Make your own free website on Tripod.com

ISTILAH KAJIAN KOMSAS

 

Tema Dan Persoalan

Watak Dan Perwaatakan

Latar

Plot

Gaya Bahasa

Diksi

Rima

Teknik

Drama

 

Tema

            Tema ialah idea dasar atau persoalan pokok yang diungkapkan oleh pengkarya, baik cerpenis, novelis, penyair atau penulis skrip drama bagi mendasari karyanya. Tema menjadi panduan kepada penkarya dalam usaha mengumpulkan, memilih dan menyusun  bahan-bahan bagi sesuatu karya. Tema tidak dinyatakan secara langsung dengan jelas tetapi dinyatakan melalui unsur-unsur yang membentuk karya tersebut. Tema sesuatu karya lazimnya dapat diketahui hanya sesudah karya itu dibaca dan dihayati seluruhnya. Banyak perkara yang boleh dijadikan tema bagi sesuatu karya, misalnya keadilan, perjuangan, sejarah, kemiskinan, kemanusiaan, kehijauan alam dan banyak lagi.

 

Persoalan

            Persoalan ialah perkara-perkara kecil dalam sesuatu karya yang ada hubungannya dengan tema. Persoalan wujud dalam sesuatu karya bertujuan menghidupkan dan memperkukuhkan tema yang diketengahkan oleh pengkarya.

 

Pemikiran

            Pemikiran membawa maksud yang sama dengan tema dan persoalan. Walau bagaimanapun, pemikiran lazimnya digunakan dalam genre drama dan puisi.

 

Amanat / Pengajaran / Mesej

            Amanat yang dikenali sebagai pengajaran atau mesej bermaksud perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca. Dalam karya sastera tradisional, amanat tersurat dengan jelas kerana disampaikan secara langsung oleh pengarang. Dalam karya sastera moden, amanat itu tersirat kerana disampaikan secara tidak langsung.

 

Contohnya

                        Hancur badan dikandung tanah,

                        Budi yang baik dikenang juga.

 

                        Hutang emas boleh dibayar,

                        Hutang budi dibawa mati.

 

                        Ilmu itulah gemala sakti,

                        Sinarnya cerah cahaya sejati.

 

Watak Dan Perwaatakan

 

            Watak ialah sesuatu objek atau pelaku, baik manusia mahupun makhluk lain seperti haiwan, tumbuhan dan sebagainya. Dalam drama, watak ialah pelakon yang menggerakkan plot sesuatu drama itu. Watak inilah yang mengembangkan tema dan persoalan serta plot karya yang menjadi pemikiran pengkarya melalui aksinya, tindakannya, dialognya dan konfliknya. Sesuatu watak akan diberi sifat-sifat tertentu, termasuk perangai dan pemikiran yang dikenal melalui percakapannya, iaitu dialog di samping perlakuannya “ aksi”.

            Sifat-sifat yang digambarkan oleh pengkarya pada watak yang diwujudkan inilah yang dikatakan sebagai perwatakan. Sifat-sifat itu antara lain termasuklah yang berupa lahiriah seperti bentuk, paras rupa dan tingkah serta yang berupa jasmaniah, yakni yang berkaitan dengan perasaan, sikap dan pemikiran. Biasanya setiap watak yang diwujudkan, baik watak utama mahupun watak pembantu atau watak sampingan diberi sifat-sifat perwatakan yang berbeza dan malah bertentangan. Hal ini demikian untuk menimbulkan unsur-unsur ketegangan atau konflik, sesuai dengan temadan persoalan yang ingin diketengahkan oleh pengkarya.

 

Contoh perwatakan secara lahiriah ialah;

v     Tinggi lampai

v     Gemuk gedempol

v     Lemah lembut

v     Lincah

v     Ikal mayang

 

            Contoh perwatakan jasmaniah ialah ;

v     Adil

v     Pemurah

v     Alim

v     Pemarah

v     Jujur

v     Penakut

v     Tegas

 

Watak dan perwatakan manusia atau makhluk apapun yang diwujudkan bukan saja berfungsi untuk mengembangkan tema dan persoalan, tetapi juga untuk mengubah persekitaran atau suasana latar tempat watak itu berada. Selain itu, watak dan perwatakan berfungsi juga untuk menyalurkan buah fikiran dan pandangan hidup pengkarya serta untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu kepada pembaca. Dalam aspek watak dan perwatakan, pelajar perlu juga tahu akan makna istilah yang berkaitan dengan aspek watak iaitu ;

 

            Watak utama – watak penting yang menggerakkan sesuatu cerita. Pada umumnya, watak utama adalah wira atau wirawati dalam sesuatu

karya itu.

