BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM

4 SEPTEMBER 1998
 


PECAT

                      Maka mamanda Perdana Menteri New Zealand pun tiba-tiba
                      pecat timbalannya yang juga menteri kewangannya.

                      Jantan pun terkejut kerana Jantan sangka Perdana Menteri di
                      sebuah negeri di antah-berantah yang ada hajat nak pecat
                      timbalannya.

                      Tiba-tiba Jantan dengar, Perdana Menteri negara lain pula yang
                      pecat dulu.

                      Orang lain yang nak kena pecat, orang lain pula yang dipecat.

                      Jantan teringat.

 

                                      TIMBALAN

                      Ada pun Perdana Menteri pecat menteri-menteri sudah biasa
                      Jantan dengar.

                      Jantan kira macam sudah jadi benda biasa.

                      Yang tak berapa biasanya ialah Timbalan Perdana Menteri yang
                      dipecat.

                      Bila satu timbalan perdana menteri kena pecat, maka lain-lain
                      timbalan yang belum pecat tentu susah hati.

                      Jantan tertunggu.

 

                                        TAKDIR

                      Jika lepas ini ada mana-mana timbalan perdana menteri dan
                      menteri kewangan dipecat, maka sukalah Jantan berpesan:

                      Tak usah susah dan tak usah sebuk.

                      Agak Jantan sudah ditakdirkan menjelang abad baru Masihi ini
                      musim tak baik bagi yang jadi timbalan.

                      Tun Ghafar dan Tan Sri Musa tentu setuju dengan Jantan.

                      Jantan tahu belaka.

 

                                        BETINA

                      Bercakap tentang perdana menteri yang pecat timbalannya itu
                      ialah orang betina.

                      Nampak Jantan perdana menteri betina lebih berani dari
                      perdana menteri yang jantan.

                      Yang jantan teragak-agak. Pergi ke sana, pergi ke mari. Cakap
                      itu dan cakap ini sampai berbulan-bulan tak buat apa-apa.

                      Tapi yang betina, dia rasa nak buang, dia buang.

                      Agak Jantan itulah namanya betina yang jantan.

                      Jangan jadi jantan yang betina sudahlah.

                      Jantan adalah jantan.

 

                                       HUN SEN

                      Terlanjur cakap fasal perdana menteri, maka teringat Jantan
                      akan Hun Sen yang jadi orang kuat Kemboja.

                      Ada pun Hun Sen tiada ia mahu jadi timbalan perdana menteri
                      walaupun perdana menteri sudah ada.

                      Lalu dia jadi perdana menteri kedua.

                      Agak Jantan yang dia tak mahu timbalan mungkin dia tak mahu
                      senasib Tan Sri Musa dan Tun Ghafar, dibuang boleh, tak
                      buang pun boleh. Membuang saja mereka tak boleh.

                      Tapi bila Hun Sen jadi perdana menteri kedua, maka buang dia
                      akan yang pertama.

                      Jantan yang ketiga?

 

                                      MUSTAHIL

                      Maka berkatalah rakan Jantan yang dipanggil Cikgu Pa ketika
                      dia ke Ipoh:

                      Tidak mustahil parti Jantan menang di negeri lain.

                      Jantan setuju dan Jantan suka tambah, tidak mustahil Umno
                      boleh kalah di negeri lain.

                      Dalilnya Dr. Mahathir pernah parti Jantan kalahkan.

                      Jantan belum menang.

 

                                       BAHARU

                      Wan Mokhtar yang berkuasa di Terengganu dan
                      rakan-rakannya mungkin kata mustahil parti Jantan boleh
                      menang.

                      Kalau dia berani kata begitu Jantan kata dia lupa akan baharu
                      sekalian alam.

                      Jantan ada dalil.

 


Tujuh saksi beri pernyataan

BERIKUT ialah sebahagian kandungan empat afidavit jawapan pendakwaan berhubung permohonan Pengarah Eksekutif
Perhubungan Awam Magnum Corporation, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai dari lokap polis Bukit Aman ke Penjara
Sungai Buloh.

Afidavit Senior Assisten Komisioner II Musa Hassan, Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

SAYA adalah Penyelia Pegawai Penyiasat yang menyelia siasatan berkaitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh
Jadi PM dan telah mengarahkan siasatan dilakukan berkaitan buku itu setelah menerima empat laporan polis yang dibuat
oleh penama berikut:

- Abu Bakar Md Ahmad, peniaga.

- Abd Zarin Mohd Yasin, peniaga.

- Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri.

- Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri.

Kesemua laporan ini saya kelaskan untuk tujuan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah
jenayah. Afidavit Nallakaruppan a/l Solaimalai yang diikrarkan pada 25 Ogos 1998 telah dirujuk kepada saya dan saya
membacanya serta memahami isi kandungan afidavit itu. Saya menafikan bahawa penyiasatan polis dalam kes ini dibuat
dengan niat jahat (malice), salah guna proses dan mala fides.

Saya ingin menegaskan bahawa siasatan kes ini dan soal-siasat yang dijalankan terhadap Nallakaruppan melibatkan
kepentingan keselamatan serta kesejahteraan negara. Siasatan telah dan sedang dijalankan mengikut peraturan dan
undang-undang negara.

Di dalam menjalankan siasatan kes ini, selain memperolehi keterangan saksi-saksi, keterangan dokumentar, keterangan
menyokong dan keterangan forensik, di antara lain, seramai tujuh orang saksi telah memberi pernyataan (bertulis) kepada
polis seperti berikut:

* Seorang saksi lelaki telah menyatakan bahawa dia telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar sebanyak 15 kali. Kegiatan
homoseksual ini telah dilakukan di beberapa tempat termasuk di sebuah apartmen, Tivoli Villa di Bangsar. Apartmen ini
dimiliki oleh sebuah syarikat yang mana Nallakaruppan adalah seorang pengarahnya yang mempunyai akses ke atas
apartmen tersebut.

* Seorang saksi telah memberi kenyataan bahawa dia mengesyaki kakak iparnya menjalinkan hubungan seks dengan
Datuk Seri Anwar dan perbuatan tersebut dilakukan di apartmen Tivoli Villa.

* Bekas pemandu peribadi Nallakaruppan dalam kenyataannya menyatakan bahawa dia pernah membawa Datuk Seri
Anwar bersama Nallakaruppan pergi ke tempat tertentu untuk perkhidmatan seks haram. Dia pernah ditugaskan oleh
Nallakaruppan untuk pergi mengambil perempuan-perempuan berbangsa Cina, Mexican, Eurasian dan lain-lain bangsa
untuk kegiatan seks haram. Pernah pada satu ketika, selepas balik dari apartmen Tivoli Villa, saksi ini memandu kereta
yang dinaiki oleh Datuk Seri Anwar bersama Nallakaruppan dan seorang wanita yang mana Datuk Seri Anwar dilihat
memakai rambut palsu.

* Seorang saksi yang terlibat dalam pembekalan perempuan-perempuan bagi maksud pelacuran menyatakan bahawa
Nallakaruppan pernah menghubunginya untuk mendapatkan khidmat seks haram. Saksi ini menyatakan dia juga beberapa
kali telah membekalkan kepada Nallakaruppan perempuan-perempuan tersebut.

* Seorang saksi wanita menyatakan bahawa Nallakaruppan telah memperkenalkannya kepada Datuk Seri Anwar semasa
di dalam kereta. Kemudiannya mereka bertiga telah pergi ke apartment Tivoli Villa. Di sebuah bilik di dalam apartmen
tersebut saksi ini menyatakan dia telah dicabul kehormatannya dan dia juga menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar telah
merayu-rayu kepadanya untuk mengadakan hubungan seks tetapi dia telah menolaknya. Sewaktu kejadian ini berlaku
Nallakaruppan berada di apartmen tersebut.

* Seorang lagi saksi wanita menyatakan bahawa dia pernah dibawa oleh Nallakaruppan ke sebuah banglo dan
diperkenalkan kepada Datuk Seri Anwar. Saksi ini menyatakan dia diminta masuk ke sebuah bilik dan kemudiannya
Datuk Seri Anwar telah masuk ke bilik tersebut lalu mencium dan menghempapnya sambil memeluknya. Namun dia tidak
menyerahkan dirinya untuk hubungan seks. Untuk mengelakkan dirinya daripada keadaan tersebut dia telah membuat
helah yang dia di dalam keadaan haid.

* Seorang lagi saksi wanita yang bekerja di sebuah syarikat yang mana Nallakaruppan adalah salah seorang Pengarah
syarikat tersebut, menyatakan bahawa dia pernah dibawa oleh Nallakaruppan ke apartmen Tivoli Villa dengan kereta
yang dipandu sendiri oleh Nallakaruppan. Di apartmen tersebut dia telah terperanjat apabila ditemukan dengan Datuk Seri
Anwar Ibrahim. Mereka telah mengadakan hubungan seks. Setelah selesai mengadakan hubungan seks dengan Datuk
Seri Anwar saksi ini menyatakan bahawa mereka telah berbincang tentang hal ehwal politik negara. Nallakaruppan telah
memberi saksi ini RM350.00.

* Pihak polis juga mempunyai keterangan bahawa Nallakaruppan ada memberi wang tunai berjumlah RM60 juta kepada
Datuk Seri Anwar semasa pilihan raya umum tahun 1995.

* Terdapat juga keterangan yang menunjukkan Nallakaruppan telah mengalihkan aktiviti-aktivitinya ke sebuah apartmen
di Impiana Court, Ampang, Selangor selepas siasatan pertama yang dijalankan berkaitan surat layang terhadap Skandal
Seks Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos 1997. Apartmen ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang disenaraikan di Papan
Pertama Bursa Saham Kuala Lumpur di mana dia merupakan seorang dari Pengarahnya. Kegiatan-kegiatan seks haram
ini masih berterusan walaupun siasatan polis telah dimulakan.

Sewaktu pihak polis menjalankan siasatan, satu lagi laporan polis telah dibuat oleh seorang ahli koporat yang mendakwa
bahawa Datuk Seri Anwar cuba memikat isterinya ketika beliau dan isterinya mengikuti rombongan Datuk Seri Anwar ke
Washington. Dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis adalah terbukti Nallakaruappan juga terlibat dalam aduan
yang dibuat oleh ahli korporat tersebut.

Pihak polis juga mempunyai maklumat bahawa Nallakaruppan sering mengikuti Datuk Seri Anwar ke luar negara dan
menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai orang tengah di mana membolehkan Datuk Seri Anwar dipergunakan oleh
anasir-anasir jahat luar negara yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara. Pada 31 Ogos 98 jam
4.30 petang saya telah pergi ke rumah Nallakaruppan untuk membuat pemeriksaan kerana keterangan menunjukkan
bahawa dia adalah terlibat dengan siasatan kes 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Saya telah menjumpai
antara lain barang-barang bukti seperti berikut:

- 125 butir peluru jenis Fiocchi 6.35 mm

- 150 butir peluru .38 special

- 96 butir peluru 12 bore

- Sepucuk pistol .38 Smith & Wesson

- Surat-surat asal peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti berikut:

i) Surat asal daripada syarikat awam yang disenaraikan di papan pertama Bursa Saham, Kuala Lumpur.

ii) Surat asal daripada sebuah syarikat awam memohon untuk membeli saham yang disenaraikan di papan pertama Bursa
Saham Kuala Lumpur.

iii) Surat asal peribadi yang ditulis tangan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

iv) Lima surat-surat asal daripada syarikat awam yang disenaraikan di papan pertama Bursa Saham Kuala Lumpur, yang
dialamatkan kepada Kementerian Kewangan memohon projek-projek Kerajaan.

v) Surat terkelas daripada Pegawai Kementerian Kewangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

* Wang tunai bercampur-campur yang dijumpai dalam mata wang Pound Sterling, US Dollar, Singapore Dollar dan
Ringgit Malaysia berjumlah lebih kurang RM 2 juta.

