaruh British mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1786 selepas Francis Light mendarat di Pulau Pinang. Pulau Pinang dijadikan petempatan British. Seterusnya, British meluaskan kuasanya ke beberapa negeri Melayu lain yang kemudiannya berjaya diletakkan di bawah pentadbirannya.
Sabah ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Sarawak pula ditadbir oleh Keluarga Brooke. Kerajaan British tidak terlibat secara langsung dalam pentadbiran di Sabah dan Sarawak sebelum 1946. Pentadbiran  British memperkenalkan banyak pembaharuan serta membuat banyak perubahan  ke atas corak pemerintahan tradisional. Campur tangan British di negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pengenalan Sistem Residen dan Penasihat British. Pengenalan sistem ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati khususnya golongan pembesar kerana kedudukan mereka tergugat. Sesetengah pembesar telah kehilangan kuasa memungut cukai dan kuasa kehakiman. Residen dan penasihat pula telah melampaui kuasa mereka sebenarnya.

 

Pejuang-pejuang Tanah air

 

Perubahan-perubahan yang dibuat oleh British dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tidak mempertimbangkan perasaan orang Melayu. Akhirnya, berlaku penentangan tokoh-tokoh tempatan ini berlandaskan kepada dua matlamat utama iaitu untuk mengusir penjajah British dari negeri Melayu dan mengekalkan sistem pentadbiran tempatan yang menjamin kekuasaan dan kedaulatan sultan. Namun, perjuangan tokoh-tokoh tempatan ini gagal kerana tiada penyatuan di kalangan rakyat.

 

Penentangan Dol Said di Naning

 

Naning adalah sebuah wilayah kecil di bahagian utara Melaka dan didiami oleh orang Minangkabau  yang  berasal dari Sumatera. Ia terletak antara Rembau dan Melaka. Semasa Melaka ditadbir oleh Belanda, Naning diletakkan di bawah naungan Belanda. Naning membayar ufti tahunan kepada Belanda. Pada 1824, British yang berjaya menguasai Melaka melalui Perjanjian Inggeris-Belanda dan menganggap Naning sebagai sebuah wilayah di bawah kekuasaannya. Penduduk Naning diarah menghantar ufti tahunan dan membayar cukai sebanyak satu persepuluh daripada hasil negeri kepada Melaka. Dol Said enggan membayar cukai tersebut. Beliau juga menentang campur tangan orang British dalam adat resam penduduk Naning.

British bertindak memansuhkan jawatan penghulu dan ketua-ketua suku. Mereka yang terlibat dalam pemansuhan jawatan-jawatan tersebut dilantik sebagai pengutip cukai dalam negeri. Dol Said menganggap dirinya sebagai pemerintah bebas. Oleh itu, beliau menganggap tindak-tanduk British  sebagai mencabar kekuasaannya. British mengambil keputusan menyerang Naning apabila Dol Said enggan berjumpa dengan pegawai British dan mematuhi arahannya. Pada 1831, angkatan tentera British menyerang Naning tetapi gagal mengalahkan Naning. Kejayaan Dol Said menghadapi serangan British adalah kerana mendapat bantuan daripada negeri-negeri  jiran seperti Rembau, Seri Menanti dan Sungai Ujong. Pada 1832, British sekali lagi menyerang  Naning dengan satu angkatan perang yang lebih kuat. Naning dapat ditawan tetapi Dol Said berjaya melarikan diri.

 

 

Kesan Penentangan

 

Dol Said menyerah diri kepada British pada 1833. Beliau diberikan pencen dan sebuah rumah di Melaka. Beliau dibenarkan pulang ke Naning pada 1849 dan meninggal dunia pada tahun yang sama. Naning menjadi sebahagian wilayah pentadbiran Melaka. Jawatan Penghulu dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Penguasa (Superintenden). Penguasa bertugas memungut cukai, menjalankan undang-undang dan mengawal ketenteraman.

 

Perjuangan Dato' Maharaja Lela di Perak

 

Nama sebenarnya ialah Pandak Lam. Beliau  menyokong pemerintahan Sultan Abdullah. Mengikut Perjanjian Pangkor 1874, Sultan Abdullah diiktirafkan sebagai Sultan Perak yang sah dengan seorang Residen British sebagai penasihat. Sultan Abdullah menerima  J.W.W. Birch  sebagai Residen British Perak tetapi Birch terlalu banyak mencampuri hal ehwal adat istiadat orang Melayu.

