PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
KAWASAN SEGAMBUT
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Tel . : 03-6269614, 03-4068517

E-mel : lannor@tm.net.my

7 Safar 1419 / 2 Jun 1998

88, Jalan 3/38B, Taman Segambut SPPK, 51200 Kuala Lumpur

KENYATAAN AKHBAR

KAJI SEMULA PROJEK PENCHALA LINK DAN KERINCHI LINK

PAS Kawasan Segambut menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) mengkaji semula cadangan projek Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Western Kuala Lumpur Traffic Dispersal Scheme - WKLTDS) yang dijangka akan menimbulkan beberapa kesan negatif terhadap penduduk sekitar yang terlibat di samping tidak mampu mencapai objektif mengurangkan kesesakan jalanraya.

Menurut maklumat, WKLTDS terdiri daripada lima pakej yang melibatkan peningkatan taraf jalanraya sediada dan pembinaan tiga lebuhraya baru iaitu Kerinchi Link, Penchala Link dan Mont Kiara-NKVE Link. Adalah dipercayai pembinaan projek ini akan melibatkan laluan sepanjang 26km dan pembinaan sebuah terowong sepanjang anggaran 700m di Kg Sungai Penchala. Projek ini akan menyaksikan pembinaan sebelas jejambat (interchanges) dan apabila siap pada tahun 2000 akan menjadi sokongan (complement) kepada laluan sediada iaitu Jalan Lingkaran Tengah Satu dan Dua (MRR I & MRR II).

WKLTDS yang akan mengorbankan sebahagian Tanah Rizab Melayu (TSM) di Kg Sungai Penchala apabila siap akan mempunyai tiga buah plaza tol baru iaitu :

1. Plaza tol di Kg Sungai Penchala

2. Plaza tol di pinggir Universiti Malaya

3. Plaza tol pungutan sehala berhampiran Kompleks Phileo Damansara/Hotel Eastin/Stesen Petrol BP di Jln Damansara

Jumlah plaza tol ini adalah tambahan kepada dua plaza tol sediada di Kg Kayu Ara (Projek North Klang Valley Expressway - NKVE) dan di Kg Bukit Lanjan (Projek Lebuhraya Damansara - Puchong : LDP). Ini bermakna apabila keseluruhan projek (WKLTDS dan LDP) siap pada tahun 2000, penduduk di sekitar Damansara, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kepong akan dikepung oleh lima buah tol. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka terpaksa membayar tol!

Adalah dianggarkan bahawa sekitar lebih empat puluh (40) buah rumah atau bangunan akan dirobohkan di Kg Sungai Penchala dan di sepanjang Jln Damansara bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembesaran lebuhraya. Begitu juga projek ini akan menelan sebahagian kawasan hijau dan dusun tradisional di kawasan terbabit.

Berdasarkan fakta ini, PAS Kawasan Segambut bimbang terhadap kesan-kesan negatif berikut jika sekiranya projek ini diteruskan tanpa kajian semula yang lebih mendalam :

1. Kebimbangan penghakisan ekstrim kawasan TSM yang sememangnya sudah mengecil di Wilayah Persekutuan (WP). Kebimbangan ini bertambah berdasarkan kepada kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai kemungkinan lebih banyak TSM di WP ‘dikorbankan’ bagi melaksanakan projek pembangunan mengikut pelan struktur baru pembangunan ibu negara menjelang tahun 2010.

PAS Kawasan Segambut bersetuju bahawa TSM mesti dimajukan bagi memberi pulangan yang lebih lumayan kepada pemiliknya. Bagaimanapun apa yang dipertikaikan ialah kaedah memajukan TSM yang dibuat oleh kerajaan BN dikhuatiri akan menghakis kuasa politik umat Islam di bandaraya di samping dasar urbanisasi sekular mereka juga akan memberi padah kepada rupabentuk dan masa depan sosio-ekonomi umat Islam. Adalah menjadi maklumat umum bahawa selama ini dasar urbanisasi BN ternyata memberi kesan buruk terhadap penguasaan hartanah umat Islam di kawasan-kawasan perbandaran di seluruh negara sekaligus menjejaskan kuasa politik umat Islam di kawasan tersebut.

Bagi mengatasi masalah ini, adalah wajar semua projek pembangunan yang melibatkan TSM dipastikan memberi pulangan dan pegangan munasabah kepada umat Islam. Pegangan mereka terhadap TSM seharusnya dijamin dan tidak diperkosa sewenang-wenangnya di atas nama pembangunan. Para pemimpin UMNO yang menerajui BN seharusnya mengambil iktibar daripada bencana yang menimpa umat Islam Palestin hasil daripada penghakisan hartanah mereka oleh kaum pelampau Yahudi antarabangsa.

Di dalam isu Penchala Link, adalah amat dikesali bahawa penduduk kampung tidak diberi peluang menyuarakan pendapat dan pandangan mereka terlebih dahulu sebelum cadangan projek tersebut di bawa ke Kabinet. Pandangan penduduk agar projek tersebut tidak mengorbankan tanah pusaka mereka sebaliknya dilencongkan ke sempadan Kg Sungai Penchala dengan kawasan pembangunan Phileo (estet getah) di utara kampung tersebut wajar dipertimbangkan. Begitu juga cadangan mereka supaya peruntukan Penchala Link lebih wajar disalurkan bagi cadangan pembesaran dan peningkatan taraf Jalan Kg Sungai Penchala dan disambungkan ke Segambut perlu dipertimbangkan dengan baik memandangkan projek tersebut lebih bermanfaat kepada mereka.