Saya ingin menegaskan bahawa kes ini boleh menggugat keselamatan negara sekiranya tidak disiasat dengan teliti dan
menyeluruh serta tanpa 'fear or favour' di atas sebab-sebab berikut:

* Pemohon dipercayai mempunyai maklumat yang melibatkan seorang pemimpin tertinggi negara iaitu Datuk Seri Anwar
Ibrahim.

* Berdasarkan bahawa pemohon sering menuruti sama Datuk Seri Anwar dalam menjalankan tugas-tugasnya di luar
negara, adalah dikhuatiri bahawa kegiatannya boleh dieksploitasikan oleh anasir-anasir jahat di dalam dan di luar negara
yang ingin menjejaskan keselamatan negara.

* Kegiatan-kegiatan pemohon dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mendedahkan pemimpin negara tersebut diperas
ugut bagi kepentingan anasir-anasir jahat di dalam dan di luar negara yang akan memudaratkan keselamatan negara.

* Sepanjang penyiasatan kes ini terdapat beberapa saksi telah diugut oleh orang-orang tertentu manakala seorang saksi
lain diancam nyawanya.

* Pemohon dipercayai mempunyai akses kepada rahsia negara melalui Datuk Seri Anwar dan memungkinkan dia
membocor rahsia negara.
 


Anwar akan ambil tindakan mahkamah

                PERJELAS... Anwar mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Bukit
                Damansara, semalam.

        KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan daripada Kabinet
        semalam, akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan kewibawaan diri dan
        anggota keluarganya.

        Setakat ini, katanya, beliau belum disoal siasat oleh polis berhubung tuduhan terhadapnya walaupun
        polis dikatakan sudah mempunyai dokumen dan bukti mencukupi untuk mendakwanya di
        mahkamah.

        "Saya sudah memulakan proses tindakan undang-undang tetapi setakat ini polis tidak bertanya
        apa-apapun kepada saya. Saya tidak minta ditanya banyak-banyak. Keputusan yang dibuat,
        tuduhan yang dibuat, semuanya berdasarkan maklumat sampingan. Saya langsung tidak ditanya atau
        disoal siasat.

        "Mereka menerima surat layang, membuat kesimpulan sendiri dan AG (Peguam Negara) membuat
        dakwaan," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri lebih 100 pemberita dan jurugambar di
        kediamannya di Bukit Damansara, petang ini.

        Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan setiausaha sulitnya, Azmin Ali.

        Anwar dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,
        berkuatkuasa jam 5.30 petang semalam.

        Ditanya masa depan politiknya berikutan perkembangan terbaru itu, Anwar berkata: "Kita harus
        tahu segalanya ditentukan oleh Allah, orang boleh merancang tetapi akhirnya Allah juga akan
        menentukan."

        Beliau berkata, semua tuduhan terhadapnya timbul apabila ada sangkaan kononnya beliau bersiap
        sedia untuk mencabar jawatan Presiden Umno dalam pemilihan pucuk pimpinan tahun depan.

        Menurutnya, beliau mendapat maklumat mengenai cadangan untuk menjatuhkannya sejak tiga bulan
        lalu serta mempunyai bukti kukuh bagi menangkis segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya
        termasuk rasuah, skandal seks, pembunuhan dan menjadi ejen negara asing.

        Beliau juga mendakwa, konspirasi politik yang dilakukan terhadapnya turut membabitkan beberapa
        ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

        "Ada MT yang kaya, ada korporat, ada yang di luar. Saya ada bukti tetapi saya tidak bersedia
        menamakan mereka sekarang.

        "Dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri, saya ada menyenaraikan nama ahli MT itu dan
        ia disahkan oleh laporan polis. Malangnya, tidak ada tindakan diambil, malah tiada nasihat sekalipun
        kepada mereka," katanya.

        Ditanya sama ada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut meminta beliau melepaskan jawatan
        sebagai Timbalan Presiden Umno, Anwar berkata: "Dr Mahathir ada membayangkannya tetapi
        urusan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah di bawah kuasa
        Perdana Menteri, manakala jawatan Timbalan Presiden adalah hak perwakilan... janganlah cuba
        mengambil alih."

        Anwar bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau kini bersedia mencabar Dr
        Mahathir bagi merebut jawatan Presiden Umno tahun depan.

        Ditanya sama ada beliau bercadang meninggalkan Umno untuk menyertai parti lain, Anwar berkata,
        beliau akan tetap setia kepada Umno dan tidak akan berbuat demikian.

        Bagaimanapun, katanya, pucuk pimpinan Umno sekarang perlu peka dengan tuntutan rakyat
        terutama membabitkan reformasi.

        "Kalau mesej tidak diperolehi dengan baik, saya kira rakyat akan memberikan yang jelas iaitu
        reformasi harus berlaku," katanya sambil berharap kemelut politik di Malaysia tidak separah
        Indonesia.


Bekas TPM dipecat daripada Umno

        KUALA LUMPUR, Khamis - Majlis Tertinggi Umno (MT) yang mengadakan mesyuaratnya malam
        ini, sebulat suara bersetuju memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti dengan serta merta.

        Mengumumkan keputusan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berkata
        keputusan itu dibuat selepas Anwar enggan mengundurkan diri daripada parti.

        "Saya telah menjelaskan mengenai masalah dan mengapa MT perlu mengambil tindakan ini. Selepas
        saya berucap, Anwar diberi peluang sepenuhnya untuk menjelaskan masalah beliau dan
        mempertahankan dirinya terhadap tuduhan yang dibuat ke atasnya.

        "Kemudian semua ahli MT yang ingin bercakap dibenarkan bercakap dan menyuarakan pendapat
        masing-masing. Dan hampir semua memberi pandangan," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar
        selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang berlangsung lebih empat jam di Pusat Dagangan
        Dunia Putra (PWTC), berakhir pada jam 12.45 malam ini.

        Bangunan PWTC diberi kawalan keselamatan ketat berikutan penyokong Anwar, pelajar universiti,
        anggota Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Umno
        berkumpul di situ sejak jam 6 petang.

        Mesyuarat itu yang dipercepatkan daripada tarikh awal 8 September, dihadiri semua ahli MT,
        kecuali dua Naib Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhammad Mohd
        Taib serta ahli MT, Datuk Nazri Tan Sri Aziz.

        Menurut Dr Mahathir, Anwar diminta keluar sebelum mesyuarat membuat keputusan secara
        musyawarah untuk memecat beliau.

        Dr Mahathir berkata, ahli diminta memutuskan sama ada mengadakan pengundian sulit atau terbuka,
        sebaliknya mereka membuat keputusan secara konsensus.

        Ditanya mengapa Anwar dipecat, Presiden parti berkata, beliau tidak perlu memberi penjelasan
        kerana ini adalah urusan parti.

        Dr Mahathir yang yakin keputusan MT dapat diterima semua ahli Umno dan rakyat berkata, Anwar
        sekarang adalah Ahli Parlimen bebas.

        "Saya juga yakin pemimpin Umno dapat menenangkan rakyat dengan memberi penjelasan mengenai
        tindakan yang dibuat. Apa yang kita capai ialah sebulat suara dan kita mewakili seluruh ahli Umno
        dan rakyat yang lain.

        "Dengan itu, saya yakin mereka akan mengetahui bahawa tidak mungkin MT membuat keputusan
        sebulat suara jika tidak ada alasan yang tepat," katanya.

        Mengenai dakwaan Anwar bahawa ada konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya,
        Perdana Menteri berkata: "Dia mempunyai hak untuk membuat tuduhan. Jika dia tidak gembira, dia
        boleh boleh mengajukan masalahnya kepada forum yang sesuai."

        Ditanya perasaaan beliau berhubung keseluruhan situasi sekarang, Dr Mahathir berkata: "Saya sedih
        dengan keadaan yang berlaku dan berharap ia tidak berlaku sekarang."

        Mengenai kebimbangan Anwar yang mendakwa mungkin akan ditahan mengikut Akta Keselamatan
        Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu
        mengenai perkara itu, polis mesti melakukan siasatan terlebih dahulu." Anwar yang ditanya
        pemberita sebaik meninggalkan bilik mesyuarat pada 12.30 malam, pula berkata: Saya tidak ada
        sebab untuk terus berada di sini. Biarlah PM beri kenyataan."

        Anwar juga sempat memberitahu kumpulan yang menunggunya di ruang legar PWTC mengenai apa
        yang berlaku dalam mesyuarat itu.

        Menurutnya, mesyuarat dimulakan oleh Presiden dengan mengusulkan pemecatan beliau dalam parti.

        "Saya tidak bersalah dan saya tidak bersedia meletak jawatan. Mereka nak pecat, mereka boleh
        pecat. Presiden nak suruh pecat, boleh pecat. Saya tahu mereka akan terus mengaibkan saya,
        menghina saya, menghukum saya, dengan pelbagai tindakan yang paling dahsyat.

        "Saya terpaksa lawan untuk mempertahankan hak," katanya sambil meminta penyokongnya
        bertenang dan memberi laluan ahli MT untuk pulang.

        Selepas Anwar beredar, seorang Exco Pemuda, Dr Abdul Rahim Ghouse, meminta penyokong
        mematuhi permintaan Anwar supaya memberi laluan kepada pemimpin kanan parti.
 


Washington ambil sikap berhati-hati

        WASHINGTON, Khamis - Pegawai kanan di Washington mengambil sikap berhati-hati terhadap
        berita pelucutan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
        Kewangan.

        Jabatan Negara dalam kenyataannya berkata, penyingkiran Anwar daripada Kabinet Malaysia
        adalah hal -ehwal politik dalaman.

        Jurucakap jabatan itu berkata, penyingkiran Anwar berlaku ketika Malaysia mengalami perubahan
        mendadak dalam struktur ekonominya termasuk kawalan mata wang bagi melindunginya daripada
        terjejas oleh ketidakstabilan kewangan global.

        "Kami mengambil perhatian bahawa pengumuman Malaysia mengenai langkah baru kawalan modal
        itu menegaskan sekali lagi komitmen Malaysia untuk menggalakkan pelaburan dan perdagangan
        asing secara langsung yang selama ini menjadi kunci perkembangan ekonomi Malaysia yang
        cemerlang yang kami harap akan berterusan," kata jurucakap itu.

        Sementara itu, jurucakap Bank Dunia, berkata pelucutan Anwar akan menjejaskan kedudukannya
        sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia/Tabung Mata Wang Antarabangsa.