Birch memulakan tugasnya dengan memperkenalkan banyak pembaharuan secara mendadak tanpa mempertimbangkan perasaan orang Melayu Perak. Beliau turut mencampuri adat resam orang Melayu berikutan tindakannya yang telah menamatkan hak Sultan dan pembesar-pembesar Melayu mengutip cukai  tanpa bayaran ganti rugi. Birch juga menamatkan amalan pengabdian dan memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang melarikan diri. Tindakannya membangkitkan kemarahan pembesar -pembesar Melayu kerana adat hamba hutang ini merupakan adat resam Melayu lama.

Memungut cukai merupakan amalan tradisional pembesar-pembesar Melayu Perak tetapi tindakan Birch menyerahkan hak memungut cukai kepada pembesar-pembesar British menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu. Pembaharuan-pembaharuan Birch melemahkan kedudukan Sultan dan para pembesar. Hubungan Birch dengan  Sultan Abdullah menjadi tegang. Pembesar-pembesar yang menyokong Sultan  Abdullah mendapati kuasa dan hak mereka semakin berkurangan.

Pada Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat perisytiharan yang mengandungi persetujuan baginda menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Perkara ini semakin memuncakkan lagi kemarahan orang-orang Melayu.

 

Kebangkitan di Perak 1875

 

Sultan dan pembesar-pembesar Hilir Perak berkomplot untuk membunuh Birch dan mengusir British dari Perak. Sultan Abdullah memerintahkan Dato' Maharaja Lela membunuh Birch. Baginda dan Raja Ismail menyediakan alat-alat senjata untuk mengusir British dari Perak.
Pada November 1875, Birch dibunuh oleh dua orang upahan Dato' Maharaja Lela di Pasir  Salak. Tentera British berjaya mengawal kebangkitan orang Melayu di Perak dan menawan Pasir Salak pada 15 November 1875. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap. Dato' Maharaja Lela dan Tok Sagor dijatuhkan hukuman gantung di Matang . Sultan Abdullah, Orang Kaya-kaya Menteri  dan Ngah Ibrahim pula dibuang negeri ke Pulau  Seychelles.

 

Kesan Penentangan

 

Kegagalan penentangan orang Melayu di Perak menunjukkan British lebih kuat. Terdapat juga orang Melayu Perak bekerjasama dengan British. Tanpa penyatuan semua pembesar Melayu dan penduduk Perak, perjuangan  menentang kuasa penjajah berakhir dengan kegagalan. Peristiwa pembunuhan Birch menyebabkan British lebih berhati-hati dalam melantik seorang Residen baru yang lebih cekap dan berpengalaman. Sir Hugh Low dilantik sebagai Residen British yang kedua di Perak.

 

Yamtuan Antah

 

Yamtuan Antah menentang penempatan seorang Penolong Residen British di Sungai Ujong. Beliau khuatir British akan meluaskan kuasanya ke kawasan-kawasan di sekitar Sungai Ujong. Kapten Tatham dihantar ke Sungai Ujong untuk bertugas sebagai Penolong  Residen British setelah Dato' Kelana meminta bantuan dan perlindungan British.

Pada 1875, perlantikan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti tidak diiktiraf oleh Dato' Kelana kerana beliau telah berkuasa sejak 1874. Yamtuan Antah turut bertindak balas dengan tidak mengiktiraf Dato' Kelana  sebagai pemerintah Sungai Ujong.  Satu pergaduhan berlaku antara Yamtuan Antah dengan Dato' Kelana. Pergaduhan ini berlaku  berikutan tuntutan Dato' Kelana ke atas Terachi yang dianggap kawasan di bawah kekuasaannya. Dengan bantuan tentera British, Dato' Kelana dapat menewaskan Yamtuan Antah. Tengku Antah terpaksa berundur ke Bukit Putus. British seterusnya menawan Bukit Putus dan menguasai Kuala Jempol serta Terachi pada bulan Disember 1875.

