BERITA ISU PELUCUTAN ANWAR IBRAHIM

6 SEPTEMBER 1998
 



 
Jangan pertikai kewibawaan polis

MEMPERTIKAIKAN kewibawaan dan profesionalisme polis menjalankan siasatan dan prasangka terhadap sistem
pemerintahan negara sukar dipercayai jika ia datangnya daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang begitu konsisten dengan pendiriannya. Tambah meragukan apabila semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri
Abdul Rahim Noor menjelaskan Anwar sendiri cuba campur tangan dalam siasatan polis terhadap buku 50 Dalil
Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM. Antara Julai dan Ogos lalu, Polis menerima empat aduan bahawa Anwar
cuba menggunakan kedudukan dan pengaruhnya termasuk menakut-nakutkan saksi dan cuba mengubah bukti
pe-nyiasatan. Disebabkan perkara ini mungkin dibawa di mahkamah, Anwar perlu menghadapi realiti ini dan
menafikannya dengan bukti, jika beliau benar-benar tidak berbuat demikian. Berasaskan penjelasan Rahim, boleh
diandaikan bahawa pendirian Anwar terhadap sistem kerajaan sejak beliau dilucutkan jawatan, boleh dipersoalkan. Jika
sebelum ini beliau adalah orang pertama yang mempertahankan setiap kritik terhadap kerajaan, hari ini beliau sudah
mengubah prinsipnya dan bersuara selari dengan laungan pembangkang.

Apakah hanya selepas tidak lagi mempunyai kedudukan dalam Kabinet Anwar melihat segala tindakan kerajaan terlalu
jijik sedangkan sebelum ini beliau begitu mempertahankan dan mendukungnya. Adalah tidak wajar mengajak rakyat
supaya bersama-sama membenci sistem kerajaan sedangkan isu yang diperjuangkan tidak ada kaitan dengan rakyat.
Rakyat hanya boleh diajak melakukan reformasi jika isu yang diperjuangkan membabitkan masalah dan penderitaan
rakyat. Apakah rakyat hari ini dibelenggu dengan kemiskinan atau penindasan hingga mereka harus diajak bangkit
bersama. Rasanya, rakyat boleh memikirkan secara rasional antara perkara benar dan palsu. Rakyat tidak akan terkeliru
dengan hujah yang hanya membakar semangat kerana di sudut hati mereka tetap mahu mengetahui kedudukan sebenar
kes ini, dari sudut perundangan. Lebih menarik kerana tuduhan yang dikaitkan dengan Anwar sebagaimana terkandung
dalam affidavit membabitkan kes Pengarah Hal Ehwal Awam Magnum, Datuk S Nallakaruppan, adalah sesuatu yang
sukar dipercayai. Naluri rakyat untuk me-ngetahui keadaan sebenar begitu tinggi kerana ia bukan sahaja membabitkan
seorang yang pernah menduduki jawatan tinggi dalam kerajaan, malah seorang pemimpin yang dikaitkan dengan moral
peribadi yang tinggi.

Kes ini lebih kepada masalah peribadi Anwar. Rakyat tidak seharusnya diajak menyingsing lengan hanya dengan matlamat
untuk membersihkan namanya.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertikaikan pendirian Anwar sejak berada di luar kerajaan,
menunjukkan seolah-olah selama ini Anwar tidak pernah mempertahankan kewibawaan sistem yang wujud di negara ini.
Tidak boleh dinafikan Anwar turut mengikuti setiap perkembangan kes siasatan polis dan perundangan yang membabitkan
tokoh politik sama ada tokoh parti kerajaan atau pembangkang sebelum ini. Bukan tugas individu untuk mempersoalkan
kewibawaan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas masing-masing. Fungsi polis dan perundangan hanya akan
terganggu apabila semua pihak yang dituduh, bebas menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan proses penyiasatan
dan peraturan mahkamah. Hakikatnya, kes ini masih belum selesai. Lebih banyak bukti akan dapat didengar apabila ia
didengar di mahkamah kelak. Selagi perbicaraan di mahkamah belum dijalankan, termasuk dakwaan wujudnya konspirasi
politik tertinggi kerajaan untuk menjatuhkannya, adalah lebih wajar setiap rakyat menunggu perkembangan menerusi
saluran yang sah. Apabila dipanggil untuk membela diri kelak, Anwar boleh mengemukakan hujahnya dan diadili. Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sudah pun memberi jaminan bahawa Anwar mempunyai peluang untuk
menjelaskannya dalam forum yang sesuai, yang kita percaya apa yang dimaksudkannya ialah di mahkamah.
 



 
 Tindakan Mahathir ada alasan kukuh

BEBERAPA perkara yang amat mengejutkan berlaku minggu ini. Belum sempat pun penganalisis, pelabur, pakar
ekonomi dan lebih-lebih lagi rakyat jelata dapat menyerap implikasi pengumuman kerajaan mengawal kadar tukaran mata
wang ringgit, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sehari kemudian mengejutkan lagi dengan pengumuman
Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada semua jawatannya dalam kerajaan. Ini diikuti pula dengan pemecatannya
daripada Umno dan dengan itu jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno juga terlucut.

Anwar mulanya diberi peluang untuk berundur dengan rela hati daripada jawatan-jawatannya tetapi kerana enggan beliau
terpaksa dipecat. Tindakan ini tidaklah tersimpang dari segi perundangan dan peraturan.

Dalam kerajaan beliau dipilih oleh Perdana Menteri dan dengan itu Dr Mahathir mempunyai kuasa untuk melucutkan
semua jawatan yang disandangnya. Tetapi lain pula halnya mengenai kedudukannya dalam parti. Beliau dipilih sebagai
Timbalan Presiden oleh perwakilan dalam pemilihan Umno. Ini bermakna Dr Mahathir walaupun Presiden parti, tetapi
tidak mempunyai kuasa melantik Timbalan Presiden.

Anwar sekali lagi diberi peluang untuk mengundurkan diri sebagai Timbalan Presiden Umno tetapi beliau juga enggan
berbuat demikian walaupun sentimen Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya tengah malam Khamis itu menghendakinya
berundur daripada jawatan itu. Dengan itu Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai pilihan lain selain memecatnya
daripada parti. Ini dengan sendirinya membuatkan beliau kehilangan jawatannya itu.

Kedua-dua tindakan mengejut ini, menunjukkan Dr Mahathir tidak sunyi daripada kontroversi. Malah beliau pernah
dikatakan sentiasa diselubungi kontroversi. Sering juga tindakannya dipersoalkan tetapi akhirnya terbukti beliau betul.