        "Jika Anwar tidak lagi mewakili kerajaan Malaysia, maka beliau tidak layak menjadi pengerusi
        jawatankuasa itu," katanya.

        Menurut jurucakap itu, tidak ada prosedur untuk mengendalikan keadaan yang unik itu dan bank
        berkenaan belum dimaklumkan secara rasmi.

        Pengarah eksekutif bank itu yang bermesyuarat pada Selasa dan Khamis dijangka membincangkan
        perkara berkenaan.

        Seorang pengerusi baru akan dilantik memandangkan Anwar tidak lagi layak.

        Mengenai sama ada pengerusi baru itu juga dari Malaysia, jurucakap berkata ia tidak semestinya
        demikian.

        Satu pasukan dari Bank Dunia kini berada di Malaysia untuk mengkaji permintaan negara bagi
        pinjaman AS$700 juta untuk perbelanjaan sosial.

        Pinjaman itu dijangka diluluskan menjelang akhir tahun ini. Baru-baru ini bank itu meluluskan
        AS$300 juta kepada Malaysia.

        Malaysia juga secara tidak rasmi meminta tambahan pinjaman AS$2 bilion bagi perbelanjaan sosial.

        Bagaimanapun kelulusan dikatakan tidak mungkin diberikan pada masa ini kerana ada permintaan
        dari Russia dan Indonesia. - Bernama

        Sementara itu, Setiausaha Rendah Perdagangan Antarabangsa Amerika, David Aron akan melawat
        Malaysia, Singapura, Filipina dan Thailand dalam rangka lawatan 12 hari bermula Isnin ini.

        Beliau akan mengetuai firma-firma teknologi tinggi Amerika dalam misi untuk mengenal pasti peluang
        perdagangan di Asia Tenggara._Bernama.


Bekas TPM kemuka idea lapuk

 KOTA BHARU: Menteri Besar menyifatkan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun
 Ghafar Baba yang mendakwa PAS gagal mengemukakan idea memulih kegawatan ekonomi
 sebagai orang yang tidak berautoriti.

 Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin berkenaan sebagai seorang yang
 pernah diisytiharkan muflis tidak layak untuk memberi pandangan kepada orang lain.

 "Pemimpin berkenaan bukan sahaja pernah muflis harta, malah telah muflis dalam politik negara,"
 katanya sebagai mengulas dakwaan Tun Ghafar, kegagalan kerajaan Kelantan itu membolehkan
 Barisan Nasional menumbangkan kerajaan PAS pada pilihan raya umum akan datang.

 Menteri Besar berkata, kerajaan Kelantan sejak 1990 lagi sudah melaksanakan dasar berjimat
 cermat dan mengamalkan konsep gotong royong bagi membina prasarana rakyat.

 Katanya, melalui konsep gotong royong kerajaan negeri berupaya menjimatkan peruntukan,
 dengan rakyat sendiri menyalur bantuan membina kemudahan tertentu seperti masjid di tempat
 mereka.

 Sementara itu, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun
 berkata, penyokong Umno di negeri ini juga mungkin terkejut dengan idea lapuk bekas pemimpin
 itu.

 Katanya, beliau sudah tidak mampu untuk mengemukakan idea-idea baru yang boleh diterima
 rakyat.

 Menurutnya, kerajaan negeri sejak dahulu lagi memberi tumpuan utama kepada sektor pertanian
 yang berupaya membantu rakyat menghadapi kegawatan sekarang.

 Beliau juga berkata, Menteri Besar sentiasa memberi perhatian serius sejak 1990 terhadap
 penggunaan duit kerajaan dengan menekan konsep berjimat cermat.
 


Jakarta anggap masalah dalaman

        JAKARTA, Khamis - Hubungan Indonesia-Malaysia tidak terjejas berikutan pelucutan jawatan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia,
        menurut anggota-anggota Parlimen Indonesia hari ini.

        "Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk melucutkan jawatan Anwar
        daripada Kabinet ialah masalah dalaman Malaysia yang kita harap tidak menjejaskan hubungan
        antara kedua-dua negara," kata Andi Mattalata dari Parti Golkar yang memerintah.

        Pandangan itu dikongsi bersama oleh pengerusi kumpulan Partai Demokrasi Indonesia (PDI) dalam
        Parlimen, Budi Hardjono.

        Mattalata percaya pelucutan jawatan Anwar ada kaitan dengan usaha Malaysia mengatasi krisis
        ekonomi yang Indonesia juga sudah mengambil langkah yang serupa.

        "Ia tidak ada kena-mengena dengan politik kerana ini bukan bermakna berakhirnya karier politik
        Anwar.

        "Saya percaya ia tidak demikian," kata beliau.

        Ketua puak Golkar di Parlimen, berkata Anwar ialah pemimpin yang benar-benar memahami
        wawasan Malaysia.

        Katanya, tetapi dalam menangani masalah ekonomi, mungkin timbul percanggahan antara perdana
        menteri dan timbalannya.

        Sementara itu, Budi Hardjono berkata pelucutan jawatan Anwar tidak menjejaskan dasar dalam
        negara dan luar Malaysia.

        "Sebagai negara jiran, kita harus menghormati kedaulatan antara satu sama lain," katanya. - Bernama

        "Apa yang berlaku di Malaysia ialah masalah dalaman negara itu semata-semata," katanya. -
        Bernama


Detik-detik getir Anwar melepasi ranjau

 Hampir sebulan saya menyepi diri dari ruangan ini, pada awalnya atas nasihat doktor supaya lebih
 banyak berehat. Sedangkan dalam sebulan ini pelbagai peristiwa dan tragedi menarik (mungkin
 pahit bagi pihak tertentu) tercetus walaupun tindakan drastik daripada Mahathir - seperti yang
 diperingatkannya - belum dapat diduga lagi.

 Kegawatan ekonomi sudah berjangkit kepada kegawatan politik, khususnya percaturan dalaman
 Umno yang semakin bercelaru, dan bagi sesetengah pihak, membingungkan. Road show Mahathir
 lebih dilihat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya untuk terus menerajui takhta, di
 samping sesekali membidas langkah Anwar yang ternyata silap menerimapakai "ubat" IMF.

 Bermula keputusan hakim (yang kemudiannya dipersoalkan melalui satu laporan polis) yang
 meneruskan injuksi melarang pengedaran dan penerbitan 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh
 Jadi PM, seterusnya dakwaan terhadap Khalid Jafri atas dalil yang ke-12, halaman 29 (Anak
 haram - Hasil dari hubungan seks dengan Shamsidar telah dikurniakan seorang cahayamata
 bernama Afifa. Anak ini menjadi kebanggaan Shamsidar kerana ia anak pembesar negara). Paling
 mengejutkan ialah penahanan rakan karib Anwar, S. Nallakarupan, pengarah eksekutif
 perhubungan awam sebuah syarikat judi di bawah ISA atas dakwaan memiliki 125 peluru hidup.
 Nalla disebut dalam buku 50 Dalil, melalui surat aduan Umi Hafilda bt Ali kepada Perdana
 Menteri.

 Penafian Anwar dan penegasannya bahawa beliau masih berkuasa penuh di Kementerian
 Kewangan, selepas CNBC menyiarkan berita perletakan jawatannya, yang dikutip Utusan
 Malaysia sebagai tajuk muka depan sudah diduga. Khabar angin tentang tekanan yang dikenakan
 Daim supaya Anwar berhenti disahkan oleh penyokong Anwar sendiri. Khabarnya, Daim
 berjumpa Anwar dua hari berturut-turut, membawa apa yang dikatakan mesej Mahathir sendiri.
 Reaksi Anwar, seperti dakwaan penyokongnya, jelas, berpantang undur. "Anwar tidak akan
 menyerahkan wang rakyat di Petronas dan EPF untuk menyelamatkan kroni Mahathir-Daim," kata
 seorang penyokong kuat Anwar.

 Jelas sekali, Anwar semakin tertekan dengan misteri pertuduhan skandal seks. Penyingkiran Johan
 Jaaffar dari Utusan dan Yunus Said di TV3 membawa implikasi nyata: Anwar beransur-ansur
 hilang dari liputan utama meskipun masih pada kedudukan no. 2. Bayangkan, Buletin Utama TV3
 meletakkan kedudukan Anwar di tangga keempat selepas berita Mahathir, Ghafar dan Rahim
 Tamby Chik, walaupun pada hari yang sama Anwar membuat lawatan kerja ke Negeri Sembilan.

 Lebih menarik, Ghafar dan Rahim mengulas isu pemulihan ekonomi; Rahim seterusnya diundang
 menjadi tetamu slot Malaysia Hari Ini selama satu jam pada 25 Ogos, juga bercakap tentang
 ekonomi, selain menyindir sinis Anwar - mengalahkan Menteri Kewangan! Khabarnya, Tengku
 Razaleigh juga turut diundang ke MHI. Berkampunglah orang-orang lama yang pernah tersingkir
 dari aliran perdana satu waktu dulu.

 Utusan Malaysia nyata memulakan kempen agresifnya menyerang Anwar, sesuatu yang tidak
 terduga sebelum ini. Tulisan Ketua Pengarangnya, setiap Ahad, selama tiga minggu berturut-turut
 mempersoalkan Anwar, ditambah pula ruangan baru CIA Malaysia, yang mengambil perspektif
 antarabangsa untuk menekan Anwar. Surat pembaca mula mempersoalkan langkah ikrar taatsetia
 kepada Perdana Menteri dan TPM; mengapa perlu dirangkaikan TPM sedangkan Anwar
 sepatutnya menteri-menteri lain turut berikrar menyokong sepenuhnya kepemimpinan Mahathir?

 Pada kedudukan mutakhir, berbanding kes yang pernah dilalui Musa dan Tengku Li, penyokong
 Anwar nampak begitu cepat berpindah kem. Sekurang-kurangnya hampir sebahagian ahli-ahli MT
 menyebelahi Musa ketika beliau meletakkan jawatan, sebelum Mahathir membacakan surat Musa
 yang pernah meminta PM menyingkirkan Ku Li. Begitu juga dengan penyokong setia bekas
 Presiden S46 itu sewaktu mengisytiharkan penentangan kepada Mahathir, April 1987.

 "Orang-orang Anwar sendiri yang menyebarkan berita bahawa kerjaya politik Anwar sudah
 berakhir. Yang masih setia hanyalah daripada Abim, yang tidak jemu-jemu menganjurkan solat
 hajat dan bacaan Yasin, menghindarkan Anwar daripada fitnah," kata seorang penganalisis politik.
 Difahamkan mereka giat menagih simpati, khususnya daripada pendukung gerakan Islam agar
 bersama Anwar menghadapi tekanan paling getir dalam kerjaya politiknya ini.

 "Saya tidak pasti, apakah masa depan Anwar masih releven dengan aspirasi dan perjuangan
 jamaah Islam, selepas menyertai Umno 17 tahun lalu? Anwar sudah menjadi anasir asing, yang
 patut dilayan sama seperti pemimpin Umno yang lain. Kecederaannya dalam Umno cukup serius,"
 kata seorang teman yang pernah menjadi pengkagum Anwar tidak lama dulu.


Kes Nalla babit Anwar

                KAWAL... Nalla (tengah) diiring anggota polis keluar dari mahkamah, semalam.

                KUALA LUMPUR, Khamis - Satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari
        ini mendakwa, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan hubungan
        homoseksual dan seks dengan wanita pelbagai bangsa dan cuba memikat isteri orang.

        Selain itu, beliau, yang digugurkan daripada Kabinet semalam, didakwa menerima RM60 juta
        daripada Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam Magnum Corporation Berhad, Datuk
        Nallakaruppan a/l Solaimalai, ketika pilihan raya umum 1995.

        Dakwaan itu terkandung dalam afidavit Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Senior
        Asisten Komisioner II Musa Hassan, yang juga penyelia pegawai penyiasat kes buku '50 Dalil
        Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM'.

        Dalam afidavitnya berhubung kes itu, Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, berkata
        keterangan-keterangan yang diperolehi setakat ini serius yang membabitkan kepentingan negara.

        Sekiranya ada bukti prima facie, Nallakaruppan dan Anwar boleh didakwa mengikut Akta
        Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Kanun Keseksaan, Akta
        Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 serta Akta Pencegahan Rasuah 1961 dan 1967.

        "Keluruhan undang-undang dan prinsip keadilan mestilah dipertahankan dan tiada sesiapa pun
        mempunyai kekebalan di sisi undang-undang," katanya.

        Mohtar berkata, polis mestilah diberi peluang yang munasabah dan sah di sisi undang-undang bagi
        melengkap serta menyempurnakan siasatan dengan sepenuhnya.

        Musa, Mohtar, Ketua Pengarah Penjara Datuk Omar Mohamed Dan dan Asisten Komisioner V
        Ramasamy, memfailkan afidavit sebagai jawapan bagi mengetepikan permohonan Nallakaruppan
        supaya penahanannya dipindah dari lokap Bukit Aman ke penjara Sungai Buloh.

        Dalam afidavitnya, Musa juga mendakwa ada laporan polis yang Anwar cuba memikat isteri seorang
        ahli korporat di luar negara, ketika pasangan suami isteri itu mengikuti rombongan Anwar ke
        Washington.

        Afidavit Musa itu juga menyebut bahawa seorang saksi mendakwa diliwat 15 kali oleh Anwar,
        manakala Nallakaruppan didakwa memberi RM350 kepada seorang wanita selepas wanita itu
        mengadakan hubungan seks dengan Anwar.

        Menurut afidavit itu, Nallakaruppan sering mengikuti Anwar ke luar negara dan menjalankan
        kegiatan sebagai orang tengah yang membolehkan Anwar dipergunakan oleh anasir-anasir jahat bagi
        mengancam keselamatan negara.

        Saksi-saksi itu disoal siasat oleh polis ketika siasatan berhubung dengan buku '50 Dalil Mengapa
        Anwar Tidak Boleh Menjadi PM'.

        Nallakaruppan didakwa pada 12 Ogos lalu atas tuduhan memiliki 125 butir peluru hidup Fiocchi
        6.35mm tanpa kebenaran sah di rumahnya di nombor 1-1, Selekoh Tunku, Bukit Tunku di sini,
        kira-kira jam 8 malam 31 Julai lalu.

        Tertuduh, yang juga pengarah bagi enam syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur didakwa
        mengikut mengikut Seksyen 57 (1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (semakan 1972) yang
        membawa hukuman mati mandatori.

        Sebelum itu, peguambela Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon memohon afidavit Musa dibuang
        sepenuhnya atau sebahagiannya kerana mengandungi bahan-bahan yang tidak sepatutnya diterima.

        Manjeet bagaimanapun tidak mempertikaikan tiga afidavit lain yang diikrarkan oleh Mohtar, Omar
        dan Ramasamy.

        Hakim Abdul Wahab Patail ketika membuat keputusan berkata, beliau berpuas hati bahawa afidavit
        jawapan yang diikrarkan oleh Musa itu berkaitan isu yang berbangkit daripada permohonan
        Nallakaruppan.

        "Dengan itu, saya menolak permohonan supaya afidavit itu dibuang sebahagian atau sepenuhnya,"
        katanya, selepas mendengar hujah Manjeet Singh Dhillon dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan,
        Azhar Mohamad.

        Daripada empat afidavit itu, hanya afidavit yang diikrar oleh Musa mengaitkan Anwar dengan
        dakwaan melakukan hubungan seks haram.

        Sebelum itu, Azhar menafikan afidavit yang dikemukakan itu adalah dengar cakap atau tanpa
        sumber.

        Menurutnya, nama sumber yang memberi maklumat tidak dinyatakan dalam afidavit kerana ia adalah
        soal keselamatan saksi dan polis masih lagi meneruskan siasatan.

        Pada 25 Ogos lalu, Nallakaruppan, 52, yang ditahan di lokap Bukit Aman berhubung kes memiliki
        125 butir peluru hidup, memfailkan permohonan supaya memindahkannya semula dari lokap Bukit
        Aman ke penjara Sungai Buloh.

        Dia menamakan tiga responden dalam afidavitnya iaitu Ketua Pengarah Penjara, Ketua Polis Negara
        dan Kerajaan Malaysia.

        Musa dalam afidavitnya menyatakan, beliau mengarahkan siasatan dilakukan terhadap buku 50 Dalil
        Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM selepas menerima empat laporan polis daripada dua
        peniaga, Abu Bakar Md Ahmad dan Abd Zarin Mohd Yasin serta Setiausaha Sulit Timbalan
        Perdana Menteri, Mohamed Azmin Ali dan daripada Anwar sendiri.

        Beliau kemudian menafikan dakwaan Nalakaruppan dalam afidavit tertuduh, yang mendakwa polis,
        dalam penyiasatan terhadap tertuduh, sebenarnya berniat jahat dan menyalahguna kuasa.

        Menurutnya, polis dalam siasatan itu memperolehi keterangan saksi, dokumen, keterangan sokongan
        serta forensik dan antara lain, tujuh saksi sudah memberi pernyataan bertulis.

        Dakwaan lain terhadap Anwar ialah seorang saksi mengesyaki kakak iparnya menjalinkan hubungan
        seks dengan Anwar yang dilakukan di apartmen Tivoli Villa; serta bekas pemandu peribadi
        Nallakaruppan mendakwa pernah membawa Anwar dan Nallakaruppan ke tempat tertentu untuk
        perkhidmatan seks haram.

        Afidavit itu juga mendakwa Anwar pernah menugaskan Nallakaruppan mendapatkan perempuan
        Cina, Mexico, Eurasian dan lain-lain bangsa untuk kegiatan seks haram.

        Nallakaruppan juga didakwa pernah mengenalkan seorang wanita di dalam kereta kepada Anwar
        dan pergi ke apartmen Tivoli Villa serta dicabul kehormatannya.

        Musa mendakwa, kes berkenaan menggugat keselamatan negara sekiranya tidak disiasat dengan
        teliti kerana Nallakaruppan mempunyai maklumat yang membabitkan Anwar.


MBM minta rakyat terima keputusan PM

        KUALA LUMPUR, Khamis - Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini meminta semua rakyat
        terutama belia menerima keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
        melucutkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dengan tenang, sabar dan bijaksana.

        Presidennya, Saifuddin Abdullah, berkata belia jangan mengikut perasaan atau terbawa-bawa
        dengan peristiwa itu, sebaliknya perjuangan membangunkan negara mesti diteruskan seperti biasa
        terutama langkah menyelesaikan kegawatan ekonomi.

        "Kepentingan negara mesti sentiasa diutamakan dalam semua perancangan dan pelaksanaan semua
        pihak," katanya, hari ini.

        Menurutnya, MBM sedih dengan pemecatan itu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan kepada
        negara kerana selain bekas presiden MBM, Anwar ialah pemimpin berwibawa dan berpotensi.

        Pergerakan Belia 4B pula meminta rakyat menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Perdana
        Menteri berhubung perkara itu.

        Presidennya, Datuk Mohd Ali Rustam, percaya Dr Mahathir mempunyai alasan kukuh untuk
        berbuat demikian demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

        "Semua ahli belia 4B, Umno dan orang ramai perlu bertenang, bersatu dan memberi keyakinan
        penuh kepada Perdana Menteri dalam menghadapi cabaran ini.

        "Kewibaan Perdana Menteri dalam menyelesaikan pelbagai isu pada masa lalu membuktikan
        kebijaksaaan beliau dan saya percaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

        Presiden Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (Jim), Saari Sungip turut merakamkan rasa terkejut di
        atas pelucutan jawatan pemimpin berkenaan.

        Beliau berkata, Jim berpendirian Anwar adalah aset negara dan menjalankan tanggungjawabnya
        dengan cemerlang untuk menampilkan imej kepemimpinan berwibawa dan berjuang mewujudkan
        pentadbiran kerajaan bersih.

        Menurutnya, Jim kesal terhadap tindakan dan layanan yang dikenakan terhadap orang yang pernah
        memegang jawatan kedua terpenting negara.

        "Tindakan seumpama ini akan menimbulkan persoalan besar mengenai perjalanan politik negara dan
        kewibawaan kerajaan di mata dunia," katanya.

        Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Shabrimi
        Mohamed Sidek menyifatkan pemecatan Anwar sebagai pencabulan prinsip keadilan dan demokrasi
        yang serius.

        "Ini kerana pemecatan ini berlaku hanya berdasarkan fitnah liar," katanya dalam satu kenyataan, hari
        ini.

        Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali, berpendapat pelucutan
        jawatan Anwar tidak akan membantu memulihkan ekonomi, sebaliknya boleh mengakibatkan krisis
        ekonomi dan politik lebih serius.

        Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang pula mencadangkan diada sidang Parlimen tergempar minggu
        depan bagi membincangkan perkara itu.


Memang duga jawatan dilucut

                PERJELAS... Anwar mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Bukit
                Damansara, semalam.

        KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digugurkan daripada Kabinet
        semalam, hari ini menafikan semua dakwaan terhadapnya dan mendakwa ia adalah pakatan politik
        peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.

        Menurutnya, beliau memang menduga akan dilucutkan jawatan kerana Perdana Menteri Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad, sudah memberi kata dua semalam, sama ada meletak jawatan atau dipecat.

        "Saya tidak bersedia untuk meletak jawatan kerana saya telah memaklumkan berulang kali kepada
        beliau, memang ada konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan saya.

        "Tidak ada alasan yang munasabah, tidak ada kesediaan dan keberanian untuk menghadapi proses
        demokrasi dalam pemilihan parti.

        "Maka dipilih cara yang paling kotor dan jijik, menggunakan jentera dan instrumen kerajaan untuk
        memfitnah, mengesahkan fitnah, membuat tuduhan, memaksa saksi membuat kenyataan palsu dan
        kemudian, dengan sengaja mengaibkan saya dan keluarga.

        "Saya ucapkan terima kasih kepada Azizah dan anak-anak yang nampaknya bersama serta tidak
        mudah diperdaya dengan tuduhan jahat dan palsu," katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri lebih
        100 pemberita dan jurugambar di rumahnya sendiri, di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara, petang
        ini.

        Duduk di sisinya ialah isteri beliau, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Hadir sama ialah
        Setiausaha Sulitnya, Azmin Ali dan kira-kira 100 penyokong beliau.

