BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM
3 SEPTEMBER 1998
 


UMNO Pulau Pinang tetap sokong Dr. M

PULAU PINANG 2 Sept. - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shariff Omar
meminta para pemimpin dan ahli-ahli UMNO negeri ini bertenang berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menurut Mohd. Shariff, UMNO negeri tetap menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku
Presiden parti.

Katanya, sokongan itu perlu memandangkan suasana kegawatan ekonomi sekarang.

Bercakap kepada para pemberita setibanya beliau dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Bayan Lepas di sini malam
ini, beliau berkata, UMNO Pulau Pinang telah dibayangkan dengan kemungkinan pelucutan jawatan Anwar pada satu
mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di kediaman Anwar semalam.

''Dalam pertemuan itu, Anwar memberi penjelasan mengenai perkara-perkara semasa termasuk tuduhan dalam buku 50
Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM,'' katanya.

Mohd. Shariff berkata, pelucutan jawatan Anwar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang tidak
akan menimbulkan masalah perpaduan dalam parti.

Menurutnya, pada pukul 3.30 petang ini beliau mendapat tahu malam ini satu mesyuarat Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang akan diadakan sekali lagi di kediaman Anwar.

''Saya bersama beberapa ahli jawatankuasa UMNO negeri berlepas ke Kuala Lumpur tetapi apabila saya tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya menonton berita televisyen mengenai pelucutan jawatan
Anwar.

''Dari KLIA, saya berpatah balik ke Pulau Pinang tanpa pergi ke rumah Anwar,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH


Kronologi membawa kepada pelucutan semua jawatan

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Soal hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan
Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula diperkatakan pada tahun 1995 lagi.

Ketika itu banyak anggapan menyatakan kononnya Anwar akan mencabar Dr. Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO
pada pemilihan tahun berikutnya.

Keadaan itu 'memaksa' Dr. Mahathir pada bulan September tahun yang sama membuat kenyataan bahawa tidak wujud
perselisihan faham sesama mereka.

Sambil menyifatkan anggapan itu dibuat oleh orang yang bankrap idea, Dr. Mahathir menegaskan UMNO berpegang
kepada tradisi iaitu Timbalan Presiden akan mengambil alih jawatan nombor satu parti apabila tiba masanya.

Ketika itu, Anwar menyatakan sokongan beliau kepada Presiden tidak perlu dipersoalkan.

Perhimpunan Agung UMNO 1996 bagaimanapun berlalu dengan Anwar sekadar mempertahankan jawatan Timbalan
Presiden.

Tetapi soal hubungannya dengan Dr. Mahathir terus diperkatakan khususnya oleh media Barat mengaitkannya dengan
jawatan tertinggi UMNO.

Tidak kurang pula yang mengaitkan hubungan 'regu utama' pemimpin kerajaan dan UMNO itu dengan jawatan dan tugas
Anwar sebagai Menteri Kewangan khususnya ketika negara mula dilanda krisis mata wang dan kegawatan ekonomi sejak
Julai tahun lalu.

* 20 September 1995 - Dr. Mahathir menjelaskan tidak wujud perselisihan faham di antara beliau dengan Anwar selepas
mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

* 6 Ogos 1996 - Dr. Mahathir berkata akibat terlalu banyak teori konspirasi mengenai hubungannya dengan Anwar, telah
timbul pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan dalam UMNO.

* 20 November 1996 - Bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggotai
semula UMNO menyatakan beliau tidak mempunyai rancangan untuk mencabar Anwar selaku Timbalan Presiden
UMNO.

* 22 November 1996 - Dr. Mahathir menyatakan sokongan penuh kepada Anwar sebagai penggantinya.

* 24 November 1996 - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pertikaian mengenai siapa yang
akan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak harus timbul, jika pemimpin dan ahli UMNO
menghormati hierarki dalam parti.

* 25 November 1996 - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Pemuda memberi amaran kepada
kembiri termasuk media asing supaya tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baik Dr. Mahathir dan Anwar.

* 19 Mei 1997 - Anwar memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan mulai hari ini kerana Dr. Mahathir
bercuti.

* 25 Ogos 1997 - Dr. Mahathir berkata, dakwaan kononnya Anwar terbabit dalam skandal seks merupakan fitnah yang
bermotifkan politik.

* 26 Ogos 1997 - Anwar mendedahkan bahawa beberapa surat tohmahan terhadapnya diedarkan kebelakangan ini
dalam usaha yang terancang, teratur dan teliti bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.

* 7 September 1997 - Pada Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir menangkis segala tohmahan yang bertujuan
merosakkan imej Anwar yang bakal menggantikannya.

* 17 Jun 1998 - Anwar memperoleh perintah injunksi interim terhadap penulis buku bertajuk 50 Dalil Mengapa Anwar
Tidak Boleh Jadi PM.

* 18 Jun 1998 - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan pergerakan itu mendesak unsur
nepotisme dan kronisme dalam kerajaan dihapuskan.

* 20 dan 21 Jun 1998 - Senarai nama syarikat dan individu yang mendapat saham dan projek kerajaan diedarkan
kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO.

* 21 Jun 1998 - Dr. Mahathir dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan itu menegaskan, tiada amalan nepotisme
wujud sebagaimana didakwa dan secara terbuka menyebut nama Ahmad Zahid antara mereka yang terdapat dalam
senarai tersebut.

