Ziana Zain - Bagaikan digantung tidak bertali
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
Petikan : Utusan Malaysia 18 April 2005
 

ENTAH di mana silapnya, setelah tujuh tahun berehat daripada bidang lakonan dan kini diberi peranan penting dalam filem Qabil Kushri Qabil Igam, penyanyi dan pelakon Ziana Zain bagaikan digantung tidak bertali oleh penerbitnya, Sonata Filem.

Ziana yang memegang peranan sebagai Rani dalam filem itu memberitahu, beliau dan tiga lagi artis utama iaitu Hans Isaac (Kushri), Erra (Karisma) dan Yusry (Igam) kini menunggu waktu dipanggil semula untuk ke lokasi. 

``Saya tidak tahu apa masalahnya. Tetapi selepas saya menjalani penggambaran dua minggu di Tanjung Karang dan Paya Jaras, saya tidak lagi dipanggil ke lokasi. Tetapi saya dah dengar pihak penerbit mengalami masalah untuk meneruskan penggambaran. 

``Baru-baru ini mereka ada panggil saya untuk berbincang tetapi saya beritahu, beri saya waktu dan mungkin saya akan bertemu mereka selepas Minggu Setiausaha di Hotel Quality Shah Alam pada 20 April ini,'' kata Ziana.

Menurut Ziana, mengikut kontrak antaranya dengan syarikat berkenaan, filem itu dijangka menjalani penggambaran selama 72 hari.

``Setakat ini saya baru menjalani penggambaran antara 10-15 peratus daripada filem itu. Insya-Allah jika saya dipanggil sambung semula penggambaran, saya akan ke lokasi kalau waktunya sesuai.

``Sebagai penyanyi, saya mempunyai jadual show dan penerbit sudah pun bersetuju dengan jadual penggambaran itu. Jadi saya harap bila perbincangan diadakan, mereka akan menerima jadual saya,'' kata Ziana.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Sonata Filem, Hisham A. Karim ketika dihubungi menafikan penggambaran filem pertama syarikatnya itu dihentikan disebabkan masalah kewangan.

``Kami terpaksa menghentikan penggambaran buat sementara waktu kerana beberapa masalah. Tetapi apa yang ingin saya tegaskan ia bukanlah masalah kewangan. Kami mempunyai bajet yang cukup. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, penggambaran filem ini akan disambung semula tidak lama lagi,'' kata Hisham.

Ditanya apakah punca itu kerana Sonata membuat bayaran terlalu tinggi kepada empat pelakon utamanya, Hisham tegas menjelaskan: 

``Tidak, itu bukanlah masalahnya! Memanglah jika melihat nama pelakonnya anda pun boleh tahu macam mana bayaran untuk mereka tetapi ia tidak menjejaskan bajet kami kerana semuanya sudah ada dalam perkiraan kami.''