Maharaja Abu Bakar dari Johor menasihati Yamtuan Antah supaya berdamai dengan British. Pada akhir 1876, Yamtuan Antah menandatangani satu perjanjian dengan British. Beliau diiktiraf sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti dan jajahan takluknya  iaitu  Johol, Jempol, Terachi, Ulu Muar, Inas dan Gunung Pasir.

 

Dato' Bahaman - Penentangan British di Pahang

 

Dato' Bahaman adalah seorang pembesar yang penting dalam kerajaan Pahang. Beliau dilantik sebagai Orang Kaya Semantan kerana jasanya kepada Bendahara Wan Ahmad dalam perang saudara tahun 1857 hingga 1863. Pada tahun 1888, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen British di Pahang dan memperkenalkan jawatan 'Pemungut dan Majistret'. Para pembesar Melayu menentang pengenalan sistem Residen di Pahang. Penentangan ini berpunca daripada soal kehilangan kuasa dan hak keistimewaan yang mereka alami.

Berdasarkan sistem Residen, para pembesar Melayu dilarang mengutip cukai, menyimpan hamba abdi dan cukai ke atas tanah pula dikenakan.  J.P. Rodger melantik pegawai-pegawai British yang dikenali sebagai Pemungut  dan Majistret untuk mentadbir daerah-daerah di Pahang. Tindakan Rodger ini menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang. Pembesar yang mula-mula menentang penjajah British di Pahang ialah Dato' Bahaman. Kehilangan kuasa Sultan dan hak-hak istimewa pembesar Melayu merupakan sebab terpenting meletusnya kebangkitan Pahang.

 

Kebangkitan di Pahang

 

Kebangkitan ini diketuai oleh Dato' Bahaman. Kebangkitan di Pahang berlaku pada pertengahan Disember 1891. Ini berikutan tindakan Dato' Bahaman  menyerang pasukan  polis yang menahan pengikut-pengikutnya atas kesalahan memungut hasil hutan tanpa kebenaran pentadbiran baru.

Dato' Bahaman kemudiannya menyerang balai polis di Lubuk Terua dan menawan Temerluh. Penyertaan Tok Gajah dalam kebangkitan ini adalah kerana British tidak menambahkan elaunnya. Anaknya, Mat Kilau yang anti-British turut menyertai kebangkitan  ini. Kebangkitan di Semantan merebak ke daerah-daerah lain.

Pada pertengahan Jun 1894, para pejuang Pahang menyerang sebuah balai polis di Kuala Tembeling dan membunuh lima orang anggota polis. Mereka kemudiannya berundur ke Jeram Ampai yang berdekatan dengan Kuala  Tembeling dan menawan Kubu British di sana. Namun, pihak British bertindak balas dengan melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya di Jeram Ampai.

Pasukan pertahanan British terdiri daripada kumpulan anggota polis Sikh, Perak dan Selangor. Sekali lagi pejuang-pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan  Terengganu. Hugh Clifford dihantar ke negeri-negeri itu untuk memberkas kumpulan penentang tersebut.

Namun begitu, pemerintah kedua-dua negeri itu enggan menyerahkan Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau kepada British. Pihak British mendapat berita bahawa Dato' Bahaman dan sekumpulan pejuang Pahang melarikan diri ke Siam. Pihak British cuba mendapatkan bantuan Siam untuk memburu Dato' Bahaman. Pada 1895, Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.

 

Perjuangan Tok Janggut di Kelantan

 

Nama sebenar Tok Janggut ialah Haji Mat Hassan iaitu Ketua Kampung Jeram yang terletak dekat Pasir Putih. Beliau merupakan seorang pemimpin yang berani dan handal dalam ilmu silat. Beliau juga seorang yang alim dan sangat dihormati oleh penduduk di kawasan Jeram.

Sejak meluaskan kuasa ke Kelantan, British menghadapi penentangan penduduk tempatan. Pada 1915, berlaku satu penentangan hebat rakyat Kelantan terhadap British. Penentangan ini diketuai oleh Tok Janggut yang berpunca daripada  pengenalan beberapa peraturan baru oleh British. Peraturan-peraturan ini didapati bertentangan dengan cara pemerintahan tradisional, seperti perlantikan Ketua Jajahan yang  mengancam kedudukan pembesar. Penduduk dipaksa membayar pelbagai jenis cukai.

