CERITA ANAKKU
| Si Jalak dan Permata Zamrud | |||
| Harimau dan Babi Hutan | |||
| Ke Laman Anakku |
Cerita yang dipaparkan di halaman ini merupakan cerita yang mempunyai moral yang tinggi. Anak-anak boleh membaca cerita serta menjawab soalan yang dikemukakan di akhir cerita-cerita tersebut. Jikalau anak-anak mempunyai cerita yang menarik, sila hantar kepada :
Laman Anakku.( Sertakan Nama, Tarikh Lahir, Alamat dan E-Mail anda )
![]()
![]() |
SI JALAK DAN PERMATA ZAMRUD | Ke Tajuk Pilihan |
PADA suatu masa dahulu ada sekumpulan ayam yang tinggal di dalam sebuah
reban. Di dalam reban ini ada lima ekor ayam betina dan seekor ayam jantan.
Ayam jantan ini diberi nama Si Jalak.
Si Jalak ialah seekor ayam jantan yang segak. Bulunya berwarna coklat serta berjalur hitam dan bertompok-tompok putih. Ekornya hitam berkilat. Balungnya merah menyala.
Si Jalak mempunyai ramai kawan. Selain dari ibu-ibu ayam yang tinggal sereban dengannya, dia juga berkawan dengan kambing, lembu, angsa dan itik. Jika dia berjumpa dengan mereka, ada sahaja yang hendak dibualkannya.
Si Jalak juga menjadi kesayangan tuannya. Setiap subuh, Si Jalak akan mengokok dengan suara yang nyaring dan merdu. Apabila Si Jalak mengokok di waktu subuh, "Uk... uk... uk... uuuuuk....," tuannya akan terjaga. Tuannya pula akan membangunkan seluruh keluarganya untuk menunaikan fardhu subuh.
Pada suatu hari, Si Jalak sedang memakan dedak yang ditabur oleh isteri
tuannya di belakang rumah. Anak tuannya yang baru belajar berjalan sedang
bermain di halaman. Budak itu berlari mengejar rama-rama yang terbang dekat
serumpun pokok bunga mawar.
Si Jalak hanya memerhatikan sahaja budak itu.
Tiba-tiba
Si Jalak ternampak seekor ular kapak sedang melingkar di ranting pokok
bunga mawar itu. Si Jalak meluru ke arah pokok bunga mawar dan mematuk
ular tersebut. Ular itu jatuh ke tanah. Si Jalak terus mematuknya hingga
mati. Budak kecil itu terkejut dan terjatuh lalu menangis.
Ibu budak itu turun dari rumah dan berlari mendapatkan anaknya. Didukung anaknya dan dipeluknya. Apabila dia ternampak ular itu, dia terus berlari naik ke rumah dan memberitahu suaminya.
Suaminya turun membawa sebatang buluh. Dia menuju ke arah pokok bunga mawar, tetapi apabila dikuis ular itu, didapatinya ular itu telah mati. Seluruh tubuh ular itu terdapat kesan dipatuk. Dia ternampak Si Jalak berada berhampiran. Tahulah dia bahawa Si Jalak telah menyelamatkan anaknya.
Dia naik semula dan memberitahu isterinya supaya berhati-hati apabila anak mereka bermain di halaman. Katanya, "Mujur juga ada Si Jalak di situ. Si Jalaklah yang membunuh ular itu. Jika tidak, tentulah anak kita dipatuk oleh ular kapak itu."
Pada petang itu, Si Jalak pun pergilah mencari kambing. Kambing sedang meragut rumput di tepi batas. Si Jalak menegur kambing, "Hai kambing. Pagi tadi aku telah membunuh seekor ular kapak di celah pokok bunga mawar. Mujur juga aku nampak, jika tidak sudah tentu dipatuknya anak tuan kita."
"Baguslah begitu Jalak. Tentu tuan kita sayangkan kau. Jika tuan
kita sayangkan kita, hidup kita pun senang," jawab kambing. Mereka
terus berbual-bual hingga hari senja. Si Jalak dan kambing pun berjalan
pulang. Di pertengahan jalan, mereka berjumpa lembu 
yang baru pulang dari bekerja menarik kereta lembu.