        Sidang akhbar itu diadakan selepas pemberita, jurugambar dan lebih 1,000 penyokongnya
        menunggu di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri sejak petang semalam.

        Mengenai pelbagai dakwaan terhadapnya terutama hubungan seks haram, rasuah dan menjadi ejen
        asing, Anwar berkata:

        "Saya yakin, betapapun muslihat dan perencanaan yang dibuat, saya sebut kepada Perdana Menteri,
        boleh senarai dan bariskan 100 pelacur mendakwa mengadakan hubungan seks, ini tidak akan
        merobah kenyataan bahawa ia adalah fitnah yang direka dan ada orang yang dibeli, diugut dan
        dipaksa untuk melakukan kenyataan.

        "Sebelum saya meninggalkan pejabat semalam, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana
        Menteri atas kerjasama yang diberikan, tetapi saya kata saya tidak boleh bersekongkol dengan
        kegiatan jahat seperti itu.

        "Saya tidak boleh nampak mengalah dengan percubaan kotor begini. Saya berikan dokumen yang
        cukup, pengakuan bersumpah dan beberapa maklumat lain yang membantu membuktikan memang
        ada konspirasi politik besar.

        "Bagaimanapun, semua dokumen dan pengakuan terbabit diketepikan, langsung tidak diambil kira.
        Saya tahu percubaan mengaibkan seperti di mahkamah hari ini, bukan untuk mencari masalah
        keselamatan yang dituduh tetapi lebih banyak percubaan untuk mengaibkan saya. Rakyat Malaysia
        tidak sebodoh itu, saya yakin," katanya.

        Anwar turut melahirkan rasa dukacita terhadap sistem kehakiman serta keselamatan negara yang
        didakwanya tidak menjalankan tugas dengan adil dan saksama.

        "Cuma saya nak lahirkan rasa dukacita kerana mustahil negara demokratik yang ada prinsip, yang
        mempertahankan prinsip keadilan, menghormati undang-undang, yang ada jentera penguatkuasaan,
        yang ada badan kehakiman ini boleh diperalatkan dengan begitu nakal.

        "Apa yang saya perkatakan ialah keadilan. Adalah sesuatu yang tragik apabila institusi kerajaan telah
        dipergunakan oleh mereka yang mengadakan pakatan terhadap saya untuk mereka-reka dan
        mengada-adakan tuduhan.

        "Kalau saya, sebagai orang nombor dua di negara ini (sehingga semalam), tidak boleh mendapat
        keadilan dan menjadi mangsa tuduhan-tuduhan ini, maka saya rasa sedih bagi negara ini.

        "Adalah sesuatu yang malang bagi negara ini kerana kita sepatutnya menanam keyakinan dalam
        sistem kehakiman dan keselamatan negara, bukannya memanggil saksi, mengasari dan memaksa
        mereka menandatangani dokumen serta mengetepikan surat bersumpah yang ada," katanya.

        Beliau berharap akan diberi peluang untuk memberi penjelasan sekurang-kurangnya kepada ahli
        Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam ini.

        "Ketika ini, saya masih Timbalan Presiden parti dan saya berharap saya tidak dihalang daripada
        menghadiri mesyuarat malam ini. Saya juga berharap ada penyelesaian yang baik dalam parti.

        "Saya juga meminta penyokong dan rakyat bertenang sementara secara tegas menyuarakan
        pandangan mereka menentang penipuan, penyelewengan dan kezaliman," katanya.

        Anwar berkata, beliau tidak gentar dengan ancaman ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam
        Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana sudah mempunyai pengalaman ditahan selama
        dua tahun di kem tahanan Taiping itu.

        Mengenai dakwaan beliau mempunyai anak haram hasil hubungan sulit dengan isteri setiausaha
        sulitnya, Anwar berkata dakwaan itu tidak benar dan sudah dibuktikan dengan ujian genetik (DNA).

        "Penasihat undang-undang saya benar-benar tidak setuju supaya ujian itu dilakukan, kerana tidak
        ada kredibiliti dalam tuduhan terbabit. Ini bukan kes menuntut hak penjagaan, cuma kerana ada
        orang perempuan dalam kereta dan tidak tahu ke mana dia pergi.

        "Bagaimanapun, saya dan isteri membuat keputusan melakukan ujian itu, lebih-lebih lagi ia mendapat
        sokongan ramai pihak, Perdana Menteri turut menyokong, jadi mengapa tidak," katanya.

        Menurutnya, dua ujian DNA dilakukan iaitu dengan polis dan satu daripadanya dihantar ke luar
        negara. Keputusan menunjukkan Azmin dan isterinya adalah ibu bapa biologi kepada kanak-kanak
        itu.

        Mengenai hubungannya dengan Pengarah Hal Ehwal Korporat Magnum Corporation, Datuk S
        Nallakarupan, Anwar berkata: "Nalla adalah salah seorang daripada rakan saya bermain tenis."


Nalla miliki dokumen kerajaan

        Afidavit Assisten Komisioner Polis Ramasamy a/l Veerapan

        SAYA adalah seorang pegawai kanan polis berpangkat ACP bertugas di Ibu Pejabat Polis
        Kontinjen Kelantan. Saya adalah salah seorang pegawai polis yang terlibat dalam siasatan berkaitan
        buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Dalam menjalankan siasatan ini saya telah
        diarahkan supaya menyoal siasat seorang yang bernama Nallakaruppan a/l Solaimalai. Afidavit
        Nallakaruppan yang diikrarkan pada 25 Ogos 1998 telah dirujuk kepada saya dan saya telah
        membacanya serta memahami isi kandungan afidavit tersebut.

        Saya telah menyoal siasat Nallakaruppan dari sudut keselamatan negara memandangkan siasatan
        berkaitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM mempunyai implikasi keselamatan
        negara disebabkan ianya melibatkan pemimpin negara dan juga memandangkan beberapa dokumen
        yang diperolehi di rumah Nallakaruppan adalah dokumen yang dimiliki oleh kerajaan.

        Saya menafikan semua dakwaan Nallakaruppan bahawa soal siasat yang dijalankan oleh saya
        terhadapnya tidak berkaitan keselamatan negara. Saya ingin menegaskan disini bahawa soal siasat
        yang dijalankan ada hubungkaitnya dengan keselamatan negara dan segala soal siasat telah
        dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang negara.

        Berdasarkan alasan di atas, saya dengan rendah hati memohon supaya permohonan ini ditolak oleh
        mahkamah yang mulia ini, demi kepentingan keadilan.


Mohtar minta permohonan ditolak

        Afidavit Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah

        PIHAK polis telah mengemukakan kepada saya kertas siasatan terhadap pemohon berhubung
        dengan kesalahan memiliki 125 butir peluru Fiocchi 6.35 mm. Saya telah meneliti dan
        menimbangkan kuasa-kuasa yang diberikan kepada saya oleh Seksyen 80 Akta Keselamatan
        Dalam Negeri 1960 dan terletak hak pada saya menurut Seksyen 376 (i) Kanun Prosedur Jenayah
        dan telah diberi izin bagi pendakwaan pemohon kerana kesalahan di bawah Seksyen 57 (1) (b)
        Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

        Saya merujuk kepada afidavit Senior Assisten Komisioner II (SAC II), Musa Hassan yang diikrar
        pada 2 September 1998. Saya juga ditaklimatkan oleh pihak polis tentang perkembangan siasatan
        yang dijalankan berkaitan dengan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM dan saya
        bersetuju siasatan serta soal siasat terhadap pemohon melibatkan keselamatan dan kepentingan
        negara.

        Siasatan pihak polis masih lagi dijalankan dan keterangan yang diperolehi setakat ini adalah serius
        yang melibatkan kepentingan negara.

        Sekiranya terdapat bukti prima facie, maka Nallakaruppan dan/atau pemimpin negara yang
        berkenaan boleh didakwa di mahkamah mengikut undang-undang seperti Akta keselamatan Dalam
        Negeri 1960, Akta Rahsia Rasmi 1972, Kanun Keseksaan, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis
        1973 dan juga Akta Pencegahan Rasuah 1961 dan 1997. Keluhuran undang-undang dan prinsip
        keadilan mestilah dipertahankan dan tiada sesiapapun mempunyai kekebalan di sisi undang-undang.
        Pihak polis mestilah diberi peluang yang munasabah dan sah di sisi undang-undang bagi melengkap
        serta menyempurnakan siasatan dengan sepenuhnya.

        Berdasarkan alasan di atas, saya memohon supaya permohonan ini ditolak oleh mahkamah demi
        kepentingan keadilan.


Pemuda Gerakan, MIC sokong Mahathir

        IPOH, Khamis - Pergerakan Pemuda Gerakan dan MIC pusat menyokong tindakan Perdana
        Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam isu pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
        daripada Kabinet, berkuatkuasa petang semalam.

        Kedua-dua ketua pergerakan Pemuda komponen Barisan Nasional (BN) itu berpendapat Dr
        Mahathir wajar diberi peluang menyelesaikan isu itu dengan bijak mengikut caranya.

        Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, berkata rakyat perlu tenang dan tidak mengambil
        sebarang langkah negatif yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara berikutan kegawatan
        ekonomi sekarang.

        Menurutnya, sebarang isu berbangkit dengan pelucutan kuasa Anwar daripada Kabinet perlu
        diselesaikan mengikut saluran perundangan oleh pihak berkuasa.

        "Semua pemimpin pergerakan Pemuda parti komponen BN akur dengan keputusan Dr Mahathir
        selepas mesyuarat khas di Kuala Lumpur, hari ini bagi membincangkan perkara itu," katanya di sini,
        hari ini.

        Ketua Pemuda MIC, Muthiah, pula berkata sebarang keputusan Dr Mahathir pasti mempunyai
        alasan, termasuk kemungkinan cara Anwar menyelesaikan isu ekonomi semasa seolah-olah berat
        kepada program Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) serta tidak sesuai dengan keadaan di
        Malaysia.

        "Pemuda MIC menyokong Perdana Menteri bagi menyelesaikan isu politik dan ekonomi, malah
        langkah Dr Mahathir untuk mengatasi masalah ekonomi turut dipuji orang luar," katanya.


Alasan pindah banduan dianggap munasabah

        Afidavit Datuk Omar Mohamed Dan, Ketua Pengarah Penjara Malaysia.

        PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia melalui suratnya bil:JSJ KPN(PR)
        39/6/7 bertarikh 13 Ogos 1998 telah memaklumkan kepada saya tentang siasatan tersebut dan surat
        tersebut disertakan sebagai eksibit "OM1". Setelah saya meneliti isi kandungan surat tersebut dan
        menimbangkannya dengan teliti, saya mendapati bahawa kes yang disiasat oleh polis melibatkan
        keselamatan negara dan oleh yang demikian saya berpuas hati terdapat alasan munasabah yang
        menghendaki banduan berkenaan berada di lokap polis Bukit Aman bagi membolehkan penyiasatan
        dijalankan dengan sempurna dan teratur serta demi keselamatan banduan itu sendiri.

        Pada 13 Ogos 1998, pada menjalankan kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta
        Penjara 1995, saya telah membuat perintah secara bertulis mengarahkan supaya banduan TMT
        7039/98 Nallakaruppan a/l Solaimalai No. K/P: 461205-71-5045 yang ketika itu ditahan di Penjara
        Sungai Buluh Selangor dikehendaki menghadirkan diri dan berada di Lokap Polis Bukit Aman mulai
        14 Ogos 1998 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kes-kes berkaitan dan
        seterusnya serta memerintahkan banduan tersebut hendaklah dibawa balik semula di Penjara Sungai
        Buluh, Selangor sebaik sahaja polis selesai menjalankan siasatan.

        Sesalinan perintah yang saya keluarkan disertakan sebagai eksibit "OM2". Sehingga hari ini saya
        dimaklumkan bahawa siasatan tersebut belum lagi selesai sepenuhnya.

        Merujuk kepada perenggan 21 afidavit Nallakaruppan a/l Solaimalai yang bertarikh 25 Ogos 1998
        di Kuala Lumpur, saya menafikan bahawa tiada perkara tentang keselamatan dalam negeri telah
        diberikan kepada saya.

        Saya menafikan bahawa perintah yang telah saya laksanakan tidak mengikut peraturan, berniat jahat,
        ultra vires dan mafa fides. Perintah yang telah saya laksanakan itu telah dibuat demi keselamatan
        negara.

        Berdasarkan alasan di atas, saya dengan rendah hati memohon supaya permohonan ini ditolak oleh
        Mahkamah yang mulia ini, demi kepentingan keadilan.


Nik Aziz dukacita

        KOTA BHARU, Khamis - Pas dukacita dengan pelucutan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
        sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang berkuatkuasa semalam.

        Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata biasanya pihak yang sedang berlawan
        seperti Pas akan berasa gembira apabila lawan ditimpa bala atau musibah.

        Sebaliknya, kata beliau, apa yang menimpa Anwar itu menimbulkan perasaan kecewa, sugul dan
        rungsing terhadap dirinya.

        "Walaupun Anwar pernah menentang Pas, peristiwa yang menimpanya (Anwar) tidak sedikit pun
        menggembirakan hati saya.

        "Malah saya rasa sugul, rungsing dan dukacita, lebih-lebih lagi apabila saya diberitahu ada masjid di
        negeri ini disebar dengan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri,"
        katanya di sini, hari ini.

        Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di majlis perjumpaan dengan pelajar
        Kelantan yang akan melanjutkan pelajar di Mesir di kediaman rasminya di JKR 10, di sini hari ini.

        Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diminta mengulas mengenai pelucutan jawatan
        Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkuatkuasa jam 5.30 petang
        semalam.

        Beliau kesal kerana institusi masjid dijadikan medan oleh pihak tertentu untuk menjayakan konspirasi
        politik bagi memburukkan orang lain, yang tidak pula berpeluang untuk menjawab segala tuduhan
        itu.


Pemuda BN tetap taati Dr Mahathir

                Ahmad Zahid (tengah) memberitahu sesuatu sebelum memulakan mesyuarat
                Pemuda BN di PWTC, bersama Ketua Pemuda MCA, Datuk Kong Choy (kiri)
                dan Exco Pemuda, Zulkifli Alwi.

        KUALA LUMPUR, Khamis - Pemuda Barisan Nasional (BN) mengulangi pendiriannya untuk terus
        taat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BN, bagi
        memastikan kestabilan politik dan kemantapan ekonomi negara tetap terpelihara.

        Pengerusinya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata pergerakan itu memandang berat
        perkembangan terkini yang berlaku dalam pucuk pimpinan negara, khususnya berhubung kedudukan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan daripada Kabinet semalam.

        "Pemuda BN meminta semua pihak agar bertenang dan terus bersatu dalam menghadapi situasi
        sekarang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri semua 14
        pemimpin Pemuda parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

        Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkuatkuasa jam
        5.30 petang semalam.

        Ditanya apa yang dimaksudkan dengan 'memandang berat', Ahmad Zahid berkata keadaan politik
        sebelum ini cukup tenang tetapi Pemuda BN menganggap perkembangan terbaru ini satu
        'perkembangan yang berat'.

        "Kami rasa situasi ini berat kerana tak terpikullah bahu kami untuk menganalisis dan memberikan
        interpretasi kepada situasi sekarang," katanya.

        Zahid berkata, Pemuda BN yakin keadilan dan kebenaran akan ditegakkan dan jika ada sesuatu
        kes yang mahu dibawa terhadap Anwar.

        Pemuda BN, katanya, yakin dengan proses perundangan yang akan menentukan keadilan dan
        kebenaran itu terus ditegakkan melalui sistem perundangan yang ada.

        "Dan kita yakin dengan sistem perundangan ini, sesuatu perkara itu dapat diadili seadil-adilnya,"
        katanya.

        Ketika ditanya wartawan asing sama ada Ahmad Zahid berasakan Anwar bersalah terhadap
        apa-apa perbuatan, beliau menjawab: "Kita serahkan kepada mahkamah."

        Zahid juga meminta anggota Pergerakan Pemuda Umno supaya bertenang dan bertindak secara
        rasional.

        "Saya sudah meminta Pemuda bertenang dan bertindak secara rasional kerana kita yakin Pemuda di
        semua peringkat, Umno dan BN, tidak akan bertindak di luar batas undang-undang.

        "Dan kita yakin, pendirian ini adalah pendirian yang selama ini kita pegang sebagai prinsip utama
        perjuangan politik," katanya.


Pelucutan bukti ketegasan Dr M

        DURBAN (Afrika Selatan), Khamis - Tindakan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melucutkan
        jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau lebih sayangkan kerajaan dan negara
        daripada orang yang dikatakan sebagai penggantinya.

        Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata tindakan Perdana Menteri itu juga
        menunjukkan ketegasannya berpegang teguh kepada prinsip penting dalam amalan kerajaan,
        pemerintahan serta kepemimpinan.

        "Ini adalah sesuatu yang perlu kita fahami, terutama ia dilakukan dalam keadaan ekonomi sekarang
        dan Anwar sendiri adalah Menteri Kewangan.

        "Mungkin Perdana Menteri sendiri lebih sedih ketika membuat keputusan itu, tetapi dengan tersebar
        sebab mengapa ia perlu dilakukan, saya percaya rakyat dan ahli Umno akan memahaminya,"
        katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

        Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Puncak Pergerakan Berkecuali (NAM) di sini selepas
        Perdana Menteri mengumumkan tidak dapat hadir kerana perlu memberikan perhatian kepada
        usaha pemulihan ekonomi di dalam negara.

        Semalam, Anwar dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
        berkuatkuasa jam 5.30 petang. Tiada sebab diberi berikutan pelucutan itu.

        Abdullah berkata, beliau percaya Perdana Menteri sangat berhati-hati dalam mengambil tindakan,
        terutama yang meninggalkan kesan begitu besar kepada rakyat dan ahli Umno.

        Menurutnya, jika tindakan Dr Mahathir itu dianggap sesuatu yang mengejutkan di kalangan rakyat
        dan ahli Umno, tentulah ada sebab yang kuat, kukuh dan meyakinkan untuk beliau berbuat
        demikian.

        Mengenai kenyataan Anwar ada pakatan di kalangan pihak tertinggi untuk menjatuhkannya,
        Abdullah berkata, Anwar bebas untuk menyatakan pandangannya, tetapi dia perlu membuktikan
        apa yang dikatakan itu benar.

        Menurutnya, pihak pendakwa juga sudah tentu mempunyai bukti kukuh yang diperolehi hasil
        penyiasatan yang dijalankan polis.

        Abdullah juga berkata, ketika menghubungi Perdana Menteri pagi ini bagi memaklumkan mengenai
        perkembangan Sidang Puncak NAM, beliau turut mengambil kesempatan memaklumkan sokongan
        penuh ke atas tindakan itu.

        "Saya juga menyatakan kepada beliau saya tidak dapat hadir pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)
        Umno yang penting malam ini, " katanya.

        Selain itu, katanya, beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai hasil pertemuannya
        dengan beberapa pemimpin negara anggota NAM yang hadir pada persidangan kali ini.

        "Saya menyampaikan salam mereka kepada beliau dan harapan mereka supaya Dr Mahathir
        mencapai kejayaan memimpin negara dalam usaha memulihkan ekonomi," katanya.


Pelucutan jawatan Anwar dapat restu Kabinet

        SERDANG, Khamis - Kabinet sudah dimaklumkan dan memberi pengesahan kepada Datuk Seri
        Dr Mahathir Mohamad untuk melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
        Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

        Berikutan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz meminta
        rakyat dan ahli Umno supaya menyokong pucuk pimpinan dan melihat pelucutan Anwar secara
        objektif.

        "Perdana Menteri pasti mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian," kata Rafidah sambil
        menambah beliau menyokong Dr Mahathir dalam semua keputusannya walaupun drastik untuk
        menstabilkan politik dalam negara dan ekonomi, sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur.

        Bagaimanapun, katanya: "Kami sedih dengan apa yang berlaku tetapi masyarakat perlu menghargai
        apa jua alasan walaupun tindakan itu sesuatu yang tegas".

        Bercakap selepas merasmikan mesyuarat bersama ke-11 Malaysia-Taiwan di sini, beliau berkata,
        tindakan Perdana Menteri menunjukkan tiada sesiapa pun boleh melangkaui undang-undang.

        Menurutnya, golongan yang tidak memahami tindakan kerajaan perlu mendengar dan meneliti sebab
        tindakan itu terpaksa diambil.

        Rafidah berkata: "Memang kata orang pemimpin datang dan pergi. Namun, ini menunjukkan tiada
        seorang pun yang tidak boleh diketepikan. Yang penting, kita tidak melupakan fokus paling kritikal
        membabitkan pemulihan ekonomi pada masa ini."

        Katanya, Perdana Menteri mempunyai sebab kukuh membuat sesuatu membabitkan politik,
        walaupun pada masa yang sama, terpaksa menumpukan perhatian memulihkan ekonomi semasa.

        Bagaimanapun, menurutnya, dasar kerajaan membabitkan ekonomi tidak berubah berikutan
        perlucutan jawatan Anwar. Kerajaan akan terus menguatkuasakan pelan rancangannya.

        Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Sabbaruddin Chik yakin isu pelucutan jawatan
        Anwar tidak menjejaskan parti.

        Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir mendapat sokongan penuh daripada anggota Umno.
        Keputusan itu tidak dibuat terburu-buru.

        "Datuk Musa Hitam meletak jawatan...tidak ada masalah sangat. Selepas itu ada lagi masalah lebih
        besar... ketika Tengku Razaleigh dan penyokongnya meninggalkan parti untuk menubuhkan
        Semangat 46 dan seperti yang kita tahu ia sudah jadi sejarah. Kini mereka kembali kepada Umno.

        "Ini mungkin satu lagi 'peringkat'. Saya yakin kita dapat selesaikannya tanpa banyak masalah,"
        katanya pada sidang akhbar mengenai Karnival Beli-Belah 1998 di kementeriannya hari ini.

        Beliau yang juga Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan berkata, Dr Mahathir bertindak
        dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri.

        Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai hak melantik dan menyingkirkan sesiapa saja termasuk
        Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik.

        Bagaimanapun beliau mengakui apa juga tindakan yang diambil walaupun terdapat kebenaran, ia
        tidak mungkin mendapat persetujuan sepenuhnya daripada 2.7 juta ahli Umno di seluruh negara.

