Pentas Arbanji, Puisi Rasa

Pantun:
Syair:
Halaman Utama:

SAJAK

rasalah manisnya, masamnya,
masinnya, pedasnya,
pahitnya, panasnya.
Manis adalah madu,
masam keperluan rasa,
masin penyukup rasa,
pedas penambah selera,
pahit itu ubat dan
panas pemangkin perasaan insan.

APA KAU RASA

Apa rasa kau

Apa rasa kau
bila marah reda
keadaan yang tidak kuingini
semasa gelora
andainya badai berhenti
kini sedang berlaku
dan aku suka

Apa rasa kau
jalinan yang inginku putuskan
semasa merosot
kini dalam simpulan kejab
setelah lurus
dan aku suka

Apa rasa kau
sumpah marahku
dalam tekat
kulanggari
dan aku suka


Bandar Darul Aman
31Januari, 97.

Bila Mulutku Tertutup

Aku di sini
dipandang sebelah mata
disapa sekadar

Rasanya mahu aku membuka mulut
memamir taring bisaku
yang mampu mencacak segala impian
juga meruntuh segalanya
atau biasakan saja mereka melihat di waktu tawaku
di masa kuapku
bila…!

Di atas
mereka tertawa sekumpul
entah saham mana yang melunjak
atau comedy story di golf club
aku nampak bayangan sampah di bola mata mereka
arcaku?…

Denganku
mereka menangguh senyum
usah beraksi sengeh
tangan menjadi berat

Kita tidak sebaris
aku hanya di anak tangga
mereka lahir di atas tangga.


Arbanji.
Bandar Darul Aman,
11.08.96

Dia Peka Segala

Di suatu sudut
tajam matanya
peka segalanya, hampir…

mengawasi segala
siapa yang melewati masa
siapa yang digoda waktu
siapa yang mengundang mimpi
siapa yang berjanji api

pena yang sentiasa di asah pada kertas
seolah menanggung satu tugas maha sibuk
melayani kepekaannya
yang ada satu sumpah
buta pada diri

dia peka segala, hampir…
sayangnya tiada siapa
mahupun dinding atau cermin, 
yang rela memantun kembali dirinya
lalu terus buta

dia peka segalanya, hampir…
sayangnya..! buta pada diri.


Arbanji.
Bandar Darul Aman.
09.08.96


Taman Dunia

Taman dunia
di sisinya punya tombokan
yang mengacau perasaan
mengocak minda
mengajak mengelamun lemas
mengasah rindu

Taman dunia
katanya ada syurga
padanya penuh anganan
cerita indah
riwayat agong
yang tak akan puas untuk sekalinya
mengorek mimpi

Taman dunia
adalah pandangan indah
semaian subuh
menyembunyi seribu leka
rebutan dunia

Taman dunia
punca dentuman
segala isi hati


Arbanji.
Jitra.
24.08.96.


Merasa Sunyi

Merasa sunyi
bukan ingin
bukan mahu
tapi dari timbal rasa
teragedi 	depan mata
yang bukan malu
makin seranah
tumpah sumpah

tak bisa kujahit luka
kerana tiada luka
tak bisa kupujuk setia
kerana tiada janji
tak bisa kuraung
kerana tiada sesal
tak bisa kuratap
kerana tiada sedih

Merasa sunyi
buka mahu
bukan ingin


Arbanji
BDA
24Januari, 97


Sakit Tanganku

Sakit tanganku
Mencercah alas nipis
yang kadangnya menjadi bunga
luruh kaku di penjuru
di sapu dan kemudiannya datang lagi yang lainnya

Terkumpullah satu simfoni senyap
merangkum asal isikata hati dan seluruh fikiran
yang terbuang
yang dibuang
sedang leka bertapa
untuk habuan corak yang mungkin sempurna
atau akan dipunggal bersama wadahnya
untuk terus kekal bertapa
sehingga akhirnya lenyap

Sakit tanganku
mencorak berulang kali
baris, ayat, isi dan segala
yang semuanya ada di penjuru
simfoni senyap yang akan lenyap.


Arbanji.
Alor Star.
01.08.96.


Selamat Pagi Kasut

Selamat pagi kasut
untung mahalmu dilasak
antara melanyak najis dan permaidani
pada buruh binaan atau datuk-datuk

Riwayatmu senasib
yang murah menjunjung beban lasak
yang mahal mengalas ringan kaki yang 
  badannya di sofa

bau kuapmu di musim sejuk
tidak menghalang untuk terus mengajakmu
membalut hangat seribu kaki

Pagi
setiamu didepan pintu
antara yang sedap dakapannya
akan diinjak pijak berulang kali
namun terus menawarkan seribu nikmat

Sesekali disisih kerana tokakanmu
dan kau akan terus merayap di bumi
sebelum dibuang tanpa keraian.

Arbanji.
Bandar Darul Aman.
24.08.96.


Selangkah Lagi

Selangkah lagi 
tentu aku membunuh
hanya secebis kekebalan perasaan mengajak lalai
membuai aku sedikit leka
dari terus mengerti untuk bertindak 
parah tentunya.

terima kasih 
telinga yang rela memekak
mulut yang setia membisu
walaupun tangan mulai ringan
mengajak menghayun kosong
bebanan ku nampak ringan
terlalu setia ingin menolong.

kalau tidak!
Kita entah ke mana.


Arbanji.
Bandar Darul Aman, Jitra.
12:41 pagi, 25.7.1996.


Senja Kelabu

Kulihat senja panjang kelabu
  kabur meruntun kauh tenggelam
    bersedia menanti malam badai
beralun mengharung laut debu
  berolak merah sejarah silam
    memeram hangat seribu andai
mengharap noda janji seribu
  hanyut jauh di lorong kelam
    sampai bila akan tersadai

runtuh dalam corong rindu
  ceria rasa angan berduka
    kelopak manja setia menanti
hanya itu janji madu
  membilang dari parut luka
    sehingga siapa saja mengerti
senang agaknya dibawa beradu
  penuh desiran sembang leka
    mencengkam kejap pada hati


Arbanji.
Alor Star.
24.08.96.