MADZANI MENULIS (11)

 

Assalamualaikum wr.wb.

"Saya perhatikan ketika dia turun ke Masjid Damansara, saya bayangkan orang akan tolak dia atau orang tidak akan bersalam dan orang tidak akan berdamping dengan dia. Apa perlu mendampingi pemimpin yang sejelik, yang sejijik, yang seburuk itu akhlaknya? Hakikatnya dia berada dalam masjid Tumah Allah itu, bila Imam bagi Salam dan Baca Doa, Jemaah tidak bangun, jemaah serbu, peluk dan menangis serta minta anwar berucap lima minit. Macam mana awak nak terangkan keadaan ini, orang masjid tidak tolak dia. Kalau mereka percaya, mereka inilah orang pertama yang akan nyahkan dia. Tetapi kita tidak lihat keadaan ini berlaku. Saya tengok sendiri keadaan itu. Ulama-ulama seluruh dunia menghubungi dia. Saya dari hari pertama saya mengaku saya berada dengan dia, tidur di rumah dia, solat subuh bersama dia, tazkiraah subuh bersama dia, solat maghrib bersama dia, tazkirah maghrib bersama dia."

Di atas adalah sebahagian antara kata-kata Saifuddin Nasution dalam Massa 26 September 1998. Sesuatu penjelasan dari hati budi yang telah dididik untuk berkata benar dalam apa jua keadaan tanpa mengira akibat yang akan ditanggung kelak olehnya. Bukan senang seorang yang telah berpengaruh dan tidak mempunyai kaitan dengan kes ini membicarakan tentang hati nuraninya secara jelas dan berani seperti Saifuddin. Kali pertama saya membaca artikle ini, hati saya berasa pilu, merintih bagaikan hendak meledakkan perasaan terharu, dan hampir menitiskan air mata. Bukanlah untuk menyokong Anwar tetapi melihat hakikat ini siapa saja yang pernah mengalami keadaan Saifuddin pasti akan tersentuh hatinya. Ketika ia memperkatakan tentang kemiskinan, kepayahan, kesusahan dan keberaniannya untuk mempertahankan idealismenya tanpa mengira lagi kedudukannya dan akibat yang bakal ditanggungnya. Tidak ramai yang berani untuk berkata begini apatah lagi dalam keadaan yang sedang gawat ini dengan rusuhan dan penangkapan ISA (Internal Security Act 1960) Seksyen 73 (1) yang dianggap telah menghapuskan kebebasan dalam negara yang demokrasi ini.

Saya percaya apa yang diperkatakan oleh Saifuddin ini adalah benar dan datang dari hati, jiwanya dan rohnya yang menyatakan kebenaran dalam hal ini. Mana manusia yang sanggup untuk membohongi Allah dalam hal seperti ini. Bersolat, tazkirah dan beramal ibadat sentiasa. Saya pernah mendengar Saifuddin berucap sempena Kongres Belia Kebangsaan di Pusat Islam pada tahun 1998. Namun, apa yang saya perkatakan disini ialah Saifuddin, Zahid adalah golongan manusia yang telah dididik dengan kepayahan, kesusahan sebagai anak pemadu bas, anak ustaz berbanding mereka yang kelihatan hipokrit yang datangnya dari anak PM, anak bekas PM, anak orang kaya, anak orang berada, anak wakil rakyat dan sebagainya yang sedang duduk senang lenang sentiasa.

Siapa yang tidak tersentuh hati apabila ia memperkatakan tentang masyarakat yang kekurangan bersamaan dengannya, memperkatakan tentang masyarakat yang diambil haknya. Kita cubaa imbas kembali peristiwa Baling, kita imbas kembali peristiwa Keranda 152, Peristiwa Cat Merah-Putih, Peristiwa 13 Mei. Masyarakat telah menyatakan haknya yang dinafikan. Dan baru-baru ini (ketika isu Anwar hangat diperkatakan) kejadian petani mati kerana berebut baja yang Saifuddin katakan hanya 30 % saja sampai kepada petani. Inilah hak yang cuba hendak dipertahankan tapi dinafikan oleh makhluk yang bernama ISA.

"MASSA sempat menemubual beliau untuk mendalami hati dan perasaannya menegapa beliau sanggup mengetepikan kepentingan parti semata-mata berjuang ke arah suatu yang belum tentu kepastiannya lagi."

Hati nurani yang bersih dan ikhlas ketika menungkapkan kata-kata menjawab temu bual ini boleh menyentap jiwa pembaca. bukan sebagai seorang Setiausaha Agung Pemuda UMNO tetapi ia mewakilkan dirinya untuk melihat inspirasi masyarakat dan mereka yang mahukan kebenaran dan mahukan keadilan. Kata-kata yang halus dan penuh makna ini seharusnya diteladani oleh masyarakat Malaysia sekiranya mahu melihat kebenaran yang benar-benar bukan satu kepura-puraan. Saya cuba mendalami apa sebenarnya yaang diperjuangkan oleh Saifuddin ini sehingga mengetepikan kepentingan parti. Dan mungkin saya melihat dari aspek perjuangannya. Rupanya ia adalah dari haati masyarakat.

Sesiapa yang membaca artikle ini dan tidak tersentuh hatinya mereka inilah orang yang berhati batu dan tidak laagi boleh mendengar kebenaran dari orang lain. Mereka inilah orang yang hipokrit yang sebenar, mereka inilah yang dalam kepura-puraan dan mereka inilah yang mahu menutup kebenaran dari berlaku, lebih teruk lagi hati inilah yang diresapi "the satanic life style".

kepada ahli-ahli PKPMS saya amat berharap anda akan dapat membaca artikle ini. Bukanlah mengambil secara bulat-bulat dari apa yang ada tetapi renungilah ia dan tafsirkanlah ia. Bukan pula nak mempromosikan majalah Media yang dikatakan telah terpesong jauh ini tetapi dalam media serupa ini ada juga yang terlepas. Kita fikirkan bersama, kita hayati bersama, kita berdoa agar saudara-saudara kita yang berISA dirahmati Allah dan dilindungi serta dibebaskan, Kita berdoa semoga keadilan akan dapat ditegakkan, kita berdoa semoga semua masyarakat Malaysia akan terhindar dari sebarang bala yang telah dijanjikan Allah ketika berleluasanya fitnah dan kemungkaran, kita berdoa semoga mereka yang tidak bersalah selamat dan kita berdoa untuk umat Islam, Negara kita, keluarga kita dan diri kita selamat.

Takutlah anda kepada Allah dan bukan manusia, takutlah anda dengan undang-undang Allah dan bukan undang-undang dunia, risaulah anda dengan kesenangan dan bukan dengan kebenaran. Janganlah bersikap berburuk sangka, janganlah meneguk di air keruh, janganlah menafikan kebenaran dan keadilan, sesungguhnya Allah itu Maha mengetahui lagi Maha bijaksana dan dialah sebaik-baik Hakim yang mengadili manusia dunia dan Akhirat, tiada satupun yang membebani dia antara keduanya. Amin.

Sekian. Wassalam.

MADZANI @ SAIDIE NUSA
PKPMS
Sabah.