Sembilu 2005 - Tayangan amal 15 Mac ini
Petikan : Utusan Malaysia 8/3/2005
 

KELAB Veteran Utusan Melayu (KVUM) akan menganjurkan tayangan amal filem Sembilu 2005 bertujuan bagi mengisi tabung kelab berkenaan.Tayangan amal itu akan diadakan pada 15 Mac ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 8 malam.

Menurut Presiden KVUM, Datuk Zainuddin Maidin, hasil kutipan daripada tayangan amal itu akan disalurkan ke tabung berkenaan bagi merealisasikan beberapa perancangan kelab tersebut.Antaranya mengumpul dana bagi membeli mesin hemodialisis yang akan disumbangkan kepada hospital kerajaan.Kemudahan tersebut, kata beliau, bukan sahaja untuk keperluan ahli-ahli KVUM tetapi juga boleh digunakan oleh orang ramai.

``Hasrat kita ialah supaya melalui tabung berkenaan, kita dapat membantu para ahli-ahli KVUM di samping membantu masyarakat secara amnya,'' katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran tayangan amal perdana anjuran KVUM di Dewan Cempaka, Restoran Haslam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah filem Sembilu 2005 yang juga Pengarah Urusan Skop Production Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam.Tayangan amal badan yang ditubuhkan pada 2000 itu dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dengan kerjasama Skop Production.

Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata, melalui kutipan itu nanti diharap dapat melengkapkan pejabat KVUM di bangunan yang baru dibeli berharga RM246,000 tidak berapa lama dulu.

Beliau turut menyatakan rasa bangganya dengan keprihatinan Skop Production untuk bekerjasama dengan KVUM dalam usaha mengutip dana bagi tujuan kemasyarakatan kelab berkenaan.

Justeru beliau berharap tayangan amal perdana filem lakonan Hetty Sarlene, Vince Akademi Fantasia 1 (AF1), Erra Fazira, Ziana Zain dan Awie itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

``Kami tidak menetapkan sebarang sasaran untuk kutipan tabung itu nanti namun saya mendapat tahu ia mendapat sambutan memberangsangkan khususnya daripada badan-badan korporat dan dermawan,'' jelasnya.

Pas-pas masuk untuk ke tayangan amal perdana itu boleh didapati di pejabat Utusan Melayu, Skop Production, Restoran Haslam dan Finas dengan bayaran minimum RM20. 

Sementara itu, Yusof Haslam berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan KVUM sebagai tanda terima kasihnya terhadap sokongan badan tersebut kepada industri perfileman tempatan.