Sebelum kedatangan British, Engku Besar Tuan Ahmad (Engku Besar Jeram) dilantik sebagai  pembesar kawasan Jeram (sebuah daerah kecil di Pasir Puteh). Setelah kedatangan British, seorang Ketua Jajahan  dilantik di Pasir Puteh.  Perlantikan ini menyebabkan Engku Besar Jeram kehilangan kuasa pentadbirannya. Tugas-tugas utamanya seperti mengutip cukai dan menyelesaikan  kes-kes jenayah diambil alih oleh Ketua Jajahan.

Kemarahan Engku Besar tidak dapat dibendung lagi apabila baliau terpaksa membayar cukai seperti orang ramai. Oleh itu, beliau menyokong perjuangan Tok Janggut. Pada 1 Januari 1915, kerajaan mengenakan cukai tanah yang baru. Rakyat dikehendaki membayar cukai ke atas semua jenis tanah tanpa mengambil  kira sama ada diusahakan atau tidak. Rakyat tidak berpuas hati kerana cukai yang  tinggi membebankan mereka dan menguntungkan British. Pada 1913, Encik Latiff menjadi Ketua Jajahan di Pasir Puteh bagi menggantikan Encik Salleh. Ketua Jajahan yang baru ini tidak disukai kerana beliau terlalu tegas dalam  menguatkuasakan sistem cukai tanah. Penduduk Jeram juga tidak suka ditadbir oleh Encik Latif yang berasal dari Singapura. Tok Janggut kemudiannya bertindak mengumpul pemimpin-pemimpin lain untuk membantunya mengusir orang British dari Kelantan.

 

Kebangkitan Tok Janggut pada 1915

 

Penentangan berlaku di kawasan Jeram dan berpusat di Pasir Puteh. Penentangan ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Perjuangan Tok Janggut disertai oleh Engku Besar Tuan Ahmad, Penghulu Adam,  Haji Said dan Encik Ishak Merbul.

Tok Janggut mempengaruhi penduduk di Pasir Puteh supaya tidak membayar cukai. Kerajaan British bertindak balas dengan menghantar  surat saman kepada Tok Janggut dan pengikut- pengikutnya untuk dibicarakan di mahkamah. Apabila Tok Janggut tidak hadir di mahkamah, perintah menangkap beliau dikeluarkan.

Tok Janggut telah membunuh seorang anggota polis, Sarjan Che' Wan yang cuba menangkap beliau. Peristiwa  pembunuhan ini merupakan detik permulaan  penentangan bersenjata penduduk Jeram terhadap penjajah British. Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya menawan balai polis di Pasir Puteh awal 1915. Beliau kemudiannya menubuhkan pemerintahan sementara di Pasir Puteh. Engku Besar dilantik menjadi raja di kawasan itu. Tok Janggut pula menjadi Perdana Menteri.  British dengan bantuan askar dari Singapura dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu  berjaya menawan semula Pasir Puteh.

Kegagalan Tok Janggut dalam menentang British menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur. Namun, Tok Janggut masih tidak berputus asa dan ingin berjuang habis- habisan. Pada akhir Jun 1915, mereka menyerang semula Pasir Puteh. Dalam pertempuran hebat itu, Tok Janggut dan ramai pengikutnya terbunuh. Untuk melemahkan semangat perjuangan penduduk Pasir Puteh, pihak British  mengarahkan supaya  mayat Tok Janggut diarak ke Kota Bharu.

 

Pejuang-pejuang Tanah Air di Sabah dan Sarawak

 

Kehadiran British di Sabah dan Sarawak juga dianggap sebagai penjajah asing yang tidak disenangi oleh penduduk peribumi. Walaupun British banyak membawa perubahan dan kemajuan, perubahan yang dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak mempertimbangkan perasaan penduduk setempat telah menimbulkan kemarahan mereka. Perubahan yang dibawa juga banyak bertentangan dengan budaya dan cara hidup tradisional mereka. Maka dalam keghairahan British melakukan perubahan di Sabah dan Sarawak, muncullah beberapa pejuang iaitu:- Penentangan Rentap di Sarawak

 