Berikutan pemecatan Anwar itu banyak sudah diperkatakan daripada kedua-dua belah pihak. Tetapi rakyat tetap keliru.
Siapa yang hendak mereka percayai? Mustahil Anwar boleh melakukan pelbagai perkara yang dituduh terhadapnya. Ia
tidak masuk akal. Selama ini Anwar amat lantang memperjuangkan kesucian dan kehendak agama. Platformnya ialah
peningkatan syiar Islam dan mewujudkan umat beramal makruf. Perwatakannya juga amat cenderung kepada agama. Jadi
bagaimana boleh tergamak berbuat perkara-perkara terkutuk itu. Inilah pandangan penyokong dan mereka yang
bersimpati dengannya.

Kenyataan-kenyataan Anwar sendiri yang menuduh apa yang berlaku terhadapnya sebagai konspirasi politik peringkat
tertinggi mengeruhkan lagi keadaan. Polis pula tetap dengan pendirian bahawa mereka ada cukup alasan membuat
tuduhan itu. Kini Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Nor pula menuduh Anwar cuba mempengaruhi dan campur
tangan terhadap penyiasatan polis berhubung persoalan ini.

Lebih setahun lalu waktu tuduhan salah laku terhadap Anwar mula dibuat, Dr Mahathir dengan tegas menganggapnya
sebagai fitnah yang bertujuan menggugat kedudukan Anwar sebagai bakal penggantinya. Anwar sendiri waktu itu amat
menghargai sokongan kuat Dr Mahathir terhadapnya berhubung surat yang membuat tuduhan salah lakunya itu. Tetapi kini
nampaknya Dr Mahathir sudah berubah pandangan.

Penyiasatan polis terhadap beberapa tuduhan terhadap Anwar itu menunjukkan tuduhan-tuduhan itu ada alasan. Mereka
dengan itu sudah tidak dapat bekerjasama lagi. Walaupun pemecatan Anwar itu sudah tentu akan menyulitkan kedudukan
negara lebih-lebih lagi dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, Dr Mahathir terus juga dengan tindakannya.
Semestinya beliau mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. Mustahil beliau bertindak sewenang-wenangnya
terhadap seorang yang beliau sendiri didik dengan begitu berkesan untuk menggantinya memimpin negara apabila tiba
masanya.

Diharapkan hal ini tidak menjadikan orang ramai khususnya penyokong Anwar dan mereka yang bersimpati dengannya
menggelabah hingga boleh mengganggu gugat keselamatan negara. Akhirnya Tuhan yang akan menentukan semua. Kalau
kita benar dan tidak bersalah tidak ada apa yang hendak dimusykilkan. Mereka yang benar sentiasa di sisi Allah. - Oleh
REJAL ARBEE



 
Anwar batal hasrat ke Pulau Pinang
 

                       MESRA... pemimpin DAP, Lim Kit Siang (tengah) dan Dr Tan Seng Giaw antara pemimpin
                            pembangkang yang mengunjungi Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan daripada jawatan Kabinet Rabu lalu, membatalkan
hasratnya ke Pulau Pinang semalam, kerana ada urusan yang belum selesai.

Tanpa menjelaskan apa urusan berkenaan Anwar berkata, pembatalan itu juga tidak mempunyai kaitan dengan larangan
polis.

"Polis tidak memberitahu mengenai tahanan rumah dan mereka juga tidak meminta saya datang ke mana-mana balai
polis," katanya kepada pemberita di kediamannya semalam.

Kediaman Anwar di Bukit Damansara terus dikunjungi dan orang ramai diberi peluang menonton rakaman ucapan pada
malam beliau dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang diadakan keesokannya, sebulat suara memecatnya daripada menganggotai
parti berkenaan.

Mengenai hasrat menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan mengenai kedudukannya, Anwar berkata, beliau
belum menetapkan tarikh.

Menurutnya, sebarang pergerakan (menjelajah) akan menambah lagi tuduhan terhadapnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dalam sidang akhbarnya semalam berkata, polis mempunyai bukti yang
menunjukkan Anwar cuba mempengaruhi siasatan yang dijalankan terhadap empat laporan polis berhubung buku 50 Dalil
Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Menurut Rahim, polis juga menerima empat laporan yang mendakwa kononnya Anwar cuba campur tangan dalam
penyiasatan berkenaan.

Anwar berkata, beliau sentiasa memberi kerjasama kepada polis tetapi selepas kenyataannya mengenai jangan ada pihak
menggunakan instrumen kerajaan untuk politik, barulah timbul keretakan dengan polis.

"Itu tidak bermakna saya tidak memberi kerjasama. Saya sebut jangan ganggu tugas dan urusan polis. Saya tahu ada
(polis) yang jalan tugas dan ada yang kurang bijaksana.

Ketika ditanya adakah beliau berhasrat berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata:

"Untuk apa...saya rindu PM kerana jumpa setiap hari (ketika dalam Kabinet). Kirim salam dekat dia, saya suka dia."

Mengenai ujian DNA untuk membuktikan kesahihan anak yang didakwa dalam buku itu, Anwar berkata peguamnya
menasihati beliau supaya tidak membuat ujian itu kerana bukan membabitkan tuntutan terhadapnya.

Katanya, memadai Setiausaha Sulitnya, Azmin Ali, isterinya dan anaknya membuat ujian DNA untuk memastikan anak itu
adalah anak mereka.

Dalam sidang akhbar lain, Anwar berkata, beliau bersedia melakukan ujian DNA jika perlu untuk membuktikan tuduhan
sebelum ini palsu dan berniat jahat.

Anwar juga menafikan beliau menuduh polis terbabit dalam konspirasi itu sebaliknya menegaskan konspirasi yang
dimaksudkannya adalah konspirasi politik.

"Bukan konspirasi polis tetapi konspirasi politik," katanya.

Ditanya mengenai tindakannya mempersoalkan sistem di negara ini yang pernah didokongnya ketika masih menjawat
Timbalan Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau tidak mempertikaikan sistem itu sebaliknya mahu mempertahankannya.

Menurutnya beberapa sistem termasuk sistem perundangan di negara ini diancam unsur politik.

"Contohnya ada beberapa hakim yang dikatakan cenderung kepada saya ditukarkan. Sepengetahuan saya, dua hakim
sudah ditukarkan," katanya.



 
Pemuda kecam campur tangan luar

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mengecam tindakan pihak luar termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia
(Abim) yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman parti itu berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
daripada Kabinet dan Umno.