2. PAS Kawasan Segambut membantah pembinaan terlalu banyak plaza tol di kawasan perbandaran. Keadaan ini boleh diibaratkan sebagai ‘menahan lukah di pergentingan’ oleh golongan tertentu untuk ‘merompak’ kantung rakyat di atas nama pembangunan. Penswastaan projek ini dan pembinaan plaza-plaza tol ini menjadi petanda bahawa kerajaan BN semakin gersang dan ketandusan tanggungjawab sosial mereka. Penswastaan melampau projek-projek kemudahan awam ini juga menjadi petanda amalan kapitalisme melampau oleh kerajaan BN dan bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di persidangan Projek Harvard Bagi Asia dan Hubungan Antarabangsa, 1998 pada 28 Mei 1998. Beliau menyebutkan; "…fahaman kapitalis mutlak, yang kini dinamakan semula sebagai kuasa pasaran, telah mendorong pemerintah melepaskan peranan masing-masing untuk dimainkan oleh mereka yang menguasai modal. Mulai sekarang, orang yang menguasai wang, akan memerintah dunia dengan hanya satu tujuan - untuk mencari wang…"

Kewujudan terlalu banyak plaza tol di seluruh Lembah Klang tentunya akan membebankan kehidupan harian rakyat. Bukan sahaja mereka akan dibeban dengan bayaran tol, malah terpaksa bergelut dengan kesan sampingan hasil daripada penswastaan melampau yang melanda bandaraya.

3. PAS Kawasan Segambut juga bersependapat dengan hasil kajian sekumpulan pakar pengangkutan dan trafik Univerisiti Malaya (UM) bahawa laluan Kerinchi Link tidak akan mampu menyelesaikan kesesakan jalanraya di kawasan terbabit. Keadaan ini juga dipercayai akan berlaku terrhadap projek Penchala Link. PAS Kawasan Segambut percaya bahawa langkah paling berkesan mengatasi kesesakan jalanraya yang mencengkam kehidupan wargakota ialah dengan memperbaiki, meningkatkan mutu dan kelancaran (efficiency) pengangkutan awam.

Adalah lebih munasabah dan berkesan sekiranya peruntukan yang ada disalurkan bagi membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam ibu negara. Pengangkutan awam sediada ternyata tidak mencukupi malah jauh daripada memenuhi keperluan minimum berbanding pertambahan penduduk dan hambatan sosio-ekonomi masyakarat bandaraya. Di dalam hal ini, adalah amat wajar sekiranya dana rakyat seumpama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Holdings, Tabung Haji dan lain-lain berpadu sumber bagi meningkatkan pengangkutan awam ibu negara bagi memberi keselesaan kepada wargakota.

Usaha dan kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam yang telah dilakukan oleh kerajaan BN ternyata tidak mencukupi malah kelihatan hanya melepaskan batuk di tangga.

4. WKLTDS juga dipercayai akan menambahkan pencemaran alam samada pada waktu pembinaannya apatah lagi pasca pembinaannya. Keghairahan dan pertambahan trafik yang drastik memasuki bandaraya akan berlaku dan pencemaran alam akan memuncak menyesakkan lagi kehidupan penduduk di kawasan terlibat. Ini amat menyedihkan di saat rakyat menyaksikan kerajaan BN pada waktu ini gagal menguatkuasakan undang-undang mengawal dan mencegah pencemaran alam sehingga mengakibatkan krisis air, jerebu dan sebagainya.

Berdasarkan hujah-hujah tersebut, maka PAS Kawasan Segambut mendesak kerajaan BN :

Membatalkan pelaksanaan projek Kerinchi Link dan Penchala Link kerana projek berkenaan tidak akan mendatangkan banyak manfaat kepada penduduk sekitar terbabit terutamanya di Kg Sungai Penchala dan Universiti Malaya. Sebaliknya, adalah memadai dipertingkatkan mutu dan kemudahan rangkaian jalan dan lebuhraya sediada.

Membatalkan rancangan membina plaza-plaza tol di bawah projek WKLTDS bagi mengurangkan bebanan rakyat terutama berhadapan kegetiran ekonomi negara dan serantau yang dijangka mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.

Mengambil langkah segera dan komprehensif meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bandaraya sebagai alternatif mengatasi kesesakan jalanraya dan pencemaran alam.

Mengkaji semula pelan pembangunan yang melibatkan TSM dengan mengambil pendekatan lebih cermat dan berhemat bagi memastikan pembangunan TSM tidak menjejaskan pemilikan hartanah, kuasa politik dan keutuhan sosio-ekonomi umat Islam.

Sekian.

 

Al faqir ilaLlah,

ROSLAN BIN ZAINAL

Yang Di Pertua PAS Kawasan Segambut

merangkap Setiausaha

Jawatankuasa Bertindak Isu Kerinchi Link/Penchala Link

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan