MADZANI MENULIS (2)

 

Assalamualaikum rakan-rakan dan adik-adik PKPMS semua.

Setelah sekian lama tak menulis, rasanya telah banyak isu yang tidak disentuh apatah lagi dalam keadaan negara sekarang yang agak begitu mencabar minda saya untuk terus menulis. Saya bukanlah pandai sangat nak menulis apatah lagi hal yang berkaitan dengan negara yang mempunyai dasarnya tersendiri. Namun, saya akan terus menulis kerana tiada siapa nak tulis. malah nak jawab pun tak mahu.

Baru-baru ini saya telah menghantar beberapa Artikle ke Ruangan Forum Utusan Malaysia, konon-kononnya tak puas hatilah dengan perkembangan hal Anwar nie. Ada penulis tu pandai-pandai jea menulis tentang sejarah tapi hakikat sejarahnya begitu jauh dengan yang ada. Saya sebagai pelajar sejarah wajar menjawab dan memperbetulkan beberapa hal dan adalah juga yang diistilahkan menibai. Apa boleh buat masa tu idea ada hal tu jea.... dibawah ini saya sertakan artikle yang saya berikan dan poskan pada Selasa 8 September 1998. Bacalah......


Saudara Pengarang,
Saya amat bersetuju dengan penulis Azinor dari Melaka "Anwar bukan paksi kekuatan UMNO" dalam Ruangan Forum Utusan Malaysia Isnin, 7 September 1998. Sememangnya UMNO tidak pernah berpaksikan pada seseorang individu tertentu dan UMNO daripada segi sejarah begitu mantap walaupun mengalami pelbagai halangan dan ujian yang getir dengan merujuk kepada pengharaman UMNO, Perebutan tampuk pemerintahan, dan kini pemecatan keahlian Anwar Ibrahim dalam UMNO. Ini adalah kerana, UMNO adalah hak bangsa Melayu sejak tahun-tahun 1950an lagi dan terus kukuh dalam jiwa orang-orang Melayu kerana ia adalah bersifat abstrak, kehadirannya hanya dalam hati nurani dan jiwa masyarakat Melayu sama ada secara kelompok mahupun individu yang mendokonginya. Ianya amat sukar untuk dihapuskan selain kesemua yang menjiwai UMNO dihapuskan termasuk waris-warisnya. UMNO bukan sebuah bangunan yang akan runtuh apabila salah satu tiangnya tumbang atau patah. Keabstrakan inilah yang akan terus menghidupkan UMNO selagi ia hadir dalam jiwa masyarakat yang mendokonginya.

SEJARAH DAN FITNAH

Namun, Apabila penulis merujuk kisah Raja-Raja Melayu Melaka (berkemungkinan juga merujuk Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin) Azinor seolah-olah telah mengiyakan Anwar Ibrahim telah terlibat dengan Skandal Rasuah dan Seks seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini oleh Media cetak dan elektronik, sama ada surat khabar, majalah atau buku "50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" mahupun televisyen. Untuk pengetahuan Azinor, Anwar Ibrahim belum lagi dibuktikan bersalah dan terlibat dalam hal "wang dan wanita" yang disebutkan olehnya. Sekiranya berdasarkan kisah Raja-Raja Melayu Melaka seharusnya penulis Azinor tidak melihat aspek "wang dan wanita" sahaja sebagai punca kejatuhan Empayar Melaka. Ia juga menunjukkan bagaimana unsur takut kehilangan kuasa, fitnah yang dirancang, dan kepercayaan pada penyebar khabar angin juga merupakan punca keruntuhan sesebuah negara dan pelbagai punca lagi. Sejarah Melayu juga mencatatkan bagaimana Bendahara sebagai orang kedua selepas Sultan, seorang yang bijaksana, tahu mengurus negeri dan punya karisma yang mantap seringkali menerima akibat kerana ketakutan Sultan, takut Bendahara yang setia tidak berbelah bagi akan merampas tampuk pemerintahan negeri. Semua ini adalah akibat daripada fitnah yang dirancang rapi oleh orang atasan dan orang bawahan yang tak puas hati dengan Bendahara. Fitnah yang tidak diselidiki sama ada benar atau palsu secara mendalam menyebabkan tiadanya pemimpin yang amat berwibawa dan seterusnya ia menjadi salah satu faktor kejatuhan sebuah empayar ke tangan musuh yang dahulu diagungkan. Malah mereka yang rapat dengan Bendahara juga turut dibunuh. Mereka yang rapat dengan Sultan selalunya selamat dan boleh diampunkan dengan melakukan tugasan yang diberikan malah sekerat negeri akan diberikan padanya. Manakala, mereka yang rapat dengan Bendahara akan turut menerima akibat kalau tidakpun akan cedera parah.

Adalah amat mendukacitakan apabila seorang yang mengetahui tentang sejarah tidak boleh menilai daam pelbagai aspek dan hanya melihat dari satu sudut sahaja seolah-olah sibuta yang memegang sebahagian badan gajah dan menyatakan itulah gajah. Sepatutnya sejarah turut sama ditafsirkan dengan lebih mendalam sama ad abersudut positif mahupun negatif selain pengajaran yang terdapat didalamnya. Sekiranya tidak sejarah itu akan kaku dan tidak berkembang langsung. Dalam hal ini apabila kita tak tahu tentang sesuatu janganlah terus menghukum. Selain itu, pernyataan Azinor meminta pembaca bertanya kepada orang yang terdapat dalam "kisah Raja-Raja Melayu Melaka" itu tentang sebab "wang dan wanita" sungguh melucukan. Ini adalah kerana ia mahu pembaca bertanya pada orang yang telah mati dan tak boleh lagi menjawab soalan demikian. Nak tanya macammana?.

MENGADILI SEBELUM DIADILI

Dalam hal Anwar Ibrahim pula, beliau hanya mahukan keadilan bagi pihak dirinya dan orang-orang yang teraniaya oleh pihak-pihak tertentu bukannya hendak menghancurkan UMNO. Anwar kelihatan telah diadili oleh masyarakat seperti Azinor sebelum diadili dengan "Forum" yang ada dan tepat, tak kiralah sama ada mahkamah "perlembagaan" mahupun mahkamah "Islam" (kerana Anwar beragama Islam). Biarlah Forum ini yang menentukan sama ada Anwar terlibat atau tidak.

Sebagai orang yang mengikuti perkembangan isu perlucutan Anwar Ibrahim, saya tertanya-tanya mengapa akibat mendahului sebab dan bukan sebab mendahului akibat, sekiranya juga telah dinyatakan sebab mendahului akibat hal ini seharusnya dinyatakan dengan cepat sejurus pelucutan dan pemecatan Anwar dan bukannya menunggu berhari-hari untuk menyatakan sebab tindakan tersebut diambil. Oleh kerana itu, dengan menunggu beberapa hari selepas tindakan dibuat, sebab boleh diragui kesahihan disebabkan ia boleh dicari dalam tempoh antara akibat dan sebab. Penulis Azinor juga seharusnya melihat Sejarah UMNO dan pemimpinnya yang juga terlibat dalam hal "wang dan wanita" seperti yang dinyatakan oleh Azinor. Selalunya pemimpin itu akan terlebih dahulu didakwa dimahkamah barulah diminta meletak jawatan itupun dengan nada yang diragui.


Sekian. Wassalam.

MADZANI @ SAIDIE NUSA
Kota Belud
Sabah.