BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM
9 SEPTEMBER 1998

PETIKAN BERITA;

BERITA HARIAN
UTUSAN MALAYSIA
HARAKAH


Anwar yakin tiada bukti kukuh

        KUALA LUMPUR, Rabau - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin
        beliau masih belum ditahan atau didakwa kerana pihak yang berkenaan tidak mempunyai bukti
        kukuh untuk mengheretnya ke mahkamah.

        Beliau mendakwa polis masih meneruskan siasatan untuk mencari bukti, walaupun pada masa yang
        sama beliau sudah dipecat dengan alasan melakukan perbuatan tidak bermoral.

        Beliau mempunyai bukti bahawa orang yang rapat dengannya, termasuk adik angkatnya, Sukma
        Darmawan serta bekas kakitangannya di Kementerian Kewangan ditahan polis untuk membantu
        siasatan hanya selepas beliau dipecat.

        Katanya, penyiasatan polis lebih cenderung untuk mencari bukti bagi menjatuhkannya, termasuk
        bertindak kasar dan berbentuk memaksa untuk mereka membuat pengakuan.

        "Adik angkat saya (Sukma) ditahan mengikut Seksyen 117 (Kanun Acara Jenayah) dengan cara
        yang luar biasa, iaitu dengan menahannya dan dibawa ke Bukit Aman sebelum seorang majistret
        dibawa ke sana tergesa-gesa untuk mengeluarkan perintah tahanan reman selama 14 hari," katanya
        di kediamannya di Bukit Damansara, di sini petang ini.

        Mengenai sama ada beliau akan membuat rayuan berhubung pemecatannya daripada Umno, beliau
        mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi berhubung pemecatannya.

        Terdahulu, ketika bertemu dengan penyokongnya di sebelah pagi Anwar ditanya oleh seorang
        wartawan akhbar asing sama ada beliau mahu merujuk semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata: "Bukan saya yang ceraikan dia, dia yang jatuhkan talak
        terhadap saya."

        Beliau juga berkata bahawa lebih 100 peguam menyatakan sokongan kepadanya dan bersedia
        untuk mendapatkan sokongan daripada 1,000 peguam lagi.

        "Mereka juga bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada mana-mana penyokong saya
        yang ditekan. Kalau tuan-tuan ada masalah seperti ditekan bolehlah temui peguam itu yang
        melakukan kerja tanpa perlu dibayar," katanya.


Anwar patut contohi Musa, Ghafar

        MELAKA, Rabu - Pemuda Umno Melaka mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mencontohi dua bekas
        Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba, yang tidak menimbulkan
        masalah apabila tidak lagi menyandang jawatan dalam kerajaan dan parti.

        Ketuanya, Nazari Adzim, berkata dua tokoh itu masih menyumbang ke arah perpaduan serta
        kekuatan parti walaupun tidak lagi menyandang jawatan penting.

        Berikutan itu, katanya, walaupun tiada jawatan tertinggi dalam parti, Anwar sepatutnya tidak
        menghancurkan parti dengan rancangan melaungkan gerakan reformasi.

        "Pemuda Umno Melaka berharap Anwar bertenang dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi
        dan lebih mengutamakan perpaduan parti dengan mencontohi sikap dua bekas Timbalan Presiden
        Umno yang lalu," katanya.

        Nazari berkata, Pemuda Umno Melaka menyokong pendirian Exco Pemuda Umno yang memberi
        sokongan kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta menolak gerakan reformasi yang
        dilaungkan Anwar.

        "Pemuda Umno Melaka menyokong kepemimpinan Perdana Menteri serta Majlis Tertinggi yang
        memecat Anwar daripada parti," katanya.

        Mengenai kedudukan Ketua Pemuda Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Nazari berkata, Pemuda
        Umno Melaka akan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Exco Pemuda yang bermesyuarat esok
        untuk membuat sebarang keputusan.

        Pemuda Umno Melaka akan menyatakan pendirian selepas mesyuarat Exco Pemuda itu.
 


Sabah tidak halang lawatan bekas TPM

        KOTA KINABALU, Rabu - Kerajaan Sabah tidak akan melarang bekas Timbalan Perdana
        Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat negeri itu kerana tiada undang-undang yang melarang
        rakyat Malaysia melawat Sabah.

        Ketua Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, berkata setiap rakyat Malaysia yang mempunyai
        dokumen perjalanan yang sah boleh melawat Sabah tanpa sebarang sekatan.

        "Tidak ada sebab untuk melarang Anwar datang dan kita tidak bercadang menghalang
        kedatangannya ke negeri itu.

        "Sabah bebas dikunjungi, kerana itu rakyat Malaysia yang mempunyai pasport boleh berkunjung
        bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri hari
        ini.

        Dompok diminta mengulas kemungkinan Anwar ke Sabah untuk menjelaskan kedudukan beliau
        selepas dipecat daripada Kabinet dan Umno minggu lalu.

        Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Osu Sukam, yakin ahli Umno menerima
        penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tanpa banyak persoalan.

        "Mereka semua faham dengan kedudukan sebenar pemecatan itu demi kepentingan parti dan masa
        depan negara. Umno akan mengawasi semua peringkat termasuk pada peringkat akar umbi bagi
        memastikan semua ahlinya faham dengan isu itu," katanya.

        Beliau berkata, arahan mengenai pengawasan di semua peringkat itu sudah dikeluarkan selepas
        mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu.

        "Saya yakin ahli Umno Sabah tidak mempunyai banyak masalah berhubung perkara itu kerana
        mereka mengutamakan perpaduan dalam parti dan tidak ada perpecahan berlaku," katanya.

        Mengenai penjelasan Perdana Menteri semalam, beliau berkata perkara itu cukup jelas dan semua
        pemimpin Umno faham kerana itu tidak perlu membuat penjelasan di seluruh negeri.


Maik ambil tindakan awasi masjid

        KOTA BHARU, Rabu - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan
        mengawasi masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi mengelak daripada disalahgunakan pihak
        tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan, terutama berhubung isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ashaari Azmi Abdullah, berkata pihaknya tidak teragak-agak
        mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, tanpa mengira fahaman politik, menggunakan
        masjid dan surau untuk tujuan itu.

        Menurutnya, selain bacaan khutbah Jumaat yang diadakan setiap masjid, sebarang kegiatan ceramah
        agama lain memerlukan kebenaran Maik bagi mengelak penceramah mengambil kesempatan untuk
        kepentingan mereka.

        "Masjid dan surau di negeri ini tidak akan dibenarkan digunakan pihak tertentu tanpa mengira
        fahaman politik untuk tujuan menghentam kerajaan, terutama isu pelucutan jawatan dan pemecatan
        keahlian Anwar," katanya di sini hari ini.

        Beliau mengulas dakwaan kononnya Masjid Muhamadi (Masjid Negeri) di sini, digunakan pihak
        tertentu yang mengadakan ceramah berbau politik selepas solat Maghrib.

        Semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor menasihatkan umat Islam di negara ini
        supaya berhati-hati terhadap pihak tertentu yang cuba menggunakan majlis bercorak agama untuk
        kepentingan diri yang bercanggah dengan kehendak Islam.

        Dr Yusof yang juga ahli Exco kerajaan Terengganu dilaporkan berkata, walaupun Islam
        menggalakkan umatnya mengadakan solat hajat, ia atas kepentingan mencari kebenaran dan bukan
        mempertahankan kebatilan.

        Datuk Ashaari Azmi berkata, di Kelantan kegiatan solat hajat untuk mencari kebenaran sentiasa
        diadakan. Bagaimanapun, kegiatan itu tidak ada motif politik dan tidak bercanggah dengan Islam.

        "Solat hajat atau sebarang ceramah agama tidak akan dibenarkan jika ia dicampuradukkan dengan
        ceramah politik, terutama untuk menghentam kerajaan," katanya.

        Sehubungan itu, katanya, Maik sudah mengarahkan jawatankuasa masjid supaya mengawasi
        mana-mana pihak yang mengadakan kegiatan agama, bagi mengelak ia disalahgunakan oleh pihak
        yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka.

        Mereka yang menyalahgunakan masjid untuk tujuan tertentu boleh didakwa mengikut Enakmen
        Maik 1994.


Usah pengaruhi pelajar: Shahidan

        KANGAR, Rabu - Pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan Islam
        dinasihatkan supaya tidak mempergunakan pelajar bagi memperjuangkan kepentingan politik dan
        individu tertentu.

        Sebaliknya, pertubuhan dan NGO terbabit disaran memberi tumpuan kepada usaha membantu
        menangani masalah yang dihadapi negara, termasuk kegawatan ekonomi sekarang.

        Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata langkah itu lebih berfaedah berbanding
        gerakan reformasi yang cuba dilakukan kumpulan tertentu kerana ia boleh menggawatkan lagi
        masalah yang dihadapi negara.

        "Kalau pihak terbabit menyatakan kononnya tindakan mereka itu demi menegakkan keadilan,
        adakah selama ini kerajaan bersikap tidak adil," katanya di sini hari ini.

        Beliau diminta mengulas usaha beberapa pertubuhan Islam membentuk apa yang mereka namakan
        'gerakan reformasi' bertujuan membangkitkan kesedaran umum mengenai 'ketidakadilan' pemecatan
        jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan pemecatan keahliannya dalam Umno.

        Pergerakan yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu, turut disertai Jemaah Islah
        Malaysia (Jim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam
        Malaysia (Asasi).

        Shahidan berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pertubuhan dan NGO terbabit
        melakukan gerakan reformasi di Perlis kerana ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

        "Bagaimanapun, kita tidak mahu sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat
        serta merosakkan masa depan pelajar yang dipergunakan," katanya.

        Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana sebahagian besar pelajar terbabit dalam kegiatan
        seumpama itu adalah Bumiputera, sedangkan mereka perlu menumpukan perhatian terhadap
        pelajaran.

        "Rata-rata pelajar Bumiputera ketinggalan dalam pencapaian akademik berbanding bangsa lain dan
        perkara ini perlu diberi perhatian, bukan menyertai gerakan yang boleh menjejaskan masa depan
        mereka.

        "Persatuan dan NGO pula sepatutnya sedar dengan memberi perhatian terhadap perkara itu, bukan
        membabitkan pelajar dalam kegiatan yang akan menjejaskan mereka serta mengecewakan ibu bapa
        mereka," katanya

        Shahidan juga berkata isu moral yang diperjelaskan oleh Presiden Umno itu kepada perwakilan
        bahagian semalam, perlu diterima oleh semua rakyat, khususnya ahli Umno.

        "Ini kerana, sebanyak mana pun penjelasan dibuat oleh Dr Mahathir mengenai perkara itu, sudah
        pasti masih ada pihak yang mahu ia terus diperincikan lagi. Penjelasan lebih lanjut hanya boleh
        dilakukan mengikut undang-undang.

        "Ahli parti perlu menerima kenyataan itu tanpa menjadikan ia sebagai isu yang boleh dimainkan oleh
        pihak pembangkang," katanya.

        Shahidan berkata, penjelasan Perdana Menteri itu cukup untuk menggambarkan keadaan sebenar
        dan tidak harus dipertikai serta dipersoal oleh mana-mana pihak.

        "Bukan mudah bagi Perdana Menteri membuat keputusan pemecatan itu dan sudah tentu ia
        dilakukan kerana terdapat alasan kukuh serta munasabah yang sudah diusul periksa terlebih dulu,"
        katanya.

        Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri mempunyai hak melucutkan jawatan timbalannya, beliau
        tetap mendapatkan pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berhubung tindakan itu,
        manakala penyingkiran Anwar daripada Umno diputus sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT).

        Mengenai penjelasan kepada ahli Umno di negeri ini, Shahidan berkata penerangan di peringkat
        bahagian sudah dilakukan dan akan diteruskan ke peringkat kawasan.
 


genda media asing gagal: Mohamed

        KUALA LUMPUR, Rabu - Agenda politik media asing untuk menjatuhkan Datuk Seri Dr Mahathir
        Mohamad dengan meniup semangat bencikan Perdana Menteri, gagal berikutan rakyat tidak mudah
        dipengaruhi, kata Menteri Penerangan, Datuk Seri Mohamed Rahmat.

        Beliau berkata, usaha media asing itu jelas daripada liputan tidak tepat, terutama membabitkan
        pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan Umno, minggu lalu.

        Mohamed berkata, tidak ada sebab untuk media asing campur tangan dalam hal ehwal politik
        Malaysia kerana negara ini mengamalkan demokrasi dan pemimpinnya dipilih.


Perak minta ahli patuhi keputusan MT

        IPOH, Rabu - Ahli dan pemimpin Umno pelbagai peringkat di Perak diingatkan mematuhi
        keputusan parti peringkat negeri dan Majlis Tertinggi (MT) yang menyokong pelucutan jawatan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan pemecatan keahliannya dalam parti.

        Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib, berkata adalah tidak wajar ahli atau pemimpin terbabit
        masih bersekongkol dengan bekas Timbalan Presiden Umno itu sedangkan semua pihak sebulat
        suara memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad.

        "Badan Perhubungan Umno negeri, Pergerakan Pemuda dan Wanita sudah sebulat suara
        menyatakan pendirian menyokong tindakan yang diambil Perdana Menteri mengenai isu berkenaan.

        "Adalah tidak wajar jika ada ahli Umno yang masih membelakangkan keputusan sebulat suara itu.

        "Saya harap mereka yang masih menyebelahi bekas Timbalan Perdana Menteri itu kembali dan
        memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Dr Mahathir," katanya di sini, hari ini.

        Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa pemimpin Umno dari negeri ini termasuk
        daripada Pemuda yang masih menyokong dan bersama Anwar sejak pemecatannya daripada
        Kabinet Rabu lalu.

        Mereka yang bersimpati dengan Anwar itu dikatakan turut mengambil bahagian memberi ucapan
        kepada penyokong yang hadir di kediaman Anwar.

        Ditanya mengenai kemungkinan tindakan akan diambil terhadap ahli yang ingkar dengan keputusan
        itu, Ramli yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata pihaknya memberi peluang
        kepada mereka yang terbabit kembali ke pangkal jalan.

        "Buat masa ini kita nasihatkan mereka mematuhi keputusan yang dibuat bersama," katanya.


Selangor arah awasi masjid

        SHAH ALAM, Rabu - Kerajaan Selangor mengingatkan nazir di negeri ini supaya memastikan
        masjid tidak digunakan oleh pihak tertentu, termasuk penceramah bebas mencetuskan gerakan
        reformasi yang dilaungkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Menteri Besar, Datuk Abu Hassan Omar, berkata jika didapati ada nazir bersekongkol dengan
        pihak terbabit dan membenarkan masjid diguna untuk menyemarakkan gerakan reformasi itu yang
        jelas menentang kerajaan, tindakan memecat mereka akan dilakukan.

        "Kita memberi tanggungjawab kepada nazir untuk menentukan penceramah yang boleh memberi
        ceramah di masjid masing-masing.

        "Jika didapati penceramah terbabit cuba menyemarakkan unsur gerakan reformasi, nazir terbabit
        akan diminta memberi penjelasan dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh dipecat," katanya.

        Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU
        antara MSNS Holdings Sdn Bhd dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang
        kepakaran sains sukan dan kesihatan, di sini hari ini.

        Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan negeri tidak akan
        membenarkan gerakan reformasi yang dicetuskan Anwar disebarkan melalui masjid di negeri itu.

        "Peraturan yang ditetapkan oleh Jais adalah jelas yang mana hanya penceramah mendapat
        kebenaran Jais boleh menyampaikan ceramah mereka di masjid di negeri ini," katanya.


Umno Tanjung, Bagan nyatakan pendirian

        GEORGETOWN, Rabu - Umno bahagian Tanjung menyokong sebulat suara keputusan Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad selaku Presiden parti dan Perdana Menteri serta apa juga keputusan yang
        diambil Majlis Tertinggi (MT) parti.

        Ketua Umno bahagian Tanjung, Ahmad Ibni Hajar, berkata Umno bahagian itu juga turut memberi
        sokongan padu kepada sebarang keputusan yang dibuat Badan Perhubungan Umno negeri di bawah
        pimpinan Datuk Mohamad Shariff Omar.

        Menurutnya, sokongan itu tidak dapat dimaklumkan lebih awal kerana ketika mesyuarat badan
        perhubungan itu diadakan di sini Ahad lalu, dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

        "Keputusan yang dicapai oleh mesyuarat pada 4 September lalu sepatutnya dinyatakan pada
        mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri Ahad lalu.

        "Walaupun saya tidak hadir pada mesyuarat itu, timbalan serta naib ketua saya turut serta dan yang
        penting keputusan pada petang Ahad lalu itu dicapai sebulat suara," katanya pada sidang akhbar di
        sini, hari ini.

        Ahmad berkata, penjelasan berhubung sokongan kepada Dr Mahathir itu perlu dibuat untuk
        mengelakkan sebarang kekeliruan berbangkit daripada ketidakhadirannya pada mesyuarat badan
        itu.

        Sementara itu, Umno bahagian Bagan mengemukakan memorandum rayuan kepada Dr Mahathir
        supaya menerima semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno.

        Umno bahagian itu yang menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri juga merayu Perdana
        Menteri dapat menimbangkan semula keputusan melucutkan jawatan Anwar sebagai Timbalan
        Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Memorandum hasil mesyuarat bahagian itu kelmarin turut mencadangkan Anwar diterima semula
        sebagai ahli parti serta mengisi semula jawatan yang dipegangnya sebelum ini sehingga keputusan
        mahkamah dicapai.

        Memorandum yang ditandatangani Setiausaha Umno bahagian Bagan, Abdul Latiff Majid itu
        dihantar kepada Perdana Menteri oleh Ketua Umno bahagian itu, Datuk Latiff Mirasa.

        Antara lain memorandum itu menyatakan:

        "Umno bahagian Bagan amat dekat dan menyokong kedua-dua pemimpin yang kami kasihi dan
        adalah amat sukar antuk kami mengenepikan isu ini.

        "Kami tidak pernah sangsi di atas kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Presiden parti seperti yang
        terbukti dalam sejarah pemilihan parti pada 1987 yang mana Umno bahagian Bagan dijadikan pusat
        gerakan Dr Mahathir di Pulau Pinang.

        "Anwar adalah tokoh yang berjasa kepada Umno, khususnya orang Melayu Pulau Pinang dan
        negara Malaysia, amnya.

        "Oleh kerana Umno bahagian Bagan berasa masih ada ruang untuk mewujudkan perpaduan dalam
        Umno dan di kalangan orang Melayu, kami ingin merayu dan mengusulkan supaya MT dapat
        menimbang semula keputusan yang dibuat terhadap Anwar dan menerima beliau kembali ke dalam
        Umno."
 


PM dijangka temui pemimpin BN

        KUALA LUMPUR, Rabu - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dijangka
        menemui semua pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjelaskan isu pelucutan
        jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan pemecatan keahliannya dalam Umno.

        Dr Mahathir yang juga Presiden Umno turut menjelaskan mengenai pentingnya seseorang memiliki
        moral terpuji sebelum melayakkan diri memikul tanggungjawab sebagai pemimpin.

        Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata Perdana Menteri akan menemui pelbagai
        kumpulan termasuk pemimpin komponen BN dan kakitangan kerajaan berhubung isu membabitkan
        Anwar.

        "Usaha menemui pelbagai kelompok masyarakat itu akan mengambil sedikit masa lagi kerana seperti
        yang diketahui Dr Mahathir kini sibuk menangani masalah kegawatan ekonomi.

        "Sumbangan Perdana Menteri dalam memulihkan ekonomi negara selama ini mendapat sokongan
        rakyat serta anggota Kabinet bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di
        pejabatnya, hari ini.

        Dr Ling berkata, MCA menganggap moral penting dalam pemilihan pemimpin.

        "Persoalan moral memang penting. Jika seseorang pemimpin dari aspek moral tidak begitu tepat dan
        ia diketahui musuh negara, pemimpin berkenaan mungkin menjadi sasaran 'peras ugut' oleh musuh
        negara.

        "Sehubungan itu, seseorang pemimpin perlu daripada beberapa aspek mempunyai kelakuan yang
        tepat untuk menjaga kepentingan negara," katanya.

        Beliau berkata, ahli Kabinet memahami setiap tindakan yang diambil membabitkan Anwar serta
        mempunyai tugas melaporkannya kepada pemimpin serta ahli parti.

        Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata sebagai parti komponen, ahli MIC menerima
        penjelasan Dr Mahathir.

        "Kita bersetuju dengan tindakan yang diambil Dr Mahathir kerana saya percaya beliau sudah
        memikirkan perkara itu berasaskan kepentingan negara.

        "Kita menyokong tindakan beliau dan bersedia turun ke bawah untuk menerangkan kepada akar
        umbi parti perkara sebenarnya berlaku," katanya di sini, hari ini.

        Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat
        Junid Megat Ayob menegaskan seseorang yang mahu menjadi pemimpin tertinggi mestilah
        mempunyai nilai keperibadian bersih.

        Megat Junid berkata, isu pemecatan menteri dan ahli politik kanan daripada Kabinet dan parti
        berlaku sejak sejak awal kepemimpinan Umno di bawah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul
        Rahman.
 


Ahli Umno perlu jalani reformasi diri: Sanusi

        ALOR STAR, Rabu - Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, berkata semua ahli Umno perlu
        menjalani proses reformasi diri bagi melahirkan pemimpin yang amanah dan berwibawa.

        Katanya, ahli Umno juga perlu melihat diri sendiri dan cuba membaiki diri serta mencari jalan
        melakukan reformasi diri bagi menjadi ahli berguna kepada parti.

        "Setiap ahli perlu berbuat demikian dan mengenal pasti perkara yang memerlukan reformasi.

        "Ia perlu supaya apabila menjadi pemimpin mereka akan menjaga amanah dan amalan mereka.

        "Selain itu, reformasi diri adalah syarat penting untuk menjadi pemimpin," katanya di sini, hari ini.

        Berikutan itu, Sanusi berkata Umno Kedah akan mengadakan khemah kerja untuk menggerakkan
        reformasi diri membabitkan Pergerakan Pemuda dan Wanita di Tasik Pedu mulai 25 hingga 28
        September ini.

        Mengenai penerangan kepada ahli Umno Kedah berhubung pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
        Menteri Besar berkata ia tidak perlu kerana lambat laun mereka akan faham mengenainya.

        "Tidak perlu penerangan kerana masa akan menjelaskan semua.

        "Pada masa ini ada yang sudah faham, sedang memahami dan akan memahaminya tidak lama lagi.

        "Kita sepatutnya berdoa kepada Tuhan dan kebenaran akan ditunjukkan," katanya.

        Diminta mengulas laporan rakyat Indonesia mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di
        Jakarta mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Menteri
        Besar berkata:

        "Lebih banyak yang mereka tidak tahu lebih banyak mereka buat bising dan protes...dalam hal ini,
        mereka tidak tahu mengenai isu di Malaysia tetapi masih mahu mengambil bahagian. Mereka
        mengambil bahagian dalam isu yang langsung mereka tidak tahu."

        Sehubungan itu, Sanusi meminta rakyat supaya tidak kehilangan fokus mengenai apa yang sedang
        berlaku, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab kepada negara.


DUN Melaka lulus usul sokong Mahathir

        MELAKA, Rabu - Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan usul tergempar
        menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bagi
        menangani pelbagai isu semasa khususnya ekonomi, politik dan keselamatan negara.

        Usul yang dibawa Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin (BN-Merlimau) serta disokong
        Datuk Gan Boon Leong (BN-Duyong) itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan
        selama 40 minit.

        Turut serta dalam perbahasan ialah Datuk Chua Peng Song (BN-Bachang), Datuk R Raghavan
        (BN-Bukit Asahan), Sim Tong Him (DAP-Bandar Hilir) dan Yew Kok Kee (DAP-Durian Daun).

        Usul itu berbunyi: "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan bahawa Kerajaan Negeri
        menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia
        dalam menangani isu-isu semasa yang membabitkan aspek ekonomi, politik dan keselamatan
        negara."

        Ketika membentangkannya, Abu Zahar berkata, kebijaksanaan pentadbiran Dr Mahathir
        membolehkan negara terus bertahan berbanding kebanyakan negara lain yang keadaan ekonomi
        mereka hampir nazak.

        "Kita tidak perlu memohon pinjaman dari luar dan tindakan kita sebenarnya adalah mengikut acuan
        kita sendiri, bukannya orang lain," katanya.

        Menurut beliau, cadangan Perdana Menteri diadakan kawalan ketat dalam pengurusan kewangan
        antarabangsa mula mendapat perhatian memberangsangkan oleh pelabur ekonomi dunia.

        Ini termasuk langkah menetapkan nilai pertukaran ringgit oleh kerajaan dan bukan kuasa pasaran
        serta memutuskan ringgit tidak sah diperlakukan di luar negara dan ringgit di luar pesisir perlu
        dibawa masuk ke dalam negara sebelum 1 Oktober ini.

        Mengenai tindakan Dr Mahathir melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
        Perdana Menteri, Abu Zahar berkata tindakan itu pasti sesuatu yang sukar dan tentu mengambil kira
        pelbagai kepentingan negara.

        "Sudah pasti Perdana Menteri telah menghidu sesuatu yang tidak baik akan berlaku jika beliau tidak
        mengambil tindakan tegas terhadap soal perilaku yang tercabar itu.

        "Soal salah laku moral tidak boleh dipandang enteng dalam membuktikan imej kebersihan
        pentadbiran negara dan ia bukan sesuatu yang boleh dilalui secara bertolak-ansur," katanya.

        Abu Zahar berkata, keutamaan sebenar ialah menyatukan masyarakat dengan pengukuhan ekonomi
        dan bukan bertelagah pendapat dan ideologi.

        Gan pula berkata, sepanjang 17 tahun kepimpinannya, Dr Mahathir berjaya menunjukkan
        keperibadian mulia, bermaruah dan bermoral tinggi.

        "Pada masa yang sama, Perdana Menteri berpegang teguh kepada prinsip Bersih, Cekap dan
        Amanah serta kita mesti bersedia berganding bahu bagi mempertahankan institusi Perdana Menteri
        daripada sebarang ancaman," kata Gan.

        Sim berkata, DAP menyokong tindakan Perdana Menteri bagi mengatasi isu kemelut ekonomi
        sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

        Bagaimanapun, katanya, tindakan Dr Mahathir melucutkan jawatan Anwar perlu diperjelaskan
        kepada umum dan oleh itu, satu sesi khas Parlimen perlu diadakan untuk membincang isu itu.
 


Pelajar tolak gerakan reformasi

        KUALA LUMPUR, Rabu - Pertubuhan perwakilan pelajar di institusi pengajian tinggi awam
        (IPTA) mengambil keputusan untuk tidak menyertai gerakan reformasi yang dilancarkan Datuk Seri
        Anwar Ibrahim, semalam.

        Tinjauan Berita Harian mendapati majlis perwakilan pelajar (MPP) di beberapa IPTA sudah
        menetapkan pendirian untuk akur kepada peraturan diperuntukkan dalam Akta Universiti dan Kolej
        Universiti (AUKU) dan peringatan pihak universiti supaya mereka tidak terbabit dalam kegiatan
        yang boleh mengganggu kestabilan negara secara keseluruhan.

        Ahli Majlis Exco MPP Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Noor Azam Yaakob,
        berkata pihaknya memutuskan untuk tidak menyertai gerakan reformasi itu selepas mengadakan
        perbincangan teliti mengenainya.

        Menurutnya, ini kerana MPP berpendapat pelajar perlu menumpukan perhatian terhadap pengajian
        di universiti, selain terikat dengan peraturan digariskan dalam AUKU.

        Justeru, dia berkata majlis itu menganggap lebih wajar untuk sekadar mengikuti perkembangan
        semasa berhubung isu berkenaan tanpa terbabit secara langsung.

        "Pelajar memang digalak mengikuti perkembangan isu semasa di luar kampus tetapi dinasihatkan
        jangan terbabit secara langsung, sebaliknya menangani perkara itu dari sudut ilmiah.

        "Mereka juga perlu berhati-hati dan jangan mudah terpengaruh atau terlalu fanatik dengan
        perkembangan suatu perkara," katanya di sini, hari ini.

        Semalam, Anwar dilapor melancarkan gerakan reformasi untuk menuntut apa yang didakwanya
        keadilan selepas beliau dilucutkan jawatan daripada Kabinet dan pemecatan keahliannya dalam
        Umno pada minggu lalu.

        Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, gerakan yang didukung rakyat pelbagai bangsa itu
        bermula hari ini di seluruh negara dan dijangka disokong ratusan ribu rakyat dalam tempoh
        seminggu.

        Sementara itu, Bendahari Agung MPP Universiti Malaya (UM), Wan Shukri Wan Mustapha,
        berkata pihaknya memutuskan untuk mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan mengenai
        perkara berkenaan.

        Dia berkata, ini bermakna pihaknya tidak akan terbabit secara langsung dalam perkara itu
        lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka tiada maklumat atau fakta jelas dan tepat mengenai isu itu.

        "Cuma kami berharap dan menaruh kepercayaan kepada pimpinan negara untuk menyelesaikan
        perkara itu dengan segera serta harmoni demi kebaikan rakyat, di samping tidak menjejaskan
        kelancaran Sukan Komanwel," katanya.

        Timbalan Yang Dipertua MPP Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Farid Ismail, berkata
        pihaknya akan mengambil langkah berhati-hati dan tidak bertindak terburu-buru dalam mengikuti
        perkembangan isu berkenaan.

        Malah, beliau berkata, majlis itu menasihati pelajar lebih mengutamakan kepentingan bangsa dan
        negara dalam mengambil sebarang keputusan mahupun tindakan berkaitan.

        Bagaimanapun, katanya, perhatian pelajar di UUM kini turut tertumpu pada kesibukan membuat
        persediaan menghadapi peperiksaan yang bermula 21 September ini, di samping pilihan raya MPP,
        semester depan.

        "Tambahan, pihak kerajaan serta universiti sendiri sudah memberi nasihat berhubung perkara itu dan
        kebanyakan pelajar juga sedang bercuti.

        "Bagi MPP UUM, kami tetap berpegang teguh pada prinsip kebenaran serta keadilan dan
        menyokong mana-mana pihak yang berpendirian sama," katanya.


Pemecatan Anwar tepat

        KUALA LUMPUR, Rabu - Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet dan Umno atas
        nilai moral yang rendah adalah tepat dan mengikut syariat Islam, kata bekas Ketua Pengarah Pusat
        Islam, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir.

        Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, apa yang ditekankan
        oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan itu selaras prinsip seorang
        pemimpin.

        "Seorang pemimpin haruslah mengamalkan akhlak dan moral yang tinggi, mengikut konsep
        kepemimpinan melalui teladan kerana amalan beliau tentunya akan menjadi turutan pengikut.

        "Berdasarkan faktor itu, Perdana Menteri membuat keputusan yang betul dan mengikut syariat
        Islam," katanya ketika dihubungi petang ini.

        Semalam, Dr Mahathir, selepas memberi penjelasan kepada perwakilan Umno bahagian di Pusat
        Dagangan Dunia Putra menegaskan, Anwar dipecat kerana mempunyai nilai moral yang rendah.

        Sambil menafikan wujudnya pakatan untuk menjatuhkan Anwar, Perdana Menteri berkata tingkah
        laku Anwar tidak layak untuk menjadi pemimpin sebuah negara Islam seperti Malaysia.

        Satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi minggu lalu mengaitkan Anwar melakukan
        hubungan homoseksual, seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang.

        Zainal Abidin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melor, berkata seseorang pemimpin tidak
        saja harus menonjolkan kepemimpinan yang terpuji, tetapi perlu memiliki akhlak dan budi pekerti
        mulia.

        "Seseorang pemimpin yang dipilih rakyat harus memimpin rakyat ke jalan yang benar, bukan
        memesongkan. Dalam konteks Umno, mereka juga dilantik untuk menyampaikan amanat Allah
        kepada pengikutnya. Jadi budi pekerti dan akhlak mereka mesti kukuh," katanya.

        Mengenai kenyataan Anwar bahawa beliau 'diadili' sebelum kes itu dibicara di mahkamah, Zainal
        Abidin menjelaskan, Rasullulah sendiri pernah menyatakan baginda terpaksa membuat keputusan
        berdasarkan fakta dan keterangan yang ada.

        "Sehubungan itu, Dr Mahathir membuat keputusan berdasarkan keterangan yang ada...kerana yang
        akhirnya Allah saja yang mengetahui perkara sebenarnya," katanya.

        Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (gambar), yang turut
        menyokong penjelasan Dr Mahathir itu berkata, Anwar sebagai pemimpin Islam tidak
        patut melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran agama.

        "Persoalan moral itu luas dan apa yang berlaku tidak sesuai dengan slogan kepemimpinan melalui
        teladan.

        "Yang pertama soal moral dan akhlak. Sebagai pengganti (kepada Perdana Menteri) ini paling
        penting. Kita boleh tahu ini...dia punya nilai dalam agama bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman.
        Macam kita bercakap, tetapi tak buat.

        "Perbualan Anwar dengan isteri orang ketika suaminya tidak ada, sudah cukup dan tidak boleh
        diterima dalam hukum Islam," katanya.

                Seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Dr Abdul Hamid Othman (gambar), berkata Umno
                kekal dengan dasarnya iaitu seseorang pemimpin atau ahli yang menimbulkan kontroversi
                seperti dikaitkan moral dan rasuah, perlu berundur dalam politik.

        "Perdana Menteri memberi contoh kes Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Tan Sri Rahim Thamby
        Chik yang terpaksa berundur selepas dilanda kontroversi," katanya.

        "Ahli Umno perlu ambil kes ini sebagai sesuatu yang positif daripada Presiden dan orang luar Umno
        tidak perlu pertikai. Pelantikan ahli MT, Naib Presiden dan Timbalan Presiden adalah soal dalaman
        Umno.

        "Keterangan Presiden Umno semalam adalah perkara yang jelas dalam politik Umno," katanya.

        Sementara itu di Pulau Pinang, veteran Umno dan bekas Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Negeri,
        Datuk Mohd Yussof Mohd Latiff, berkata pemimpin perlu memiliki peribadi dan akhlak mulia
        seperti dituntut oleh agama.

        "Kita perlu mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi. Ini terutama mereka yang menjadi
        pemimpin, termasuk mereka bukan Islam," katanya.

        Beliau yang juga bekas Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Pulau Pinang, berkata
        pemimpin yang disanjung tinggi dari segi kewibawaan dan moralnya, mestilah dicerminkan menerusi
        perlakuannya.


Perihal Puteri mengidam dan pembesar yang derhaka

        Tun Teja

        SELAMAT pagi. Ketika hamba bernala-nala hendak menyuruh pengawal pergi mendapat khabar
        dari taulan hamba Syaarli dari Mongkong itu, tiba berita daripadanya.

        Kata pembawa khabar, Syaarli sedang sakit teruk kerana diserang barah lidah yang telah merebak
        pula ke kerongkongnya.

        Telah ramai dukun dari jauh dan dekat yang telah merawat namun penyakit itu tidak juga reda.

        Jadi jika ada tuan hamba yang pening teruk sangat, cuba amalkan sendiri picit kepala dengan minyak
        gamat dari negeri kekanda hamba, Puteri Mahsuri. Insya-Allah mujarab.

        Hamba juga mendapat khabar bahawa penghulu Alim Berakit Siang berkenduri besar kerana
        teramat gembira boleh bekerjasama dengan mantan bendahara untuk membalas dendam
        kesumatnya terhadap mamanda Wazir.

        Pelbagai rancangan disusun mereka untuk menjebak rakyat supaya belot.

        Dalam tilikan hamba, pakatan mereka ini tidak akan mendapat sokongan rakyat jelata yang terus
        marah kerana tujuan mereka hanyalah untuk membalas dendam.

        Sejak zaman dahulu hinggalah ke zaman tuan hamba ini, hamba dapati tiada seorang pun pembesar
        yang menderhaka kepada ketuanya yang selamat. Misalnya, bayan yang budiman pernah
        mengisahkan satu kisah menarik.

        Alkisah, mengikut bayan, raja Gementa Syah dari negeri Babil bersama Perdana Menterinya 'telah
        mendapat ilmu memindahkan nyawa kepada sebarang tempat'. Pada suatu hari isteri baginda
        mengidam hendak makan asam jawa. Habis dicari para pengawal akan asam jawa tapi tidak dapat.

        Lalu baginda sendiri yang memasuki hutan pergi mencari asam itu. Tapi sudah lama di hutan tidak
        juga beroleh asam itu. Akhirnya baginda bertemu bangkai seekor kera. Lalu baginda pindahkan
        nyawa baginda ke bangkai kera itu. Hatta hiduplah kera itu lalu terus melompat dari pokok ke
        pokok mencari asam.

        Shahadan, isteri yang tidak sabar menunggu kepulangan baginda pula menitahkan Perdana Menteri
        pergi menuruti baginda. Di tengah hutan bersualah Perdana Menteri dengan tubuh baginda yang
        sudah tidak bernyawa itu.

        Kata bayan, 'maka datanglah fikiran di dalam hatinya yang derhaka kepada tuannya, "Baiklah aku
        pindahkan nyawaku kepada tubuh raja ini, supaya akulah jadi raja, kerajaan di benua Babil."

        'Maka dipindahkannya nyawa kepada badan raja itu. Maka dengan seketika itu juga tubuh raja pun
        bangunlah. Setelah sudah, maka oleh Perdana Menteri badannya sendiri itu pun ditanamnya ke
        dalam bumi. Maka ia pun kembali mendapatkan Tuan Puteri. Maka pada sangka Tuan Puteri,
        "Inilah raja sudah kembali."

        'Maka ia bertanya, "Adakah kekanda dapat asam?"

        'Maka kata raja. "Tiada. Betapa hamba cari, tiada bertemu." - (Bersambung esok)


Tindakan drastik untuk menjaga maruah bangsa

        Oleh Faizal Fadzil

        SEJARAH kebangkitan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga ke
        kemuncak kegemilangannya tidak pernah dipisahkan dengan kebangkitan Islam di negara ini.
        Meskipun Anwar tidak pernah dianugerahkan sebarang sijil rasmi bagi melayakkan beliau menjadi
        ulama atau tok guru, perjuangannya yang sentiasa bertunaskan Islam menggerakkan ramai pengikut,
        penyokong dan peminatnya menganugerahkan gelaran 'Pak Sheikh' kepada beliau - setaraf dengan
        intipati perjuangannya.

        Ketokohannya pada peringkat kebangsaan memimpin gerakan pelajar berlandaskan Islam mula
        terserlah sejak beliau berusia 21 tahun lagi apabila dipilih menerajui Persatuan Kebangsaan Pelajar
        Islam Malaysia (PKPIM) pada 1968.

        Pada usia 24 tahun, Anwar bersama-sama rakannya melakar sejarah penting dalam sejarah
        kebangkitan Islam di negara ini apabila menubuhkan Muslim Islamic Youth Movement yang kini
        dikenali sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia atau nama popularnya Abim.

        Meskipun ketika penubuhan Abim pada 1971, sudah wujud kumpulan dakwah yang melata di
        negara ini, pentingnya Abim dianggap satu gerakan Islam yang memperjuangkan Islam sebagai addin
        atau cara hidup menyeluruh yang sebenar.

        Perjuangannya ialah untuk mengabadikan ajaran Islam dalam seluruh kehidupan umat Islam
        hinggakan penulis seperti Victor J Morais menyifatkan Abim berjaya memberi perubahan sejati
        kepada kumpulan dakwah lain yang ketika itu lebih cenderung untuk mengasingkan diri daripada
        masyarakat.

        Selepas pelantikannya sebagai Presiden Abim, Anwar mula melaungkan dasar pelaksanaan Islam
        dalam lapangan sosial dan ekonomi. Penyertaannya dalam Umno pada 1982 melalui pujukan dan
        pengaruh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memberikan laluan kepadanya untuk
        mengusahakan penghayatan laungannya itu ke dalam pemerintahan selaras dengan hasrat kerajaan
        untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran.

        Institusi seperti Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ditubuhkan tidak lama selepas
        beliau menyertai kerajaan. Dr Mahathir sendiri sudah lama menitikberatkan usaha mengimbangi
        kemajuan kebendaan dengan penghayatan nilai-nilai kerohanian.

        "Dengan cara memulihkan kembali ajaran Islam inilah, yang membuatkan Anwar bersetuju dengan
        Dr Mahathir. Dan Islam juga berfungsi sebagai pembela dan penyokong perjuangan individu sebagai
        satu kuasa dinamis bagi pembangunan negara, yang menyebabkan Anwar memegang kedudukan
        penting dalam rancangan politik Perdana Menteri," kata Morais dalam bukunya Anwar Ibrahim:
        Cekal dan Tabah.

        Pada peringkat antarabangsa, Anwar disifatkan sebagai tokoh pejuang Islam terkemuka yang sering
        dianggap pemimpin negara yang menjadi 'sahabat dan anak murid' kepada tokoh ulama Islam
        terkemuka dunia seperti Ismail Al-Faruqi dan Yusuf Al-Qardawi.

        Bibirnya juga tidak pernah lekang daripada memetik kata-kata hikmat dan pujangga tokoh agama
        terkemuka seperti Malek Bennabi dan Al-Sheikh Muhammad Al-Ghazali dan nama-nama besar
        dalam gerakan Islah sedunia abad ini seperti Hassan Turabi, Abu Ala al-Maududi, Syed Qutub dan
        Hassan Al Banna.

        Begitu gah sekali nama Anwar dalam dunia Islam antarabangsa sehingga beliau pernah dilantik
        sebagai peneraju beberapa badan Islam sedunia termasuk Ketua Jabatan Belia Majlis Islam
        Antarabangsa; ahli jawatankuasa Pertubuhan Belia Islam Sedunia (Wamy) dan Pertubuhan Pelajar
        Persekutuan Islam Antarabangsa (IIFSO) di peringkat Asia Pasifik; Ahli Lembaga Pengurus
        Yayasan Kebajikan Islam Sedunia dan Ahli Jawatankuasa Majlis Masjid Sedunia.

        Begitulah kehebatan insan yang bernama Anwar Ibrahim pada mata masyarakat Malaysia dan dunia
        - idealismenya hanyalah perjuangan Islam yang diyakininya mampu membela kepentingan ummah
        sejagat, bangsa dan negara.

        Justeru, apabila nama 'Anwar Ibrahim' kini dikaitkan dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan skandal
        seks termasuk liwat - kegiatan yang tersenarai pada takuk paling hina bagi Islam dan rakyat
        Malaysia yang berpegang teguh kepada ajaran Islam di samping adab dan nilai murni budaya timur
        yang bermaruah - Dr Mahathir dengan berat hati terpaksa bertindak memecat beliau daripada
        jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus beberapa jawatan pimpinan negara lain bagi
        menyelamat maruah bangsa dan negara.

        "Saya sedih keadaan menjadi begini... saya bercadang untuk bersara pada tahun ini. Saya bercuti
        tahun lalu bagi memberi dia (Anwar) peluang untuk memimpin negara. Kalau tidak kerana masalah
        ekonomi, saya sudah bersara," katanya pada sidang media semalam selepas menjelaskan bahawa
        Anwar dipecat kerana isu moral. Kata Dr Mahathir lagi: "Perwatakannya tidak layak untuk menjadi
        pemimpin di negara seperti Malaysia".

        Selepas 17 tahun memimpin negara ini, Perdana Menteri amat memahami nurani rakyat Malaysia
        amat jauh berbeza dengan rakyat Amerika - warga Malaysia menimbang kewibawaan pemimpin
        berasaskan pertimbangan moral dan maruah agama selain rekod kerja yang cemerlang, tetapi bagi
        rakyat Amerika, dosa peribadi berasaskan akhlak dan moral, boleh dipadam dengan rekod
        kepemimpinan yang telah teruji.

        Anwar bukan 'menteri biasa' yang naik berdasarkan prestasi kerja yang cemerlang semata-mata.
        Sebaliknya, belaiu adalah 'pemimpin luar biasa', bakal peneraju kepemimpinan negara, berdasarkan
        kemampuannya mencanangkan pelaksanaan pendekatan Islam dalam usaha mewujudkan bangsa
        Madani yang hebat dan maju - satu strategi yang dihormati oleh masyarakat Islam dan bukan Islam,
        di dalam dan luar parti pemerintah.

        Justeru, Perdana Menteri bertindak pantas memecat beliau daripada jawatan Timbalan Perdana
        Menteri dan ahli Umno yang sekali gus menyebabkan beliau kehilangan jawatan Timbalan Presiden
        Umno berdasarkan bukti yang diterima dan diyakini beliau, hanya untuk memastikan pemimpin yang
        bakal menjadi peneraju parti Melayu Islam terbesar dunia itu, bukan dari kalangan individu yang
        tercemar imejnya baik dari sudut agama Islam atau moral.