Si Jalak melompat naik ke atas belakang lembu. Mereka bertiga terus berjalan pulang. Sampai sahaja mereka ke rumah tuan mereka, Si Jalak pun terus masuk ke rebannya. Kambing dan lembu pula masuk ke kandang masing-masing.
Subuh esoknya, Si Jalak bangun dan berkokok, "Uk.... uk.... uk.... uuuk." Ibu-ibu ayam pun bangun. Mereka turun dari reban bersama anak-anak mereka untuk mencari makan. Si Jalak juga keluar. Kali ini Jalak ingin mencari makan di tempat orang menumbuk padi untuk dibuat beras. Selalunya ada beras yang tumpah dari lesung.
Oleh kerana hari masih awal, belum ada orang di tempat menumbuk padi itu. Si Jalak pun makanlah sekenyang-kenyangnya. Tiba-tiba di terlihat kerlipan hijau dari celah semak. Dia pergi menghampiri cahaya hijau tadi.
Di celah semak itu di lihatnya sebutir batu hijau yang sungguh cantik. Walau pun batu itu kecil sahaja, namun kerlipannya amat menawan hati. Si Jalak menghampiri batu itu dan membeleknya dengan paruhnya. Nampaknya batu ini bukan sebarang batu. Ini mesti batu permata, fikir Si Jalak.
Si Jalak terus mematuk batu itu dan disimpannya di dalam mulutnya. Dia terus pulang. Di pertengahan jalan, Si Jalak bertembung dengan angsa. Angsa menegurnya, "Hai Jalak. Semasa aku berjalan di bawah rumah tuan kita tadi, aku dengar tuan memuji-muji keberanian kau membunuh ular kapak yang bisa kelmarin."
Si Jalak hanya menganggukkan kepalanya. Dia tidak mahu membuka mulutnya kerana takut batu permata tadi jatuh ke tanah. Angsa menjadi hairan kerana Si Jalak langsung tidak menegurnya. Amboi, baru dipuji sedikit, sudah mula sombong, fikir angsa. Angsa berasa kecil hati atas perbuatan Si Jalak itu.
Apabila sampai di reban, Si Jalak melihat ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka sedang berlegar di keliling reban. Si Jalak terus masuk ke dalam reban. Ada beberapa anak ayam cuba mengikutnya masuk ke reban, dikuisnya mereka dengan kakinya. Lari bertempiaranlah anak-anak ayam itu.
"Klak. Klak. Mengapa pula Si Jalak memarahi anak-anak kita ni? Bukannya mereka mengacaunya. Tetapi mengapa pula tidak dibenarkan mereka masuk ke reban?" rungut seekor ibu ayam.
Si Jalak masuk ke reban dan cuba mencari tempat untuk menyembunyikan batu permata itu. Mula-mula diselitkannya di celah dinding buluh reban itu. Kemudian diubahkannya ke bawah sekeping lantai yang longgar. Si Jalak terus duduk di atas kepingan lantai itu. Dia tidak keluar dari reban itu sepanjang hari.
Apabila hari sudah senja, ibu-ibu ayam pun membawa anak-anak mereka masuk ke dalam reban. Mereka hairan melihat Si Jalak duduk di atas lantai reban itu seolah-olah sedang mengeramkan telur. Ibu-ibu ayam tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan telatah Si Jalak.
Pada malam itu, Si Jalak tidak dapat lena. Dia takut batu permatanya dicuri. Jadi berjagalah dia sepanjang malam. Apabila sudah subuh, Si Jalak pun berkokok, "Uk... uk..." Si Jalak terlalu mengantuk hinggakan suaranya pun tidak keluar untuk berkokok.
Oleh kerana suaranya terlalu perlahan, tuannya tidak terjaga awal. Apabila tuannya terjaga, dilihatnya matahari sudah tinggi. Bergegaslah tuannya membangunkan keluarganya untuk bersembahyang subuh. Pagi itu mereka bersembahyang subuh gajah. Tuannya merungut kerana Si Jalak tidak berkokok dengan kuat seperti biasa.
Ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka pun keluar reban. Setelah mereka keluar barulah Si Jalak melelapkan matanya. Dia tidak keluar dari rebannya untuk mencari makan. Dia hanya tidur di dalam rebannya sehari suntuk. Apabila sudah petang, perutnya berasa lapar, tetapi dia tidak mahu keluar kerana takut meninggalkan batu permatanya.
Pada subuh esoknya, Si Jalak terjaga apabila hari sudah siang. Rebannya pun telah kosong kerana semua ibu dan anak ayam sudah lama keluar untuk mencari makan. Si Jalak terdengar tuannya marah-marah kerana Si Jalak tidak berkokok subuh itu.
Si Jalak berasa sangat lapar kerana sudah dua hari tidak makan. Oleh kerana terlalu lapar dan haus, Si Jalak terpaksa keluar. Sebelum dia keluar, dia telah mengubah tempat persembunyian batu permatanya. Kali ini dimasukkannya batu permata itu ke dalam sebuah lubang kecil di tepi dinding.
Si Jalak pun keluar reban. Dia berlari ke belakang rumah tuannya dengan harapan ada makanan. Rupanya semua makanan yang disediakan oleh isteri tuannya telah dimakan oleh ibu-ibu ayam, anak-anak ayam, itik dan angsa.
Si Jalak menjadi marah kerana sudah tiada apa yang ada untuk dimakan. Dia tidak pergi ke tempat orang menumbuk padi kerana tidak mahu berjauhan dari batu permatanya.
Itik datang menghampirinya lalu berkata, "Hai Jalak. Sudah dua hari kamu tidak keluar reban. Adakah kamu sakit?"
"Kalau aku sakit pun, bukan menyusahkan kamu!" jawab Si Jalak dengan sombong. Itik sungguh terkejut mendengar jawapan Si Jalak hinggakan tidak dapat berkata apa-apa. Itik terus berundur dari situ dan pergi mendapatkan angsa.
"Betul juga kata kamu, angsa. Si Jalak sudah menjadi bongkak," lalu itik menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi. Angsa hanya menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi. Ini adalah kerana mereka berkawan rapat dengan Si Jalak sejak kecil lagi.
Si Jalak pula pergilah ke kawasan limbah di belakang dapur untuk mencari makanan. Dia tahu bahawa makanan di situ tidak bersih, tetapi kerana terlalu lapar, dimakannya juga apa yang ada di limbah itu. Biarlah tak kenyang, tetapi aku sekarang ada batu permata, fikir Si Jalak.
Lepas makan, Si Jalak terus masuk ke rebannya. Dia terus memeriksa lubang tempat dia menyembunyikan batu permata itu. Dilihatnya batu permata itu masih ada di dalam lubang. Dia kemudian menyumbatkan jerami padi ke dalam lubang supaya batu permata itu tidak dapat di lihat langsung.
Beberapa hari berlalu. Perangai Si Jalak berubah terlalu mendadak. Ibu-ibu ayam berbincang sesama sendiri. Itik dan angsa pula pergi berjumpa kambing dan lembu menceritakan telatah Si Jalak.
Lembu kemudiannya menceritakan perbualan tuan mereka dengan seorang petani ketika dia menarik kereta lembu pagi. Tuannya berhajat hendak membela ayam jantan yang lain kerana Si Jalak sudah tidak boleh berkokok pada waktu subuh lagi.
Itik dan angsa pulang dan berjumpa ibu-ibu ayam. Mereka menceritakan apa yang mereka dengar dari lembu. Ibu-ibu ayam menjadi susah hati kerana mereka telah mengenali Si Jalak dari mereka kecil lagi. Kalau ayam jantan lain datang, mereka tentu terpaksa menyesuaikan diri dengan ayam jantan yang baru pula.
Ibu-ibu ayam bermesyuarat mengenai pengembangan terbaru ini. Mereka bersetuju untuk berhadapan dengan Si Jalak untuk mencari penyelesaian masalahnya. Kelima ibu ayam itu pun masuk ke reban.