* 7 Ogos 1998 - Anwar menyifatkan spekulasi kononnya beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan sebagai 'tidak
berasas'. Katanya, beliau masih bertanggungjawab penuh di Kementerian Kewangan.

* 22 Ogos 1998 - Dr. Mahathir menyatakan di Kota Bharu bahawa terdapat usaha pihak asing untuk menumbangkan
kerajaan dengan menggantikannya dengan Timbalannya, Anwar tetapi 'beliau bernasib baik kerana cubaan itu gagal'.

* 24 Ogos 1998 - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya
mengekalkan perpaduan dengan berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti hanya mempunyai seorang 'jeneral'.

* 25 Ogos 1998 - Anwar mendedahkan beberapa surat tohmahan terhadapnya sebagai usaha yang 'terancang, teratur
dan teliti' bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.

* 31 Ogos 1998 - Anwar menafikan khabar angin buat kali ketiga dalam tempoh sebulan kononnya beliau
mengemukakan surat peletakan jawatan.

* 1 September 1998 - Dr. Mahathir berkata beliau akan menerima peletakan jawatan Anwar jika Anwar mengemukakan
alasan yang kukuh.

* 2 September 1998 - Anwar dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
 


Kronologi Anwar dalam UMNO

KUALA LUMPUR - Pada 29 Mac 1982, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusannya untuk bergerak
cergas dalam politik UMNO ''kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad.''

''Saya memilih UMNO kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya dan saya memberi
sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan parti yang beliau pimpin.

''Kami berharap akan dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat negara ini,'' kata beliau di hadapan Dr. Mahathir di
Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dan, semalam di JPM juga kerjaya beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berakhir apabila
dilucutkan daripada semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Sebulan selepas (April 1982) Anwar yang merupakan bekas Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membuat
pengumuman itu, beliau dipilih sebagai calon pilihan raya umum dan memenangi kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Dari situlah bermulanya kerjaya politik Anwar dalam kerajaan. Pada usia 35 tahun, selepas menumpaskan calon Pas dan
DAP dengan majoriti 14,352 undi Anwar diberi kepercayaan menjadi Timbalan Menteri di JPM pada tahun yang sama
selama 14 bulan.

Pemuda UMNO telah mengambil keputusan penting dalam sejarah pergerakan itu pada 9 September 1982 dengan
memilih orang baru dalam politik UMNO iaitu Anwar mengetuai mereka.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Pemuda seorang yang baru lima bulan menyertai parti, diberi jawatan dan
kepercayaan demikian besar. Tetapi ia berlaku kepada Anwar sekalipun kemenangan itu hanya dengan 10 undi
menewaskan Datuk Suhaimi Kamaruddin.

Peningkatan Anwar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu, berlaku dengan begitu pantas.

Pada 2 Jun 1983, beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Menteri Pertanian 14 Julai tahun berikutnya.

Dua tahun kemudian, beliau melangkah ke Kementerian Pendidikan, portfolio yang dianggap sebagai ''petanda emas'' bagi
seorang anggota kabinet terus berjaya dalam kerjaya politik.

Secara tradisi, jawatan Menteri Pendidikan disandang oleh mereka yang menjadi Perdana Menteri negara ini.

Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin. Pada 1 Disember
1993, beliau dilihat akan menggantikan Dr. Mahathir apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas menang
dalam pemilihan sebagai Timbalan Presiden tanpa bertanding bagi menggantikan Tun Ghafar Baba.

Beliau yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk penggal kedua pada 1996, telah diberi
kepercayaan untuk memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan sejak 19 Mei 1997.

Anwar tidak begitu dikenali sebelum 1974. Peristiwa mogok lapar dan tunjuk perasaan di Baling, Kedah pada November
tahun itu serta-merta menjulang namanya.

Anwar yang ketika itu merupakan pemimpin pelajar Universiti Malaya dan ABIM memperjuangkan kemelaratan hidup
penduduk di kampung di utara Semenanjung itu. Bagaimanapun kelantangannya itu menyebabkan beliau dan beberapa
rakan pelajarnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Apabila anak kelahiran Cerok To'kun, Bukit Mertajam itu mengumumkan komitmennya kepada UMNO, arena politik
tanah air mengalami semacam kejutan. Ini kerana Anwar sebelum ini sering dikaitkan dengan perjuangan Pas dan
mengkritik kerajaan.

Mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa keputusannya menyertai UMNO itu merupakan satu political suicide,
beliau berkata, ''biarlah masyarakat yang menentukan''.

''Dan hanya Tuhan sahaja yang tahu mengenai niat dan tujuan saya menyertai UMNO,'' kata beliau pada sidang akhbar
ketika mengumumkan keputusannya menjadi anggota UMNO pada 29 Mac 1982.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada April 1982, beliau dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh
empat bulan kemudian. Beliau memimpin Pergerakan Pemuda UMNO sehingga 23 April 1987.

Pada 24 April 1987, Anwar dipilih sebagai Naib Presiden UMNO selepas beberapa kali menolak desas-desus bahawa
beliau akan merebut jawatan itu.

Beberapa bulan kemudian, Anwar menolak dakwaan bahawa hubungannya dengan Ghafar yang merupakan Timbalan
Presiden ketika itu renggang. Enam tahun kemudian beliau yang beberapa kali menafikan akan mencabar Ghafar untuk
jawatan timbalan presiden, akhirnya mengubah pendirian atas alasan desakan para penyokong parti.

