"SAYA PERANGI DADAH 110 PERATUS!"

"Ketika remaja lagi, saya sudah terperangkap dengan dadah. Masa itu masyarakat kita agak jahil dengan bahaya dadah. Negara kita juga masih jahil tentang bahayanya di tahun-tahun 70an dulu. Kalau ada masalah, saya cari jalan keluar dengan dapatkan dadah. Saya menjadi remaja tidak bernasib baik. Namun, keinsafan kini menyelubungi hidup saya. Alhamdulillah...

Ingin mencari keseronokan dengan suka mencari risiko. Saya tidak sangka padahnya terasa sampai sekarang. Saya terperangkap dalam gejala ini. Masa itu, saya akui, memang bermula untuk seronok-seronok. Saya terbabit dengan dadah dalam usia terlalu muda. Masa itu, saya pun tidak tahu dadah itu apa bendanya. Dari suka-suka, ia menjadi kemestian pula. Apabila ada perkara yang menekan saya, saya terpaksa cari benda (dadah) tu.

Sekarang dalam usia 41 tahun, saya bersyukur kerana dapat kesedaran. Saya benar-benar insaf sekarang. Tunggu dan lihatlah nanti. Sekarang saya kena belajar bagaimana untuk mentadbir emosi dengan baik. Saya harus tahu cara untuk menolak benda negatif. Dulu, saya pernah cuba berhenti tetapi tidak yakin untuk ceritakan pada orang sebab dulunya saya berhenti bukan atas kerelaan dan kata hati sendiri. Sekarang saya berhenti dengan kehendak sendiri, bukan kerana orang lain. Saya sedar, saya harus kembali kepada Tuhan. Dia Yang Maha Berkuasa. Saya sekarang bersih 110 peratus.

Dulu saya cuba berhenti tetapi pengisian hidup saya tidak betul. Kawan-kawan pun marah kerana saya cuba berhenti mengambil dadah tetapi saya masih hidup dengan aktiviti yang tidak banyak membantu pencegahan itu dalam diri saya sepenuhnya. Kawan rapat saya banyak nasihatkan saya supaya pengisian hidup saya harus betul.

Saya sudah ada semangat baru sekarang. Saya rasa belum terlambat untuk saya bangkit semula dengan azam baru, imej baru dan Jamal Abdillah yang ‘baru’. Berilah saya peluang. Apa yang berlaku terhadap saya sebelum ini, saya redha. Saya mahu berkongsi pengalaman pahit ini untuk membantu semua pihak mencegah penagihan dadah.

Apa yang menimpa saya sebelum ini, saya tidak menyesal. Jika menyesal, ia akan memberi tekanan kepada saya dan tentunya membuatkan saya hilang kawalan lagi. Kata hati menyuruh saya berhenti menjadi penagih dadah sejak tiga bulan lalu apabila saya ditimpa satu peristiwa. Maaf, saya tidak dapat beritahu apa kejadian itu... ia terlalu peribadi. Cuma yang dapat saya katakan, ketika peristiwa itu berlaku, saya rasakan harga diri saya sudah tidak ada lagi.


Suatu malam, selepas peristiwa itu, saya menangis ketika berada seorang diri dalam bilik dan saya berdoa berkali-kali kepada Allah supaya kehidupan saya berubah. Saya sudah tidak tahan lagi hidup begini (menjadi penagih). Saya pun bukan hendak hidup begini tetapi saya tidak terdaya. Ketika menjadi penagih, saya macam bateri, hidup saya dikawal satu benda yang merosakkan.

Saya termenung dan kemudian menangis. Saya mengadu kepada Tuhan, inikah yang saya cari selama ini? Saya minta pertolongan Allah. Hati saya begitu sayu. Saya sedar, dugaan besar akan terus ditempuhi selepas ini. Saya akan cuba berfikiran positif.