Pergerakan itu turut membidas segelintir pelajar institusi pengajian tinggi tempatan yang membiarkan diri mereka dengan
sewenang-wenangnya diperalatkan pihak tertentu atas nama obor reformasi rakyat yang secara terang menentang
kerajaan.

Naib ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Abim mempengaruhi segelintir cendekiawan dan
mahasiswa untuk mencapai hasrat mereka adalah liar dan tidak bertanggungjawab.

Malah, katanya, tindakan Abim mengumpul dan membakar semangat mahasiswa dengan menyebar maklumat palsu
adalah budaya buruk dan membahayakan.

"Saya ingin memberi amaran kepada mereka (Abim) supaya jangan sekali-kali cuba mencampuri urusan rumah tangga
kita dan parti kita. Saya juga ingin menasihati mahasiswa supaya tidak mudah terpedaya atas nama gerakan reformasi
rakyat.

"Mereka sebaliknya harus matang dan rasional serta meneliti fakta sebelum membuat sebarang keputusan. Ini kerana,
tindakan mereka itu jelas mencemar kedudukan sebagai golongan terpelajar," katanya dalam satu kenyataan tiga muka,
semalam.

Hishammuddin yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama, berkata kejadian memaki hamun dan membaling
pemimpin negara, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebelum dan selepas mesyuarat Majlis
Tertinggi (MT) Khamis lalu, adalah perbuatan biadap, keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ini kerana perbuatan mereka yang semuanya anak Melayu amat memalukan dan terang-terang bertentangan
dengan budaya dan nilai bangsa yang disanjung selama ini.

"Sehubungan itu, kita menggesa pihak yang bertanggungjawab di institusi pengajian tinggi mengambil tindakan sewajarnya
bagi mengelak perbuatan itu berulang," katanya.

Selain itu, Hishammuddin turut menyuarakan sokongan sebahagian besar Exco Pergerakan itu dan Ketua Pemuda
Bahagian untuk terus berdiri bersama-sama kepemimpinan Dr Mahathir sebagai presiden parti dalam menangani isu
pelucutan jawatan Anwar.

Menurutnya, mereka memberi kepercayaan kepada MT berhubung isu itu dan yakin badan parti itu sudah menimbangkan
keputusan itu dengan teliti dan bijaksana demi menjaga kepentingan parti dan negara.

"Sebagai ahli Umno yang bertanggungjawab, matang, rasional dan waras, kita yakin Umno yang mempunyai sejarahnya
tersendiri akan dapat menyelesaikan perkara itu dengan caranya sendiri.

"Sebagai ahli Umno juga kita dituntut menghormati kepemimpinan parti. Sekarang, ketaatan dan kesetiaan kita diuji.
Justeru, kita harus sentiasa mengutamakan kepentingan parti daripada individu dan hanya parti yang kukuh dan bersatu
padu dapat menjamin kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau turut meminta semua ahli pergerakan itu bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru kerana semua
keputusan yang diambil adalah demi kebaikan parti.

"Oleh itu, jangan sekali-kali percaya kepada khabar angin dan dakyah yang hanya memecahbelahkan Umno. Keputusan
sudah diambil dan oleh itu, kewarasan dan kesabaran kita sebagai pejuang parti perlu dipertingkatkan bagi memberi ruang
kepada proses keadilan terlaksana tanpa mengganggu gugat kestabilan Umno dan negara," katanya.



 
Jangan politikkan pemecatan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim
tidak sepatutnya mempolitikkan isu pelucutan jawatan beliau dalam kerajaan dan pemecatan daripada Umno dengan
membawa perkara itu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan.

"Dia tidak boleh menjadikan ini sebagai sesuatu untuk diselesaikan di jalan-jalan raya dan tempat perhimpunan awam,"
kata Abdullah pada persidangan media di sini, semalam.

Abdullah, yang juga Menteri Luar, menyifatkan tindakan Anwar untuk bergerak ke bawah dan menjadikan reformasi
sebagai agenda membela diri sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Sepatutnya dia lebih memahami keadaan yang kita sedang berusaha ke arah pemulihan ekonomi dan memerlukan
kestabilan politik," kata Abdullah yang baru pulang daripada menghadiri persidangan kemuncak Pergerakan
Negara-Negara Berkecuali di Afrika Selatan.

Beliau juga berkata ia bukan cara yang wajar bagi Anwar membuat pelbagai tuduhan terhadap sistem dan institusi
kerajaan termasuk polis bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya sekarang.

Anwar, yang dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Rabu lalu dan dipecat daripada
Umno keesokannya, mendakwa bahawa ada pakatan peringkat tertinggi untuk menjatuhkan beliau.

Abdullah berkata Anwar boleh membawa perkara itu ke mahkamah jika berasakan dirinya dianiaya dan tidak dengan
membawanya turun ke bawah untuk mencari sokongan daripada rakyat.

"Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mendukung sistem pemerintahan
negara dan institusi kerajaan, dia patut memahami perkara ini... bukan membantah di luar dan meminta sokongan daripada
badan lain terhadap pendirian beliau," katanya.

Abdullah juga mempersoalkan langkah Anwar untuk menjadikan reformasi sebagai agenda kempen membela diri.

"Saya tidak tahu apakah reformasi yang dia hendak bawa tetapi bagi Umno, reformasi bukan satu perkara baru. Umno
adalah gerakan reformasi sejak ditubuhkan dan hakikat inipun Datuk Seri Anwar biasa mengakui," katanya.

Abdullah berkata beliau yakin anggota Umno tidak mudah 'diperdayakan' untuk menyokong perjuangan yang berasaskan
kepada tuntutan dan kehendak peribadi.

Ketika ditanya sama ada pemecatan Anwar itu adalah sesuatu yang 'memalukan' bagi Malaysia memandangkan Sukan
Komanwel XVI bermula 11 September ini, beliau berkata perkara itu tidak timbul kerana temasya sukan berkenaan akan
tetap diteruskan.

"Ini adalah urusan Umno, ia tidak menjejaskan sukan itu," katanya.

Menurutnya, pengguguran menteri daripada Kabinet bukan sesuatu yang luar biasa. - Bernama



 
Anwar ganggu siasatan -- Polis menerima empat laporan antara Julai dan Ogos - KPN

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, polis mempunyai empat laporan
yang menunjukkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mencampuri penyiasatannya
berhubung buku ''50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM''.

Katanya, laporan-laporan tersebut telah dibuat antara bulan Julai dan Ogos lalu.