Sejak 17 Julai 1987 dan sehingga kini, beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pulau
Pinang.

Anwar ketika menjelaskan falsafah perjuangan politik pada 1982, pernah juga berkata: ''Kalau kita hendak membuat
sesuatu, adalah menjadi kenyataan yang kita perlukan kedudukan tertentu.

''Sekalipun kita mempunyai idea yang baik tetapi kerana kita tidak mempunyai kedudukan tertentu, sukar bagi kita untuk
melaksanakan idea tersebut,'' katanya.

Kepimpinan Anwar dalam pergerakan belia tahun 1970-an, sebelum menyertai politik telah mendapat pengiktirafan
antarabangsa. Ini termasuklah pelantikan pada tahun 1973 sebagai anggota jawatankuasa penasihat hal ehwal belia di
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pada tahun 1976 mewakili rantau Asia Pasifik di Perhimpunan Belia Sedunia
(WAMY).

Semasa di Universiti Malaya, beliau cuba membawa perubahan dalam corak kehidupan kampus dengan menerap
nilai-nilai Islam dan peradaban timur. Ini dilakukannya semasa menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan
Pelajar-Pelajar Islam Malaysia mulai tahun 1968. Anwar mendapat pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala
Kangsar yang melahirkan ramai pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan.

Dari universiti, beliau kemudian menjadi Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tahun 1970 dan dua tahun
selepas itu, menjadi presidennya.

Malah, Anwar juga pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia antara 1972 dan 1976 dan Presiden Persidangan
UNESCO (1987-89). Pada masa sekarang beliau juga adalah Presiden Universiti Islam Malaysia.

Antara tempoh 1979 dan 1997, beliau telah menerima 18 anugerah termasuk Pingat Allama Iqbal Centenary, Pakistan,
Malaysia Of The Year pada 1982, Reader of The Year (1988), Top Finance Ministers of the Year, majalah Euromoney
(1993) dan Knight Grand Cross of Rizal (Sir) pada 1996.

Sebagai Menteri Kewangan sejak Mac 1991, Anwar juga dilihat sebagai anggota kabinet yang memperkenalkan
perkataan-perkataan dan istilah-istilah baru ketika menyampaikan ucapan belanjawan.

Beliau juga ada menulis buku berjudul Menangani Perubahan pada 1989 dan The Asian Renaissance tahun lalu.

Sepanjang 16 tahun dan empat bulan dalam kerajaan, Anwar yang beristerikan, seorang doktor mata, Datin Seri Dr. Wan
Azizah Wan Ismail dan mempunyai enam orang anak, menjadi perhatian kerana sering diselubungi pelbagai desas-desus
khususnya sejak Julai lalu apabila negara dilanda kegawatan ekonomi.
 


Pemimpin UMNO beri kepercayaan kepada PM

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Para pemimpin UMNO malam ini memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menentukan barisan kepimpinannya ekoran tindakan beliau melucutkan jawatan
timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Mereka yang dihubungi Utusan untuk mendapatkan reaksi perlucutan jawatan Anwar itu menyatakan sokongan dan
memberi kepercayaan kepada Dr. Mahathir dalam menyelesaikan isu semasa negara.

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menegaskan:

''Kita harus memberi kepercayaan kepada Dr. Mahathir untuk menentukan barisan kepimpinan di belakangnya termasuk
jawatan Timbalan Perdana Menteri.''

Tambah Wan Mokhtar, langkah perlucutan jawatan itu mungkin dibuat berdasarkan beberapa perkara dan Perdana
Menteri lebih mengetahui mengenainya.

Di Kedah Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau menyokong sebarang tindakan Perdana Menteri ke atas
timbalannya.

Katanya, Perdana Menteri mempunyai sebab-sebab tertentu mengenai perkara itu yang akan diketahui kemudian.

Pemecatan ini, katanya, tidak ada sangkut paut dengan keadaan ekonomi sekarang.

Di Kuantan, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Khalil Yaacob berkata, Pahang akur dengan keputusan Perdana Menteri
kerana beliau sahaja yang mempunyai kuasa untuk melantik dan melucutkan anggota kabinet.

''Kita akur dengan keputusan itu,'' katanya ketika dihubungi.

Di Seremban, Menteri Besar Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, perlucutan jawatan Anwar Ibrahim bukan
sesuatu yang luar biasa tetapi beliau percaya ia dilakukan kerana sebab-sebab yang sangat penting.

Katanya, kerajaan negeri menerima keputusan itu dengan rasa keinsafan dan berharap seluruh rakyat dapat menerima
keputusan itu.

Di Ipoh, Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib yakin Perdana Menteri telah menimbang semua aspek
sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan memecat timbalannya hari ini.

Menurutnya, ia suatu keputusan yang harus dibuat dan merupakan satu keputusan paling penting membabitkan
kepentingan rakyat dan negara ini.

''Saya pasti Perdana Menteri telah meneliti dengan mendalam setiap aspek kerana keputusan tersebut adalah sukar untuk
dibuat dan melibatkan kepentingan negara, rakyat dan kerajaan pimpinannya,'' katanya.

Di Kangar, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, secara peribadi beliau sedih dengan tindakan itu
tetapi akur dengan keputusan pucuk pimpinan itu.