Di dalam reban itu mereka jumpa Si Jalak yang sedang duduk bersandar ke dinding. Ibu ayam yang tertua berkata, "Hai Jalak. Kami ingin bertanyakan sesuatu dari kamu. Kami harap kamu bersedia menyatakan masalah kamu."
"Yang kamu semua sibuk ni, mengapa?" kata Si Jalak dengan angkuh.
"Kami sibuk kerana kami dapat tahu bahawa tuan kita hendak menggantikan kamu dengan ayam jantan yang lain. Jika itu betul, kami rasa kamu akan disembelih untuk dibuat lauk kerana sekarang ini kamu tidak berguna lagi," kata ibu ayam.
Rasa nak pitam Si Jalak mendengar kata-kata ibu ayam itu. Memang benar sudah hampir seminggu dia tidak berkokok kerana badannya lemah dan selalu tak cukup tidur. Kata ibu ayam lagi, "Sekarang ini kawan-kawan baik kamu semuanya mengatakan bahawa kamu ini sombong. Tetapi mereka semua masih sayangkan kamu. Itulah mereka selalu bertanya khabar. Cuma kamu sahaja tidak menghargai persahabatan mereka."
Si Jalak berasa sangat sedih. Sejak dia berjumpa batu permata ini, hidupnya menjadi susah. Setiap hari dia tidak cukup makan. Kawan-kawannya pula terpaksa menjauhkan diri kerana dia tidak mempedulikan mereka. Tuannya yang dahulu menyayanginya, kini hendak menggantikan dia dengan ayam jantan yang lain. Ibu-ibu dan anak-anak ayam juga sering berkecil hati kerana dia selalu memarahi mereka jika mereka menghampiri tempat dia menyembunyikan batu permatanya.
Setelah berfikir dengan mendalam mengenai masalahnya, Si Jalak pun berterus terang dengan ibu-ibu ayam. Mereka pun meminta ditunjukkan batu permata itu. "Klak. Klak. Klak. Cantiknya batu permata hijau ini. Patutlah kamu amat menyayanginya," kata mereka. Tetapi Si Jalak telah pun membuat keputusan dia tidak mahukan batu permata ini lagi, walau bagaimana cantik pun.
Si Jalak mengutip batu permata itu dengan paruhnya dan dibawanya keluar dari reban. Dia berjalan ke arah rumah tuannya. Dilihatnya isteri dan anak tuannya sedang duduk dibawah pokok jambu air di tepi rumah. Dia pergi kepada isteri tuannya dan diluahkannya batu permata hijau itu. Batu permata itu pun jatuh ke tanah di tepi kaki isteri tuannya itu.
Melihatkan batu berwarna hijau diluahkan oleh Si Jalak, isteri tuannya itu pun tunduk dan mengambil batu itu. "Aduh. Bertuah betul kamu ini Jalak! Batu zamrud yang terjatuh dari cincin perkahwinanku dulu telah dijumpai. Sudah hampir seminggu aku mencarinya, baru sekarang berjumpa," kata isteri tuannya sambil memanggil suaminya turun.
Suaminya pun turun dan ditunjukkan batu zamrud yang dijumpai oleh Si Jalak. Tuan Si Jalak sungguh gembira kerana sudah seminggu isterinya bersugul kerana kehilangan batu zamrud itu. Si Jalak berlalu dari situ dengan senang hati. Dia pergi mencari kawan-kawannya itik, angsa, kambing dan lembu untuk meminta maaf kepada mereka atas sikapnya akhir-akhir ini.
Sejak hari itu, Si Jalak berkokok setiap waktu subuh dengan suara yang
lebih nyaring dan merdu. Tuannya juga tidak lagi bangun lewat dan sentiasa
dapat mengerjakan sembahyang subuh tepat pada waktunya. Si Jalak terus
disayangi oleh tuannya seisi keluarga. Kawan-kawan Si Jalak juga gembira
kerana Si Jalak kembali menjadi riang dan peramah.
| Ke Tajuk Pilihan |
![]() |
Kisah Harimau dan Babi Hutan | Ke Tajuk Pilihan |
Pada zaman dahulu, ada sebuah hutan yang didiami oleh pelbagai jenis binatang liar. Ada binatang yang tinggal di atas pokok, yang melata di tanah dan juga yang tinggal di dalam sungai dan tasik. Semua binatang-binatang ini hidup dengan aman makmur serta mendapat makanan secukupnya.