        Mengulas perkara yang sama, Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Mohd Noor,
        mengingatkan ahli parti supaya jangan membuat tindakan melulu kerana keputusan itu dibuat selepas
        kajian terperinci.

        Beliau berkata ahli Umno seharusnya memperteguhkan perjuangan demi kepentingan parti.

        "Dr Mahathir amat teliti serta cermat dalam membuat keputusan terutama perkara membabitkan
        parti dan rakyat," katanya selepas majlis Konvokesyen ke-14 Kolej Agama Sultan Zainal Abidin di
        Kuala Terengganu, hari ini.


Perpaduan BN tidak terjejas

        KUALA LUMPUR, Khamis - Barisan Nasional (BN) percaya pelucutan jawatan Datuk Seri
        Anwar Ibrahim Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan
        meninggalkan kesan buruk kepada gabungan itu.

        Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Rahmat, berkata parti komponen faham dan dapat
        menerima keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BN.

        "Pelucutan itu tidak akan meninggalkan kesan buruk kepada BN dan saya percaya komponen BN
        akan memahami dan dapat menerima keputusan yang diambil oleh Dr Mahathir," katanya.

        Beliau memberitahu demikian selepas upacara menandatangani perjanjian Radio Televisyen
        Malaysia (RTM) sebagai hos penyiar Sukan Komanwel XVI di Angkasapuri, di sini hari ini.

        Mohamed yang juga Menteri Penerangan berkata, BN banyak menghadapi dugaan dan cabaran
        pada masa lalu tetapi ia tidak pernah menjejaskan kedudukan parti.

        Contoh, peletakan jawatan Datuk (kini Tan Sri) Musa Hitam juga tidak menjejaskan kestabilan
        parti.

        "Saya fikir amat penting semua ahli komponen bersatu dan mendukung kepemimpinan kerajaan
        kerana perpaduan amat penting bagi Malaysia menghadapi sebarang dugaan dan cabaran, dalaman
        atau luaran.

        "Keutuhan BN berasaskan perpaduan dan diharapkan perpaduan itu tetap utuh walaupun ada
        perkara berlaku yang boleh mengejutkan," katanya.

        Mohamed yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu semua pihak menunggu penjelasan
        lanjut daripada tindakan drastik itu.

        Sambil meminta semua pihak bersabar, beliau berkata Dr Mahathir tentu mempunyai sebab cukup
        kuat melakukan tindakan itu.

        Mengenai tindakan yang mungkin dilakukan selepas ini, Mohamad berkata Dr Mahathir selaku
        Pengerusi BN belum mengarahkan Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat.


PM CARI TEMPAT BERGANTUNG

 GUA MUSANG: Tanda-tanda pilihan raya umum akan diadakan sudah mulai terasa sekarang
 apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mencari banyak tempat pergantungan
 untuk berhadapan dengan rakyat.

 Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tempat pergantungan terbaru
 Perdana Menteri ialah Sheikh Al Azhar, Dr Muhammad Sayyed Tantawi yang cuba memberi
 pandangan baru tentang Islam di negara ini.

 Katanya, pandangan Sheikh berkenaan biarpun mengelirukan umat Islam, namun ia memberi
 kekuatan kepada Umno untuk berdepan dengan rakyat menjelang pilihan raya.

 "Namun kita (PAS) tidak bergantung kepada sesiapa pun sama ada Sheikh Al Azhar atau sesiapa
 sahaja.

 "Malah kita yakin dengan apa yang PAS ada dan perjuangkan," katanya di majlis ceramah
 menerima borang seramai 184 bekas ahli Umno dan Semangat 46 yang menyertai PAS di
 Kampung Jerek, Dabong, malam Selasa lalu.

 Ahmad @ Ramli Jusoh, mewakili 78 bekas Umno dan Semangat 46 Kampung Jerek Dalam, Ya
 Hussin bersama 30 pengikut dari Dalam Lar, Aziz @ Hamzah Che Kob berserta 40 penduduk
 Kuala Lah dan Razak Latif dari Merantong bersama 30 pengikut menyerah borang menyertai
 PAS.

 Manakala Haji Che Daud Che Soh, 66 Ketua Umno Cawangan Jerek Dalam bersama 50
 pengikutnya yang turut hadir akan menyerah borang menyertai PAS tidak lama lagi.

 Hadir sama di majlis tersebut Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Haji Wan Abdul Rahim Wan
 Abdullah, anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua
 PAS Gua Musang, Ustaz Abdullah Yusof.

 Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar berkata, Perdana Menteri lebih suka
 bergantung kepada orang lain untuk mengukuhkan kedudukannya.

 Baru-baru ini, Dr Muhammad Sayyed Tantawi dipetik sebagai berkata, Islam tidak mengambil
 tindakan melulu terhadap mereka yang murtad.

 Menurutnya, kesalahan murtad bukan disebabkan perpindahan agama.

 Pandangan ulama' dari Mesir itu menimbulkan kontroversi apabila diberi pandangan bertentangan
 oleh ulama' lain.

 Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz juga berkata, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini,
 sekarang berpunca fahaman kebangsaan yang dianuti pemimpin negara.

 Sementara itu, Ustaz Mohd Amar berkata, sekiranya pemimpin yang 'berpenyakit' diturunkan dari
 kedudukan sekarang, keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dijangka pulih.

 Haji Wan Abdul Rahim memberitahu, banyak penempatan baru yang diwujudkan tidak dapat
 diagih kepada penduduk kerana kurang kerjasama dari Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
 (Kesedar) menyelesaikan masalah tersebut.


PM bertugas seperti biasa

                SOKONGAN... Pemimpin dan ahli parti menyambut kedatangan Perdana
                Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir, sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis
                Tertinggi, di PWTC malam tadi. - Gambar oleh Hassan Ismail

        KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Dr Mahathir menjalankan tugas seperti biasa hari ini dan
        masuk ke pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak jam 8 pagi.

        Bagaimanapun, kawasan JPM dikawal lebih ketat dengan beberapa kereta polis ditempatkan di
        pintu masuk.

        Penolong Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Sufi Yusof, ketika dihubungi berkata, Dr Mahathir
        bertugas seperti biasa hari ini dan tidak akan membuat sebarang sidang akhbar mengenai pelucutan
        Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet semalam.

        Dr Mahathir bagaimanapun akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini dan
        mengikut kebiasaan, beliau akan mengadakan sidang akhbar selepas itu.

        Sementara itu, di pekarangan kediaman rasmi Anwar di Jalan Perdana, peguambela Datuk R
        Nallakaruppan, Manjeet Singh Dillon kelihatan masuk menemui Anwar kira-kira jam 10.20 pagi.

        Beliau enggan mengulas lanjut pertemuan itu tetapi mengakui pertemuannya dengan Anwar ada
        hubungan dengan kes Nallakarrupan.

        "Saya datang ke sini kerana kes Nallakarrupan. Sama ada, ada kena-mengena dengan Anwar, anda
        perlu tunggu di mahkamah," kata Manjeet.

        Menurutnya, Anwar berada dalam keadaan amat bersemangat.

        Pada jam 3.03 petang ini, Anwar menaiki sebuah jip Pajero bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan
        Azizah Wan Ismail, dan anak mereka. Kenderaan itu menuju ke rumahnya sendiri di Bukit
        Damansara, kira-kira empat kilometer untuk mengadakan sidang akhbar.

        Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamarudin Md Ali, berkata keadaan adalah
        terkawal dan anggota polis ditempatkan di situ bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

        Semalam, beratus-ratus orang, terdiri daripada penyokong Anwar berkumpul di luar kediaman
        beliau, manakala kenderaan diletakkan sepanjang kira-kira satu kilometer dari jalan masuk menuju
        ke kediaman itu.

        Penutupan jalan masuk ke Sri Perdana itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk bermula
        dari Jalan Lapangan Terbang Lama Sungai Besi menghala ke Lebuhraya Mahameru.

        Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Zain Ismail, berkata kenderaan yang
        menuju ke Kuala Lumpur dinasihatkan melalui Jalan Bangsar, Jalan Johar, Jalan Damansara dan
        Jalan Duta sebelum masuk ke Persimpangan Jalan Duta.

        Mereka yang tinggal di Jalan Sri Perdana pula dinasihatkan supaya melalui Jalan
        Damansara-Jelutong. Polis meminta orang ramai supaya bersabar dan sentiasa mematuhi
        undang-undang jalan raya.


PM memangku Menteri Kewangan

        KUALA LUMPUR, Khamis - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan mengambil
        alih jawatan Menteri Kewangan sementara kekosongan itu diisi tidak lama lagi.

        "Ini adalah satu lagi tanggungjawab yang perlu saya pikul, walaupun media asing selama ini
        mengatakan saya tidak banyak mengetahui mengenai pentadbiran kewangan," katanya .

        Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, berkata kekosongan jawatan Timbalan Perdana
        Menteri pula mungkin tidak akan diisi sehingga pemilihan tahun depan.

        Beliau berkata demikian ketika ditanya seorang wartawan asing sama ada kedua-dua jawatan itu
        akan diisi dalam tempoh terdekat berikutan pelucutan jawatan Anwar itu.


Sindiran Pak Lah bagai sembilu

 TAJUK berita muka depan dua akhbar utama di negara ini telah mengejutkan para pemimpin
 Umno tertentu.

 Tajuk berita muka depan akhbar Berita Harian keluaran 25 Ogos kelmarin ialah seperti berikut:
 "Tolak Pemimpin Seperti Clinton", sementara tajuk berita utama Utusan Malaysia pada hari yang
 sama pula: "Hanya Seorang Jeneral" dalam Umno.

 Kedua-dua akhbar utama yang dikuasai oleh Umno itu telah membesar-besar cerita mengenai
 kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau berucap dalam forum bertajuk
 "Pemulihan Bosnia dan Herzegovina" anjuran Institut Strategik Antarabangsa (Isis) di Genting
 Highlands pada 24 Ogos kelmarin.

 Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak boleh menerima seorang pemimpin yang terlibat dalam
 skandal seks dan berbohong seperti Presiden Clinton itu.

 Lebih jauh Naib Presiden Umno itu menekankan bahawa kes Clinton itu boleh dijadikan
 pengajaran kepada rakyat negeri ini, yang sebahagian besarnya beragama Islam.

 Beliau merasa hairan kerana rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin yang terlibat
 dalam skandal seks seperti Clinton itu.

 "Tetapi bagi rakyat Malaysia, kita tidak boleh menerima pemimpin yang tercemar dengan skandal
 seks seumpama itu.

 "Bagi majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam, pemimpin seumpama itu mesti diketepikan
 kerana dia tidak ada kewibawaan lagi.

 "Kita ingin pemimpin berwibawa dan berpekerti mulia untuk pimpin kita. Selain dari kemampuan
 untuk memimpin," tegas beliau kepada para wartawan.

 Beliau mengakhiri kenyataannya dengan mengatakan bahawa jika seseorang pemimpin itu terbukti
 mencemarkan nama baiknya, lebih baik dia mengundurkan diri.

 Walaupun pada zahirnya, beliau tidak mengaitkan nama-nama pemimpin Umno dalam peristiwa
 skandal seks Clinton itu, tetapi orang-orang Umno dan para pemerhati politik tahu apa yang
 tersirat dari kenyataan Menteri Luar itu.

