Prosa Melayu

 

Epik

 

Cerpen

 

Novel

 

Drama

 

Prosa Moden

 

Prosa

 
                                                                                   

 

 

 

Cerita Penglipur Lara

 

Cerita Asal Usul

 

Cerita Jenaka

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


            Prosa ialah sebarang bentuk tulisan atau karangan atau pengucapan yang tidak mempunyai corak atau irama yang tertentu. Prosa dapat dibahagikan kepada prosa tradisional dan prosa moden. Antara tulisan yang tergolong sebagai prosa tradisional termasuklah pelbagai cerita yang tergolong dalam cerita rakyat, misalnya cerita penglipur lara, cerita jenaka dan cerita asal usul dan epik.Antara tulisan yang tergolong sebagai prosa moden pula termasuk cerpen, novel dan skrip drama.

 

 

Prosa Tradisional

Cerita Penglipur Lara

            Cerita penglipur lara merupakan suatu bentuk cerita rakyat yang asalnya disampaikan secara lisan oleh tukang cerita ang disebut sebagai penglipur lara. Sesuatu cerita penglipur lara biasanya mengambil masa yang agak panjang untuk diceritakan.Kebanyakan cerita berkisar istana, tentang kisah anak-anak raja yang mempunyai pelbagai keistemewaan dan kesaktian. Pada umumnya, anak-anak raja itu mempunyai pembantu yang cukup setia yang berperanan sebagai penyelamat. Cerita penglipur lara lazimnya bermuat pelbagai jenis puisi lama misalnya bahasa berirama, gurindam dan syair yang menarik sesuai dengan jalan ceritanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Cerita Jenaka

 

            Cerita Jenaka merupakan sejenis cerita rakyat yang bahan ceritanya diambil daripada kehidupan masyarakat biasa dan boleh terdiri daripada beberapa episod yang lengkap. Cerita jenaka bermuat kisah-kisah kejadian lucu yang ditimbulkan oleh pelakuan-pelakuan watak yang bodoh lagi lurus dan kadangkala cerdik

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Lebai Malang

 

Pak Belalang

 
           

 

 

Si Luncai

 
 

 

 

 

 


Cerita Asal Usul

 

            Cerita asal usul merupakan sejenis cerita rakyat yang tertua. Cerita ini lazimnya sederhana panjangnya ianya bertemakan asal usul sesuatu benda, tempat, kejadian dan sebagainya yang biasanya berkait rapat dengan kehidupan manusia. Watak-wataknya pula terdiri daripada manusia haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

 

 

Epik

 

            Epik merupakan prosa atau puisi panjang dalam bentuk naratif yang mengisahkan kepahlawanan seseorang tokoh penting dalam sejarah atau tokoh negara yang menjadi legenda sesuatu bangsa atau negara. Antara perkara penting dalam sebuah epik ialah :

 

v     Wira adalah tokoh yang penting dan mengagumkan, termasyhur dari segi sejarah dan tokoh legenda.

v     Tokoh yang diceritakan memiliki sifat-sifat luar biasa, berani dan gagah perkasa.

v     Kuasa-kuasa luar biasa seperti alat kesaktianturut mengambil bahagian dalam cerita untuk membantu tokoh dari semasa ke semasa.

v     Latar ceritanya meliputi negara-negara besar di dunia atau alam semesta.

 

 

Prosa Moden

 

Cerpen

 

            Cerpen atau cerita pendek dapat  didefinisikan sebagai kisah rekaan yang ringkas, panjangnya antara 500 hingga 15,000 patah kata. Cerpen mempunyai kesatuan yang dicapai, terutamanya melalui plot di samping banyak mempunyai unsur lain seperti tema, latar, watak, gaya dan sebagainya. Cerpen berbeza dengan novel, terutamanya dari segi cerita yang berpusat pada sesuatu watak yang menggambarkan satu siri aksi atau peristiwa yang terbatas. Cerpen mengemukakan cerita dalam latar tempat yang terhad, jangka waktu yang pendek dan pertalian ceritanya tidaklah kompleks.

