Ziana jaga badan jaga makan
Oleh Tajaiyah Ihsan
Utusan Malaysia 6/2/2005

SESUATU yang menarik mengenai Ziana Zain ialah kepetahan bercakap dan apa yang dituturkan itu jelas lagi bernas.Barangkali ini boleh diteladani oleh pendatang baru yang ingin mencari nama dan menjadikan nyanyian sebagai kerjaya di dalam industri hiburan. 

Kala ditemui di sidang media Ziana dan pusat kecantikan Slimworld baru-baru ini, selain melayani pertanyaan wakil media dia juga terlebih dahulu berdialog dengan pelanggan Slimworld. Dia ditanya semuanya daripada soal kecantikan hinggalah kerjayanya sebagai penyanyi dan peranannya sebagai ibu kepada dua orang anak.Tegas dan yakin dengan apa yang diperkatakan Ziana memberikan pendapatnya satu per satu. Menariknya dalam tegas itu diselitkan unsur humor menjadikan temu bual tidak bosan.

Menjaga kecantikan

Dalam soal makanan ini, Ziana akui dia begitu berhati-hati. Malah dia mengamalkan diet yang seimbang. ``Saya kurangkan makanan berlemak, berkanji, kurangkan gula, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan tanpa melupakan makanan berserat dan protein. Ini juga bermakna Ziana cuba elakkan makan roti canai dan nasi lemak sebelah pagi. Seminggu sekali kalau teringin barulah makan. Selain itu Ziana juga mengelak makan malam lebih dari pukul 7 malam. Kalau lapar sekalipun Ziana tidak akan `cari nasi' cukup sekadar secawan Milo panas atau Quaker oat panas serta beberapa keping biskut sebagai alas perut.Kalau makannya bagaikan disukat, Ziana juga tidak melupakan senaman bagi memastikan dirinya segar dan cergas.

Kata Ziana, dia cukup gembira apabila ditawarkan sekali lagi sebagai jurucakap salun kecantikan badan SlimWorld untuk tahun yang kedua.``Banyak manfaat yang Ziana dapat. Bukan sahaja makan yang Ziana perlu jaga tetapi untuk mengekalkan berat badan yang sepadan dengan ketinggian Ziana.Di pusat kecantikan ini Ziana mengikuti program kelangsingan dan kecergasan badan. Selepas bersalin dan berpantang 60 hari tidak berapa lama dulu Ziana ditawarkan menjalani program Slimworld.``Pihak pusat kecantikan ini menyediakan program diet khas seperti yang menyentuh pemakanan dan juga senaman.''Nampaknya hari ini Ziana sudah memperoleh berat badan yang diinginkan. Selain itu Ziana hanya makan nasi daripada jenis beras herbaponik.

Tidak suka terlampau

Ziana memberitahu dalam banyak perkara dia tidak suka terlampau. Terlampau kurus misalnya menakutkannya.
``Kurus tu kurus juga tetapi kalau terlampau kurus takut anoreksia pula, tak mahulah macam tu. Begitu juga tidak mahu terlampau berisi sangat. ``Apa yang penting sederhana saja, kata orang sesedap mata memandang. Suami saya juga kata begitu. Dan sudah tentulah ibu bapa dan suami merupakan penasihat saya.'' Begitu juga dalam hal kecantikan. Ziana lebih suka keadaannya hari ini. Tidak ada sesuatu yang tidak asli dalam dirinya. Ziana bimbang benda yang tidak asli boleh menjejaskan kesihatan diri. ``Begitu juga dengan kulit, kalau Ziana tidak putih melepak tak apalah. Pada Ziana yang penting menjaga kebersihan dan kesihatan kulit agar ia halus mulus,'' ujar Ziana yang merupakan jurucakap bagi produk kecantikan Nutrimetics. Dalam memastikan kulitnya lembap dan cantik, Ziana mengambil vitamin C setiap hari.

Tidak sorok umur

Bila menyentuh soal keluarga ibu kepada dua orang anak ini, Aiman dan Amar, terus terang memberitahu keluarganya adalah prioriti dalam hidupnya. ``Kerja tu kerja juga tapi anak-anak itulah yang utama. Sebab itu kalau saya ada kerja dan membolehkah saya membawa keluarga, saya akan bawa mereka. ``Sebenarnya saya bersyukur kerana keluarga dan suami memahami kerjaya saya dan mereka banyak membantu saya dalam kerjaya ini,'' ujar Ziana lagi. Wanita berusia 37 tahun ini, tidak menyorokkan usianya malah cukup selesa bila ditanya mengenai umurnya itu. Sesetengah artis sensitif fasal umur. Apabila tanya fasal umur mulalah berfalsafah padahal nak sembunyikan umur bimbang orang kata tua. Mujurlah Ziana tidak seperti itu. Cuma kata Ziana, dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk menambahkan bilangan anak kerana akan menjangkau usia 40 tahun tiga tahun lagi.  ``Dengan dua orang anak ini, Ziana pun sudah rasa bahagia. Kalau datang seorang dua lagi baik juga. Tapi kalau sudah melebihi 40 tahun, takut pula nak bersalin,'' ujar Ziana lagi.

Album dan filem baru

Ziana masih lagi menerima banyak persembahan makan malam di sana sini selain masih kekal menjadi jurucakap jam tangan Omega dan tilam Vono. Katanya, sehingga ini jika dia ditawarkan untuk memperagakan beg tangan atau kasut dia tidak akan menolak. Andai itu yang berlaku kira lengkaplah penajaan yang diterimanya.

Bagi Ziana ini merupakan satu kepercayaan dan penghargaan orang lain untuknya. Atas sokongan peminat dan banyak pihak Ziana sudah berjaya membina nama seperti hari ini.Barangkali kerana itulah Ziana cukup mesra dengan sesiapa sahaja dan melayani pertanyaan setiap yang hadir di majlis itu.Kini Ziana sudah membuat persediaan untuk membuat album baru dan akan berlakon dalam dua buah filem lagi selain menanti tayangan filem lakonannya Pontianak Menjerit dan Sembilu 2005, Apabila ditanya apakah yang menyeronokkan? Ziana memberitahu, saat tengok anak pandai mengaji dan mula celik komputer.``Katanya, zaman siber ini, semuanya fasal teknologi dan komputer tetapi sebagai ibu bapa selain beri pengetahuan kena juga fikirkan pembangunan rohani.``Itula sebabnya anak sulungnya dimasukkan di kelas tadika yang bukan sahaja didedahkan dengan sukatan pelajaran akademik tetapi yang menekankan fardu ain,'' ujar Ziana.