        Apatah lagi jika individu itu adalah pemimpin negara yang paling kuat mewar-warkan keunggulan
        Islam baik di atas mimbar khutbah mahupun persada politik negara.

        Dr Mahathir jelas memegang teguh kepada prinsip popular yang diperkenalkannya 'pemimpin bukan
        saja dikehendaki bersih tetapi mesti kelihatan bersih'. Tindakan drastik demikian itu dipandangkan
        perlu dilakukan kerana Anwar adalah bakal menjadi Perdana Menteri apabila Dr Mahathir berundur
        dan ketika itu tiada siapa boleh bertindak terhadap salah laku itu.


Isu moral pemimpin amat diutamakan

        Minda Pengarang

        SETIAP rakyat bebas membuat tanggapan mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim
        berasaskan kepada kenyataan penafian terhadap perilakunya, dakwaan wujudnya konspirasi politik
        tertinggi untuk menjatuhkannya atau gerakan reformasi yang dilancarkannya. Bagi Umno, bukti
        kukuh mengenai kerendahan moral Anwar, sebagaimana dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk
        Seri Dr Mahathir Mohamad kelmarin, tidak boleh ditelan begitu saja kerana ia bukan ubat yang
        boleh menyembuhkan penyakit. Jika dibiarkan, ia akan menjadi wabak.

        Kenyataan Dr Mahathir yang juga Presiden Umno bahawa 'perwatakannya tidak layak untuk
        menjadi pemimpin di negara seperti Malaysia' sudah cukup membuktikan keikhlasan beliau untuk
        menjelaskan senario yang membawa kepada pemecatan Anwar daripada Kabinet dan Umno. Dr
        Mahathir mungkin belum mendedahkan keseluruhan bukti dan apa yang sebenarnya berlaku kerana
        tidak mahu memalukan Anwar secara terbuka.

        Daripada kenyataannya, beliau begitu beralas mengeluarkan kata-kata terhadap perilaku bekas
        Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangannya itu, mungkin tidak sampai hati untuk
        membuka 'pekung' Anwar yang selama ini dianggap seorang yang warak dan memiliki imej Islam
        yang dihormati. Sekali pun segala-galanya akan terbongkar juga akhirnya, biarlah ia dilakukan
        mengikut proses pengadilan di mahkamah. Semua ini pun berlaku kerana Anwar tidak mahu
        melepaskan jawatan dan kedudukannya secara terhormat. Kegawatan yang berlaku ini mungkin
        dapat dielakkan jika Anwar mengambil sikap beralah.

        Sekiranya kesalahan Anwar hanyalah membabitkan soal perselisihan faham mengenai pengurusan
        ekonomi, sekali pun masalah politik, Dr Mahathir tidak mungkin bertindak begitu drastik. Ini adalah
        soal bangsa, agama dan negara. Sebagaimana pengakuannya, beliau memang sudah bersedia untuk
        melepaskan jawatan itu kepada Anwar akhir tahun ini. Malangnya, dengan rasa tanggungjawab,
        beliau tidak boleh melepaskan jawatan itu kepada orang yang beliau sudah hilang keyakinan.

        Andaiannya, dengan membenarkan Anwar menjawat jawatan pemimpin tertinggi negara, bermakna
        beliau melanggar kepercayaan dan amanah rakyat untuk menentukan kepemimpinan negara pada
        landasan yang benar. Imej negara akan terjejas dan Malaysia akan jadi negara hipokrit. Tidak ada
        jaminan setelah menjadi Perdana Menteri, perbuatan sumbang yang didakwa dilakukannya akan
        terbongkar. Dengan kuasa yang ada, segala-galanya akan mudah ditutup.

        Dengan bukti yang ada, Dr Mahathir tidak boleh bertolak ansur terhadap kesalahan yang dilakukan
        Anwar. Melihat kepada kandungan surat Anwar kepada Dr Mahathir berhubung isu surat layang,
        Anwar sendiri menyatakan Dr Mahathir menyerahkan surat itu kepadanya dengan kata-kata 'baca
        dan musnahkan'. Ketika itu, Dr Mahathir tidak yakin dengan fitnah yang dilemparkan kepada
        Anwar. Begitulah tebalnya kepercayaan Dr Mahathir terhadap anak didiknya itu. Tetapi, selepas
        bukti demi bukti diperolehi dan begitu yakin ada kebenarannya, Dr Mahathir bertanggungjawab
        menidakkan Anwar daripada menduduki jawatan itu. Tidak mustahil, disebabkan tuduhan terhadap
        Anwar begitu berat, Dr Mahathir sendiri mungkin menjalankan penyiasatan sendiri tanpa dipengaruhi
        oleh mana-mana pihak.

        Isu moral pemimpin begitu penting dalam apa sistem pemerintahan negara dan ideologi sekali pun
        apatah lagi di negara yang hendak menyerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pemerintahan. Persoalan
        ini menjadi bertambah penting kerana pemimpin yang tidak bermoral mudah menimbulkan pelbagai
        konflik. Jika pemimpin cuba menegah perbuatan tidak bermaruah berlaku di negaranya, sedangkan
        perbuatan demikian itu menjadi amalannya sendiri, ia sudah tentu akan menimbulkan percanggahan.
        Disebabkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi, pemimpin seperti itu akan mudah dicemuh,
        tambahan pula apabila perbuatan peribadi luar biasanya, dapat dikesan. Akibatnya Umno yang
        selama ini memperjuangan nasib orang Melayu, akan dihina.

        Soal karisme seseorang pemimpin bukan lagi menjadi ukuran jika pemimpin berkenaan gagal
        mengawal diri dan nafsu. Kewibawaan seseorang pemimpin begitu penting. Kewibawaan seseorang
        dinilai dari pelbagai dimensi termasuk ciri-ciri kepemimpinan unggul, bermoral, berpendidikan tinggi,
        cetusan idea, berwawasan, boleh dipercayai, jujur, amanah, sabar dan mendapat sokongan
        menyeluruh. Jika salah satu daripada ciri-ciri ini tercabar, pemimpin berkenaan boleh dianggap hilang
        kewibawaannya. Begitu juga seseorang yang mempunyai idealisme yang tinggi akan dipandang
        rendah, sebaik saja perilaku buruknya dapat dibuktikan. Idealisme seseorang untuk memajukan
        negara dan matlamat menjadikan rakyat supaya dipandang mulia akan terhakis, jika pemimpin tidak
        menunjukkan teladan yang baik.


Anwar tidak punya banyak pilihan lagi

 Segala khabar angin sudah menjadi kenyataan, termasuk khabar angin yang selama ini sukar
 diterima akal. Selain, Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan
 dan juga sebagai ahli Umno (bukan sekadar Timbalan Presiden), afidavit yang dikemukakan,
 khususnya oleh SAC II Musa Hassan, jauh lebih memeranjatkan daripada apa yang dibualkan di
 pasaran berita angin.

 "Kisah dalam afidavit ini jauh lebih sensasi daripada kandungan dan tuduhan melalui buku 50 Dalil
 Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Hampir tidak dapat diterima akal," kata seorang teman
 daripada Kuching, yang menelefon ke rumah jam 2.30 pagi kelmarin. Dia menyifatkan perebutan
 kuasa dalam Umno memungkinkan apa saja berlaku.

 "Kalaupun tuduhan-tuduhan itu, terutama berkaitan skandal seks yang dikaitkan Anwar adalah
 fitnah, alangkah jahatnya mereka yang terbabit dalam konspirasi politik menjatuhkan Anwar ini,
 yang dipercayai membabitkan pemimpin tertinggi parti pemerintah," ujar bekas seorang editor
 kanan. "Umno sudah hilang adab dan pertimbangan moral. Apa saja menjadi halal demi kuasa dan
 takhta."

 "Saya tak dapat bayangkan persepsi remaja apabila membaca afidavit berkaitan perlakuan seks
 yang cukup memualkan itu," luahan hati seorang bapa yang mempunyai lima orang anak
 perempuan. "Kalau pun ada asas munasabah, mengapa ia perlu dihebahkan sebegitu rupa? Seluruh
 maruah bangsa kini tercemar."

 Ada juga yang beranggapan, dengan tersiarnya secara meluas afidavit yang dikatakan berunsur
 lucah itu, kekukuhan pertuduhan skandal seks terhadap Anwar sebelum ini makin terhakis. "Ini
 adalah permainan politik yang kotor," tegas seorang ahli perniagaan muda yang agak rapat dengan
 kumpulan Anwar. "Sepatutnya pertuduhan awal yang membabitkan kenyataan Ummi Hafilda Ali
 dan Azizan Abu Bakar sudah cukup untuk memerangkap Anwar. Tapi Mahathir sudah keterlaluan.
 Dari orang percaya atau mula syak pada awalnya, umum sudah beranggapan ini fitnah
 semata-mata."

 Dalam kenyataan Anwar kepada media, bekas Timbalan Presiden Umno itu menegaskan:
 "Serangan fitnah terhadap peribadi saya adalah satu konspirasi politik. Mereka sedar bahawa saya
 tidak boleh ditewas secara terhormat di gelanggang politik yang demokratis. Maka mereka
 menggunakan taktik hina agar kelayakan saya untuk memasuki gelanggang dilucutkan."

 Sementara dalam suratnya kepada Mahathir bertarikh 25 Ogos 1998 -yang disebarkan secara
 meluas oleh pengikut-pengikutnya - Anwar mengaku bahawa beliau tidak mengambil tindakan
 undang-undang kepada mereka yang memfitnahnya kerana nasihat Perdana Menteri sendiri.

 "Saya tidak memanjangkan perkara tersebut," jelas Anwar dalam suratnya kepada Mahathir,
 "lebih-lebih lagi kerana ianya turut melibatkan atau dikaitkan dengan tokoh-tokoh kerajaan dan
 politik seperti Tun Daim Zainuddin, Dato' Megat Junid dan Dato' Aziz Shamsuddin. (Tapi) Tun
 Daim dan Dato' Megat Junid telah menulis surat kepada saya menafikan penglibatan mereka."

 Sementara dalam ucapannya pada malam beliau dipecat TPM, di kediaman rasminya di depan
 para penyokong, Anwar seperti membidas keras Mahathir: "Kalau di Indonesia, selepas jatuhnya
 Suharto, maka diganti oleh orang nombor dua, Habibie. Maka di sini, orang nombor dua seperti
 Habibie harus dibunuh sebelum jatuh yang pertama. Apakah ini muslihatnya? Kita katakan kita
 tidak ada persamaan dengan politik Indonesia. Tetapi mengapa begitu? Sebelum jatuh yang
 pertama, lebih baik bunuh nombor dua dulu."

 Bagi saya sendiri, banyak juga panggilan telefon yang mengherdik, yang saya kira dari
 penyokong-penyokong Anwar: "Sudah puas melihat Anwar jatuh? Bukankah itu yang awak
 mahukan selama ini, mengheret Anwar tersungkur? Puas dengan fitnah yang awak lemparkan?"
 Sampai ke situ pula kesimpulan yang dibuat terhadap tulisan saya selama ini, sama ada di Harakah
 mahupun Tamadun. Apa boleh buat ....

 Melihat reaksi penyokong Anwar dan Anwar sendiri, sukar dibayangkan masa depan Anwar
 dalam Umno. Apakah tidak mungkin satu hari nanti Anwar boleh melakukan kejutan atau come
 back? Bukankah Mahathir juga pernah dipecat, walaupun dalam keadaan yang cukup berbeza?
 Mahathir dipecat Tunku, tetapi diselamatkan Tun Razak. Selepas Anwar dipecat, siapa pula yang
 sanggup membawanya semula ke aliran perdana?

 Ataupun, seperti yang berlaku kepada Tengku Razaleigh, ibarat "air yang dicincang takkan putus."
 Namun ramai beranggapan pertembungan Mahathir-Anwar sukar untuk diredakan, apatah lagi
 apabila Mahathir mengumumkan penggantinya nanti. Anwar tidak mempunyai banyak pilihan dalam
 kerjaya politiknya.

 Tapi, yang lebih penting - untuk masa ini - apakah Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas
 segala pertuduhan yang boleh dikaitkan daripada afidavit Khamis lalu, ataupun dia sekali lagi akan
 berkampung di Kamunting? Hujah keselamatan dan ketenteraman awam boleh mewajarkan
 segala-galanya


Pengikut Umno ejek pemimpin tertinggi di
 ibu pejabatnya

 SAYA telah mengikuti perkembangan politik Umno sejak dari zaman Onn Jaafar hingga ke zaman
 Mahathir, tetapi saya tidak pernah alami seperti mana yang berlaku di bangunan Umno pada
 malam 3 September kelmarin.

 Sebelum ini, belum ada seorang wartawan dan pemerhati politik yang menyaksikan ahli sebuah
 parti politik memaki hamun dan mengejek serta melontar objek kepada para pemimpinnya di
 bangunan yang dimiliki oleh parti yang berkenaan.

 Tetapi perkara yang ganjil dan unik itu berlaku di bangunan Umno pada malam Khamis kelmarin
 sebelum dan selepas Majlis Tertinggi Umno mengadakan sidang khas kerana membincangkan
 kedudukan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden Umno.

 Para pengikut Anwar Ibrahim dari seluruh negara yang berada di bangunan Umno itu, terus
 mengejek dan menge`boo' Tun Daim sebaik-baik sahaja bekas Menteri Kewangan itu sampai di
 bangunan tersebut.

 Kira-kira 1,000 orang lebih ahli-ahli Umno yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim terus bertakbir,
 bersalawat dan kadang kala menyanyi lagu-lagu patriotik selama mereka berada di bangunan
 Umno itu.

 Risalah-risalah yang menolak tuduhan pimpinan Umno terhadap Anwar Ibrahim telah diedarkan
 kepada orang ramai yang berada di PWTC itu.

 Selain dari itu, poster dan sepanduk yang menuntut supaya pihak yang berkenaan berlaku adil
 kepada Anwar Ibrahim telah kelihatan di sana sini di bangunan Umno itu.

 Kehadiran pasukan polis dan pegawai-pegawai Cawangan Khas, tidak menghalang para pengikut
 Anwar melaungkan slogan "hidup Anwar, hidup Anwar, hidup Anwar" dalam suasana yang agak
 tegang itu.

 Walaupun, ramai di antara penyokong-penyokong Mahathir dan kaki tangan ibu pejabat Umno
 berada di situ, tetapi mereka tidak dapat menghalang para pengikut Anwar daripada mengeluarkan
 kata-kata kesat kepada para pemimpin Umno.

 Pendek kata, perhimpunan di PWTC pada malam itu, merupakan perhimpunan anti Mahathir dan
 perhimpunan yang bersimpati kepada bekas Timbalan Perdana Menteri.

 Sama ada pelajar ataupun para pemerhati yang berada di bangunan Umno pada malam itu,
 kelihatan semuanya bersimpati dengan nasib yang menimpa kepada Anwar Ibrahim.

 Akhirnya, bukan sahaja ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno dan pemimpin-pemimpin Umno
 peringkat bahagian yang berada di bangunan Umno itu yang bersimpati dengan Anwar, malah para
 pelajar dan para pemerhati juga menganggap tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri
 itu tidak munasabah dan keterlaluan.

 Dua puluh minit sebelum sidang khas Majlis Tertinggi Umno berakhir, Anwar Ibrahim turun dari
 bilik mesyurat untuk memberi laporan kepada para pengikutnya mengenai apa yang berlaku dalam
 sidang khas itu.

 Beliau telah disambut dengan takbir dan laungan "hidup Anwar, hidup Anwar" oleh
 pemuda-pemuda dan ahli-ahli Umno yang menunggu keputusan mesyuarat khas itu.

 Dalam ucapan ringkasnya di depan para pengikutnya itu, beliau menegaskan bahawa tindakan
 memecatnya sebagai ahli Umno, adalah tidak adil dan beliau akan terus mempertahan
 kedudukannya dalam Umno.

 Katanya, beliau tidak bersalah terhadap semua tuduhan, dan beliau tidak bersedia untuk
 melepaskan jawatan yang disandangnya dalam Umno.

 Ucapan ringkas beliau itu, disambut dengan laungan "hidup Anwar, hidup Anwar" oleh para
 pengikutnya.

 Dan demi untuk memberi penjelasan yang lebih jelas kepada wartawan asing, beliau terpaksa
 berucap dalam bahasa Inggeris.

 Suasana di tingkat pertama bangunan Umno itu, telah bertambah tegang bila orang ramai
 menyedari bahawa Majlis Tertinggi Umno telah mengambil keputusan sebulat suara memecat
 Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno yang sah.

 Para pengikut Anwar yang setia dan para wartawan terus mendekati lorong tempat para pemimpin
 Umno keluar dari mesyuarat tersebut.

 Sebaik-baik sahaja beberapa orang pemimpin Umno termasuk Dr. Mahathir melalui lorong itu,
 orang ramai mengejek, memaki hamun dan membaling kotak minuman yang ada di tingkat pertama
 bangunan Umno itu.

 Pasukan keselamtan dan pegawai-pegawai Cawangan Khas, gagal untuk menghalang ahli-ahli
 Umno memaki hamun, mengejek dan membaling kotak minuman kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi
 Umno.

 Ekoran dari peristiwa tersebut Khalil Yaakob, Abu Hassan Omar, Osu Sukam dan beberapa
 pemimpin Umno lain terpaksa mencari jalan keluar melalui pintu belakang kerana takut menghadapi
 para penyokong Anwar.

 Tidak perlu saya jelas di ruangan ini, apakah perkataan kesat yang digunakan oleh ahli-ahli Umno
 kepada pemimpin-pemimpinnya pada malam Khamis kelmarin.

 Inilah kali pertamanya, saya menyaksikan ahli-ahli Umno dan pemimpin-pemimpin kecilnya
 memaki hamun dan menghina pemimpin-pemimpin di khalayak ramai di bangunan Umno sendiri.

 Melihat kepada apa yang berlaku di tingkat pertama bangunan Umno pada 3 September lepas,
 maka jelaslah keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno yang
 sah itu telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar ahli-ahli parti itu.

 Selain dari itu, tuduhan yang begitu banyak dibuat terhadap Anwar Ibrahim oleh pihak yang
 tertentu juga telah menyebabkan orang ramai dan ahli-ahli Umno sendiri bersimpati kepada bekas
 Timbalan Perdana Menteri itu.

 Apa yang jelas sekarang, pengaruh peribadi Anwar Ibrahim lebih kuat daripada pengaruh peribadi
 Dato' Musa Hitam.

 Setakat ini, saya belum lagi dapat memastikan samada pengaruh peribadi Anwar Ibrahim boleh
 mengatasi pengaruh peribadi Dato' Haris dalam menghadapi tekanan dari pihak yang tertentu.


LETIH

                      Perdana Menteri lalu tiada jadi pergi ke sidang negara
                      berkecuali di Afrika Selatan.

                      Mengikut katanya, dia letih kerana banyak sangat keliling
                      negara.

                      Nak Jantan tak boleh kata tak percaya dalilnya tak pergi itu,
                      kerana dia memang kaki keluar negeri dan pantang disuruh dan
                      diminta bercakap.

                      Maka bila kata dia tak pergi kerana letih, itu dalillah, ia bukan
                      dalih.

                      Jantan guna musabab.

 

                                         PENAT

                      Biasanya Perdana Menteri tak tahu erti letih dan penat.

                      Turun naik kapal terbang benda biasa.

                      Setahu Jantan dalam keadaan sakit pun dia tak tolak undangan
                      dan tak tinggal kerja yang sudah ditetapkan asal dapat
                      bercakap.

                      Bila tak pergi itu maka itu tanda betul-betul penat.

                      Jangan sampai lelah nak pergi juga.

                      Jantan kena rehat.

 

                                         PITAM

                      Bercakap fasal penat, maka teringat Jantan yang Perdana
                      Menteri kita itu baru sekerat jalan saja pusing kelilingnya.

                      Jika Jantan tidak silap pusing keliling yang terakhir setakat di
                      Sarawak.

                      Maka balik dari Sarawak, memanda pun letih.

                      Kalau sambung pula ke Pahang dan Terengganu, maka
                      bertambah pula letihnya.

                      Kalau disambung juga, takut pitam pula.

                      Jantan cadang eloklah tang tu saja.

                      Jantan tak apa.

 

                                        JARANG

                      Jarang juga Jantan dengar Perdana Menteri bersungut yang dia
                      letih.

                      Kali ini baru Jantan dengar dia mengaku letih.

                      Ertinya sudah tak cukup "stamina".

                      Teringat Jantan akan Muhammad Ali yang kuat bertinju itu. Dia
                      mana tahu letih.

                      Tapi akhirnya dia letih juga atau kumpul tenaga untuk yang lebih
                      memerlukan tenaga.

                      Jangan Pi-Em kita sudah tiba masa letih sudahlah.

                      Kalau letih susahlah sparing partner.

                      Jantan pengadil sukarela.

 

                                       PARTNER

                      Menyebut tentang sparing partner, maka banyaklah yang
                      bertanya siapakah sparing partner dalam keramaian-keramaian
                      Perdana Menteri.

                      Tiada yang dapat beri tahu Jantan.

                      Cuma yang Jantan tengok ada di Kelantan dan ada di Sabah,
                      kelihatan yang wajahnya macam Tun Ghafar dan ada juga yang
                      macam Rahim Thamby Chik.

                      Adakah Ghafar jadi sparing parter semula?

                      Atau Rahim Tambhy Chik pula yang Dr. M pilih jadi sparing
                      partner.

                      Kalau Rahim yang dipilih, maka Jantan kata "syabas" pada
                      memanda.

                      Jantan kata padan.

 

                                         DEGIL

                      Macam yang Jantan kata, Perdana Menteri jarang mengaku
                      penat.

                      Maka tentulah ganjil bila yang tak tahu penat, maka tiba-tiba
                      terasa dan tahu pula penat.

                      Agak Jantan bukan sebab tidak cukup tenaga atau tidak cukup
                      ubat, tapi serabut dengan sparing partner yang ada.

                      Kalau ikut Yeltsin sesudah susah dengan sparing baru maka
                      balik ke sparing lama.

                      Tun Ghafar tentu senyum panjang.

                      Jantan liat.


Bukan hudud penjarakan Guan Eng

 SESUDAH tertangguh sejak sekian lama, maka pada 18 Ogos lalu pemimpin muda DAP, Lim
 Guan Eng mula menjalani hukuman penjara 18 bulan setelah Mahkamah Persekutuan memperakui
 keputusan mengenainya yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

 Para Hakim Mahkamah Persekutuan sekata menolak rayuan Anggota Parlimen Kota Melaka itu.
 Dengan ini waris Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP itu hilang hak wakil rakyatnya kecualilah
 diampunkan oleh Yang Dipertuan Agung.

 Tuduhan ke atasnya ialah dikatakan membuat fitnah atau menyebarkan berita palsu tentang
 peribadi bekas Ketua Menteri Melaka.

 Memang diakui ketua pemuda DAP itulah yang aktif membangkit dan membongkar tentang apa
 yang dikatakan skendal bekas ketua Pemuda UMNO itu.

 Atas tindakannya dia diterima oleh masyarakat semua kaum sebagai sebenar-benar ahli politik dan
 pembela kepentingan rakyat. Dia mendapat pujian dan penghormatan dalam dan luar negeri, oleh
 kawan dan lawan.

 Anak muda sepertinya tetap menghadapi ujian. Dia didakwa dan mahkamah mensabitkan
 kesalahannya itu. Dia pun dihukum dan sudah menjadi banduan.

 Setuju atau tidak setuju dengan keputusan mahkamah, tidak bijak bagi mana-mana pihak
 mempertikainya di luar mahkamah selagi undang-undang itu masih berdaulat, kecuali
 undang-undang dan mahkamah itu dapat dimasukkan ke dalam bakul sampah oleh orang-orang
 yang tidak puas hati dengannya.

 Selagi durian tidak jadi tempoyak, maka timun terpaksa di tempat timun juga.

 Dari segi undang-undang hukuman ke atas Guan Eng itu adalah hukuman jenayah, tetapi dari satu
 sudut pula ia dikira sebagai hukuman politik.

 Sudah itu kes itu dilihat bercampur-campur antara jenayah dan politik. Ia boleh jadi kes jenayah
 dan ia boleh jadi kes politik. Antara jenayah dan politik dipisahkan oleh sempadan senipis kulit
 bawang.

 Jenayah dan politik adalah dua perkara yang terpisah jauh dan apabila politik dijadikan kes, maka
 jaraknya sejarang kulit bawang, ke sana telus ke sini pun telus.

 Hukuman penjara ke atas Guan Eng direkodkan sebagai kesalahan jenayah tentunya kekal selagi
 tiada pengampunan, tetapi penerimaan masyarakat adalah satu yang lain. Dia dilihat sebagai
 banduan bermula sejak dijatuhkan hukum, ketika dia digari dan sepanjang perjalanannya dari
 mahkamah hingga ke pintu penjara.

 Lepas itu seperti disebut tadi dia hilang hak sebagai wakil rakyat dan tidak boleh memegang
 sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan. Sudah tentu dia hilang faedah elaun dan pencen.

 Bagaimanapun dia belum tentu musnah dari sudut politik. Malah dia mungkin mendapat faedah
 politik yang memberansangkan jika dia terus berpolitik.

 Sehingga ini sebahagian dari rakyat tidak menerima Guan Eng bersalah. Bantahan dalam berbagai
 bentuk adalah tanda-tanda dia tidak diterima sebagai pesalah walaupun dia direkodkan bersalah
 oleh mahkamah.

 Bagaimana pula budi bicara dan apa dia buat dalam penjara adalah suatu yang menentukan masa
 depannya. Masakan dia tidak berpolitik dalam penjara.

 Kehadirannya dalam penjara bukan kerana dia rasuah atau mencuri atau menyamun. Tetapi dia ke
 situ kerana apa yang difikirnya sebagai satu tindakan menegakkan keadilan dan membela pihak
 yang lemah.

 Tentunya ada yang mempertikai. Tetapi dia terus menjadi objek percakapan dalam dan luar
 penjara.

 Sasaran utamanya yang memungkinkan dia terseret ke penjara ialah Tan Sri Rahim Tamby Chik.
 Imej bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda Umno itu tidak perlu dicerita dan
 dihuraikan. Semua makhluk mafhum tentangnya.

 Kegiatan Guan Eng dulu memungkinkan pemimpin Pemuda UMNO itu terseret ke mahkamah dan
 tidak mustahil juga terseret ke penjara. Tetapi undang-undang yang ada memihak kepadanya maka
 dia bebas seperti bebasnya burung-burung di angkasa.

 Tan Sri Rahim, malah muncul sebagai tetamu TV bercakap bebas kepada seluruh rakyat. Ketika
 yang sama Guang Eng pula dalam perjalanan ke penjara dan hilang kebebasan bercakap di
 Parllimen.

 Guan Eng tidak bernasib baik, maka dia yang terpenjara.

 Sejarahnya belum berakhir di penjara dan yang tentu dia ada nama dalam masyarakat.

 Datuk Harun Idris pernah dipenjara. Untuk seketika rakyat tidak menerima keputusan mahkamah
 tentangnya. Tohmah yang dihadapinya jauh lebih berat dari Guan Eng. Tetapi rakyat payah
 mengakui keputusannya.

 Adapun kehilangannya dalam masyarakat sekarang bukan kerana sejarah banduannya dulu, tetapi
 kerana pasang surut politiknya yang tidak istiqamah selepas itu.

 Undang-undang setakat ini tidak memihak kepada Guan Eng. Ertinya yang meletakkan Guan Eng
 dalam kadang orang salah itu ialah undang-undang yang dipertahankan oleh Guan Eng dan DAP.

 Undang-undang ciptaan manusia itu dicadangkan supaya digantikan dengan undang-undang yang
 ditentukan oleh Allah. Sudah tentulah undang-undang Allah yang lebih menjamin keadilan untuk
 semua.

 DAP bersama parti yang memerintah sepakat mempertahankan undang-undang yang terpakai
 itulah yang adil. Undang-undang hudud yang dicadangkan untuk menggantikan undang-undang
 yang ada ditolak dan ditentang.

 Orang-orang yang mengemukakan undang-undang hudud dikira tidak rasional. Berbagai-bagai
 helah dan dalih dibuat untuk mengelakkan rakyat Malaysia dan dunia menerima percubaan untuk
 mendaulatkan undang-undang Islam yang dijamin Allah akan keadilannya.

 Sehingga ini undang-undang hudud masih mencari-cari celah untuk ke depan.

 Undang-undang yang dipertahankan ini telah mengenepikan Wee Che Keong dari meneruskan
 kerjayanya sebagai ahli parlimen. Undang-undang ini juga mendedahkan kepada umum semua
 yang diadukan oleh Guan Eng sebagai jenayah tidak terpakai.

 Bukan sedikit usaha Guan Eng dan bapanya Kit Siang mendedahkan keburukan masyarakat,
 perlanggaran undang-undang, pencabulan hak awam dan sebagainya, tidak dihiraukan oleh kuat
 kuasa undang-undang dunia yang mereka pertahankan.

 Guan Eng mengadu kepada polis tentang apa yang dikatakan wanita di bawah umur teraniaya,
 tetapi undang-undang yang ada tidak dapat menerima aduannya dan tidak memihak kepadanya.

 Undang-undang yang dipertahankan oleh DAP dan Guan Eng khususnya membebaskan orang
 yang DAP dan Guan Eng rasa curang. Tetapi undang-undang itu pula yang menghukum Guan Eng
 pada ketika Guan Eng dan penyokong-penyokong merasa Guan Eng adalah betul dan melakukan
 perkara yang betul.

 Undang-undang hudud yang Kit Siang takut dan orang DAP takut tidak dan belum meletakkan
 mana-mana orang DAP dalam penjara.

 Bagaimanapun kejadian yang berlaku sekarang perlu dimenungi oleh semua. Hukuman kepada
 Guan Eng belum bererti Guan Eng berakhir dan belum pula mengakhiri kemaraan DAP dalam
 arena politik Malaysia.

 Ia belum mengakhiri pertikaian rakyat Malaysia tentang hudud dan tentang undang-undang yang
 dipertahankan oleh Umno dan DAP itu.