''Selain empat aduan tersebut kita mempunyai bukti-bukti lain iaitu beliau mengambil inisiatif-inisiatif yang kuat dan
konsisten untuk mempengaruhi perjalanan penyiasatan polis demi untuk faedah beliau,'' katanya.

Abdul Rahim berkata demikian pada sidang akhbar untuk menjelaskan dakwaan Anwar kononnya polis terlibat dalam
konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar dilucutkan daripada kabinet Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad Rabu lalu dan disingkirkan dari UMNO sehari
kemudian.

Jelas Abdul Rahim, polis terpaksa memberi penjelasan kepada rakyat kerana kenyataan yang dibuat oleh Anwar itu
berkait rapat dengan kerja polis.

Beliau menegaskan, perkara tersebut akan didedahkan di mahkamah jika polis mempunyai bukti-bukti kukuh yang Anwar
cuba mencampuri penyiasatan yang sedang dijalankan.

Jelas Abdul Rahim, di antara empat laporan polis (berhubung campur tangan Anwar dalam penyiasatan buku itu), ialah:

* Mendakwa kononnya Anwar menakut-nakutkan (intimidate) saksi-saksi agar mereka tidak bekerjasama dalam
siasatan polis berhubung buku itu.

* Anwar juga dikatakan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
agar penyiasatan terhadapnya atau kawan-kawannya ditutup dan tidak diteruskan sampai dihadapkan ke mahkamah, dan;

* Anwar cuba mengubah bukti-bukti dalam penyiasatan polis.

Bagaimanapun, Abdul Rahim, tidak menamakan orang awam yang membuat aduan-aduan polis itu.

Abdul Rahim, sebaliknya memberi jaminan bahawa polis sedang menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan tersebut
dengan seadil-adilnya menerusi Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 yang merupakan undang-undang induk Polis Diraja
Malaysia (PDRM).

''Ia juga selaras dengan lima kewajipan dan fungsi induk polis yang diperuntukkan dalam seksyen berkenaan, polis
menjalankan tugasnya secara profesionalisme mengikut lunas undang-undang,'' katanya.

Menerusi Seksyen 3 (3) itu, jelas beliau, PDRM tertakluk kepada akta berkenaan dan ditugaskan di seluruh Malaysia
termasuk kawasan perairannya.

Beliau turut menyebut, pasukan polis juga bertanggungjawab terhadap pemeliharaan undang-undang dan ketenteraman,
penjaga keamanan dan keselamatan Malaysia, pencegahan dan pengesanan jenayah, penangkapan dan pendakwaan ke
atas mereka yang melakukan kesalahan.

Justeru, tegas beliau, tugas polis sekarang ialah menyiasat empat laporan polis yang dibuat ke atas buku (50 Dalil) demi
menjaga maruah dan imej PDRM.

''Apa yang kita lakukan sejauh ini adalah menyiasat empat laporan tersebut termasuk yang dibuat oleh Anwar sendiri
berkaitan buku tersebut,'' katanya.

Laporan-laporan terhadap buku itu dibuat di Balai Polis Balakong, dekat Petaling Jaya pada 17 Jun 1998 (laporan
pertama); laporan kedua di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 18 Jun 1998; laporan ketiga di Balai Polis Dang
Wangi pada 19 Jun dan laporan oleh Anwar sendiri dibuat pada 26 Jun 1998 di balai polis yang sama.

''Kita akan menyiasat setiap isi kandungan buku tersebut dari kulit muka depan hingga ke kulit muka belakang,'' ujar
Abdul Rahim.

Dalam siasatan itu juga, tegasnya, polis turut menyiasat dakwaan yang Anwar mempunyai anak luar nikah yang bernama
Afifa.

Bagaimanapun, menurutnya, setelah ujian DNA dilakukan oleh Jabatan Kimia, polis mendapati Afifa terbukti bukan anak
Anwar, tetapi dia adalah anak kepada Azmin Ali (Setiausaha Sulit Anwar) dan isterinya.

Katanya, berdasarkan bukti itu polis telah menyerahkan hasil penyiasatannya kepada Pejabat Peguam Negara dan
hasilnya penulis buku tersebut telah didakwa di mahkamah.

''Ini salah satu bukti menunjukkan polis betul menjalankan siasatan secara adil dengan mengumumkan hasil siasatan
bahawa Afifa bukan anak Anwar,'' ujarnya.

Mengenai kenyataan Anwar yang mendakwa beliau telah melakukan ujian DNA satu di dalam negeri dan satu lagi di luar
negara, Abdul Rahim menjelaskan: ''DNA dalam negeri yang dilakukan bukan ke atas darah Anwar.

''Sebenarnya dia (Anwar) enggan memberikan darahnya untuk ujian DNA di Malaysia.''

Katanya, apa yang telah dibuat di sini ialah contoh darah Azmin, isteri dan anaknya.

''Ingin saya tegas di sini, Anwar telah melakukan sebesar-besar dusta dengan mengatakan beliau telah melakukan ujian
DNA,'' tegas Ketua Polis Negara itu.

Oleh itu, tambah Abdul Rahim, jelas menunjukkan kenyataan Anwar yang disiarkan di akhbar-akhbar seolah-olah hendak
menyampaikan maklumat kepada orang ramai bahawa polis kurang profesional dan terbabit dalam konspirasi ini.'

''Dengan penjelasan ini, adalah menjadi harapan pucuk pimpinan, orang ramai mengerti dan faham bahawa adalah tidak
benar dakwaan kita tidak profesional dan adalah tidak benar kita berat sebelah,'' katanya.

 



 
Abdullah nasihatkan Anwar supaya reda

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Datuk Seri Anwar
Ibrahim supaya reda dengan apa yang berlaku ke atasnya dan jangan menurut perasaan sehingga mengetepikan
kepentingan dan kesejahteraan negara.

Tegas Menteri Luar itu, Anwar perlu sedar bahawa tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah perkara biasa yang pernah dialaminya dalam parti dan kerajaan.

''Saya sendiri suatu ketika dahulu pernah terkeluar daripada jawatan menteri sebelum diterima semula di dalam kerajaan
sekarang,'' kata Abdullah.

Bercakap dalam sidang akhbar di Wisma Putra, setibanya di tanah air dari menghadiri Persidangan Kemuncak
Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Afrika Selatan, beliau berharap Anwar tidak mudah terpengaruh untuk bersekutu
dengan pembangkang kerana dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan.