 

Drama

 

            Drama dapat diertikan sebagai suatu kisah yang diceritakan dalam bentuk lakonan oleh para pelakon yang memegang peranan sebagai watak-watak dalam kisah tersebut. Aksi dan dialog penting dalam drama, baik sebagai isi mahupun sebagai cara persembahan. Drama cuba menggambarkan satu aspek kehidupan manusia dengan mengemukakan konflik melalui aksi dan dialog para watak. Lazimnya, skrip atau naskhah lakon drama memang dirancang untuk dipentaskan. Sesuatu drama dinikmati oleh penonton secara langsung dan tanpa henti pula. Itulah sebabnya sesuatu karya untuk drama tidak boleh terlalu panjang dan harus mempunyai tarikan yang kuat untuk memikat perhatian penonton.

 

Novel

 

            Ada pelbagai pengertian yang diberikan untuk novel. Namun secara umumnya novel bermaksud kisah rekaan yang panjang dalam bentuk prosa. Secara khususnya pula, novel merupakan suatu bentuk cereka yang mengisahkan peristiwa yang benar-benar berlaku atau yang imaginatif dengan penyertaan watak yang kesemuanya digarap menurut suatu pola tertentu. Novel berbezadaripada cerpen dari segi panjangnya dan penceritaannya tidak terbatas pada satu-satu watak. Selain itu, peristiwa-peristiwa dan latar yang terkandung dalam novel pun tidak terhad dengan mengambil jangka waktu yang panjang. Seterusnya pertalian cerita dalam novel lebih kompleks daripada cerpen.

 

PUISI MELAYU

 

            Puisi ialah suatu bentuk tulisan atau pengucapan yang berirama yang dilahirkan melalui tanggapan yang penuh imaginatif daripada seseorang penulis atau penyair. Terdapat dua golongan puisi melayu iaitu Puisi Tradisional yang terdiri daripada Pantun dan Syair. Sajak pula dari golongan Puisi Moden.

 

Pantun

 

            Pantun merupakan sejenis puisi tradisional yang dianggap paling popular.antara ciri-ciri pantun ialah :

 

1.      Serangkap pantun atau seuntai pantun terdiri daripada dua bahagian.

2.      Dua kerat pertama, yakni baris pertama dan kedua disebut pembayang maksud atau sampiran.

3.      Dua kerat yang akhir, yakni baris ketiga dan keempat merupakan maksud pantun.

4.      Bahagian sampiran biasanya berisi ibarat atau misalan yang membayangkan apa-apa yang dikemukakan dalam bahagian maksud pantun.

5.      Bahagian maksud pula mengandungi isi sebenar yang hendak disampaikan.

6.      Bunyi suku kata hujung pantun mesti sama

7.      Persamaan bunyi atau rima pada suku kata di hujung baris pertama dipadankan dengan suku kata di hujung baris ketiga.

8.      Persamaan bunyi atau rima pada suku kata di hujung baris kedua pula dipadankan dengan suku kata di hujung baris keempat.

9.      Hal yang demikian membentuk bunyi atau rima “ab ab”.

10.  Tiap-tiap baris dalam serangkap pantun yang baik harus mempunyai lapan hingga dua belas suku kata.

 

Pantun terdiri daripada bebarapa jenis yang dikenal menurut jumlah barisnya, misalnya ;

 

v     Pantun dua kerat

v     Pantun empat kerat

v     Pantun enam kerat

v     Pantun lapan kerat

v     Pantunsepuluh kerat pantun dua belas kerat

 

Walau bagaimanapun, jenis pantun yang masih popular sekarang ialah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.

           

Contoh:

                                    Sudah gaharu, cendana pula,

                                    Sudah tahu bertanya pula.

 

                                    Pisang emas dibawa belayar,

                                    Masak sebiji di atas peti;

                                    Hutang emas boleh dibayar,

                                    Hutang budi dibawa mati.

            Selain daripada itu terdapat juga pantun empat kerat yang dikenali sebagai pantun berkait iaitu pantun yang terdiri daripada beberapa rangkap yang saling berkait antara satu sama lain. Misalnya baris kedua dan keempat pada rangkap yang terdahulu dulang pada baris pertama dan ketiga dalam rangkap yang berikutnya.

 

                                    Contoh:

                                                Tabur bayam di pangkal tebu,

                                                            Buang jerami berikat rotan;

                                                Laksana ayam kehilangan ibu,

                                                            Begitulah kami kehilangan tuan.