 Masyarakat majmuk Malaysia sudah menyaksikan betapa hudud ditolak kerana hudud difitnah
 tidak memberikan keadilan kepada penduduk sekalian. Tetapi masyarakat majmuk juga sudah
 manyaksikan undang-undang yang ada menempah tempat selama l8 bulan untuk Guan Eng. Sudah
 tentu Guan Eng terus mencari keadilan dan dia akan jumpa akhirnya.



 

                             Saya akan terus berjuang
                             - Anwar

                             Malaysia sedang bergelut dengan cabaran yang amat getir.
                             Ketakjuban ekonomi yang dibanggakan selama ini lebih
                             merupakan satu 'fatamorgana', bagai satu impian yang indah.
                             Kini kita dikejutkan oleh gigitan kenyataan yang pahit.

                             Rakyat akan menderita akibat kegawatan ekonomi. Ramai
                             yang akan menganggur. Jumlah yang miskin akan meningkat.
                             Maka kita perlu menggembleng kekuatan dan daya tahan
                             rakyat untuk menangani kegawatan.
 

 Tetapi percayalah kemelut ekonomi hanyalah satu daripada segugusan cabaran yang kita hadapi.
 Kita berhadapan dengan masalah politik, masalah sosial, masalah budaya, masalah akhlak. Setiap
 masalah ini kalau dibiarkan akan menjadi busuk. Kesemuanya menuntut pemerhatian dan perlu
 diselesaikan dengan bijaksana dan mengikut keutamaan.

 Kita juga berhadapan dengan sekumpulan masalah yang terbit dari lahirnya zaman baru. Kegawatan
 ekonomi bukanlah punca kepada penderitaan sekarang, tetapi akibat kegagalan kita membuat
 penyesuaian terhadap zaman baru. Kita sudah memasuki zaman baru. Zaman globalisasi. Era
 ledakan maklumat. Kita tidak mungkin menangani cabaran ini tanpa membuat perubahan.

 Masa untuk melancarkan reformasi sudah tiba. Kita perlu ada agenda yang jelas. Kita juga yang
 akan menentukan cara, kaedah, rentak dan kelajuan reformasi. Reformasi adalah cetusan tuntutan
 dari dalam, bukan tekanan dari luar. Dari perspektif Islam ialah adalah tuntutan Al-Quran seperti
 yang terungkap dalam surah Hud:... "Tidaklah apa yang aku mahu melainkan untuk menjayakan
 Islah sedaya upayaku."

 Justeru itu jangan ada golongan yang cuba melemparkan tuduhan bahawa ia merupakan satu
 konspirasi dari luar. Kita menentang sebarang konspirasi. Kita adalah patriot Malaysia. Kita
 menentang konspirasi dari luar. Kita juga akan memerangi konspirasi dari dalam. Kita memerangi
 kezaliman dari dalam negara dan tengah-tengah masyarakat kita. Persoalannya bukanlah Timur atau
 Barat, Utara atau Selatan. Persoalannya ialah keadilan. Kita perlu menentang kezaliman, apakah ia
 datang dari Timur mahupun ia datang dari Barat.

 Rakyat menuntut reformasi. Suara reformasi adalah suara rakyat. Jeritan hati nurani umat. Tetapi
 ada segelintir yang cemas dengan gelombang reformasi. Mereka adalah golongan rasuah yang takut
 jenayah mereka didedahkan. Golongan yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan gementar.
 Golongan saudagar mewah yang rakus melonggok kejayaan melalui amalan nepotisme dan
 kronisme seperti cacing kepanasan.

 Janganlah tertipu dan terpedaya dengan golongan yang takut dengan gelombang reformasi. Mereka
 ini ketandusan idea, asyik mendendangkan lagu lama. Mereka takut dengan zaman baru. Justeru itu
 mereka mencipta momok untuk menakut-nakutkan rakyat. Hanya kanak-kanak boleh ditakutkan
 dengan momok. Kita sudah 41 tahun merdeka. Sebagai bangsa merdeka kita sudah dewasa.

 Rakyat perlu bersatu untuk menghadapi zaman baru. Tetapi perpaduan rakyat mengalir dari
 perpaduan pemimpin. Rakyat berdiri di belakang pemimpin. Mereka tidak akan berpecah kalau
 pemimpin tidak bercakaran sesama sendiri. Perpaduan yang perkasa tidak akan diperolehi jika
 pemimpin sentiasa berkhutbah tentang perpaduan tetapi membiarkan anasir yang melagakan
 pemimpin bertindak sesuka hati di depan matanya.

 Sejak saya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno saya sentiasa mengulangi kesetiaan saya
 kepada Presiden parti. Saya yakin dengan kebijakan ahli-ahli Umno. Bila mereka diminta untuk
 membuat keputusan, terutamanya di saat-saat genting, mereka akan membuat keputusan yang
 bijaksana. Mereka mahukan kestabilan dan perpaduan dalam parti. Mereka mahukan parti sentiasa
 diperkukuhkan dan diberi kekuatan baru dengan menyusuan peralihan pemimpin dari yang lama
 kepada yang baru.

 Bagi saya kestabilan dan perpaduan parti tidak boleh diganggu gugat. Maka sejak saya dipilih
 sebagai Timbalan Presiden saya sentiasa mengulangi kesetiaan saya kepada Presiden. Ini saya
 lakukan dalam Majlis Tertinggi dan di dalam perhimpunan. Ada rakan-rakan yang menegur dan
 berpendapat pengulangan tersebut jika dibuat terlalu kerap ia akan kehilangan makna. Tetapi
 pendirian saya ialah saya akan lakukan apa saja untuk perpaduan parti.

 Tetapi perpaduan itu untuk apa? Ia sudah tentu untuk memberikan kekuatan untuk menjaya agenda
 mengangkat darjat dan martabat umat. Kita berdepan dengan dunia baru, suasana baru. Kita bakal
 memasuki alaf baru. Cabaran baru datang dan kita tidak akan dapat menanganinya dengan cara
 lama. Kita perlu berubah. Kita perlu melakukan reformasi. Islah itu satu tuntutan. Sebab itu semasa
 memberi ucapan penggulungan di tahun saya dipilih sebagai Timbalan Presiden saya tegaskan
 bahawa saya bersama rakan-rakan yang lain teguh menyokong Presiden, maka lakukanlah
 perubahan untuk meningkatkan martabat umat.

 Tetapi golongan jumud dan mereka yang terasa diancam oleh reformasi tidak pernah berhenti
 berusaha untuk menghalang usaha reformasi. Justeru kerana mereka ketiadaan idea untuk
 memberikan jawapan kepada tuntutan reformasi, mereka mencipta helah dan diversion untuk
 mengalih perhatian rakyat dan berusaha menimbulkan kekeliruan terhadap persoalan sebenar yang
 memerlukan pemerhatian dan pertimbangan. Pada mereka tuntutan reformasi boleh dicemarkan
 dengan mencemarkan kewibawaan peribadi pendukungnya. Apabila gelombang reformasi tidak
 boleh mereka tahan lagi maka bermulalah taktik kotor untuk mencemarkan kewibawaan peribadi
 pendokong reformasi.

 Serangan fitnah terhadap peribadi saya adalah satu konspirasi politik. Mereka sedar bahawa saya
 tidak boleh ditewas secara terhormat di gelanggang politik yang demokratis. Maka mereka
 menggunakan taktik hina agar kelayakan saya untuk memasuki gelanggang dilucutkan. Saya
 menyedari wujudnya konspirasi ini lebih setahun yang lalu. Bermula dengan berita palsu dari kilang
 khabar angin, kemudian dengan surat layang, kemudian dengan buku dengan tuduhan-tuduhan yang
 jijik. Buku dan surat layang yang disebarkan secara besar-besaran sehingga sampai ke
 cawangan-cawangan Umno. Masjid-masjid juga turut dicemari dan tidak terlepas dari menjadi
 sasaran surat layang fitnah tersebut. Saya tidak punya pilihan kecuali di mahkamah untuk
 mendapatkan injunksi untuk melarang pengedarannya. Berbeza dengan surat layang, buku tersebut
 ada pengarang dan penerbit yang seolah-olah berani bertanggungjawab terhadap segala tuduhan
 yang dibuat. Seandainya tindakan sebegitu tidak diambil ia pasti akan memberi tanggapan bahawa
 isi kandungannya adalah benar. Isu fitnah ini juga telah dibangkitkan di Dewan Rakyat.

 Gerakan fitnah untuk mencemarkan kewibawaan peribadi saya ini dihalang oleh tokoh-tokoh kaya
 yang lemas dengan gelombang reformasi, melibatkan tokoh yang merasai terpinggir dan terpecat,
 bahkan melibatkan jawatan tinggi politik dan jentera pemerintahan.

 Saya memasuki gelanggang politik hanya bermodalkan idealisme dan kewibawaan peribadi. Akhlak
 dan peribadi adalah soal utama kerana tanpanya idealisme akan menjadi satu kepura-puraan.
 Justeru itu apabila peribadi saya diserang saya tidak melihatnya sebagai sekadar satu permainan
 politik. Maka saya membuat aduan polis tentang fitnah tersebut. Apabila penyiasatan bermula
 ternyata ia mengheret beberapa tokoh politik. Perdana Menteri meminta saya tidak memanjangkan
 perkara tersebut. Demi untuk menjaga kestabilan parti, saya akur dengan nasihat Perdana Menteri.
 Saya juga berterima kasih kepada beliau kerana membela saya pada tahap tersebut. Saya ingatkan
 dengan penjelasan Perdana Menteri perkara itu tamat. Saya terperanjat apabila fitnah tersebut
 muncul semula dengan lebih dahsyat dan berani. Surat layang yang dibukukan dan fitnah baru
 ditambah untuk disebarkan secara meluas di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Saya bukan
 sahaja dituduh melakukan kegiatan tidak berakhlak, tetapi juga terlibat dalam pembunuhan dan
 menjadi agen asing. Saya tidak punya pilihan kecuali untuk membawa perkara ini ke mahkamah
 untuk mendapat pengadilan.

 Dengan mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan perkara tersebut, saya ingatkan perkara
 tersebut telah selesai. Saya terperanjat apabila mendapat maklumat beberapa hari sebelum
 Perhimpunan Umno yang lalu bahawa seorang yang bernama Khalid Jafri telah menulis buku yang
 memuat segala kandungan fitnah dalam surat layang dan puluhan ribu buku tersebut akan ditaburkan
 di perhimpunan.

 Saya telah memaklumkan sejak daripada mula kes buku ini timbul kepada pihak Peguam Negara
 tentang perkembangannya. Peguam Negara nyata kurang puas hati terhadap tindakan saya
 mengambil injunksi dan tindakan sivil. Saya jelaskan bahawa berbeza dengan surat layang, buku
 tersebut ada pengarang dan penerbitnya. Bagaimanapun saya berpuas hati dengan jaminan Peguam
 Negara bahawa pihaknya akan memastikan supaya siasatan rapi akan dilakukan untuk mendakwa
 penulis di bawah jenayah fitnah.

 Saya juga memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak polis. Ketua Polis Negara pula
 menugaskan seorang pegawai kanan untuk mengetuai pasukan siasatan dan beliau mengulangi
 kenyataan bahawa kandungan buku adalah "hambar" dan "rubbish".

 Saya akui bahawa sesetengah pihak tidak cenderung dengan tindakan-tindakan yang saya ambil
 dengan membuat laporan kepada polis dan tindakan mahkamah. Mereka menganggap buku
 tersebut sewajarnya ditolak sebagai tidak munasabah, tapi saya merasakan perlu mengambil
 tindakan kerana buku tersebut bukan sahaja mengulangi fitnah yang terkandung dalam surat layang
 tetapi juga mengaitkan saya dengan pembunuhan, agen negara asing dan konspirasi untuk
 menjatuhkan Perdana Menteri. Bahkan penulis dan pengedar buku tersebut membuat kenyataan
 terbuka dengan mengatakan sekiranya segala tuduhan mereka tidak benar mengapa saya tidak
 mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka dengan lantang mengatakan bahawa saya tidak
 berani mengheret mereka ke mahkamah kerana kononnya takut segala rahsia saya didedahkan.

 Peguam-peguam saya menegaskan bahawa siasatan terhadap laporan polis seharusnya mengikut
 prosedur biasa dan ia sepatut satu perkara yang tidak sukar kerana orang atau mereka yang disyaki
 adalah diketahui dan semua tuduhan mereka tercatat dalam sebuah buku.

 Mereka yang sepatutnya terlebih dahulu patut disiasat. Mengikut undang-undang keterangan yang
 kita sedia pakai, adalah tanggungjawab mereka untuk membuktikan segala tuduhan mereka,
 membawa bukti-bukti sah yang boleh diterima oleh mahkamah, bukan sekadar khabar angin, kata
 umpatan, laporan pihak ketiga, atau cerita rekaan yang diedarkan dari kilang khabar angin.

 Tetapi setelah siasatan polis berjalan selama satu minggu jelas kepada saya bahawa siasatan pihak
 polis bukan tertumpu kepada mencari bukti untuk pendakwaan mereka yang melakukan fitnah,
 tetapi tertumpu kepada menyelongkar peribadi saya. Saya seolah-olah menjadi orang yang disyaki.
 Peguam-peguam saya menasihati saya supaya mendapat penjelasan dari pihak KPN dan Peguam
 Negara. Saya bagaimanapun menegaskan kepada peguam-peguam saya bahawa saya mempunyai
 keyakinan penuh terhadap kewibawaan dan kesaksamaan KPN dan Peguam Negara.

 Mungkin tidak wajar bagi saya mengharapkan simpati dari sesiapa. Tetapi saya berhak mendapat
 layanan yang adil dan saya yakin saya akan mendapat layanan yang adil sekiranya jentera kerajaan
 patuh kepada etika profesion masing-masing. Dari tindakan mereka seolah-olah ada "malice"
 terhadap saya. Siasatan dilakukan bukan lagi terhadap apa yang terkandung dalam buku, tetapi
 cerita-cerita yang mereka kutip dari kilang khabar angin yang diterajui oleh ahli-ahli politik dan
 orang-orang kaya yang ingin meracuni hubungan baik `kami berdua' (saya dan PM) dan berusaha
 menumbangkan saya. Cerita-cerita dalam buku tiba-tiba tenggelam, cerita-cerita baru timbul. Pihak
 polis seolah-olah telah hilang pertimbangan. Saksi-saksi ditekan supaya membuat kenyataan yang
 akan mengaibkan saya di mata ramai.

 Penjelasan lebih terperinci tentang beberapa fitnah telah saya buat dalam surat-surat saya kepada
 Perdana Menteri bertarikh 25 dan 28 Ogos. Saya sedar bahawa saat ini pun pelbagai fitnah palsu
 yang baru mungkin sedang direka untuk dijaja ke merata negara.

