KONSERT SOLO ORKESTRA ABANG MAL - MANTAP DAN BERTENAGA !

"Setelah hampir 30 tahun bergelumang dengan pahit getir dunia seni, Jamal Abdillah (atau yang saya panggil Abang Mal / Abang Yob) masih dapat bertahan dalam industri muzik tanahair, walaupun ramai penyanyi datang dan pergi silih berganti. Sepanjang pembabitan beliau dalam bidang nyanyian, Abang Mal telah pun menghasilkan lebih 20 buah album penuh termasuk album kompilasi.

Jika dinilai perjalanan kerjaya beliau, sesetengah peminat muzik tanahair mungkin beranggapan bahawa Abang Mal telah pun pernah mengadakan konsert besar secara solo. Namun hakikatnya, tarikh 4hb Ogos 2001 merupakan tarikh keramat bagi diri beliau. Tarikh itulah sebenarnya merupakan kali pertama Abang Mal mendapat peluang untuk mengadakan konsert solo walaupun realitinya beliau telah lama bergiat dalam dunia seni. Malam itu, dianggarkan hampir 3 000 penonton memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra atau PWTC untuk menyaksikan aksi 'live' Abang Mal yang diiringi gabungan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau DBKL dan Orkestra Radio Televisyen Malaysia atau RTM. Mereka dipimpin oleh Encik Ishak Ali Muda (Pak Sahak merupakan panggilan mesra saya pada beliau).

Secara jujur (tanpa sentimen peribadi) saya mengatakan yang Abang Mal merupakan penyanyi solo lelaki 'versatile' yang tiada tolok bandingannya! Kenapa demikian? Ini kerana beliau mampu mengawal suara dengan baik di usia 42 tahun walaupun menyanyikan 30 buah lagu yang hampir kesemuanya bernada tinggi! Apa yang dapat saya lihat, kebanyakan penonton yang hadir berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas dan tidak kurang juga di bawah 20 tahun. Tidak dapat dinafikan lagi, kebanyakan peminat yang hadir adalah peminat setia Abang Mal termasuklah golongan artis. Mereka terdiri daripada M. Nasir bersama isteri beliau Marlia Musa, Khadijah Ibrahim, Rosyam Noor, Raja Azura, Hattan, Yantzen, Dharma Harun Al Rashid, Zamani Slam, Shamsul Ghau Ghau, Nurul Jasmin Deo & S. Amin Shahab. Bekas isteri Abang Mal iaitu Kak Dee atau Kak Basariah Latif juga hadir memberikan sokongan moral kepada Abang Mal bersama-sama isteri Abang Mal kini iaitu Kak Intan yang sentiasa di sisi Abang Mal.

Tepat pukul 9.15 malam, Abang Mal membuka tirai persembahan menerusi lagu 'Seniman Menangis'. Untuk pengetahuan peminat Abang Mal, lagu tersebut asalnya berjudul 'Duniaku' yang popular di sekitar tahun 1970an dendangan penyanyi dari Singapura, Ismail Haron. Abang Mal tidak pernah merakamkan lagu tersebut dalam mana-mana album beliau. Sebelum bergelar artis rakaman, lagu itulah yang sering menjadi siulan Abang Mal ketika berkumpul bersama rakan-rakan beliau di bawah pokok sambil memetik gitar kapok! Ternyata sekali, lagu tersebut menerima tepukan gemuruh sebaik Abang Mal selesai mendendangkannya. Apa yang cukup menarik adalah maklum balas penonton sepanjang konsert itu berlangsung. Sedari awal hinggalah konsert berakhir, tepukan gemuruh tetap kedengaran, tidak kiralah sebelum atau selepas Abang Mal mendendangkan sesebuah lagu!

Selain menyanyi, Abang Mal juga sempat berjenaka dengan penonton. Antara ungkapan yang digunakan oleh beliau adalah, "Syukur Alhamdulillah, kita dapat bertemu lagi, rupa-rupanya begitu panjang karier saya kerana dulu peminat saya masih muda dan sekarang kebanyakannya telah pun jadi ibu budak dan bapa budak! Tapi itulah hakikatnya dan saya begitu terharu dengan sokongan anda dari dulu sehinggalah sekarang. Tak ada apa yang dapat saya hadiahkan untuk anda, hanyalah lagu-lagu saya..."