Sekarang, saya bersyukur... saya sudah ada semula semangat yang kuat. Sekarang saya pelik sebab saya berasa seperti tidak pernah menjadi penagih. Saya harus meyakinkan masyarakat bahawa saya sudah berubah. Saya harus yakinkan mereka. Kalau ada yang percaya sedikit pun sudahlah. Memang sebelum ini, saya rasa tersisih. Sampai satu peringkat, saya sendiri rasakan peminat pun sudah tidak ada lagi untuk penyanyi macam saya.

Walaupun masih menjadi penyanyi dan mendapat tawaran membuat persembahan tetapi saya rasa jemputan itu seperti tidak nyata. Saya rasa ia seperti satu simpati, macam 50-50 saja. Masyarakat pandang saya dengan simpati tetapi mereka tidak boleh buat apa-apa, sekadar kasihan dengan nasib saya.

Apa yang saya cari sekarang ialah pengisian hidup yang beri manfaat. Saya selalu berdoa supaya Tuhan kuatkan hati saya. Kehidupan harian saya harus sentiasa diisi. Kalau dibiarkan kosong, saya terawang-awang. Saya selalu fikir apa rancangan saya. Sekarang saya sudah bangun tidur awal, jam 6.30 pagi. Sebelum ini, jam 10 dan 11 pagi, belum tentu dah bangun. Sekarang saya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga di Ipoh. Saya harus bersama keluarga semula, bersama ayah dan adik-adik. Kerja harian saya, saya buat apa yang boleh memanfaatkan pengisian hidup. Saya juga tolong adik saya di kedainya. Dulu, saya punca masalah dalam keluarga. Bayangkan, ayah saya meletak jawatan sebagai imam kerana anaknya penagih, begitu juga adik saya, pinangannya ditolak kerana abangnya penagih. Sekarang saya harus yakinkan mereka dan ‘membayar balik’ keyakinan mereka.

Soalnya, bagaimana saya harus ambil hati adik-adik saya semula? Saya juga kasihan melihat ayah saya. Dia cukup faham isi hati anak sulungnya ini. Sebab itu saya kena rapat dengan keluarga. Memang, kesan perbuatan saya dulu terlalu kuat terhadap nama baik keluarga. Sekarang saya kerap ikut ayah saya ke masjid, majlis kenduri. Saya harus berdepan semula dengan masyarakat dengan keyakinan tinggi.


Apa yang saya fikirkan sekarang ialah perancangan untuk tempoh umur saya 45 tahun nanti. Apa yang saya harus buat. Selain kebolehan menyanyi, saya ada pengalaman berharga. Ini cukup penting dan akan dibawa untuk pengetahuan masyarakat. Sebab itu, untuk lagu saya akan datang, saya mahu memuatkan lirik yang lebih kepada pentas kehidupan dan kemanusiaan.

Kini saya mahu bersama pihak tertentu untuk membantu. Saya sayangkan adik-adik saya yang masih muda seperti remaja Melayu di kawasan Felda. Mereka harus dibantu. Saya kagum dengan anak muda terutama yang berusia 21 hingga 25 tahun. Tempoh usia itu sangat bermakna. Sekarang saya sudah ubah sikap saya. Banyak pengalaman yang ada pada saya tidak ada pada orang lain.

Jadi, saya mahu berkongsi pengalaman ini untuk bersama Persatuan Pengasih Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk sama-sama menjalankan kegiatan menyedarkan anak muda mengenai penyalahgunaan dadah. Saya tidak berceramah tetapi akan muncul menyanyi sambil memberi nasihat. Program ini bertepatan dengan imej saya sebagai penyanyi, kalau beri ceramah mungkin tidak sesuai. Perbincangan konkrit akan dibuat sedikit masa lagi bagi merancang pengisian program ini.

Saya juga terharu dengan pihak media yang masih sayangkan saya. Walaupun saya menyepikan diri, mereka masih mencari saya dan ingin tahu perkembangan diri saya. Ini bermakna kawan-kawan wartawan masih ingatkan saya.Apa yang penting, jiwa saya semakin tenang dan saya tidak lagi fikir benda negatif. Pengisian hidup saya kini berubah. Insya-Allah...."

-JAMAL ABDILLAH-
Quality Hotel City Center
Kuala Lumpur
*14 September 2000*