                        Watak sampingan – merupakan watak pembantu atau peranannya lebih kecil daripada watak utama dalam sesuatu karya.

 

                        Watak hitam – merupakan watak jahat atau watak yang buruk dalam sesuatu karya.

                        Watak putih – merupakan watak baik atau watak yang menonjolkan nilai-nilai murni dalam sesuatu karya.

                        Watak bundar – watak yang bersifat kompleks dan segala sifatnya dijelaskan secara terperinci.

                        Watak pipih – watak yang tidak kompleks dan tidak difokuskan sangat dalam sesuatu karya.

                        Watak dinamik – adalah watak yang aksi, fikiran, pandangan atau perasaannya berkembang dan sering berubah.

                        Watak statik – watak yang tidak mengalami sebarang perubahan atau fikirannya tidak berkembang dari awal hingga akhir cerita.

                        Watak kodi – iaitu watak yang selalu terdapat dalam cerita rakyat. Watak nenek kebayan dalam cerita-cerita rakyat merupakan contoh watak

          kodi.

 

Latar

 

            Latar ialah keterangan tentang waktu, ruang dan suasana terjadinya sesuatu peristiwa dalam karya. Bagi drama pula, latar diertikan sebagai gambaran yang tersedia di belakang prop yang diwujudkan. Latar amat penting dan berperanan untuk mengembangkan watak dan perwatakan, di samping mengembangkan tema, persoalan dan plot.

            Dalam drama, latar memainkan peranan yang penting untuk menerangkan di mana dan bila kejadian serta peristiwa dalam drama itu berlaku. Latar terbahagi kepada tiga, iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat.

 

Latar tempat – tempat berlakunya peristiwa dalam cerita.

Latar masa – iaitu masa atau tempoh berlakunya sesuatu peristiwayang digambarkan dalam sesuatu cerita.

Latar masyarakat – gambaran keadaan masyarakat di tempat cerita yang berkenaan berlaku. Misalnya agama, kepercayaan dan pekerjaan.

 

Plot

           

            Plot lazimnya didefinisikan sebagai penceritaan peristiwa dengan berdasarkan hukum sebab dan akibat. Ada juga yang menafsirkan plot sebagai rentetan peristiwa yang bersebab yang dijalin dengan melibatkan konflik dan diakhiri dengan peleraian. Plot dalam drama ialah satu skema aksi dan plot ini berbeza daripada lpot dalam cerpen dan novel. Perbezaan tersebut adalah dari sudut gerak aksi dan teknik-teknik dramatik pada tahap pengenalan, kemudian muncul peristiwa yang semakin meruncing lalu melonjak menjadi klimaks cerita dan akhirnya menemukan penyelesaian.

            Berdasarkan tafsiran ternyata bahawa plot tidak boleh disamakan dengan jalan cerita. Jalan cerita sebenarnya merupakan kejadian yang berlaku kerana sebab tertentu, sementara yang menggerakkan kejadian cerita itu adalah plot.

 

Binaan plot

            Binaan plot terdiri daripada bahagian pengenalan, pertengahan dan pengakhiran.

      Pengenalan merupakan bahagian untuk memperkenalkan watak-watak, latar atau konflik yang wujud.

      Pertengahan adalah peringkat berkembangnya sesuatu konflik atau masalah itu hingga sampai ke puncaknya.

      Pengakhiran adalah peringkat berakhirnya sesuatu masalah atau konflik. Pada peringkat ini sesuatu maalah sudah dapat diatasi atau diselesaikan.

                       

Penyusunan plot yang melibatkan suatu peristiwa dengan peristiwa yang lain tidak semestinya berurutan mengikut kronologi. Plot boleh bermula

dengan bahagian tengah atau bahagian akhir cerita dengan menggunakan teknik imbas kembali. Biasanya teknik penyusunan plot yang menarik ialah urutan peristiwa tidak menurut kronologi.