Malam tersebut, Abang Mal menghangatkan konsert dengan rangkaian lagu 'Di Mana Bayanganmu', "Keluhan Perantau', 'Derita Cinta', 'Kembalilah' dan 'Aku' di permulaan konsert. Kemudian lagu 'Sepi Seorang Perindu' menggamit kembali saat-saat kegemilangan beliau di sepanjang tahun 1980an dahulu. Abang Mal turut mengundang pendatang baru dalam arena seni suara iaitu Intan Sarafina untuk berduet bersama beliau. Mereka mendendangkan 3 buah lagu iaitu 'Ku Tahu Hatimu Terluka', 'Sandarkan Pada Kenangan' dan 'Kehebatan Cinta'.

Kemudian, Abang Mal turut memperdengarkan rangkaian lagu popular iaitu 'Tidurlah Permaisuri', 'Nasib Diriku', 'Ke Mana Ku Bawa Hati Yang Rindu', 'Sendiri' dan 'Madah Seloka'. Saya terpegun dengan keupayaan vokal Abang Mal. Jelasnya, Abang Mal lebih menumpukan perhatian pada lagu-lagu yang disampaikan berbanding berinteraksi dengan penonton. Ini kerana, bakat nyanyian beliau lebih menyerlah dan bertenaga! Persembahan malam tersebut diteruskan dengan dua buah lagu balada iaitu 'Nadi Cinta' dan 'Takdir Penentu Segala'. Selepas itu, Abang Mal bergabung kebolehan memetik gitar bersama Abang Shahdan dari Orkestra RTM untuk menjayakan segmen 'unplugged'. Segmen tersebut memperlihatkan Abang Mal mendendangkan 3 buah lagu secara 'medley' iaitu 'Bunga Pujaan', 'Ku Sangka Siang Kiranya Malam' dan lagu ber'hantu' iaitu 'Azura'... Abang Mal mengakhiri segmen ini dengan menyampaikan lagu 'Seniman Menangis' buat kali kedua memandangkan lagu ini merupakan lagu kegemaran Abang Mal.

Selepas tamat segmen 'unplugged', suasana di dalam dewan gelap gelita. Ini merupakan gimik persembahan di mana semua penonton diam sejenak sambil memerhatikan pentas. Tiba-tiba lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir' berkumandang dan mereka tercari-cari di manakah Abang Mal, kerana hanya suara beliau yang kedengaran sedangkan beliau tiada di atas pentas. Kemudian, tepukan gemuruh kedengaran kerana mereka menyedari yang Abang Mal berada di 'level 4' dewan dan bersalaman dengan penonton. Suasana semakin riuh rendah kerana ramai peminat beliau datang menyerbu, namun mujurlah Abang Mal diapit oleh ramai pengawal peribadi. Setelah keadaan tidak begitu terkawal, Abang Mal berlari semula ke atas pentas untuk menyampaikan pula lagu romantis dari filem 'Suratan Kasih' iaitu 'Penghujung Rindu'.

'Mati Hidup Semula' meneruskan kehangatan konsert. Lagu itu menceritakan liku-liku hidup beliau yang begitu menyentuh emosi penonton. Sebaik selesai menyampaikannya, rangkaian lagu-lagu pop rancak disampaikan oleh Abang Mal diiringi oleh penari-penari latar yang menceriakan kembali suasana. Lagu-lagu tersebut adalah 'Bingkisan Untukmu', 'Kereta Baru', 'Pilihan Hati', 'Kau Lupa Janji' dan 'Perjalananku'. Abang Mal turut menjemput saya dan semua yang terlibat dalam menjayakan konsert beliau ke atas pentas untuk diperkenalkan kepada para hadirin.

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Lagu yang melabuhkan tirai konsert berjudul 'Samrah Mentari' yang dipetik dari album pop tradisional ulung Abang Mal. Apa yang dapat saya lihat, para penonton masih tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing malah masih ramai yang melaung-laungkan nama Abang Mal seolah-olah mereka masih lagi tidak puas dengan konsert yang berlangsung selama 2 jam itu! Kepada peminat-peminat Abang Mal yang sudi bergambar dengan saya, saya rakamkan ucapan terima kasih. Sebenarnya saya cukup terkejut kerana ada di antara mereka yang bukan sahaja meminta tandatangan Abang Mal tetapi juga saya yang hakikatnya 'nobody' dalam industri muzik buat masa ini...Ini merupakan penghargaan yang tidak mungkin saya lupakan. Terima kasih...Dan kepada Abang Mal - JUTAAN TAHNIAH BUAT DIRI ABANG!"


*IKHLAS DARI ADIKMU TERSAYANG*
-Fathil HAYYAT Hidayat-
(14 Oktober 2001)