Hutan ini juga ditumbuhi oleh bermacam jenis pohon kayu dan tanaman lain. Seluruh hutan kelihatan hijau dengan bunga berwarna-warni menghiasi pokok-pokok. Sungguh cantik pemandangan di hutan ini.
Tidak berapa lama kemudian, datanglah musim kemarau. Pokok-pokok menjadi kering dan kekuningan. Burung-burung terbang meninggalkan hutan itu untuk mencari tempat lain yang ada makanan. Begitu juga dengan beberapa jenis binatang lain.
Di hutan itu juga tinggal seekor harimau. Oleh kerana banyak binatang telah meninggalkan hutan itu, harimau tidak dapat mencari makanan. Harimau berasa lapar kerana sudah dua hari tidak makan.
Harimau merayau-rayau dengan tujuan mencari makanan. Setelah berjalan jauh, harimau pun sampailah di pinggir hutan. Harimau terhidu bau seekor binatang lain. Dengan berhati-hati, harimau pun berjalan sambil terhendap-hendap ke arah bau itu.
Dari celah daun-daun, harimau ternampak seekor kerbau yang sedang meragut rumput kering. Terbeliak mata harimau melihat kerbau di hadapan matanya. Alangkah gembiranya harimau kerana telah bertemu dengan binatang yang boleh dimakan.
Harimau pun bersedia untuk menerkam kerbau. Mendengar bunyi di belakangnya, kerbau menoleh lalu ternampak harimau. Melihat muka harimau, dia tahu bahawa harimau sedang lapar dan hendak memakannya. Kerbau sedar bahawa dia tidak akan sempat lari kerana dia juga kelaparan dan tidak bertenaga.
Kerbau terus terduduk lalu merayu, "hai Sang Harimau, Raja segala binatang. Tidak layak seekor kerbau yang kurus kering seperti aku ini menjadi santapan Raja yang terbilang seperti tuanku. Cubalah tuanku tengok, kakiku hanya tulang dan badanku hanya kulit."
Mendengar kata-kata kerbau, harimau pun berfikir, ya juga kata Si Kerbau ini. Jika aku makannya sekarang,yang aku dapat makan hanya tulang dan kulit. Lagi pun seekor Raja Binatang seperti aku ini kenalah jaga mertabat dan makan yang elok-elok sahaja.
Lalu harimau pun berkata, "Apa cadangan engkau agar aku dapat makanan yang baik-baik".
Mendengar kata harimau itu, kerbau pun menjadi lega kerana ada harapan baginya untuk terus hidup.
Kerbau pun berkata, "Tidak lama lagi hujan akan turun dan kita akan dapat makanan yang banyak dan berkhasiat. Tuanku datanglah lapan bulan lagi. Pada masa itu tentu aku sudah menjadi gemuk dan sedap dimakan".
Mendengar kata-kata kerbau itu, harimau pun sungguh gembira sambil membayangkan jamuan kerbau gemuk lagi lazat. Harimau pun menyahut, "Baiklah. Cukup lapan bulan aku akan datang balik untuk memakan kau. Pastikan engkau berada di sini bila tiba masanya nanti".
Seperti kata kerbau, tidak lama selepas itu musim hujan pun tiba. Pokok-pokok dan rumput mengeluarkan pucuk baru dan menjadi hijau semula. Binatang-binatang mulai kembali ke hutan itu. Makanan juga banyak dan mencukupi untuk semua. Kerbau juga dapat makanan yang berkhasiat dan mula menjadi gemuk.
Apabila masa yang dijanjikan semakin hampir, kerbau mulah gelisah. Dia tahu harimau akan datang menagih janji yang dibuatnya. Kerbau tidak mahu menjadi makanan harimau. Kerbau mahu hidup sampai tua.