 Yang mengejutkan para pemimpin Umno ialah kerana selama ini, Pak Lah jarang menyindir dan
 membuat kenyataan akhbar seperti ini.

 Mungkin, ada sesuatu yang luar biasa yang menyebabkan Pak Lah membuat perbandingn antara
 skandal seks Clinton dengan apa yang tercatat dalam buku yang ditulis oleh Khalid Jafri itu.

 Yang lebih menggemparkan lagi, beliau menarik perhatian rakyat Malaysia supaya jangan
 menerima seorang pemimpin yang berperangai seperti Clinton itu.

 Semua orang tahu, siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin yang berperangai seperti Clinton
 itu?

 Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia pula, menyiarkan kenyataan Pak Lah mengenai perpaduan
 dalam parti di saat-saat yang genting seperti sekarang.

 Beliau menganggap bahawa kedudukan negara sekarang seperti berada dalam keadaan berperang
 dengan musuh-musuh yang tertentu.

 "Apabila menghadapi peperangan-peperangan, (memulihkan ekonomi negara), kita mesti bersatu
 padu dan hanya ada satu "jeneral", bukan dua," tegas beliau.

 Soalnya sekarang, mengapa beliau menyebut, hanya satu jeneral sahaja dalam Umno yang harus
 dipatuhi oleh ahli-ahli Umno?

 Kalau kita teliti apa yang tersirat dari kenyataan Menteri Luar itu, maka jelaslah bahawa selama ini,
 ada "dua jeneral" dalam Umno.

 Dalam erti kata lain, ada antara puak dan klek dalam Umno yang patuh kepada Jeneral yang
 pertama dan ada pula kumpulan dalam parti itu yang berkiblat dan patuh kepada "Jeneral" yang
 kedua.

 Inilah yang berlaku dalam Umno sebelum ini. Dan demi untuk menghadapi peperangan, (pemulihan
 ekonomi) maka ahli-ahli Umno harus patuh dan taat kepada seorang "Jeneral" sahaja.

 Tidak perlu dijelaskan di ruangan ini, siapakah yang dimaksudkan dengan "Jeneral" yang pertama
 dan "Jeneral" yang kedua dalam Umno itu.

 Apa yang jelas, Datuk Abdullah Ahmad Badawi mulai menunjukkan sikapnya yang sebenar dalam
 menghadapi percaturan politik dalam parti yang memerintah sekarang.

 Beliau nampaknya, sudah tidak merasa segan dan silu lagi untuk menyindir Timbalan Presiden
 Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa isu tertentu.

 Sebelum ini, ada ramalan yang mengatakan bahawa jika berlaku sesuatu kepada Anwar Ibrahim,
 maka orang yang paling layak sekali untuk menjadi orang nombor dua dalam parti, ialah Datuk
 Abdullah Ahmad Badawi.

 Dan sudah ada tanda-tanda yang jelas, akhbar-akhbar utama cuba menonjolkan beliau sebagai
 "calon Timbalan Presiden" Umno dalam pemilihan yang akan datang.

 Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa sejak tersebarnya buku 50 dalil yang ditulis oleh
 Khalid Jafri itu, pengaruh Anwar Ibrahim mulai merosot di kalangan orang-orang Umno.

 Yang lebih menakjubkan lagi sebuah majalah asing telah menyebut tentang tanda-tanda kejatuhan
 Anwar Ibrahim selepas perhimpunan Agung Umno pada bulan Jun lalu.

 Walaupun, Mahkamah tidak membenarkan sesiapapun memetik sebahagian dari kandungan buku
 itu, tetapi ada majalah asing yang menyebut tentang kes Anwar Ibrahim yang termaktub dalam
 buku tersebut.

 Ini jelas membuktikan bahawa ada pihak yang tertentu yang cuba melemahkan kedudukan Anwar
 dalam parti dan kerajaan.

 Mungkin kerana inilah yang menyebabkan ramai di kalangan pemimpin Umno yang mulai menukar
 kiblatnya masing-masing.

 Pada hemat saya, seruan Datuk Abdullah Ahmad Badawi supaya ahli-ahli Umno, patuh kepada
 seorang "Jeneral" sahaja akan menimbulkan berbagai reaksi di kalangan pemimpin di semua
 peringkat.

 Kita tunggu dan lihat, apakah reaksi para pengikut Anwar Ibrahim dengan kenyataan Pak Lah
 yang secara langsung mempertikaikan kepimpinan Timbalan Presiden Umno itu?
 


Umno Pulau Pinang tidak bincang tindakan

        BUTTERWORTH, Khamis - Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang pada mesyuaratnya Selasa
        lalu tidak membuat ikrar sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd Shariff Omar, berkata mesyuarat itu yang dihadiri semua Ketua
        Bahagian Umno Pulau Pinang kecuali Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang menghadiri Sidang
        NAM di Afrika Selatan juga tidak membincangkan sebarang tindakan jika Anwar dipecat.

        "Saya yakin Umno Pulau Pinang tidak akan berpecah berikutan pemecatan Anwar dan menyeru
        semua pemimpin di semua peringkat tenang dan tidak emosi.

        "Kita tidak tahu perkara sebenar sehingga membawa kepada pemecatan itu.

        "Oleh itu, ahli Umno perlu tunggu sehingga mendapat penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad, yang saya pasti ada sebab yang kukuh.

        "Polis sudah menjalankan siasatan mengenai dakwaan membabitkan Anwar.

        "Oleh itu, kita mesti yakin semua tindakan yang diambil Perdana Menteri dan percaya pada polis,"
        katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Sains di Sekolah Menengah Bakti,
        Tasek Glugor, dekat sini, petang ini.

        Shariff berkata, Dr Mahathir sendiri yang membawa masuk Anwar ke dalam Umno dan 'melatih'
        beliau sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

        "Ini menunjukkan Dr Mahathir mempunyai kepercayaan penuh terhadap Anwar, tetapi oleh kerana
        keseriusan perkembangan terbaru yang dikatakan boleh menjejas kewibawaan beliau dan
        keselamatan negara, Dr Mahathir terpaksa mengambil tindakan yang pasti bukan mudah untuknya,"
        katanya.


Demi keselamatan dan kepentingan negara

        Minda Pengarang

        PELUCUTAN jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
        Kewangan serta semua kedudukannya dalam kerajaan, seharusnya diterima dengan tenang. Malah,
        dalam apa juga perkembangan selanjutnya, rakyat seharusnya memberi keyakinan kepada kerajaan
        dan pimpinan negara untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya. Sejak berita mengenai
        pelucutan jawatan Anwar meletus, kelmarin, tidak ada tanda-tanda menunjukkan rakyat panik dan
        hilang pedoman. Perhitungan yang bijak seperti itu memang diharapkan kerana persoalan yang
        dihadapi itu sudah pun dikaitkan dengan proses undang-undang, yang tentunya perlu diuruskan
        menerusi proses itu.

        Buat masa ini tidak perlulah rakyat membuat sebarang andaian, menjangkaui siasatan, tindakan dan
        keputusan pihak berkuasa. Pihak berkuasa sudah menjalankan penyiasatan, hingga membawa
        kepada pelucutan jawatan Anwar. Oleh itu, rakyat perlu membenarkan pihak berkuasa
        menyelesaikan perkara ini dengan bijaksana tanpa perlu menggugat kestabilan politik. Tindakan
        melucutkan jawatan Anwar adalah keputusan serius yang tentunya tidak dibuat dengan terburu-buru
        tanpa asas yang benar-benar kukuh.

        Sudah menjadi amalan, dalam kes-kes terdahulu, sebarang tindakan yang diambil dalam pengurusan
        dan pentadbiran kerajaan, hanya dibuat selepas mempunyai bukti lengkap. Anwar adalah anak didik
        Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan sudah dijanjikan beberapa kali akan
        mengambil alih teraju pentadbiran negara.

        Mustahil Dr Mahathir mahu menghapuskan kerjaya politik Anwar hanya disebabkan perselisihan
        faham mengenai pengurusan ekonomi negara sebagaimana dicanangkan oleh media asing. Ia juga
        tidak mungkin dibuat berasaskan tindakan politik kerana berasaskan perkembangan mutakhir
        politik, Anwar tidak lagi dianggap sebagai pencabar Dr Mahathir. Soalnya, tidak ada faedah
        kerajaan mahu bertindak sesuka hati dalam keadaan ekonomi yang masih bergelora.

        Namun, ada perkara lebih besar yang memungkinkan Dr Mahathir tidak mahu dituduh membendung
        atau bersubahat dengan tindak tanduk sama ada membabitkan undang-undang dunia atau hukum
        agama. Walaupun tindakan Dr Mahathir itu begitu berat untuk dilaksanakannya, namun atas nama
        kewajipannya sebagai seorang pemimpin, walau segetir mana sekali pun, ia terpaksa juga dilakukan
        atas nama kedaulatan undang-undang dan kesucian agama.

        Daripada kandungan afidavit Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang difailkan di
        Mahkamah Tinggi berhubung kes pemilikan peluru secara haram yang dihadapi Pengarah Hal Ehwal
        Awam Magnum, Datuk S Nallakaruppan yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri
        (ISA), menyatakan siasatan polis berkaitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM
        mendapati kes itu membabitkan keselamatan dan kepentingan negara.

        Oleh itu, pendakwaan boleh dibuat terhadap Anwar mengikut undang-undang negara seperti Akta
        Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Kanun Keseksaan, Akta
        Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Pencegahan Rasuah 1961 dan 1997.

        Disebabkan buku itu mengandungi dakwaan membabitkan pelakuan Anwar, adalah sewajarnya
        dakwaan itu perlu dibuktikan mengikut proses tertentu. Jika Anwar masih menduduki jawatan yang
        tinggi dalam kerajaan, ada kemungkinan menimbulkan perlbagai masalah. Tuduhan yang dihadapi
        Anwar sebagaimana terkandung dalam buku itu dan pembabitan beliau mengikut afidavit yang
        difailkan di Mahkamah Tinggi semalam yang membabitkan salah laku seksual dan perkara yang
        boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara, memang pahit untuk ditelan. Ini kerana
        selama ini Anwar dijulang sebagai pemimpin yang membawa imej Islam dan gerak-gerinya sering
        dijadikan teladan.

        Oleh itu, apabila beliau dituduh melakukan perbuatan sumbang itu, ia menimbulkan kekeliruan yang
        segala-galanya memerlukan penjelasan. Tentunya, penjelasan seperti ini tidak boleh dibuat secara
        terbuka. Tidak sewajarnya beliau masih dibenarkan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan
        sedangkan tuduhan yang dihadapinya boleh menjejaskan kewibawaan Kabinet dan negara.

        Tindakan Dr Mahathir itu mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk sokongan
        politik. Mereka memberi sokongan kerana yakin tindakan Dr Mahathir bukan untuk tujuan
        menganiaya, sebaliknya menegakkan kebenaran. Bagi Umno, peristiwa ini tidak seharusnya
        membawa kepada bibit perpecahan. Sebaliknya, Umno perlu terus padu kerana cabaran yang akan
        dihadapi adalah jauh lebih mencabar.


BALIK