Tegas Abdullah, sebagai bekas pemimpin kerajaan, Anwar perlu lebih rasional dalam melakukan tindakan dan tidak
terlalu menurutkan perasaan sehingga mengetepikan kepentingan negara.

Beliau berpendapat, kunjungan para pemimpin parti pembangkang ke rumah Anwar adalah kerana mereka mendapati
Anwar sudah mempunyai kecenderungan untuk menentang kerajaan.

''Sedangkan sebelum ini mereka (pembangkang) menentang Anwar, tetapi mereka bertukar menjadi suka pula kepada
Anwar kerana Anwar kini dilihat berminat untuk menentang kerajaan,'' ujarnya.

Abdullah kesal kerana mendapati Anwar mempertikai tindakan-tindakan polis berhubung dengan keadilan undang-undang
di negara ini.

Menurutnya, dalam hal tersebut Anwar seolah-olah sengaja tidak mahu faham dengan tugas organisasi kerajaan yang
pernah dipimpinnya dahulu.

Abdullah menegaskan, tindakan Anwar selepas dipecat dari kerajaan dan parti sekarang adalah mirip kepada tindakan
asalnya dahulu sebagai penentang kerajaan sebelum diterima menjadi ahli UMNO.

Beliau berpendapat, tindakan Anwar yang kini ingin menjadi penentang itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab
ketika kerajaan memerlukan kestabilan politik bagi usaha memulihkan ekonomi negara.

Abdullah berharap semua ahli UMNO memberikan sokongan padu terhadap tindakan Dr. Mahathir memecat Anwar.

Beliau memberi amaran kepada ahli-ahli UMNO supaya jangan terpengaruh dengan tindakan Anwar yang dipercayai
ingin mengadakan reformasi sambil ingin meraih simpati rakyat itu.

Katanya, Dr. Mahathir tentu mempunyai asas yang kukuh dan telah menghalusinya terlebih dahulu sebelum bertindak
memecat Anwar demi kepentingan negara.

''Bukanlah satu tindakan yang mudah untuk memecat, melainkan Dr. Mahathir telah mempunyai bukti yang kukuh bagi
memecat Anwar,'' ujarnya.

Menjawab soalan media luar negara, Abdullah percaya tindakan pemecatan Anwar tidak akan menjejaskan sambutan
Sukan Komanwel XVI (KL '98) kerana kedua-dua perkara itu adalah berbeza.

Abdullah juga enggan mengulas spekulasi siapakan bakal memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana perkara
itu adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau kesal kerana Anwar telah bercakap kepada media asing melalui stesen penyiaran CNBC mengenai
perkara yang menimpa dirinya seolah-olah ingin meraih simpati dan mendapat sokongan dari luar.

''Apa perlunya untuk mendapat sokongan luar kerana perkara itu boleh diselesaikan di dalam negara,'' katanya.

Anwar dalam wawancara itu telah menyatakan bahawa pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan merupakan ''mangsa kepada konspirasi luas di peringkat tertinggi kerajaan''.



 
Reformasi: Pas tidak tertarik ajakan Anwar

KOTA BHARU 5 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, Pas tidak 'tertarik' dengan
ajakan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti-parti pembangkang menyertainya menubuhkan sebuah organisasi bagi
melancarkan gerakan reformasi di negara ini.

Menurutnya, ini kerana Pas sebagai parti politik kini sememangnya membangkang kerajaan dalam memastikan kehendak
Islam dilaksanakan di negara ini.

''Dia tak ajak pun tak apa, sebab dasar Pas dasar Islam, ertinya kita memang dah bentuk satu dasar reformasi.

''Kalau dia ajak terima kasih sahajalah, tapi kalau dia tak ajak pun, kita memang dah buat kerja.

''Jika dia salahkan kerajaan berikutan pemecatannya, itu dia punyai pasal, saya tidak mahu komen,'' katanya.

Nik Aziz ditemui selepas merasmikan Majlis Ijtimak, Guru-Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) SeMalaysia ke-3 di
sini pagi ini.

Ketika mengumumkan cadangan gerakan reformasi itu di kediamannya di Kuala Lumpur semalam, Anwar yang
disingkirkan dari kerajaan dan UMNO Rabu dan Khamis lalu berkata, buat masa ini beliau sedang menunggu reaksi
pihak-pihak yang berminat termasuk parti-parti pembangkang untuk merealisasikan idea tersebut.

Sementara itu, Nik Aziz meminta kerajaan melaksanakan keseimbangan keperluan akhirat dan dunia dalam sistem
pendidikan yang digunakan sekarang.

''Walaupun pendidikan agama ada diterapkan dalam sistem pendidikan hari ini, ia hanya di peringkat konsep sahaja tetapi
tidak pernah ada usaha serius untuk menzahirkannya,'' ujar beliau.

Katanya, masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, pelacuran, penagihan arak, gejala riba dan sebagainya masih terus
berlaku.
 


Pemuda Wilayah minta Zahid berundur

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini diminta
mengundurkan diri kerana gagal menetapkan pendirian berhubung tindakan kerajaan memecat bekas Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pada satu mesyuarat
yang dihadiri oleh semua ketua Pemuda bahagian.

Ketuanya, Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, tindak- tanduk dan sikap Zahid meragukan serta tidak menunjukkan
pendirian yang tegas sejak Anwar dilucutkan semua jawatan di dalam kerajaan dan parti.

''Sehingga isu ini berlarutan beliau masih belum memanggil mesyuarat khas Exco Pergerakan Pemuda Malaysia untuk
berbincang dan menyatakan pendirian rasmi mengenainya,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tindakan yang sama juga harus diambil oleh mana-mana Exco Pergerakan Pemuda yang meragui tindakan
pucuk pimpinan terhadap Anwar.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan penglibatan segelintir pelajar dan anggota pertubuhan bukan
kerajaan seperti Angkatan Belia Islam (ABIM) yang turut mengeruhkan suasana selepas dan sebelum mesyuarat Majlis
Tertinggi (MT) malam kelmarin.

''Mereka sepatutnya memahami secara mendalam isu perlucutan jawatan Anwar ini dan tidak bertindak mengikut
sentimen melulu,'' ujarnya.

Katanya, tindakan tidak menghormati pemimpin bukan merupakan budaya masyarakat di negara ini dan mereka tidak
harus terikut-ikut dengan tindak-tanduk pelajar di negara jiran.



 
DNA: Anwarhargai penjelasan KPN

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim
Noor berhubung ujian DNA yang membebaskan beliau daripada tuduhan mempunyai hubungan sulit dengan isteri
setiausaha sulitnya, Mohamed Azmin Ali sehingga melahirkan anak luar nikah.