Penentangan Rentap di Sarawak



Nama sebenar Rentap  ialah Libau dan digelar 'Raja Darat' oleh masyarakat Iban. Rentap ialah ketua orang Iban yang tinggal di hulu Sungai Sekrang. Ia merupakan Pahlawan Iban yang terkenal. Kebangkitan penentangan Rentap adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati  terhadap beberapa tindakan yang dijalankan oleh keluarga Brooke yang memerintah. Rentap dianggap  sebagai lanun oleh pemerintahan Brooke. Kemaraan British mencerobohi kawasan petempatan orang Iban  di sepanjang Sungai Sekrang kerana  bertujuan untuk menghapuskan penduduk tempatan  yang dianggap lanun . Keluarga Brooke juga menghapuskan amalan memburu kepala di kalangan kaum Iban.

 

 

Pada tahun 1853, Rentap meyerang kubu Brooke di Nanga Sekrang. Dalam serangan itu, seorang pegawai British, Alan Lee terbunuh. Pada 1853, Rentap diserang balas oleh pasukan askar British tetapi beliau dapat melarikan diri dan menubuhkan kubu baru di atas Bukit Sadok.

Kubu ini sangat kuat dan teguh serta dilengkapi dengan selaras meriam besi yang besar. Pihak Brooke menyerang kubu tersebut pada 1854 dan 1857 tetapi gagal  menawannya. Pertempuran sengit berlaku lagi pada tahun 1861 kerana Charles Brooke menyerangnya lagi dengan sebuah meriam tembaga yang dinamakan Bujang Sadok dari Kuching.
    Kubu Rentap akhirnya berjaya ditembusi dan beliau melarikan diri ke dalam hutan. Beliau menetap di Sungai Entabai dan meninggal dunia di sana. Perjuangannya untuk mempertahankan cara hidup orang  Iban  menemui kegagalan. Keluarga Brooke mengukuhkan kuasa mereka di Sarawak dan mengubah tradisi  hidup penduduk peribumi.

 

Penentangan Syarif Masahor di Sarawak

 

Syarif Masahor merupakan seorang pemimpin yang disegani oleh masyarakat Iban dan Melanau. Beliau dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau merupakan seorang pembesar  yang cekap dan jujur. Pengenalan pentadbiran baru oleh James Brooke menerima tentangan daripada pembesar-pembesar Sarawak. Para pembesar ini berhasrat mengusir orang Eropah keluar dari Sarawak dan  mengambil alih kerajaan.  Beberapa tindakan James Brooke menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Sarawak, seperti  mengambil alih hak memungut cukai dan menghapuskan  amalan hamba hutang dan amalan pemburuan kepala. Atas rasa tidak puas hati itulah Syarif Masahor bangun menentang kerajaan Keluarga Brooke.

 

Peta menunjukkan Kedudukan Sarikei

di kawasan Sungai Rajang

Pada1853, James Brooke mengambil alih kawasan Sungai Rajang sebagai kawasan kekuasaannya dan membina sebuah kubu di Kanowit. Tindakan Brooke ini menggugat kedudukan Syarif Masahor. Beliau kemudiannya membuat pakatan dengan Datu Patinggi Abdul Gapur untuk mengusir Brooke dari Sarawak. Penentangan Syarif Masahor terhadap pemerintahan James Brooke juga disebabkan  pembatasan kuasa dan haknya. Syarif Masahor juga ingin mengembalikan kekuasaan Sultan Brunei  yang semakin  kehilangan wilayah kerana diambil oleh keluarga Brooke.

Pada 1859, mereka menyerang kubu British di Kanowit. Dua orang pegawai British iaitu Henry Steel dan Charles Fox terbunuh.  James Brooke segera bertindak balas menyerang Kanowit.  Orang Melayu dan Dayak yang terlibat dalam pembunuhan dua pegawai British itu dihukum mati. Pada 1860, Syarif Masahor membuat persiapan menyerang Kuching melalui laut.
Sekali lagi James Brooke berjaya mematahkan serangan Syarif Masahor dan kapal-kapal perangnya ditenggelamkan.  Syarif Masahor sempat melarikan diri ke Brunei. Atas desakan Brooke, Sultan Brunei memerintahkan supaya Syarif Masahor dihantar ke Singapura.
  Kegagalan penentangan Syarif Masahor adalah kerana tidak wujud penyatuan di kalangan rakyat Sarawak.  Kebanyakan bangsawan Melayu tidak memberi sokongan kepada Syarif Masahor kerana mereka lebih setia kepada Raja Brooke. Oleh itu, Raja Brooke dengan mudahnya dapat meluaskan kuasanya ke daerah- daerah lain.