 Saya memperjuang masyarakat madani, pemerintahan undang-undang dan ketelusan peraturan.
 Justeru itu saya mengikut segala prosedur dan tatacara. Saya tidak meminta sebarang keistimewaan
 bagi pihak saya. Tetapi saya menuntut keadilan, yakin kepada kemenangan jika jentera
 penguatkuasaan undang-undang dan institusi kehakiman tunduk dan patuh kepada etika
 profesionalisme institusi masing-masing dan tidak ditunggangi oleh mana-mana pihak, baik
 perniagaan mahupun politik.

 Saya tidak pernah gentar dengan tuduhan dan saya akan menghadapinya. Pernah saya dituduh
 rasuah. Maka saya mengundang Badan Pencegah Rasuah untuk menyiasat saya. Kalau saya tidak
 rasuah kenapa saya perlu takut dengan BPR? Terdengar desas-desus bahawa saya menggunakan
 keudukan sebagai Menteri Kewangan untuk memberi saham kepada keluarga saya. Maka saya
 mengeluarkan arahan kepada bahagian pengagihan saham bahawa jika ada anggota keluarga saya
 yang memohon peruntukan saham, permohonan tersebut hendaklah secara otomatik ditolak. Saya
 akan berjuang. Lebih 30 tahun saya berjuang sebagai seorang pelajar sekolah, sebagai mahasiswa
 universiti, sebagai belia dan sebagai ahli parti. Pelbagai cabaran saya hadapi, tidak ada yang mudah.
 Saya pernah memimpin pelajar memperjuangkan kemiskinan rakyat, mendaulatkan bahasa Melayu,
 menyemarakkan kesedaran Islam dan akhlak di kalangan belia. Saya pernah ditahan selama dua
 tahun tanpa bicara kerana membela nasib petani kebuluran di Baling. Saya tidak mahukan airmata.
 Saya mahu obor perjuangan terus menyala. Saya mahu adik-adik saya menjulang obor perjuangan
 dengan lebih tinggi. Saya tidak mahu adik-adik saya dan anak-anak saya hidup dalam ketakutan.

 Suratan takdir di tangan Tuhan, tetapi usaha di tangan manusia. Tanggungjawab kita adalah untuk
 berjuang. Keadilan tidak akan datang kepada kita sebagai satu kurnia. Keadilan perlu
 diperjuangkan. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubah apa
 yang ada pada dirinya. Kalau sanubari kita penuh dengan ketakutan, kita akan hidup dalam
 ketakutan. Kalau kita nyalakan api perjuangan dalam dada kita, kita akan memiliki kekuatan untuk
 menegak keadilan, menghapus kezaliman. Kita perlu kekuatan untuk membanteras rasuah. Kita
 perlu kekuatan untuk menentang nepotisme. Kita perlu semangat juang untuk menentang nepotisme,
 rasuah, kezaliman dan penganiayaan.

 Kita baru saja merayakan ulang tahun Kemerdekaan ke-41. tetapi Merdeka bukan sahaja perlu
 dirayakan, tetapi terlebih penting ialah dihayati. Kita perlu merdeka dari segi politik, ekonomi dan
 budaya. Kita perlu merdeka dari penindasan dan kezaliman dari luar. Tetapi apakah makna
 kemerdekaan apabila penindasan dan kezaliman dari luar digantikan dengan penindasan dan
 kezaliman oleh anak bangsa kepada bangsanya sendiri.

 Merdeka bukan sahaja dari segi politik tetapi juga dari segi pemikiran hamba. Kita semua adalah
 hamba Allah SWT, justeru itu kita semestinya merdeka dari semua bentuk dominasi hamba ke atas
 hamba yang lain.

 Kita perlu memerdekakan diri iaitu dari akhlak terkeji, dari nafsu rakus untuk membolot kekayaan
 untuk diri peribadi, keluarga dan suku sakat. Kita perlu merdeka dari sifat suka mengumpat,
 mengeji dan menabur fitnah.

 Saya menyeru semua rakyat Malaysia dari Umno dan parti-parti yang lain, generasi remaja, muda
 dan dewasa, pertubuhan-pertubuhan untuk menghayati dan menampilkan semangat ini.

 Hanya dengan semangat ini kita boleh menyerlah di abad ke-21 dan alaf baru.


Ghani yakin rakyat Johor tolak Anwar

        JOHOR BAHRU, Rabu - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, yakin rakyat negeri ini
        tidak mudah percaya atau dipengaruhi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhajat menggerakkan
        reformasi ke seluruh negara untuk menjelaskan kedudukannya sekarang.

        Menurutnya, rakyat boleh membezakan masalah peribadi yang dihadapi bekas Timbalan Perdana
        Menteri dan Menteri Kewangan itu sehingga tindakan diambil untuk memecatnya daripada Kabinet
        dan Umno.

        Apa yang lebih penting sekarang, katanya, ialah kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

        Beliau mengingatkan Anwar supaya tidak cuba mengelirukan rakyat dengan masalah yang
        dihadapinya hingga boleh membawa kesan buruk kepada negara.

        "Seboleh-bolehnya, saya mahu masyarakat mendengar nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad dulu. Keadaan yang membabitkan Anwar banyak berkisar soal peribadinya dan
        ia tidak sepatutnya membabitkan masyarakat di negara ini.

        "Anwar tidak harus bertindak sedemikian kerana dia mengetahui perkara yang betul dan salah,"
        katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

        Beliau mengulas pendirian Anwar untuk menggerakkan reformasi dengan menjelajah seluruh negara
        bagi menjelaskan kedudukannya.

        Bagaimanapun, atas nasihat penyokongnya, Anwar membatalkan rancangan itu. Ini adalah
        pembatalan kali kedua selepas kali pertama ditangguhkan Sabtu lalu.

        Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, bukan mudah bagi
        Perdana Menteri membuat keputusan paling berat terutama ketika negara dilanda kegawatan
        ekonomi.

        Menurutnya, selain mempunyai bukti kukuh dan hak sebagai ketua kerajaan dan selaku Presiden
        parti, Perdana Menteri juga membentangkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk
        perbincangan sebelum keputusan muktamad dibuat.

        "Dari situ, MT secara kolektifnya membuat pendirian dengan menyokong setiap tindakan Perdana
        Menteri selepas mengambil kira setiap aspek dan implikasinya," katanya.


Kemerdekaan yang meragut kebebasan
 akhbar

 ISU perletakan jawatan Dato'Johan Jaafar daripda Pengarang Utusan dan pertukaran Ketua
 Pengarang Berita Harian, Dato' Nazeri Abdullah sememangnya mengandungi isu. Kedua-dua kes
 ini berlaku dalam tempoh waktu yang singkat dan seolah-olah seperti suatu ledakan halus dalam
 batang tubuh kedua-dua gergasi media ini.

 Said Zahari yang pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan juga mengalami tragedi yang sama.
 Beliau yang hidup sebagai tahanan tanpa bicara selama 17 tahun mendedahkan betapa
 kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan telah menikam kebebasan
 akhbar daripada belakang.

 Siapapun akur tentang peranan yang pernah dimainkan oleh akhbar Utusan Melayu dalam
 menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan orang-orang Melayu. Walaupun terdapat
 beberapa akhbar lain seperti Majlis dan Warta Negara bertindak demikian namun Utusan Melayu
 lebih lantang dan kehadapan.

 Bahkan jika disorot sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan, golongan wartawan adalah antara
 golongan utama yang berjuang dan berkorban. Mereka menggunakan cerpen, puisi dan berita
 sebagai alat untuk menyemarakkan jiwa mereka. Sebagaimana golongan ulama' menggunakan
 khutbah dan pengajian mereka sebagai alat untuk membangkitkan jiwa merdeka. Begitu juga
 dengan golongan guru-guru yang mendidik anak bangsa mereka menyertai gerakan untuk menuntut
 kemerdekaan.

 Dalam pilihan raya 1955, melalui peranan Utusan Melayu, Parti Perikatan telah memenangi semua
 kerusi yang dipertandingkan kecuali satu kerusi yang dimenangi oleh PAS. Peranan Utusan Melayu
 menyemarakkan semangat perjuangan di kalangan orang Melayu bertambah-tambah apabila
 Tunku Abdul Rahman mampu mentadbir negara yang bertaraf pemerintahan sendiri walaupun
 negara masih belum merdeka lagi.

 Selepas mencapai kemerdekaan, akhbar Utusan Melayu mula mendapat perhatian khusus
 daripada pihak kerajaan Tunku Abdul Rahman. Beberapa siri tekanan mulai ketara terhadap
 Utusan Melayu dan akhbar-akhbar lain. Ini kerana tindakan akhbar yang berpandangan kritis
 disalah anggap sebagai satu tindakan yang menikam kerajaan daripada belakang.

 Pendirian ini serupalah dengan pendirian Perdana Menteri kita sekarang yang membidas media
 tempatan sebagai bertindak seperti media asing. Sebelum ini pihak media tempatan membuat
 laporan sebenar tentang apa yang berlaku di Kuala Lumpur Internatinal Airport Sepang. laporan
 yang bermirip kepada lebih kritis sudah dianggap sebagai mencabar kewibawaan kerajaan.
 Barangkali inilah di antara perkara yang berlaku di sebalik perletakan jawatan kedua-dua Ketua
 Pengarang akhbar harian nasional.

 Pihak pengurusan Utusan Melayu ketika zaman Tunku Abdul Rahman berusaha mengekalkan
 kebebasan akhbar Utusan Melayu sebagai wadah untuk menyuarakan aspirasi rakyat kepada
 pihak pemerintah. Beberapa kelemahan dalam negara yang baru merdeka didedahkan oleh pihak
 Utusan Melayu bagi memastikan kemerdekaan tanahair adalah suatu milik sebenar pribumi.

 Dalam beberapa bidang, British masih menguasai dan menentukan beberapa mekanisme penting
 dalam ekonomi Tanah Melayu. Manakala soal keselamatan negara masih diberikan hak kepada
 British untuk mengawal negara yang baru merdeka ini. Begitu juga dengan isu-isu kebaikan rakyat
 yang masih terabai disuarakan secara terbuka oleh akhbar Utusan Melayu.

 Begitu juga krisis antara Menteri Pertanian Tanah Melayu iaitu Aziz Ishak dengan Perdana Menteri
 Tunku Abdul Rahman memperlihatkan betapa kebajikan petani-petani yang miskin tidak mendapat
 pembelaan sewajarnya oleh pihak kerajaan. Usaha Aziz Ishak yang cuba merongkai ikatan
 kebergantungan sektor pertanian dengan British dilihat sebagai usaha menyingkirkan kuasa tuan
 yang pernah berkuasa.

 Manakala dalam isu perjuangan Hamid Tuah yang memperjuangkan golongan petani yang 'lapar
 tanah' mendapat liputan meluas oleh pihak Utusan Melayu. Perjuangan Hamid Tuah akhirnya
 mendapat simpati oleh ramai pihak sehingga pihak kerajaan berusaha memadamkan isu ini dengan
 'melenyapkan' berita ini menjadi isu di akhbar-akhbar harian di tanahair.

 Klimak krisis antara pihak utusan Melayu dengan Umno yang menjadi tunggak kerajaan Perikatan
 adalah peristiwa mogok membantah tindakan Umno yang berusaha menguasai Utusan Melayu
 sebagai alat kerajaan dan menafikan hak kebebasan akhbar sebelum ini.

 Krisis ini telah memberikan peluang kepada parti pembangkang khususnya PAS meraih sokongan
 daripada golongan yang kecewa dengan tindak-tanduk Umno dan Perikatan terhadap kebebasan
 akhbar. Dalam pilihanraya 1959, PAS telah menang 14 kerusi, Parti Negara satu kerusi, Parti
 Buruh lapan kerusi dan beberapa kerusi dimenangi oleh parti-parti lain. Kemerosotan yang
 mendadak menyebabkan pihak pemerintah mencari 'kambing hitam' yang wajar untuk 'disembelih'.
 Akhirnya Utusan Melayu menjadi mangsanya.

 Kini media cetak dan media elektronik sudah berada di bawah telunjuk parti pememerintah. Pun
 demikian, pemerintah sebenarnya sukar untuk menyiatkan kebebasan akhbar daripada pengarang
 akhbar. Pengarang-pengarang yang terdiri daripada penulis, wartawan, penyair dan sebagainya
 merupakan golongan yang meneliti hati budi rakyat secara bersendirian.

 Antara sebab akhbar Harakah menjadi pilihan rakyat kerana membawa arah pemikiran yang
 berbeza dengan akhbar-akhbar lain. Rakyat sebagai manusia biasa mempunyai keinginan untuk
 merasai suasana yang berbeza. Walaupun, akhbar Harakah khusus untuk ahli PAS namun
 hakikatnya ramai yang bukan ahli PAS membeli dan membacanya.

 Usman Awang pernah berbicara puitis dengan nada yang cukup sinis, 'bisa keris raja, bisa lagi
 pena pujangga!'. Kita seharusnya mampu melahirkan anak-anak atau masyarakat yang berjiwa
 pujangga ataupun penulis yang melakarkan ideanya sehingga menyentuh jiwa rakyat untuk
 bergerak.

 Kini hampir 41 tahun kemerdekaan dikecapi oleh kita semua. Namun kebebasan akhbar dan juga
 kebebasan suara masih jauh. Erti kebebasan kita tidak sama dengan makna kebebasan dari sudut
 pandangan Barat. Walaupun kebebasan di Barat seringkalu dianggap sebagai ukuran sesuatu
 kebebasan, kita sebenarnya boleh menilai sendiri erti kebebasan yang ada dalam masyarakat kita
 hari ini berdasarkan hati budi kita sebagai manusia yang beriman.

 Masyarakat kita boleh menerima erti kebebasan yang terhad pada diri mereka sendiri. Mereka
 bebas melakukan apa jua tindakan dan pegangan meskipun untuk melakukan maksiat. Akan tetapi,
 masyarakat kita tidak akan menerima jika kebebasan ini mengganggu kebebasan pihak berkuasa.

 Di dalam masyarakat kita, kebebasan tidak sekadar diikat dengan undang-undang tetapi lebih
 diikat dengan adat dan budaya orang Melayu yang sukar menerima pandangan kedua. Pandangan
 kedua seringkali dianggap sebagai usaha untuk memecah belahkan masyarakat orang Melayu.
 Lantaran itu, masyarakat kita sukar sekali untuk menyongsang arus jika benar-benar ada kekuatan.

 Budaya yang menurut perintah tanpa mempersoalkan kerasionalannya merupakan warisan sistem
 feudalisme dan kolonisme yang cukup sukar dibuang dalam masyarakat orang Melayu.
 Memberikan ketaatan kepada pemimpin hingga hilang pertimbangan dalam menentukan baik buruk
 sesuatu perkara. Kita telah ucapkan selamat tinggal kepada feudalisme dan kolonialisme tetapi kita
 masih sukar untuk mengecapi erti kemerdekaan dan kebebasan sebenar.


Pengerusi Teras sifatkan Pemimpin  negara angkuh, sombong

 PULAU PINANG: Sikap angkuh, sombong
 dan bermegah-megah di kalangan kepimpinan
 negara harus dikikis untuk mengembalikan
 kegemilangan ekonomi negara, kata Pengerusi
 Teras Keupayaan Melayu (Teras), Encik Azmi
 Abdul Hamid.

 Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar
 sempena 'Dialog Melayu Dalam Pembangunan'
 di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru
 ini.

 Menurutnya, oleh kerana kegilaan kepimpinan
 negara ingin menunjuk-nunjuk kepada negara
 luar menjadikan ekonomi Malaysia jatuh
 menjunam.

 "Kita jangan terlalu menyalahkan orang luar merosakkan ekonomi sebaliknya kita perlu mengkaji
 kerja kita sendiri," jelasnya.

 Kata beliau, kemelut yang terjadi meningggalkan kesan mendalam terhadap sosio ekonomi dan
 masyarakat di mana masyarakat tempatan terutamanya Melayu terus tertindas sehingga
 memisahkan jurang per kapita.

 "Kemelut ekonomiyang melanda negara mengancam semua pihak lebih-lebih lagi orang Melayu
 yang sudah nyata daif dalam segala hal," tambahnya.

 Bukan itu sahaja malahan, dasar kapitalis yang diperkenalkan menerusi penswastaan kerajaan
 sekarang ini menjerat orang Melayu sendiri seperti akta tanah, akta pendidikan dan seumpamanya.

 Rata-rata jelas Azmi, isu yang berlaku melibatkan hak keistimewaan Melayu di mana ianya kian
 luntur ekoran kealpaan kerajaan yang kononnya ditunjangi oleh Umno.

 "Parti pemerintah tidak prihatin langsung soal rakyat apabila memperkenalkan dasar penswastaan
 sebaliknya gembira apabila dasar tersebut membuahkan keuntungan kepada sanak saudara dan
 rakan taulan mereka sahaja," katanya.

 Natijahnya sekarang, jelas beliau timbul anasir ekonomi suku sakat yang mengkayakan hanya
 segelintir individu yang hampir dengan kepimpinan negara walhal rakyat jelata hidup menderita.

 "Apa akan terjadi kepada nasib orang Melayu sekarang kerana tidak mahu menegur pihak
 pemerintah yang telah menyeleweng daripada dasar sebenar," terangnya.


Kronologi peristiwa Anwar hingga dipecat

 Kronologi peristiwa kemasukan Anwar ke dalam Umno
 sehingga beliau dipecat daripada Umno

 

 1982 : Anwar menyertai Umno atas pelawaan Dr. Mahathir Mohamad.

 1993 : Memenangi kerusi Timbalan Presiden Umno mengalahkan Tun Ghafar Baba dan dilantik
 sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 

 (1998)

 7 Jun : Menyeru ahli Umno bertindak memberhentikan amalan kronisme, korupsi dan nepotisme
 (KKN) dalam Umno. Ketua Pemuda Umno, Dato' Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pemberian
 kontrak kepada syarikat gergasi bumiputera merupakan masalah yang serius.

 10 Jun : Zahid mengatakan bersedia mendedahkan kes-kes nepotisme di dalam perhimpunan
 agung Umno pada 18 Jun.

 13 Jun : Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menafikan laporan media asing mengenai keretakan
 hubungan antara beliau dan Anwar.

 17 Jun : Anwar memperolehi perintah injunksi terhadap Khalid Jafri, pengarang buku '50 Dalil
 Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri'.

 19 Jun : Dr. Mahathir mengatakan, dalam perhimpunan agung Umno, beliau akan menyokong
 Anwar sekiranya ada pertandingan kerusi Timbalan Presiden dan beliau juga mengatakan akan
 menyiasat sama ada buku Khalid Jafri itu tulisan yang berasas.

 20 Jun : Dr. Mahathir mengeluarkan kepada umum senarai mereka yang diberikan kontrak
 penswastaan dan peruntukan saham khas ketika perhimpunan berlangsung.

 26 Jun : Polis menerima empat aduan berkaitan buku Khalid termasuk aduan bekas Ketua
 Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

 30 Jun : Anwar menolak spekulasi bahawa kedudukannya sebagai Menteri Kewangan akan
 terjejas oleh sebab perlantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Tugas-tugas Khas.

 1 Julai : Anwar mengatakan ada usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau dan mendakwa
 buku fitnah Khalid Jafri digunakan untuk mencapai tujuan tersebut. Beliau menafikan Gabenor
 Bank Negara akan meletakkan jawatan.

 4 Julai : Anwar memperolehi injunksi baru terhadap buku yang ditulis oleh Khalid Jafri.

 11 Julai : Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menyatakan pihak polis sedang menyiasat
 buku tulisan Khalid Jafri.

 20 Julai : Anwar menafikan laporan mengenai wujudnya perbezaan dasar pendirian beliau dengan
 Dr. Mahathir ekoran perletakan jawatan Editor Kumpulan Berita Harian dan Utusan Melayu.

 31 Julai : Anwar memperolehi perintah injunksi sementara bagi menghalang pengedaran buku
 Khalid Jafri.

 1 Ogos : Seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan buku Khalid Jafri ditahan pihak polis.

 7 Ogos : Anwar sekali lagi menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan meletakkan
 jawatan oleh sebab wujudnya perbezaan pendapat antara beliau dengan Dr. Mahathir.

 11 Ogos : Anwar sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang sekali lagi menyatakan
 taat setia kepada Dr. Mahathir bersama 11 Ketua Umno Bahagian, menegaskan janjinya tidak
 akan mencabar Dr. Mahathir dalam pemilihan pimpinan parti dalam perhimpunan akan datang.

 12 Ogos : Khalid Jafri di dakwa di mahkamah, dan sehubungan kes itu Ketua Eksekutif Magnum
 Corporation Bhd., Nallakarruppan a/l Solaimalai didakwa kerana memiliki 125 butir peluru tanpa
 permit.

 12 Ogos: Anwar sekali lagi menafikan khabar angin bahawa beliau akan meletakkan jawatan
 rasminya.

 15 Ogos : Anwar menyeru rakyat bersatu menyokong Dr. Mahathir.

 19 Ogos : Mahkamah Seksyen menetapkan perbicaraan Khalid pada 7 Disember.

 22 Ogos : Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah tidak akan menimbang kemungkinan
 membuat lebih banyak tangkapan berkaitan dengan buku Khalid Jafri.

 28 Ogos : Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Don dan Timbalannya, Datuk Fong Weng
 Phak meletakkan jawatan oleh sebab perbezaan pendirian dengan Dr. Mahathir.

 2 Sept. : Anwar dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menteri
 Kewangan berkuatkuasa mulai jam 5.30 petang.

 3 Sept. : Anwar mengadakan sidang media di rumahnya (Bukit Damansara, Kuala Lumpur)
 menafikan segala fitnah yang menyebabkan beliau disingkirkan dari jawatannya sebagai Timbalan
 Perdana Menteri, Menteri Kewangan.

 3-4 Sept. : Anwar dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno mengikut
 keputusan konsensus mesyuarat khas (mesyuarat 9.00 mlm - 12.00 pagi) Majlis Tertinggi Umno di
 PWTC yang dihadiri oleh semua Ahli MT kecuali Menteri Luar , Dato' Abdullah Badawi.


NGO mahukan keadilan untuk Anwar

 KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan gerakan massa dan politik di negara ini amat terkejut
 dan prihatin terhadap cara bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim
 disingkirkan oleh Perdana Menteri.

 Cara penyingkiran itu disifatkan sebagai episod yang samasekali tanpa ketelusan yang
 menunjukkan Perdana Menteri bukan sahaja menghina bahkan tidak mengambil kira hak
 kebebasan pemikiran rakyat di negara ini.

 Menurut mereka, sedangkan beberapa hari lalu, walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi,
 Perdana Menteri sendiri menyakinkan rakyat mengenai hubungan baik antara beliau dengan
 timbalannya. Malah kegagalan untuk memberikan penjelasan yang munasabah mengenai peristiwa
 kemuncak penyingkiran Anwar, dan alasan-alasan berkaitannya, mengakibatkan rakyat merasakan
 selama ini mereka telah dikelirukan.

 Ia juga menyebabkan pula wujud spekulasi tidak bertanggungjawab di samping memusnahkan
 kredibiliti pihak kerajaan.

 Lima belas pertubuhan berkenaan adalah Amnesty International (Kumpulan penaja sementara
 Malaysia), Awam (Badan Bertindak Pertubuhan Wanita) Society, CENPEACE (Pusat Penggerak
 Keamanan), COAC (Pusat Pengawal Kepentingan Orang Asli), Parti DAP, Insan (Institut Analisa
 Sosial), LRC (Pusat Sumber Tenaga Manusia), MTUC, Parti Rakyat Malaysia, SCR (Pertubuhan
 Masyarakat Kristian), Dewan Perhimpunan Cina, Suaram (Suara Rakyat Malaysia), Tenaganita,
 dan WDC (Pertubuhan Pembangunan Kolektif Wanita).

 Menurutnya lagi, kegagalan kerajaan menangani kemusykilan mengenai penyingkiran Timbalan
 Perdana Menteri itu akan mengunggulkan teori konspirasi yang sedang disebar luaskan dalam
 masyarakat.

 Malahan, peristiwa dan persekitaran dalam penyingkiran Anwar menjadi bukti kukuh bahawa
 wujud konspirasi politik untuk menyingkirkan beliau dalam kedudukan kuasa yang dipegangnya.

 Justeru itu, rakyat berhak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai keadaan yang sebenar
 berlaku.

 Mereka menambah, sekiranya benar Anwar terbukti melakukan kesalahan jenayah yang serius,
 beliau sepatutnya didakwa di mahkamah terbuka bagi memberikan hak didengar secara bebas dan
 adil.

 Segala afidavit tanpa bukti sokongan, pelbagai tuduhan pengkhianat terhadap negara dan
 pertuduhan yang penuh kesangsian yang disebarkan oleh media tanpa peluang menjawabnya,
 sebenarnya tidak boleh diterima oleh masyarakat.

 Sementara itu, di Pulau Pinang Presiden Aliran, P. Ramakrishnan menyatakan kesedihan mendalam
 di atas pertuduhan empat afidavit aneh mengaitkan Anwar dan berharap Anwar diberi peluang
 membela diri dan tidak akan dikenakan tahanan undang-undang drakonian.

 Aliran amat sedih, tokoh kedua negara mengemis keadilan dan ketelusan dipersenda, rakyat
 meraba-raba punca Anwar dipecat.

 Manakala Presiden Asasi, Prof. Dr. Shahrir Mohd. Zain amat terkejut atas tindakan Dr. Mahathir
 dengan kelicikan politiknya memecat Anwar.
 


Dr Mahathir dedahkan wataknya sebenar
 - PRM

 KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan wataknya yang
 bersifat sangat 'autoritirian' serta mirip kuku besi yang bukan membantu memulihkan ekonomi
 bahkan mengakibatkan krisis ekonomi dan politik yang serius, kata Presiden PRM, Dr Syed Husin
 Ali.

 Beliau berkata demikian mengulas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
 Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

 "Ia mengejutkan, walaupun berita angin tentangnya telah lama tersebar. Aneh sungguh mengapa
 Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memilih untuk bertindak seminggu sebelum Sukom
 bermula," ujarnya dalam kenyataannya ke sini.

 "Perlucutan jawatan itu adalah kemuncak daripada perebutan kuasa di kalangan kepimpinan
 Umno. Ia mendedahkan sekali lagi watak Mahathir yang bersifat sangat authoritarian serta mirip
 kuku besi," katanya.

 Sehubungan itu, PRM berharap peristiwa perlucutan itu tidak akan dijadikan alasan untuk
 menyalahguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi melaksanakan tindakan menangkap
 dan menahan beramai-ramai tanpa bicara ataupun mengisytiharkan undang-undang darurat.

 Menurut beliau, perlucutan jawatan Anwar tidak akan membantu memulihkan keadaan ekonomi
 negeri ini malah boleh mengakibatkan krisis ekonomi dan politik yang sangat serius, jauh lebih
 serius daripada apa yang pernah dialami daalm negeri ini dalam sejarahnya yang singkat sejak
 merdeka.

 "Dr Mahathir mesti memberikan penjelasan kepada rakyat mengapa beliau bertindak begitu drastik
 sekali. Kita tidak mengetahui sama ada tuduhan-tuduhan terhadap Anwar benar atau tidak.
 Namun, sama ada benar atau sebaliknya, Anwar mesti diberi sepenuh hak untuk mempertahankan
 dirinya dalam suasana yang adil serta saksama," ujarnya.

 Kata beliau, Mahathir hendaklah lebih toleran terhadap idea-idea yang bertentangan dengan beliau
 untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi dan politik yang dihadapi sekarang, ruang yang lebih
 luas hendaklah dibuka bagi pertukaran pendapat.

 Tambah beliau, Anwar beberapa kali mengikrarkan taat setianya kepada Mahathir dan
 kedua-duanya sering pula menyatakan bahawa mereka saling sokong menyokong antara satu sama
 lain.

 "Orang yang menyebut tentang keretakan di antara mereka dituduh sebagai penyebar berita angin
 ataupun agen asing. Nyata sekali mereka telah menipu ahli-ahli Umno dan rakyat ramai tentang
 hubungan mereka selama ini," katanya.



 
 Tuduhan skandal seks dan pemecatan

 SAYA AKAN LAWAN - Anwar

 KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan
 beliau akan terus berjuang dan mengarahkan seluruh pengikutnya turun ke kawasan masing-masing
 untuk membuat penjelasan.

 Bagi beliau, serangan terhadap peribadinya adalah satu konspirasi politik setelah lawannya sedar
 bahawa beliau tidak boleh ditewaskan secara terhormat di gelanggang politik yang demokratis.

 "Maka mereka menggunakan taktik hina agar kelayakan saya untuk memasuki gelanggang
 dilucutkan.

 "Saya menyedari wujudnya spekulasi ini lebih setahun yang lalu bermula dengan berita palsu dari
 kilang khabar angin, kemudian dengan surat layang dan kemudiannya dengan buku dengan
 tuduhan-tuduhan yang jijik," kata Anwar dalam kenyataan akhbarnya yang disebarkan kepada
 semua wartawan Khamis lepas.

 Anwar membuat sidang akhbar itu sebelah petang sebelum Majlis Tertinggi Umno mengadakan
 mesyuaratnya pada sebelah malamnya yang mengambil keputusan memecat beliau dari menjadi ahli
 Umno.

 Dengan pemecatan itu, semua jawatan beliau dalam Umno gugur dengan sendirinya.

 Menurut Dr Mahathir, pemecatan Anwar dibuat setelah keputusan dicapai secara perbincangan di
 kalangan anggota Majlis Tertinggi Umno.

 Pada sebelah petang itu juga, para wartawan akhbar telah menerima apa yang dinamakan salinan
 surat yang dihantar oleh Anwar kepada Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

 Antara kandungan surat itu adalah penjelasan terperinci Anwar bagaimana beliau boleh difitnah
 dengan skandal seks dan menyebutkan nama beberapa orang menteri dan pegawai kanan Jabatan
 Perdana Menteri terlibat dengan konspirasi menjatuhkannya.

 Bersama surat itu dikepilkan juga beberapa keratan akhbar, salinan pengakuan bersumpah pihak
 yang dituduh terlibat dalam skandal seks dan homoseks dengan beliau bagi menyokong surat itu.


BALIK