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau sentiasa bersedia untuk mengadakan ujian DNA kerana mahu membuktikan
kebenaran dan tuduhan ke atasnya itu adalah palsu dan jahat.

''Justeru kerana saya yakin kedua-dua mereka adalah ibu bapa kepada anak itu maka saya kata kepada mereka buatlah
ujian DNA dahulu dan saya bersedia (untuk buat DNA) sekiranya mereka bukan ayah atau ibunya,'' katanya.

Penulis buku itu Khalid Jafri telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan
menerbitkan berita palsu bahawa Anwar mempunyai hubungan sulit dengan Shamsidar sehingga melahirkan seorang anak
luar nikah.

Anwar turut melahirkan harapan agar pihak polis akan dapat menjalankan tugas dengan semangat yang sama untuk
membuktikan kepalsuan tuduhan-tuduhan yang lain.

Katanya, pihak polis harus kekal menjalankan siasatan tanpa sebarang halangan atau campur tangan mana-mana pihak.

''Saya tidak mengatakan ada konspirasi polis, saya katakan ada konspirasi politik,'' katanya.
 



 
MOHD. YUSOF NOOR.

Anwar digesa tidak gunakan pelajar

KUALA TERENGGANU 5 Sept. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Mohd. Yusof Noor meminta bekas
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menggunakan gerakan pelajar untuk kepentingan
peribadinya.

Beliau turut meminta semua naib canselor universiti tempatan memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat yang
betul dan tepat berkaitan isu tersebut kepada gerakan pelajar di universiti mereka.

''Setiap naib canselor mesti mempunyai inisiatif sendiri untuk menerangkan perkara itu (pemecatan Anwar) bagi
mengelakkan gerakan pelajar di universiti masing-masing bertindak negatif,'' katanya pada persidangan media di RTM
Kuala Terengganu di sini.

Beliau berkata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diminta memainkan peranan mencegah pelajar
daripada dijadikan alat untuk kepentingan peribadi seseorang.

''Sudah terbukti di negara-negara lain, gerakan pelajar digunakan bagi mencapai tujuan mereka dengan bertopengkan
'reformasi' sebagai usaha menjatuhkan kepimpinan negara,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai peranan media asing, Dr. Yusof berkata: ''Anwar perlu memastikan apakah dia menggunakan
media asing atau dia dijadikan alat oleh media asing untuk agenda mereka sendiri.''

Katanya, walaupun tidak lagi menjadi anggota UMNO, Anwar sepatutnya menunjukkan komitmennya kepada
perjuangan parti.

''Dr. Mahathir sendiri pernah dipecat dari parti semasa zaman Tunku Abdul Rahman tetapi komitmen beliau (Dr.
Mahathir) terhadap perjuangan parti tidak pernah luntur,'' katanya.

Pemecatan Anwar daripada kabinet bukan bertujuan menjatuhkan seseorang tetapi merupakan bidang kuasa Perdana
Menteri, kata Dr. Yusof sambil menambah ia merupakan perkara biasa di negara lain.

Dr. Yusof juga berkata pemecatan Anwar bukan bertujuan membuka aibnya tetapi demi kepentingan negara, khususnya
dalam usaha kerajaan mengatasi kegawatan ekonomi sekarang. - Bernama
 



 
 Pemuda UMNO kesal tindakan ABIM

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO kesal dengan tindakan Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM) yang didakwa memperalatkan segelintir cendekiawan dan mahasiswa untuk memprotes tindakan pemecatan
jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, semua pihak sewajarnya menerima dengan
terbuka pemecatan ke atas Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan keahlian parti itu oleh
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September lepas.

''Bagaimanapun tindakan ABIM mengumpulkan dan membakar semangat mahasiswa ini untuk membela pihak tertentu
merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,'' kata Hishammuddin dalam kenyataannya hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan golongan mahasiswa agar tidak sewenang-wenangnya membiarkan diri mereka
diperalatkan atas nama obor reformasi rakyat yang jelas menentang kerajaan.

Hishammuddin menyorot kepada insiden segelintir penunjuk perasaan yang dipercayai disertai golongan mahasiswa
didakwa membaling objek dan mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Dr. Mahathir selepas mesyuarat Majlis Tertinggi
(MT) UMNO di ibu negara malam kelmarin.

Katanya, perbuatan itu sungguh tidak bertanggungjawab sekali gus amat memalukan kerana mereka terdiri daripada
anak-anak Melayu yang bertindak bertentangan dengan nilai kesopanan bangsa.

Hishammuddin meminta agar semua pihak di institusi pengajian tinggi tempatan tidak lagi terbabit dengan tindakan
menentang kerajaan.



 
 
PM berusaha tolak tohmahan terhadap Anwar

KUALA TERENGGANU 5 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang banyak menerima
maklumat ''aib'' mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah sedaya upaya mengetepikan tohmahan-tohmahan
itu dan berulang kali menegaskan bahawa Anwar adalah bakal penggantinya.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor berkata, kemuncak kepercayaan Dr. Mahathir itu ialah
apabila beliau melantik Anwar menjadi pemangku Perdana Menteri selama beberapa bulan.

''Malangnya di tengah-tengah kemuncak kepercayaan itu, Dr. Mahathir telah berhadapan dengan kenyataan-kenyataan
dan pendedahan yang bertubi-tubi sehingga menjadi sangat sukar untuk mengetepikan dan menolak isu skandal Anwar,''
katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya perkara tersebut dibiarkan ia sudah tentu boleh memudaratkan imej parti, bangsa dan negara.

Dr. Yusof menegaskan, Dr. Mahathir selaku presiden parti sentiasa berusaha mengawal sekadar yang termampu untuk
menutup keaiban peribadi seseorang.

''Kecuali jika keaiban sudah terlalu sukar dikawal sehingga orang ramai menganggap usaha menutupnya boleh bertukar
menjadi keaiban yang lebih besar,'' katanya.

Keputusan Dr. Mahathir melucutkan jawatan Anwar, katanya, setelah Perdana Menteri menerima bukti yang kukuh yang
sangat sukar ditolak.

Beliau berkata, maklumat yang diterima sangat sukar ditolak kerana bahan bukti bukan hanya berpunca daripada seorang
malah ia datang daripada banyak pihak.

Katanya, maklumat tersebut setelah diselidiki terbukti mempunyai asas-asas yang kukuh dan munasabah.