                                                Buang jerami berikat rotan,

                                                            Lurutkan minyak ke daun padi;

                                                Begitulah kami kehilangan tuan,

                                                            Yang banyak menabur budi.

 

Syair

 

            Syair terdiri daripada empat baris atau empat kerat seperti pantun juga. Tetapi bunyi rima di hujung barisnya adalah sama atau selari “aa aa”. Syair tidak mempunyai pembayang maksud sebaliknya syair biasanya mempunyai tema yang tertentu yang berkaitan dengan kias ibarat, sindiran, nasihat, pengajaran, agama dan sebagainya. Isi syair berkisar di sekitar sesuatu kisah sejarah, misalnya Syair Singapura Dimakan Api, Syair Sultan Mahmud. Rangkap-rangkap syair terbentuk secara berurutan antara satu sama lain, malah keempat-empat baris dalam serangkap syair adalah bersambung juga. Ianya sedemikian supaya sesuatu buah fikiran dan cerita dapat disampaikan sebagai sati wacana yang lengkap.

 

                        Contoh ;

                                                Ilmu itulah gemala sakti,

                                                Sinarnya cerah cahaya sejati,

                                                Asal puncanya lamun didapati,

                                                Sukar bercerai sehingga mati.

 

                                                            Ilmu alat sangat berguna,

                                                            Idaman orang yang bijaksana,

                                                      Haamparnya luas amat saujana,

                                                      Tepinya ajal sempadannya fana.

     

Terdapat enam jenis syair dalam Kesusasteraan Melayu yang didasarkan pada isinya iaitu ;

 

v     Syair keagamaan – Syair Perahu dan Syair Dagang

v     Syair kiasan – Syair Ikan Terbuk dan Syair Burung Pungguk

v     Syair panji – Syair Panji Semirang dan Syair Ken Tambuhan

v     Syair romantis – Syair Bidadari dan Syair Yatim Nestapa

v     Syair saduran – Syair Damar Wulan dan Syair Tajul Muluk

v     Syair sejarah – Syair Singapura Dimakan Api dan Syair Sultan Muhamad

 

Sajak

 

            Sajak ialah sejenis puisi moden yang bebas sifatnya. Ia tidak terikat pada sesuatu pola khusus, walaupun kadang kala mempunyai ciri rima dan irama. Sajak mementingkan keberkesanan pengucapan perasaan melalui pemilihan dan pemakaian kata-kata yang saling berhubungan. Seperti juga hasil prosa, sajak juga mempunyai tema yang merupakan inti atau terasnya. Tema ini umumnya didasarkan pada pengalaman penyairnya yang didapati daripada pengalaman langsungnya dengan alam dan kehidupan manusia. Bebrapa contoh tema termasuklah keadilan, keamanan, kebebasan, kemanusiaan, penindasan dan banyak lagi.

            Pada umumnya bahasa sesuatu puisi memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan keindahan serta penyusunannya. Bahasa puisi agak ekonomis yang terbit daripada baris-baris yang ringkas dan penggunaan kata yang terbatas. Namun ia masih mampu mendukung makna yang diharsatkan. Ianya banyak memperlihatkan sifat konotasi, yakni mempunyai makna yang lebih daripada satu, lebih kaya dan lebih luas yang bertujuan membangkitkan emosi dan imaginasi pembaca.

            Suasana merupakan salah satu unsur dalam sajak yang dapat membantu memperkuatkan temanya. Ianya terbina daripada gambaran-gambaran yang disajikan melalui  penggunaan bahasanya. Simbol atau perlambangan digunakan untuk menyatakan sesuatu makna yang di luar daripada makna langsung kata-kata tersebut. Penggunaan kata seperti laut, ombak, bulan, gunung, mentari, fajar, senja merupakan nilai simbol yang menarik dalam puisi. Unsur imej atau citra merupakan kesan daripada gambaran yang timbul melalui penggunaan kata, ungkapan dan ayat dalam sajak.

            Unsur bunyi, yakni irama dan rima juga penting dalam melahirkan sajak yang indah dan menarik. Unsur bunyi yang menarik biasanya melalui pemilihan dan penggunaan kata-kata yang terpilih dan teratur.

 

Top  | Home