 

Penentangan Mat Salleh di Sabah

 

Nama sebenar pahlawan Mat Salleh ialah Mohammad Salleh. Beliau berketurunan Bajau dan Suluk dan dilahirkan di Inanam. Beliau menjadi pembesar di hulu Sungai Sugut yang merupakan tempat Kompeni Berpiagam sering campur tangan. Rancangan W.C Cowie, Pengarah Urusan Syarikat Berpiagam Borneo Utara untuk menjalankan pembangunan secara besar-besaran menyebabkan penderitaan rakyat. Berbagai jenis cukai telah dikenakan oleh Syarikat Berpiagam. Perluasan kuasa Syarikat Berpiagam juga telah menyekat kebebasan pembesar-pembesar tempatan. Oleh itu, beliau telah melancarkan penentangan  secara besar-besaran terhadap syarikat dari tahun 1894 hingga 1900.

Tempat yang berkaitan dengan

penentangan Mat Salleh di Sabah

 

Penentangan Mat Salleh meletus pada tahun 1894 apabila polis memaksa Mat Salleh menyerahkan pengikut-pengikutnya yang terlibat dalam pembunuhan dua orang Dayak di Sungai Sugut. Pasukan Kompeni  telah menyerang dan membakar perkampungan Mat Salleh di Pulau Jambangan kerana keengganannya mematuhi arahan mereka. Mat Salleh sempat melarikan diri ke Lingkabau dan membina sebuah kubu di sana. Pada tahun 1897, Mat Salleh bertindak balas dengan menyerang dan membakar pelabuhan Kompeni di Pulau Gaya. Beliau berjaya memusnahkan pelabuhan tersebut. Pertempuran terus berlaku apabila Inggeris menyerang balas pada tahun 1897 di Sungai Inanam yang menyebabkan Mat Salleh melarikan diri ke Ranau.

Wiliam Cowie berpendapat keadaan yang tidak stabil itu perlu ditamatkan. Beliau mengesyorkan perdamaian diadakan. Mat Salleh setuju menghadiri rundingan perdamaian yang diadakan oleh Cowie di Menggatal. Pada bulan April 1898, Mat Salleh setuju menamatkan permusuhan dan dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas. Malangnya Kompeni mungkir janji dan mengambil alih kuasa di Tambunan lalu perang tercetus sekali lagi yang menyebabkan Mat Salleh tertembak dan meninggal dunia.

 

Penentangan Antanum

 
Pada tahun 1915, orang Murut bangun menentang Syarikat Berpiagam di Sabah. Pemberontakan ini dikenali sebagai Kebangkitan Rundum. 

Pemberontakan ini diketuai oleh Antanum. Antanum ialah seorang ketua orang Murut. Beliau berjaya menyatupadukan kaum Murut untuk menentang Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Penentangan orang Murut terhadap Syarikat disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:

Mengenakan cukai ke atas beras dan ubi kayu yang digunakan oleh orang Murut untuk membuat air tapai.

Melarang orang Murut menerangkan hutan untuk penanaman  padi huma.

emaksa orang Murut membina jalan-jalan kecil di hutan tanpa bayaran gaji.

Menamatkan amalan pemburuan kepala dan perhambaan.

Kemarahan kaum Murut ini akhirnya membawa kepada Kebangkitan Rundum pada 1915. Pada Februari 1915, Antanum yang mengetuai orang Murut menyerang dan membakar Pejabat Daerah di Pensiangan.  Antanum kemudiannya menyerang Rundum tetapi bandar itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Syarikat Berpiagam. Antanum dan pengikut-pengikutnya berundur ke Sungai Selangit dan membina sebuah kubu di sana.  Pasukan Syarikat menyediakan askar yang lebih ramai untuk menyerang kubu di Sungai Selangit dan menangkap Antanum. Serangan Syarikat mengakibatkan Antanum dan ramai pengikutnya terkorban.

 

 

Top | Home