Sedang kerbau keluh-kesah, seekor burung pipit hinggap di atas seranting kayu lalu bertanya, "Hai Kerbau. Mengapa engkau termenung? Boleh aku tolong?"
Dengan perasaan sedih bercampur takut, kerbau pun menceritakan masalahnya kepada pipit.
Pipit kesihan melihat kerbau. Pipit pun mencadangkan kerbau pergi ke hutan bersebelahan untuk mendapat pertolongan Sang Kancil. Pipit juga pernah di tolong oleh Sang Kancil.
Kata pipit, "Sang Kancil ini cerdik dan suka menolong binatang dalam kesusahan".
Mendengar kata-kata pipit, kerbau pun pergilah mencari Sang Kancil.
Apabila berjumpa dengan kancil, kerbau pun berkata, "Wahai tuan, tolonglah aku. Dalam masa beberapa hari lagi harimau akan datang untuk menuntut janji aku kepadanya. Aku pernah berjanji kepada harimau untuk menjadi makanannya. Oh tuan, tolonglah aku ini. Aku mahu terus menikmati hidup di hutan yang cantik ini."
Kancil berfikir sejenak lalu berkata, "Aku ada satu cadangan. Engkau kena lakukan dengan baik supaya dapat meyakinkan harimau itu. Apabila harimau sudah hampir, akan tampar muka kau dengan kakiku ini. Engkau pula kena berpura-pura jatuh tersungkur seolah-olah tamparan aku itu sungguh kuat dan menyakitkan". Kerbau pun bersetuju.
Kancil meminta pertolongan burung pipit untuk memberitahunya apabila harimau tiba di pinggir hutan tempat kerbau tingggal. Kancil juga meminta kerbau meletakkan ranting-ranting kecil yang kering di lorong sempit yang dilalui oleh harimau dahulu.
Padi hari yang dijanjikan, awal pagi lagi burung pipit bertenggek di atas pohon pinang untuk menunggu kedatangan harimau. Sang Kancil dan kerbau bersiap menunggu kedatangan harimau. Kerbau merasa sangan gementar kerana takut helah mereka tidak berjaya.
Tidak lama kemudian terdengar pipit berbunyi, "Pit, pit,pit. Harimau lalu jalan sempit. Pit, pit, pit".
Kancil dan kerbau segera bersedia untuk melakonkan adegan yang dirancang. Apabila mereka terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun berdiri di hadapan kerbau sambil menampar muka kerbau dengan kaki depannya. Kerbau pun dengan tempikan yang kuat terus tersungkur ke tanah.
Harimau yang sedang menuju ke arah kerbau, sungguh terkejut melihat kejadian tersebut. Tanpa berfikir panjang, harimau terus lari menuju ke tengah hutan. Harimau berlari dengan kencang tanpa melihat ke kiri atau ke kanan.
Harimau melanggar apa sahaja yang ada di hadapannya. Habis pokok-pokok kecil dirempuhnya. Tiba-tiba harimau bertembung dengan seekor babi hutan yang sedang berjalan. Harimau terus melanggaar babi hutan hingga kedua mereka terjatuh ke tanah.
"Hoi! Tak nampak aku kah?" tanya babi hutan dengan marah. Beberapa kali babi hutan cuba bangun, tetapi gagal kerana terlalu sakit.
Harimau yang termengah-mengah keletihan sambil lidahnya terjelir terus menutup mukanya dengan kaki depannya. Badannya menggeletar ketakutan.
Babi hutan menyandarkan badannya ke pangkal pokok untuk cuba bangun. Matanya memandang ke arah harimau yang terketar-ketar itu.
Babi hutan hairan melihat keadaan harimau lalu bertanya, "Eh! Mengapa engkau ni, Harimau? Apakah yang berlaku hingga engkau jadi begini?"
Harimau membuka matanya dengan perlahan. Dari celah kaki yang menutup matanya, ia ternampak babi hutan. Lega hatinya bila melihat babi hutan itu.