            Setiap cerpen pada umunnya hanya mempunyai satu plot yang merupakan plot utama ini adalah kerana ia dikongkong oleh bentuk dan ciri cerpen yang pendek, padat dan ekonomis.ini bermakna dalam sebuah cerpen peristiwa utama akan ditonjolkan manakala peristiwa-peristiwa kecil hanya bertujuan melengkapi dan menghidupkan peristiwa utama itu. Untuk novel selain plot utama, terdapat juga subplot atau lpot sampingan.

 

Gaya Bahasa

            Gaya bahasa merupakan cara bagaimana seseorangpengkarya menggunakan bahasa dengan baik dan kreatif dalam usaha mengungkapkan tema dan persoalan dalam sesuatu karya yang menjadi pemikirannya. Gaya bahasa  merangkumi semua aspek bahasa seperti pemilihan kata, penggunaan kiasan, pembinaan frasa, pembinaan ayat dan lain-lain kemahiran bahasa. Daripada gaya bahasa yang digunakan akan terpancarlah keindahan pada karyanya yang dapat menarik perhatian pembaca.

 

Diksi

            Diksi secara mudah difahamkan sebagai pemilihan dan penggunaan kata baik dalam cerpen, novel, drama dan puisi. Diksi yang baik dapat dilihat pada

 

      Pemilihan kata yang tepat, sesuai dengan maksud tertentu yang ingin disampaikan.

      Penggunaan kata yang munasabah yang dapat diterima sebagai penggunaan yang baik.

      Penggunaan kata yang jelas dan khusus dqn menepati maksudnya.

           

Dalam pada itu, pemilihan dan penggunaan kata ini seharusnya sesuai juga dengan tema serta nada cerita. Di samping itu setiap kata yang dipilih haruslah dapat memberikan gambaran tentang sesuatu peristiwa dengan tepat, jelas dan berkesan seterusnya dapat menghidupkan serta menerangkan watak serta perwatakan dalam karya. Diksi mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan ayat dan penulisan sesuatu karya.

Dalam pembinaan ayat, terdapat pelbagai jenis ayat yang sesuai dengan tema dan persoalan, peristiwa, situasi tertentu, watak dan lain-lain aspek penulisan.

 

Rima

            Rima merupakan unsur gaya bahasa yang bukan saja dapat dalam puisi tetapi jugadalam penulisan berbentuk prosa, yakni cerpen dan novel. Ia adalah keselarasan atau persamaanbunyi pada kata atau pada suku kata terakhir dalam sesuatu ayat atau sesuatu baris puisi. Keselarasan bunyi ini didasarkan pada persamaan bunyi vokal di tengah yang disebut  “asonansi” dan persamaan bunyi konsonan di pangkal disebut  “aliterasi”. Dalam puisi, rima yang berlaku pada baris akhir disebut  “rima akhir”. Rima yang berlaku pada awal dua atau lebih daripada dua patah kata dalam puisi disebut  “rima awal”. “rima dalam” adalah rima yang berlaku pada beberapa tempatselepas suku kata pertama dan sebelum suku kata akhir.

 

      Asonansi merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris sajak.

      Aliterasi adalah pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris sajak.

      Perlambangan atau simbol ialah kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu benda, keadaan atau peristiwa.

      Personifikasi dikenali sebagai pengoranganatau penginsanan iaitu pengkarya memberikan sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak tanduk kepada benda mati, binatang, idea atau hal-hal yang lebih abstrak.

           

Teknik dan Bentuk Puisi

            Bentuk puisi ialah susunan unit-unit berirama dalam sesuatu baris, dalam mengkaji puisi, kita perlu melihat bilangan rangkap dalam puisi yang berkenaan, bilangan baris dalam setiap rangkap bilangan kata dalam setiap baris, bilangan suku kata dalam setiap baris dan rima akhir.

 

 

Drama

            Drama lazimnya terbahagi kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian pula dibahagikan kepada dua iaitu babak dan adengan.

 

Babak ialah bahagian-bahagian utama dalam drama atau lakonan. Dalam pementasan drama, babak diperkenalkan melalui pembukaan dan penutupan tirai. Dalam penulisan (skrip), babak diperkenalkan dengan tulisan  “Babak Satu” dan seterusnya.

Adengan ialah bahagian-bahagian kecil dalam sesuatu babak. Dalam pementasan drama, pemecahan adengan kadang-kadang dapat dilihat dan diketahui dengan turun naiknya tirai atau terang gelapnya lampu atau apabila berlakunya pertukaran watak.

 

 

 

Top  |  Home