Shiela, Ziana lancar Tabung Harapan Kanak-Kanak
petikan : Utusan Malaysia 24/3/2005
 

     DEMI membantu kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit kronik, Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, baru-baru ini telah melancarkan tabung Keamanan dan Harapan Untuk Kanak-Kanak.
Tabung berkenaan dilancarkan bersempena Minggu Setiausaha yang akan berlangsung dari 11 April hingga 19 April di hotel berkenaan.

Menurut Pengurus Besar Hotel Quality, Johan Thomas Low, hasil kutipan derma daripada tabung berkenaan akan disalurkan kepada Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.Katanya, selain membantu projek yang dijalankan oleh yayasan khususnya membantu kanak-kanak yang dijangkiti HIV dan pelbagai penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan leukemia, ia juga menyokong usaha kempen membenteras keganasan ke atas kanak-kanak.

``Pelancaran tabung berkenaan adalah bagi menyokong usaha yang dijalankan oleh Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia yang telah ditubuhkan kira-kira dua tahun lepas,'' katanya pada pelancaran tabung tersebut dan sidang akhbar Minggu Setiausaha hotel itu di ibukota baru-baru ini.Penyanyi popular Sheila Majid dan Ziana Zain telah melancarkan tabung berkenaan.Johan berkata, pihak hotel berkenaan turut menyumbang sebanyak RM50,0000 bagi mengisi tabung itu.

Malah tegasnya, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menyalurkan sebahagian hasil jualan tiket sempena Minggu Setiausaha yang diadakan di kedua-dua Hotel Quality kepada tabung berkenaan.``Pihak kami juga akan meletakkan tabung di kedua-dua lokasi bagi memudahkan tetamu dan orang ramai menghulurkan derma bagi menyokong tabung yang kami lancarkan hari ini,'' jelasnya. 

Menyentuh mengenai persembahan sempena Minggu Setiausaha, Johan menjelaskan, tahun ini hotel berkenaan akan menganjurkan sembilan pertunjukan makan tengah hari oleh artis terkenal seperti Sheila Majid, Ziana Zain, Ning Baizura dan Kris Dayanti.

Selain dihiburkan, setiausaha yang bernasib baik juga akan menerima hadiah utama iaitu sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) Naza Citra yang bernilai lebih RM80,000. Cabutan hadiah itu akan dilakukan oleh penaung yayasan, Datin Seri Rosmah Mansor pada satu majlis berasingan yang akan diadakan pada Mei nanti.Hotel Quality City Centre mengadakan lima persembahan yang akan berlangsung di Sogo City Arena manakala selebihnya di Dewan MBSA Shah Alam untuk Hotel Quality Shah Alam.

Kris Dayanti, Ziana Zain dan Ning Baizura akan mengadakan persembahan di kedua-dua tempat sementara Sheila Majid mengadakan persembahan eksklusif untuk Hotel Quality City Centre sahaja.Kris Dayanti akan mengadakan masing-masing dua persembahan di Hotel Quality City Centre dan Shah Alam pada 11 April dan 12 April serta 13 April dan 14 April.

Sementara Ziana Zain dan Ning Baizura masing-masing akan mengadakan persembahan pada 14 April dan 18 April serta 19 April dan 20 April di kedua-dua tempat.Sheila Majid pula akan mengadakan persembahan pada 19 April. Sheila Majid dan Ziana Zain yang ditemui pada majlis tersebut memberitahu, mereka menyanyikan pelbagai variasi lagu-lagu Melayu dan Inggeris termasuk lagu-lagu popular mereka pada persembahan itu nanti.