''Saya minta semua rakyat Perlis berdiri di belakang Perdana Menteri dan bersabar dengan keputusan yang diumumkan
itu,'' katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bukan mudah bagi Perdana Menteri untuk
membuat keputusan itu kerana ia melibatkan seorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan parti.

''Saya yakin bahawa Dr. Mahathir telah mengkaji segala-gala fakta secara mendalam sebelum membuat keputusan ini,''
katanya ketika menghubungi Utusan malam ini.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Hassan Omar berkata:

''Saya percaya Dr. Mahathir mempunyai alasan tertentu untuk melucutkan jawatan Anwar. Kita akur kepada keputusan
Perdana Menteri.

''Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan adalah menjadi hak Perdana Menteri untuk melantik dan
memecat mana-mana ahli jemaah menteri''.

Beliau seterusnya meminta rakyat bertenang dan berfikiran waras serta meletakkan kepentingan negara lebih daripada
kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba berkata beliau berasa agak sedih dengan perlucutan jawatan itu
memandangkan Anwar merupakan penggantinya.

''Saya menarik diri daripada bertanding (jawatan Timbalan Presiden UMNO) pada tahun 1993 kerana saya fikir mahu
memberi peluang kepada pemimpin muda mengambil alih,'' katanya.

Ghafar turut menasihatkan anggota parti supaya bertenang dan menunggu penjelasan lanjut daripada Dr. Mahathir
mengenai perkara itu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Sabbaruddin Chik berkata, beliau terperanjat dengan pengumuman berita perlucutan
jawatan itu.

Mengenai kedudukan Anwar dalam parti, beliau berkata perkara itu belum diputuskan lagi.

''Jawatan dalam parti berlainan dengan jawatan dalam kabinet,'' kata Sabbaruddin, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan
Pelancongan.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO esok akan membincangkan ''perkara biasa.''

Anggota Majlis Tertinggi (MT), Datuk Syed Hamid Albar berkata, beliau yakin Perdana Menteri mempunyai maklumat
yang cukup untuk mengambil sesuatu tindakan bagi kepentingan negara.

''Saya yakin Perdana Menteri bertindak bukan mengikut emosi atau kepentingan peribadi,'' katanya ketika dihubungi.

Di Kuala Terengganu Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor yakin parti UMNO tidak akan
berpecah ekoran perlucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan.

''Ahli-ahli UMNO harus menaruh keyakinan kepada pucuk pimpinan parti kerana yang menjadi keutamaan ialah
kepentingan negara dan parti,'' katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin ketika ditemui di sebuah hotel di sini malam ini
berkata, UMNO Melaka sejak dulu lagi sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad.
 


Rakyat perlu bertenang

DATUK Seri Anwar Ibrahim yang digroom oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir untuk menggantikannya
sebagai Perdana Menteri akhirnya menamatkan karier politiknya apabila beliau dilucutkan semua jawatan kerajaannya
semalam dari Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pengerusi beberapa jawatankuasa kabinet yang
disandangnya.

Perdana Menteri bukan sekali bahkan berulang-ulang kali mengisytiharkan bahawa Anwarlah bakal penggantinya untuk
memimpin negara apabila tiba masanya.

Dari hanya seorang pemimpin pelajar dan kemudian Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar dibawa ke
dalam UMNO oleh Dr. Mahathir sendiri dan bermula dari situ, peningkatan Anwar dalam arena politik terutama dalam
UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu cemerlang sekali.

Anwar merupakan bintang yang sedang bersinar dan di bawah naungan Perdana Menteri membuat kehadirannya dalam
UMNO dengan mengalahkan tokoh-tokoh ternama dalam UMNO sepanjang kariernya.

Seperti ketika Perdana Menteri membawanya ke dalam UMNO, maka begitu juga ketika beliau dilucutkan, Perdana
Menteri tentu mempunyai sebab yang kukuh dan tidak boleh dipertikaikan lagi untuk melucutkan semua jawatannya dalam
kerajaan.

Mutakhir ini, perkembangan yang melanda negara agak mencemaskan apabila perpaduan rakyat menjadi goyah akibat
isu-isu kononnya berlaku nepotisme yang sengaja dibawa sehingga ia menjejaskan soal dasar ekonomi yang bermula dari
perancangan teliti sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru yang diarkitekkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Perkara-perkara dasar sepanjang mengenai penanganan soal-soal ekonomi, kewangan yang turut melibatkan Bank
Negara menjadi perkara pokok di mana perpaduan kepimpinan sangat diperlukan supaya ia dapat dilihat berpadu dan
kukuh tetapi ternyata ia tidak mencapai hasrat sewajarnya.

Kegawatan ekonomi yang melanda negara memerlukan perpaduan kepimpinan yang kental supaya ia menyerlahkan
keupayaan kepimpinan dalam menangani isu besar yang tidak pernah dihadapi negara sebelumnya.

Apa pun sebab dan punca yang mengakhiri karier Anwar, rakyat mestilah meneruskan komitmen mereka untuk berdiri
teguh di belakang kerajaan yang selama rekod perkhidmatannya telah tidak pernah mensia-siakan rakyat.

