Ziana Zain terus diburu
Oleh Zubir Mohd Yunus
Petikan : Bintang Popular 1 Mei 2005
 
 

Ziana Zain

ESOK, 2 Mei, genaplah usia penyanyi, pengacara dan pelakon kesayangan ramai, Ziana Zain atau Siti Roziana Zain menjangkau usia 37 tahun. Namun, 14 tahun sepanjang tempoh itu, Ziana menghambakan diri sebagai anak seni, walau diri dihambat gosip dan kontroversi. Dirinya umpama lilin, membakar diri menerangi orang lain.

Pun begitu, Ziana pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan selepas mendirikan rumah tangga, namun atas desakan peminat, dia akhirnya kembali ke layar perak.

TIADA kereta mahupun kondominium mewah pada hari jadi Ziana, sebaliknya peminat lebih rela berkumpul di Janda Baik, Pahang, mulai hari ini dan esok untuk bercuti bersamanya. Itulah hadiah paling bermakna buat penghibur versatile seperti Ziana yang terus maintain sehingga ke hari ini.

Bagi Ziana, antara dirinya dan peminat tiada jurang pemisah, jauh sekali pengawal peribadi. Jatuh dan bangun Ziana dalam industri hiburan bersama kritikan dan sokongan peminat. Justeru, usia 37 tahun menjadikan Ziana semakin matang mewarnai perjalanan seninya.

Dia tidak mudah melatah dan yang pasti rumah tangga yang dibina sejak 1998, masih bertahan hingga kini walaupun pelbagai cerita negatif dilemparkan kepadanya dan suami, Armin Zaharin. Pada usia 37 tahun juga memperlihatkan Ziana semakin jelita dan langsing, persis si anak dara yang baru menjangkau usia 21 tahun!

Namun, ibu 'vogue' yang membahasakan dirinya sebagai akak, memberitahu sambutan hari jadinya bukan saja dikelilingi peminat setia, bahkan suami dan dua puteranya, Mohammad Aiman, 5 dan Mohammad Ammar, setahun, enam bulan, turut menemaninya.

“Alhamdulillah, esok genaplah usia akak yang ke-37 tahun. Akak bersama peminat adakan gathering di Janda Baik dan inilah saat paling sesuai untuk kami lebih mengenali antara satu sama lain. Khabarnya ada surprise untuk akak, akak tunggu aje.

“Yang penting setiap kali usia akak meningkat, prestasi nyanyian mahupun lakonan terus sukses atau sekurang-kurangnya maintain, sekali gus dikurniakan kesihatan yang baik. Itulah yang akak harap-harapkan. Mudah-mudahan bersama tuah anak, dimurahkan lagi rezeki akak, Insya-Allah,” katanya memulakan bicara pada petang itu.

Selepas mendirikan perkahwinan pada 1998, Ziana pernah mengejutkan peminatnya dengan kenyataan tidak mahu berlakon lagi kerana ingin memberi tumpuan kepada rumah tangga dan keluarga. Justeru, filem Merah adalah lakonan terakhirnya sebelum dia mengambil keputusan itu.

Pun begitu, selepas enam tahun 'bersara' dari layar perak, Ziana akhirnya akur dengan permintaan sifu lakonannya, Datuk Yusof Haslam apabila menerima tawaran membintangi filem Sembilu 2005 dan Pontianak Menjerit, kerjasama Datuk dan Yusof Kelana.

“Akak tak pernah cakap, I will never berlakon! Sebenarnya selepas akak melahirkan Aiman, Datuk dah mula risik, tapi akak beritahu, akak belum sedia.

Datuk tak pernah putus asa, dia kata, dia akan tunggu.

Akhirnya selepas second baby, Datuk call lagi dan kebetulan, akak memang dah bersedia untuk buat come back.