Sambil mengangkat kakinya dari matanya, harimau pun berkata, "Maafkan aku babi hutan kerana melanggar kau. Hari ini aku telah terlihat seekor binatang kecil yang mempunyai kekuatan yang amat menakutkan. Binatang kecil ini telah menampar muka kerbau yang besar dan berat, dan membuat kerbau itu bertempik kesakitan dan terus tersungkur dan tidak boleh bangun lagi".
Babi hutan pun bertanya, "Binatang apa yang boleh berbuat demikian?"
"Aku pun tidak tahu kerana sepanjang hidupku, aku belum pernah melihatnya. Kalaulah binatang sekecil itu sahaja boleh menjatuhkan kerbau yang besar, bila dia menjadi besar nanti, tentu huru-hara hutan ini," jawab harimau.
Babi hutan teringin sangat mengetahui apakah jenis binatang yang dilihat oleh harimau itu.
Babi hutan pun berkata, "Engkau tunjukkan aku binatang itu. Mungkin aku mengenalinya".
Harimau menggelengkan kepalanya. "Aku tidak akan pergi dekat pinggir hutan itu lagi. Di tengah hutan ini lebih selamat," kata Harimau.
Babi hutan tidak putus asa dan terus memujuk Harimau. Babi hutan pun berkata, "Aku tidak tahu arah mana patut aku tuju untuk melihat binatang itu. Jika kau mahu, mari kita ikat ekor supaya kita tidak terpisah. Engkau pun tentu berasa lebih selamat kalau aku akan sentiasa berada dekat".
Setelah berfikir seketika, harimau pun bersetuju. Harimau juga teringin hendak tahu binatang jenis apahkah yang amat kuat itu.
Sepanjang perjalanan, badan Harimau masih terketar-ketar. Babi hutan dapat merasakan ketakutan Harimau. Semakin jauh perjalanan, semakin takut Si Harimau. Babi hutan pula mula merasa takut. Hatinya berdebar-debar kerana mungkin juga binatang kecil yang dikatakan oleh harimau akan mencederakannya pula.
Burung pipit yang mengikuti harimau dari udara telah mendengar perbualan harimau dan babi hutan. Dia pun segera terbang kepada kancil dan memberitahu tentang kedatangan harimau dan babi hutan. Kancil menyuruh kerbau bersedia untuk berlakon sekali lagi.
Apabila babi hutan dan harimau hampir tiba, burung pipit pun berkata, "Pit, pit, pit. Harimau dan babi hutan jalan berkepit. Pit, pit, pit".
Apabila terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun menendang kaki belakangnya ke muka kerbau. Kerbau sambil mengeruh kuat terus terlentang sambil keempat-empat kakinya naik ke atas, dan mulutnya mengeluarkan buih.
Ternampak sahaja kejadian itu, babi hutan yang berjalan di hadapan amat terkejut. Tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri, babi hutan terus pecut lari. Kerana terlalu terkejut, ekornya terputus pun dia tak sedar.
Sementara itu, sebahagian daripada ekor babi hutan tertinggal pada harimau. Harimau yang juga lari lintang-pukang hingga tidak sedar bahawa ekornya telah bersambung dengan sebahagian ekor babi hutan.
Babi hutan juga lari dengan amat deras sekali tanpa mendongak ke atas. Dengan tiba-tiba dia terlangggar satu-satunya pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebatnya. Hidung babi hutan tertumus dengan kuatnya di pangkal pokok gajus. Hidung dan tengkok babi hutan terperosok ke dalam.
Pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebat itu pula terkejut amat sangat. Biji gajus yang sedang hendak matang itu terpancut keluar dari buahnya. Mujurlah buah gajus dapat memegang bijinya sedikit. Itulah sebabnya biji gajus terlekat sedikit di luar buah.
Sejak hari itu, ekor harimau menjadi panjang dan ekor babi hutan menjadi pendek. Juga hidung dan tengkuk babi hutan terperosok ke dalam dan menjadi pendek. Biji gajus pula terus duduk di luar buah seperti yang ada sekarang.