Perpaduan yang menyeluruh sangat perlu dalam saat-saat seperti ini dan kepada ahli-ahli UMNO seluruhnya serta
komponen Barisan Nasional, ikatan perpaduan perlu disimpulkan untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Pemimpin datang dan pemimpin pergi, urusan dan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara perlu diteruskan.Tidak ada
sesiapa yang indispensable. Rakyat perlu bertenang dan berlapang dada menghadapi apa yang berlaku. Kepentingan
negara mengatasi segala-galanya.
 


Anwar dilucutkan jawatan -- Mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO hari ini

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan selepas 16 tahun empat bulan berada dalam kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad.

Kenyataan tiga perenggan Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan tepat pukul 8 malam ini mengumumkan, perlucutan
jawatan tersebut yang berkuat kuasa pukul 5.30 petang hari ini telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, yang genap 51 tahun pada 10 Ogos lalu, menerima surat perlucutan jawatan itu pada pukul 7.05 malam di
kediamannya yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di Jalan Damansara di
sini.

Surat itu disampaikan oleh beberapa orang pegawai polis yang dilihat memasuki kediaman Anwar kira-kira pukul 7
malam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor turut kelihatan berada di situ.

Esok, Majlis Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat khas dan ia dijangka membincangkan kedudukan Anwar
selaku Timbalan Presiden parti itu.

Dalam kenyataan akhbar berhubung kedudukan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan petang ini, Jabatan
Perdana Menteri tidak mengumumkan calon yang akan mengisi kekosongan yang wujud berikutan pemecatan Anwar.

Bagaimanapun Utusan difahamkan, Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin akan
dilantik semula sebagai Menteri Kewangan. Daim adalah Menteri Kewangan dari tahun 1983 hingga 1991.

Anwar masih belum memberi reaksi terhadap perlucutan jawatannya.

Selepas mesyuarat kabinet pagi ini, khabar angin tersebar dalam komuniti kewangan di ibu kota dan di kalangan para
pemimpin politik bahawa Anwar telah diminta meletakkan jawatan, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

Kediaman Anwar di sini mula didatangi oleh beberapa kumpulan ahli UMNO - termasuk Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi - selepas tengah hari dan menjelang malam, kawasan itu dikawal oleh
anggota-anggota polis.

Dianggarkan 1,000 penyokong Anwar berada di kediamannya malam ini.

Menurut para penyokongnya, apabila Anwar menerima surat perlucutan jawatannya, beliau membawa surat itu ke tingkat
atas kediaman tersebut.

Ahmad Zahid kemudian mengumumkan kepada mereka yang berada di rumah itu bahawa Anwar baru sahaja menerima
surat pemecatan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sudah tiga kali Anwar menafikan akan meletakkan jawatan walaupun terdapat
desas-desus mengatakan beliau telah tidak sehaluan dalam banyak hal dengan anggota-anggota kabinet lain.

Semalam, Dr. Mahathir memberitahu para pemberita di Kuala Lumpur bahawa beliau akan menerima peletakan jawatan
Anwar jika Anwar mengemukakan alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Kata Dr. Mahathir: ''Jika beliau memberi alasan yang kukuh mengapa beliau harus meletakkan jawatan, saya akan
terima.''

Kebangkitan Anwar - daripada seorang aktivis pelajar tahun 60-an, mengetuai kumpulan pendesak Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM) pada tahun 70-an dan kemudian menjadi pemimpin politik generasi baru dalam UMNO pada dekad
80-an dan 90-an - merupakan satu sensasi dalam politik Malaysia.

Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri yang ketiga sepanjang 18 tahun Dr. Mahathir memimpin kerajaan.

Sebelum ini, Datuk Musa Hitam meletakkan jawatan pada tahun 1986. Ghafar Baba pula menjadi Timbalan Perdana
Menteri dari tahun 1986 hingga 1993, sebelum kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar
pada pemilihan UMNO tahun 1993.

Anwar dilabelkan oleh media asing sebagai pengganti Dr. Mahathir tetapi sejak akhir-akhir ini desas-desus tersebar di
kalangan ahli-ahli UMNO dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pengaruhnya yang semakin
merosot dalam kerajaan dan keretakan hubungan beliau dengan Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Mohamed Don yang dikatakan mendapat sokongan Anwar
meletakkan jawatan selepas tidak bersetuju dengan polisi drastik pengawalan mata wang dan kawalan modal yang
diperkenalkan oleh Dr. Mahathir.

Anwar mempunyai sejarah politik yang berwarna-warni dalam UMNO iaitu parti yang merupakan tulang belakang
Barisan Nasional.

Beliau mengumumkan penyertaan aktifnya dalam UMNO pada 29 Mac 1982 dalam satu sidang akhbar khas yang
diadakan di Jabatan Perdana Menteri di hadapan Dr. Mahathir sendiri.

Anwar mengumumkan beliau memasuki UMNO ''kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad''.

Bekas aktivis pelajar yang pernah dipenjarakan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
Anwar yang ketika itu berusia 35 tahun bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1982 atas tiket Barisan
Nasional (BN) di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pada pilihan raya itu beliau menumpaskan calon Pas dan DAP dengan majoriti 14,352 undi dan selepas pilihan raya
umum itu, beliau terus dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri
Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991) dan Timbalan Perdana Menteri (1993).

Di dalam UMNO, Anwar mendaki tangga kekuasaan dengan menjadi Ketua Pemuda UMNO (1982-1987), Naib
Presiden (1987-1993) dan Timbalan Presiden (1993 hingga sekarang).