“Syukur, walaupun akak ni dah beranak dua, peminat masih setia menanti akak di layar perak. Itulah kekuatan akak, peminat. Bersama sokongan peminat, akak jadi kuat untuk terus mengharung dunia seni,” kata Ziana yang ketika ini sedang menyiapkan penggambaran filem terbarunya, Qabil Khusri Qabil Igam (QKQI).

Filem terbitan Sonata Film (M) Sdn Bhd itu menggandingkan Ziana bersama rakan seperjuangannya dalam Sembilu, Erra Fazira, di samping Yusry KRU dan Hans Isaac.

Dalam masa sama, penyanyi yang begitu popular menerusi lagu Madah Berhelah, Setia Kasih dan Lembah Asmara ini sedang dalam pembikinan album solo ke-8.

Dia memilih pengarah muzik terkenal, Ramli MS sebagai Penerbit Eksekutif dan pertama kali bakal menyanyikan lagu ciptaannya.
Ziana Zain
Album yang bakal membariskan komposer hebat seperti Ajai, Jai (Biru), Azmeer dan Hazami itu dijadualkan menemui peminat selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini, diikuti konsert mega yang direncanakan berlangsung sejurus album berada di pasaran.

“Setiap kali album atau filem baru nak keluar, degupan jantung akak macam orang menunggu saat bersalin! Sebelum baby keluar, lazimnya macam-macam yang terbayang kat fikiran ni, cukup ke sifatnya, sihat ke dia, begitu juga dengan album, filem, orang terima ke lagu kita, lakonan kita tu berkesan ke tidak?” kata Ziana yang pernah dinobat sebagai Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1995 (ABPBH1995).

Ziana juga terus menjadi buruan korporat gergasi untuk menjadi duta atau jurucakap kepada produk mereka. Sejak 1997 hingga kini, Ziana menjadi duta kepada syarikat pengeluar jam berjenama elit, Omega, selain Vono, Nutrimetic dan terbaru, Slim World.

Dia juga baru saja menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Hotel Quality City Centre Kuala Lumpur dan Shah Alam pada 14 dan 20 April lalu.

Dalam kerancakan Ziana menempa nama dan terus menjadi pujaan pencinta seni, kehidupan peribadi Ziana dan suaminya terus diperkotak-katikkan apabila timbul desas-desus rumah tangga mereka berantakan, gara-gara orang ketiga.

“Cerita seumpama ini akak ibaratkan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Tapi, akak tak nafikan, dalam rumah tangga, gaduh sikit-sikit tu adatlah. Terpulanglah pada kita macam mana nak handle. Akak tak kisah apa orang nak cakap, yang penting kami bahagia. Seperkara lagi, jangan mudah melatah,” kata Ziana yang berteraskan kepercayaan dan komunikasi dalam mengekalkan kebahagiaan rumah tangganya.

Sementara itu, Ziana turut melahirkan rasa sedihnya apabila saban minggu di dada akhbar, ada saja rakan artis, malah yang seangkatan dengannya, diberkas pihak berkuasa kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan najis dadah.

“Secara peribadi, akak terlalu sedih. Satu demi satu rakan artis kita diberkas pihak berkuasa kerana masalah yang mereka cipta sendiri. Akak tak tahu di mana silapnya, mungkin kesempitan wang atau lifestyle yang mengheret mereka ke jalan hitam.

“Sebenarnya masalah dadah dan artis ini dah lama, ia berlaku di mana saja. Bezanya merebak ke tak, itu saja. Justeru, buatlah pertimbangan yang sewajarnya.

Artis ni public figure, orang biasa terbabit dengan dadah tak ada publisiti, tapi kalau artis, esok baca surat khabar, front page dik...

“Akak harap, janganlah masyarakat melihat industri kita dengan pandangan negatif. Industri masih memerlukan artis, tapi jangan kaitkan perangai artis yang tak elok dengan industri. Artis terbabit dengan dadah, itu masalah peribadi. Hargailah kerjaya penyanyi dan pelakon itu, tapi kalau mereka terbabit dengan dadah, janganlah kata industri kita kotor,” pinta Ziana sebelum mengakhiri bicara.