Ziana sah berlakon dengan Erra, Yusry dan Hans
oleh kita orang
 

BARU-BARU ni Kita Orang ada siarkan cerita kononnya Erra,Ziana, Yusry dan Hans Isaac akan berlakon bersama dalam sebuah filem baru. Enam hari lalu, Kita Orang terserempak pula dengan Akak Ziana kita tu. So, apa lagi, Kita Orang mintalah pengesahannya.

Maka, betullah khabar yang menderu datang ke telinga Kita Orang dulu. Tajuk filem tu ialah Qabil Khusry Qabil Igam. Memanglah bunyinya macam sebuah filem Hindustan, Kabhi Khushi Kabhie Gham, namun ceritanya amat berlainan.

Kata Ziana, dia pilih filem tu sebab dia sukakan skripnya. Selama dia berlakon, inilah skrip paling baik dia pernah dapat, katanya. Wah, pasti meletup lah nanti ya akak?

Filem ni, kalau tak silap, akan mulakan penggambaran awal Mac ini. Siap buat penggambaran kat luar Kuala Lumpur gitu. Terpaksalah Ziana berpisah dengan anak-anak buat seketika, kan?

Dalam filem keluaran Sonata Films tu juga, Ziana berpasangan dengan Hans, manakala Erra pula tentulah dengan Yusry. Ceritanya pula mengenai keluarga dan kisah adik beradik. Mmmm, mahu meletup panggung apabila filem tu ditayangkan nanti.

Kita Orang tahu, ramai yang sukakan pasangan Erra-Ziana ni. Maklumlah, sejak Sembilu lagi, pasangan dua wanita popular ni memang menjadi!