Oleh: BAHAROM MAHUSIN


Keselamatan seluruh negara terkawal

                BERSEDIA... anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di jalan
                menuju ke kediaman Anwar bagi mengelakkan kejadian tidak diingin.

        KUALA LUMPUR, Rabu - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, meminta orang ramai
        tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam berikutan pengumuman
        pelucutan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet.

        Sambil menegaskan polis akan bertindak mengikut keadaan, beliau berkata keadaan keselamatan di
        seluruh negara adalah terkawal ekoran berita itu.

        Menurutnya, polis menerima laporan mengenai orang ramai yang berkumpul di kediaman rasmi
        Perdana Menteri dan Anwar tetapi keadaan di dua kawasan itu adalah terkawal.

        "Polis sudah mengatur anggota untuk berjaga-jaga jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
        Bagaimanapun, setakat ini tidak ada perkara buruk berlaku," katanya kepada pemberita selepas
        mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan polis di Bukit Aman, kira-kira jam 11.45 malam ini.

        Abdul Rahim juga berkata, Anwar tidak dikenakan tahanan di rumah atau polis menahan orang lain
        ekoran pelucutan jawatan itu. Sehingga lewat malam ini, Anwar bebas keluar dari kediamannya.

        Bagaimanapun, polis membuat kawalan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pejabat Menteri
        Kewangan bagi menjaga banyak dokumen kerajaan yang disimpan di situ.

        "Kita kawal dari segi menjaga dokumen-dokumen kerajaan," katanya.

        Beliau berkata, Polis Simpanan Persekutuan turut berkawal di kawasan kediaman Anwar untuk
        menjaga keamanan berikutan ramai orang berkumpul di situ.

        "Selain itu, polis sentiasa berjaga-jaga di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang bagi mengelak
        sebarang ketegangan," katanya.

        Abdul Rahim turut mengesahkan Anwar disiasat berhubung kandungan buku 50 Dalil Mengapa
        Anwar Tidak Boleh Jadi PM berdasarkan beberapa pengaduan yang diterima.

        "Pelbagai perkara telah disebut terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, jadi sudah tentulah
        siasatan ini meliputi dirinya, selain pengarang buku itu," katanya.

        Beliau berkata, sama ada pengaduan itu akan berakhir dengan Anwar didakwa di mahkamah
        bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan.

        Ditanya apakah Akta Rahsia Rasmi akan dikenakan terhadap Anwar berdasarkan kandungan buku
        itu, Abdul Rahim berkata siasatan masih dijalankan.

        "Setakat ini, kita siasat beberapa pengaduan yang dibuat terhadap Anwar termasuk mengenai
        kandungan buku ini. Di samping itu, Anwar pun buat pengaduan polis dan itu, kita kena siasat
        jugalah," katanya.
 


Tindakan berpandukan maklumat lengkap

                KERUMUN... wartawan dan jurugambar media tempatan dan asing berkumpul di
                jalan keluar kediaman Anwar, di Jalan Damansara, semalam.

        KUALA LUMPUR, Rabu - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat dan
        anggota Umno supaya bertenang dan meletakkan kepentingan parti di atas segala-galanya.

        "Saya percaya Dr Mahathir telah meneliti segala fakta secara mendalam sebelum membuat
        keputusan.

        "Marilah kita semua memberi kepercayaan sepenuhnya dan berdiri teguh di belakang pucuk
        pimpinan parti dan kerajaan yang dipimpin oleh Dr Mahathir," kata Najib yang juga Naib Presiden
        Umno.

        Katanya, beliau yakin dan percaya Perdana Menteri yang banyak pengalaman dan berwibawa akan
        berjaya menangani perkara itu.

        Sementara itu, Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik,
        berkata parti itu menghormati keputusan Dr Mahathir.

        "Kita menyokong keputusan itu kerana kita telah memilih beliau sebagai Perdana Menteri...beliau
        mempunyai hak untuk mengambil keputusan itu," katanya.

        Dr Ling berkata tidak ada tanda-tanda ketika mesyuarat Kabinet pagi ini bahawa satu pengumuman
        besar akan dibuat petang ini.

        Menteri Pertahanan, Datuk Syed Hamid Albar berkata beliau yakin Perdana Menteri mempunyai
        maklumat yang cukup untuk mengambil sesuatu tindakan bagi kepentingan negara.

        "Saya yakin Perdana Menteri bertindak bukan mengikut emosi atau kepentingan peribadi," katanya
        ketika dihubungi.

        Beliau berharap anggota Umno tetap menyokong tindakan Dr Mahathir mengikut keperluan dan
        kehendak masa.

 


Profil Anwar Ibrahim

        DATUK Seri Anwar Ibrahim, 51, yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1
        Disember 1993, mula menyertai pentadbiran kerajaan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri di
        Jabatan Perdana Menteri pada 1982.

        Beliau kemudian dilantik sebagai menteri penuh, bermula di Kementerian Kebudayaan, Belia dan
        Sukan pada Jun 1983, sebelum menerajui Kementerian Pertanian (Julai 1984) dan Kementerian
        Pendidikan (Mei 1986).

        Berikutan persaraan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan, Anwar dilantik mengisi
        kekosongan itu pada Mac 1991 hinggalah beliau digugurkan daripada Kabinet semalam.

        Anwar mula menyertai Umno pada 1982 dan diberi kepercayaan bertanding pada pilihan raya
        umum tahun yang sama atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
        Beliau berjaya menewaskan calon PAS dengan undi majoriti 14,352.