''UMNO pada mulanya tidak berminat untuk melayan berita-berita skandal mengenai Anwar atas andaian bahawa itu
hanyalah satu rekaan dan hasil perbuatan hasad dengki,'' katanya.

Menurut Dr. Yusof, bertolak dari itu UMNO tidak ada pilihan yang lain selain mengambil satu sikap dan pendirian yang
tegas mengenai isu tersebut atas dasar tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

''Dengan perasaan yang berat barisan pimpinan parti terpaksa melalui proses penentuan antara kebenaran dan kebatilan
walaupun yang terlibat itu seorang rakan sebangsa, seagama dan sama perjuangan,'' katanya.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti bersama-sama seluruh ahli Majlis Tertinggi terpaksa mengetepikan perasaan dan
berdiri di atas landasan kebenaran dan realiti masalah untuk membuat keputusan mengenai isu Anwar itu.

''Maka itu kami memutuskan untuk mengorbankan pangkat Anwar dalam kerajaan dan keahliannya dalam parti di atas
nama kesucian perjuangan dan pemeliharaan terhadap maruah parti,'' katanya.

Dalam pada itu, Dr. Yusof Noor juga meminta umat Islam di negara ini tidak menjadikan masjid dan surau dan maksud
'sembahyang hajat' untuk mengelirukan masyarakat.

Beliau menyeru umat Islam menggunakan masjid sebagai satu tempat ibadah bersesuaian dengan tuntutan agama, bukan
dengan tujuan peribadi yang tidak berasaskan kebenaran seperti menarik perhatian orang ramai dengan isu penyingkiran
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 



 
 UMNO Permatang Pauh akan temui Anwar

BUKIT MERTAJAM 5 Sept. - UMNO Permatang Pauh akan menghantar wakilnya menemui bekas Ketua
Bahagiannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menasihati beliau agar tidak menubuhkan organisasi atau parti lain.

Pemangku Ketua Bahagian itu, Datuk Ahmad Saad memberitahu, pihaknya mahu supaya Anwar bertenang dan tidak
bertindak menjejaskan kepentingan UMNO dan kerajaan.

Katanya, beliau bersama Naib Ketuanya, Dr. Radin Mohd. Amin; Setiausahanya, Yahaya Jamaluddin; Ketua
Penerangan, Adenan Ramli dan Bendahari, Razi Zainal Abidin akan menemui Anwar sedikit masa lagi.

Anwar sebelum ini dilaporkan berhasrat menubuhkan sebuah organisasi bagi melancarkan gerakan reformasi di negara ini
yang akan turut membabitkan penyertaan parti-parti pembangkang.

''Kami akur dengan keputusan Presiden parti dan tetap bersama UMNO kerana sayangkan parti,'' katanya kepada
pemberita selepas mengadakan mesyuarat di UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut mengambil keputusan untuk mengekalkan semua ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Permatang
Pauh termasuk mereka yang dilantik oleh Anwar.

Menurut Ahmad, pihaknya juga akan mengadakan kempen mendapatkan tandatangan kira-kira 13,000 ahli bahagian itu
dalam usaha merayu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya memaafkan dan
mengampunkan Anwar dan mengembalikan jawatannya dalam parti dan kerajaan.

''Selepas mendapat tandatangan itu, kami akan menemui Anwar dan Presiden parti untuk mengemukakan surat rayuan
supaya bekas Timbalan Presiden UMNO diampunkan dan dikembalikan ke jawatannya,'' ujarnya.

Beliau seterusnya merayu ahli UMNO bahagian tersebut supaya bertenang dan tidak bertindak sesuatu yang melanggar
perlembagaan parti.
 



 
Anwar batalkan 'jelajah bela diri'

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menangguhkan
hasratnya untuk menjelajah ke seluruh negara bagi membela dirinya berhubung dengan pemecatannya dan juga untuk
memulakan satu gerakan reformasi.

Beliau pada mulanya merancang untuk balik ke negerinya Pulau Pinang tetapi berkata hari ini beliau membatalkannya
kerana ''Saya ada urusan yang belum selesai''.

Anwar, yang telah berkata yang beliau sudah tentu akan ditangkap, berkata demikian kepada pemberita di kediamannya
di Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara sebelum waktu makan tengah hari.

Katanya, setakat ini beliau belum diminta oleh polis untuk pergi ke mana-mana balai polis untuk memberi kenyataannya.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Anwar berkata,
beliau tidak bercadang berbuat demikian buat masa ini tetapi menambah ''Saya masih suka kepada Perdana Menteri
secara peribadi.''

Anwar dipecat daripada kabinet Rabu lalu dan pada hari berikutnya beliau dipecat daripada UMNO, yang beliau menjadi
Timbalan Presiden.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, kira-kira 500 orang mengunjungi rumah Anwar di Cherok Tok Kun di sini setelah
tersebar berita kononnya beliau akan pulang petang ini.

Orang ramai dipercayai para penyokong Anwar menunggu di rumahnya selepas tersebar maklumat melalui poster yang
menyebut bahawa beliau akan mengadakan ceramah pada pukul 5 petang ini.
 



 
YANG TERSIRAT YANG TERSURAT

TRAGEDI 2 SEPTEMBER
HARI Rabu, 2 September 1998, tentunya suatu hari yang paling menyedihkan dalam hidup Dr. Mahathir Mohamad. Ia
juga boleh dilihat sebagai suatu tragedi.

Pada hari itu, beliau terpaksa mengambil keputusan sukar melucutkan jawatan anak didiknya, Anwar Ibrahim, pemuda
harapan bangsa, pemuda harapannya.

Semua orang tersentak dan tidak dapat mempercayai apa yang berlaku. Tentulah Dr. Mahathir sudah memikirkan
perkara ini habis-habis. Tentulah beliau, selaku Menteri Dalam Negeri, mempunyai cukup maklumat. Kalau tidak,
masakan beliau mengambil tindakan begitu drastik ke atas seorang yang diasuhnya dengan penuh kasih sayang selama 16
tahun.

Anwar telah beberapa kali diberi peluang untuk mengundur diri. Ini juga tentunya satu tawaran yang sukar lagi
menyakitkan bagi Anwar. Tetapi memaksa Perdana Menteri mengambil keputusan memecatnya adalah lebih
menyakitkan, bukan sahaja bagi Anwar, tetapi juga bagi Perdana Menteri sendiri.

Hari Isnin, 29 Mac 1982, pula merupakan hari yang memulakan segala-galanya bagi Anwar apabila beliau dibawa masuk
ke dalam UMNO oleh Dr. Mahathir. Anwar diberikan segala-gala yang diperlukan untuk menapak menjadi seorang
pemimpin besar negara, melangkau ramai pemimpin lain yang lebih kanan.

Dr. Mahathir bersusah payah membina Anwar menjadi pemimpin yang disegani di dalam dan di luar negara. Berulang kali
beliau menamakan Anwar sebagai penggantinya, satu perkara yang tidak pernah beliau lakukan kepada sesiapa pun. Dr.
Mahathir mengambil banyak risiko politik yang membahayakan dirinya sendiri dalam kesungguhan beliau menaikkan
Anwar menjadi orang yang akan menggantikannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Malah, beliau dilihat sebagai mengambil pihak apabila Anwar ditentang dalam perebutan jawatan politik. Ada penganalisis
politik yang berpendapat, Dr. Mahathir membiarkan Musa Hitam (timbalannya) pergi kerana ini akan mempercepatkan
peningkatan Anwar. Begitu juga dengan Ghafar Baba.

Penutup kata, Dr. Mahathir telah melakukan lebih daripada yang sepatutnya demi Anwar Ibrahim, orang yang dilihatnya
sebagai pemuda harapan bangsa sehingga hari Rabu, 2 September Ñ suatu hari gelap bagi UMNO, negara dan bangsa
Malaysia. Suatu hari di mana berlaku tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.

KE MANA ANWAR HENDAK TUJU
APA sebenarnya salah laku Anwar Ibrahim kini menjadi topik percakapan orang ramai. Setelah pemecatan dramatiknya
daripada kerajaan dan parti, rakyat ternanti-nanti untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Anwar sendiri berkata beliau akan ditangkap dan didakwa. Di sinilah nanti akan diketahui apa sebenarnya salah laku itu.
Bahawa Anwar masih belum ditangkap dan didakwa turut menimbulkan pelbagai tandatanya dan menghangatkan lagi
percakapan.

Sekiranya didakwa di mahkamah dan didapati bersalah, karier politik Anwar boleh dikira habis.

Meneruskan perjuangan di luar UMNO bukanlah suatu yang mudah. Lihatlah apa yang berlaku kepada Tengku Razaleigh
Hamzah dengan Semangat 46-nya.

Setelah 10 tahun, parti itu terkubur, pemimpinnya bertabur. Ada yang kembali ke pangkuan UMNO, tapi tidak mendapat
tempat.

Bagaimanapun, Anwar agak istimewa dalam hal ini. Beliau datang dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan masih
belum lekang dengan pertubuhan yang diasaskannya itu. Imej ABIMnya masih kuat. Ia terpancar kembali sekarang.

Dan beliau juga rapat dengan Pas dari awal lagi. Malah, apabila Dr. Mahathir membawa Anwar ke dalam UMNO, ia
dilihat sebagai suatu kemenangan politik kepada UMNO kerana Pas juga berusaha keras untuk memenangi hati Anwar.

Anwar dikatakan memilih UMNO dengan harapan untuk mengubah parti itu dari dalam supaya sejajar dengan
idealismenya. Bagaimanapun selepas 16 tahun ternyata Anwar sebenarnya yang berubah. Dan lama-kelamaan, Anwar
menjadi lebih UMNO daripada UMNO.

Tapi semua ini sedang berubah dengan pantas sebaik-baik sahaja beliau kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri
dan Menteri Kewangan. Apabila Anwar dipecat, pemimpin-pemimpin atasan Pas memberi reaksi yang penuh simpati.
Presidennya, Fadzil Noor yang juga seorang pendukung ABIM berada di sisi Anwar di rumahnya. Pas dukacita dengan
apa yang berlaku kepada Anwar yang gagal dipikatnya 16 tahun dahulu.

Kini, orang-orang ABIM dan pelajar universiti muncul mengelilinginya. Dalam sekelip mata, Anwar kelihatan semula
seperti Anwar Ibrahim yang menunjuk perasaan di kampus universiti. Ke arah mana Anwar hendak tuju?

SIAPA PENGGANTI ANWAR
MENGAMBIL kira berbagai-bagai perkembangan yang sedang berlaku dan kemungkinan pilihan raya diadakan lebih
awal, UMNO kini perlu menumpukan segala tenaga dan perhatian kepada usaha memperkukuhkan parti.

Menganggap semuanya sudah beres ekoran pemecatan Anwar adalah anggapan yang bahaya. Keretakan pasti berlaku
tetapi boleh diikatkan semula dengan tindakan yang cepat.

Soal siapa yang akan menggantikan Anwar juga tidak timbul pada masa ini memandangkan Perdana Menteri telah pun
menegaskan bahawa beliau akan menunggu pemilihan parti tahun depan.

Apa pun, jawatan Timbalan Perdana Menteri kini dilihat sebagai kerusi panas yang boleh meletup. Sudah tiga tokoh yang
menduduki kerusi itu terkorban Ñ Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim. Ia juga tidak lagi memberi jaminan
bahawa pemegang kerusi itu akan menjadi Perdana Menteri.

Walaupun tempat Anwar tidak akan diisi, pertanyaan tetap bermain di kepala orang-orang politik apakah ada seorang
tokoh yang benar-benar bersedia dan disediakan bagi mengisi jawatan itu dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri.

Sesungguhnya negara dengan tiba-tiba sudah tidak ada bakal pengganti yang jelas. Jarak dan jurang antara Anwar dengan
tokoh-tokoh lain dalam UMNO adalah besar. Anwar menjadi besar kerana Dr. Mahathir.

Malaysia sebenarnya telah kehilangan beberapa tokoh politik yang berpotensi menjadi Perdana Menteri selepas Dr.
Mahathir.

Malangnya, ada yang gopoh, ada yang tersalah langkah, ada yang memang tidak ada rezeki. Musa Hitam dan Tengku
Razaleigh adalah dua daripada mereka. Anwar hanya tinggal satu langkah sahaja lagi, tapi beliau tersungkur.

Kini terdapat dua tokoh yang berada di kepala senarai Ñ Najib Tun Razak dan Abdullah Ahmad Badawi.

Mereka merupakan pilihan semula jadi berdasarkan kedudukan masing-masing sebagai Naib Presiden UMNO.

Pun begitu, senario yang ditinggalkan Anwar adalah luar biasa. Calon lain mungkin muncul. Tidak memeranjatkan jika ini
yang berlaku. Lagipun amalan dan tradisi UMNO pernah diubah bagi memenuhi kepentingan lebih besar. - KHALID
MOHD


BALIK