Nasihat Ziana
Oleh Nazrullah Rosli
Petikan : Utusan Malaysia 25/6/2005
 

``SAYANGI diri anda.'' Itu pesanan penyanyi dan pelakon, Ziana Zain ketika memberikan khidmat nasihatnya sebagai duta produk pelangsingan badan, Slim World House di Lintas Square, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Untuk itu, Ziana menasihati kaum wanita khususnya yang telah berkahwin agar sentiasa menjaga penampilan diri supaya golongan suami tidak cepat bosan dan lari `mencari' yang lain. ``Nasihat saya kepada wanita di luar sana tu, janganlah sampai si suami atau teman lelaki anda mencari wanita lain yang lebih cantik, menarik dan ramping hanya kerana anda malas menjaga penampilan diri,'' nasihatnya berterus terang.

Ziana yang kini mempunyai berat badan 48 kilogram berkata, wanita yang cantik dan mempunyai bentuk badan yang menarik pasti akan membahagiakan suami dan mengekalkan keutuhan rumah tangga. ``Biarlah muka tidak cantik, tetapi wanita yang mementingkan penampilan diri akan mudah disenangi oleh kaum lelaki,'' jelasnya.

Katanya lagi, sememangnya bagi wanita yang gemuk mempunyai masalah untuk menjalani proses menguruskan badan kerana tidak kuat semangat dan mudah berputus asa. ``Saya dulu selepas melahirkan anak mempunyai berat badan 73 kilogram dan itu merunsingkan saya sebagai seorang artis. Bagaimanapun, selepas mengikuti program ini selama tiga bulan bermula Januari tahun lalu, alhamdulillah, berat badan saya turun kepada normal,'' kata pelakon berusia 37 tahun dan ibu kepada dua anak berusia lima tahun dan satu tahun lapan bulan ini.

Apa pun, kata penyanyi ini, dia tidak pernah mengamalkan penggunaan sebarang bentuk pil melangsingkan badan. Lagipun, katanya, kebanyakan pil seperti itu mempunyai risiko yang tinggi terutamanya jika tidak sesuai dengan tubuh badan. ``Saya takut memakan pil begitu selepas mengetahui ada kes menyebabkan penyakit buah pinggan dan hati akibat penggunaannya,'' ujar Ziana yang muncul dalam filem terbarunya, Pontianak Menjerit yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Katanya lagi, selain menjalani program seumpama itu, penjagaan pemakanan juga penting. ``Kita perlu juga menjaga pemakanan. Jangan ambil terlalu banyak bahan-bahan berlemak yang mempunyai kolesterol yang tinggi, berminyak dan berkimia.

``Saya tidak mengamalkan buah-buahan yang banyak mengandungi air dan gula kerana ia boleh menggemukkan. Selain itu saya amalkan makan semangkuk nasi dan sup sayur pada sebelah malam,'' katanya sebagai duta Slim World.