        Pada pemilihan Ketua Pemuda Umno pada 1982, Anwar yang juga Ketua Umno bahagian
        Permatang Pauh, mengalahkan Datuk Suhaimi Kamaruddin dengan hanya 10 undi dalam
        pertandingan yang sengit.

        Dalam pilihan raya umum 1986, Anwar mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas
        menewaskan Ketua Pemuda Pas ketika itu, Mohamad Sabu dengan majoriti 10,479 undi.

        Pada 1987, Anwar meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pemuda untuk bertanding salah satu
        jawatan naib presiden dan memenanginya dengan mendapat 850 undi.

        Ketika pemilihan parti berikutnya pada 1990, beliau sekali lagi terpilih ke jawatan nombor tiga itu,
        apabila mendapat undi terbanyak iaitu 1,067.

        Bintang beliau dalam politik terus bersinar apabila berjaya menduduki kerusi Timbalan Presiden
        Umno selepas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba menarik diri dari bertanding
        pada pemilihan 1993.

        Pada pemilihan parti pada 1996, Anwar mengekalkan jawatan nombor dua dalam parti itu tanpa
        bertanding.

        Selain memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan dan parti, Anwar turut dilantik pengerusi
        dan anggota kelab dan pertubuhan.

        Sehingga kini, Anwar masih memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet bagi
        mengawasi penyelewengan dalam kerajaan, Timbalan Pengerusi Majlis Teknologi Maklumat
        Kebangsaan (NITC) dan Timbalan Presiden Majlis Telekomunikasi Negara.

        Awal tahun ini, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara
        (MTEN) yang diwujudkan bagi menangani kegawatan ekonomi negara.

        Sebagai pemimpin belia, Anwar pernah menduduki kerusi Presiden Majlis Belia Malaysia (1972-76)
        dan Presiden Abim (1974-82) sebelum bergiat aktif dalam Umno.

        Dalam bidang pendidikan tinggi, Anwar dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa
        Malaysia (UIAM) sejak 1988 hingga sekarang.

        Di peringkat antarabangsa, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa
        Pembangunan Bank Dunia/Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk tempoh dua tahun mulai
        April lalu.

        Selain menerima beberapa darjah kebesaran, Anwar juga turut dianugerahkan beberapa
        penghargaan tinggi seperti pingat emas Unesco, dipilih sebagai antara empat Menteri Kewangan
        terbaik oleh majalah Euromoney, dan dinamakan Tokoh Menteri Kewangan 1996 oleh majalah
        AsiaMoney.

        Diaugerahkan Order of Rizal pada 1996 yang membawa gelaran 'Sir' sempena Persidangan
        Antarabangsa mengenai 'Centennial of the 1896 Philippines Revolution'.

        Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Sungai Bakap, Seberang Perai Pulau Pinang, Anwar mendapat
        pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pelajaran ke
        Universiti Malaya (UM) pada 1967.

        Sewaktu di UM, Anwar dipilih sebagai Presiden Mahasiswa Islam universiti itu.

        Anwar pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Disember 1974
        kerana pembabitannya dalam tunjuk perasaan petani miskin di Baling, Kedah.

        Beliau mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
        Ismail pada 1980. - Bernama


Negeri berdiri teguh di belakang Mahathir

                BERSEDIA... anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di jalan
                menuju ke kediaman Anwar bagi mengelakkan kejadian tidak diingin.

        KUALA LUMPUR, Rabu - Kerajaan-kerajaan negeri menyatakan sokongan padu terhadap Datuk
        Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung tindakan melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
        daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Di KUALA TERENGGANU, Badan Perhubungan Umno Terengganu memberi jaminan berdiri
        teguh di belakang Perdana Menteri dalam isu pelucutan jawatan Anwar.

        Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, berkata Perdana Menteri tahu apa yang dibuat dan
        tindakan itu adalah atas kepentingan negara serta kestabilan politik.

        "Kita memberi penuh kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk memimpin negara dan menangani
        masalah ekonomi yang sedang dihadapi," katanya.

        Wan Mokhtar yang juga Ketua Umno Perhubungan negeri meminta ahli Umno bertenang dan jangan
        membuat tanggapan melulu terhadap isu itu bagi menjaga kepentingan semua pihak dan kestabilan
        politik.

        Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang berada di Kuala Terengganu pula berkata
        Umno Melaka menyokong penuh tindakan Dr Mahathir itu.

        Katanya, Melaka sudah membuat keputusan menyokong Dr Mahathir dalam sebarang keputusan
        yang dibuat.

        Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob akur dengan keputusan
        pelucutan jawatan Anwar. Beliau berkata, hanya Perdana Menteri saja yang mempunyai kuasa
        untuk memecat dan melantik anggota Kabinetnya.

        Di IPOH, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yakin Perdana Menteri melucutkan
        jawatan timbalannya selepas menimbang dan mengkaji perkara itu dengan mendalam.

        Sehubungan itu, beliau yakin Dr Mahathir mengambil tindakan itu untuk kebaikan orang ramai dan
        negara serta pentadbiran pimpinannya.

        Ramli meminta rakyat menerima keputusan berkenaan dengan hati yang terbuka.

        "Saya harap tiada pihak yang mengambil kesempatan menimbulkan masalah. Saya juga berharap
        orang ramai bertenang," katanya.

        Di ALOR STAR, Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata Perdana Menteri mempunyai
        sebab tertentu bertindak melucutkan jawatan Anwar.

        Menurutnya, dalam perjumpaan Dr Mahathir dengan semua Menteri Besar malam semalam,
        Perdana Menteri diberi sokongan penuh oleh semua Menteri Besar berhubung tindakannya itu.

        Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata
        pelucutan jawatan Anwar bukan suatu perkara luar biasa.

        Katanya, di New Zealand bulan lalu, Perdana Menteri negara itu melakukan tindakan yang sama
        terhadap timbalannya.

        "Kita perlu faham jawatan itu (Timbalan Perdana Menteri) adalah hak Perdana Menteri. Beliau
        bebas melantik atau memilih sesiapa saja. Begitu juga sebaliknya. Jika kita faham, sudah tentu tidak
        timbul masalah," katanya.

        Beliau juga percaya Umno tidak berpecah kerana ahli akan memahami tindakan itu apabila diberi
        penerangan.

        "Lagipun, Umno sudah berpengalaman dalam perkara ini. Ini bukan perkara baru dalam parti,"
        katanya.

        Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Datuk Abu Hassan Omar berkata Perdana Menteri boleh
        melantik dan memecat mana-mana anggota Kabinet dan kerajaan.

        Beliau memberi jaminan pegawai dan Exco kerajaan Selangor akan menerima keputusan Dr
        Mahathir.

        "Kita di Selangor akur dengan apa yang diputuskan Perdana Menteri.

        "Saya berharap semua pihak bertenang dan berfikir secara waras dengan mengutamakan
        kepentingan negara, negeri dan parti," katanya.

        Di KANGAR, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, menggesa rakyat menerima pelucutan
        jawatan Anwar dengan sabar dan tabah.

        Beliau mahu setiap ahli parti komponen BN negeri ini berdiri teguh di atas keputusan Dr Mahathir
        berhubung perkara itu.


Anwar dilucut jawatan

        KUALA LUMPUR, Rabu - Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan daripada Kabinet
        berkuatkuasa jam 5.30 petang ini.

        Berikutan itu, Anwar, 51, kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
        serta semua kedudukannya yang berkaitan kedua-dua jawatan itu.

        Kenyataan tiga perenggan Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan menerusi Bernama lewat
        petang ini menyatakan, Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

        Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberi sebab berhubung pemecatan berkenaan.

        Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dijangka menjelaskan perkembangan itu, esok.

        Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang sebelum ini dijadualkan pada 8 September akan
        diadakan jam 8 malam esok.

        Difahamkan, mesyuarat itu akan memutuskan sama ada Anwar digantung keahliannya atau dipecat.

        Berikut ialah kenyataan penuh Jabatan Perdana Menteri mengenai pengguguran Anwar daripada
        Kabinet:

        "Adalah dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim telah dilucutkan
        jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, serta juga jawatan-jawatan lain
        yang dipegang oleh Yang Berhormat Dato' Seri Anwar berkaitan dengan jawatan Timbalan Perdana
        Menteri dan Menteri Kewangan.

        "Perlucutan jawatan-jawatan ini berkuatkuasa pada hari ini, 2 September 1998 mulai jam 5.30
        petang.

        "Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telahpun dimaklumkan mengenai perlucutan jawatan
        berkenaan."

        Sejak akhir-akhir ini, Anwar dikaitkan dengan beberapa isu termasuk dakwaan kononnya terbabit
        dalam skandal seks yang disebarkan melalui surat layang dan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tak
        Boleh Jadi PM.

        Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar mendapat perintah
        menghalang penulis buku itu, Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah dan penerbit buku berkenaan
        daripada terus memfitnahnya sehingga mahkamah memutuskan kes saman malunya.

        Pada 13 Ogos lalu, Khalid Jafri dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menulis berita palsu.
        Perbicaraan kes itu ditetapkan pada 7 hingga 11 Disember ini.

        Sementara itu, kediaman rasmi Anwar di Bukit Damansara dikunjungi penyokong, anggota
        Pergerakan Pemuda Umno, ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), wartawan serta jurugambar
        tempatan dan asing sejak awal petang ini apabila tersebar berita beliau mungkin meletak jawatan.

        Surat mengenai pelucutan jawatannya dipercayai disampaikan kepada beliau pada jam 5.30 petang.

        Ketika berucap kepada hadirin di rumahnya pada jam 8.45 malam, Anwar meminta penyokongnya
        bertenang dan jangan mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

        Sambil menyifatkan dirinya mangsa konspirasi politik, Anwar berkata beliau mungkin ditahan
        mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada malam ini
        atau esok.

        "Percayalah, sama ada malam ini atau malam esok, saya akan diambil. Saya mahu pemergian saya
        tidak ditahan," katanya sambil meminta penyokongnya melepaskan beliau sebagai seorang pejuang.

        Sebelum itu, kira-kira jam 7.30 malam, anggota Unit Simpanan Persekutuan tiba untuk mengawal
        lalu lintas. Kelihatan memasuki kediaman rasmi Anwar kira-kira jam 8.30 malam ialah Ketua Polis
        Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Alias.

        Sekumpulan pelajar yang mendakwa mereka dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti
        Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa turut berada di sana, dipercayai dipanggil oleh Institut
        Kajian Dasar.


BALIK