Diantara Kebenaran Dan Dayus
Oleh : Akhas

Datuk Seri Anwar bagaikan halilintar telah menjelajah sebahagian dari negara ini. Bermula di tempat kelahirannya, dimana beliau telah disambut meriah sebagai wira. Akhirnya beliau tiba di Melaka negeri yang penuh bersejarah pada malam tadi. Disana beliau disambut dengan kegelapan. Namun penduduk Melaka tetap setia menanti Wira mereka yang telah membantu menyelamatkan mereka dari kebiadapan Rahim Tambi Chik. Jasa Anwar itu tidak akan dilupakan oleh rakyat Melaka.

Seorang anak kepada ketua bahagian UMNO di Melaka menyatakan ayahnya dan yang lain tidak berani menyokong Anwar kerana takut hilang punca periuk nasi mereka. Penulis agak sedih mendengar kenyataan tersebut. Adakah pemimpin politik yang lain turut berfikir sedemikian. Sedarlah manusia manusia dayus, apa yang dinamakan politik itu bukan satu kerjaya. Politik bukan tempat cari wang ringgit atau gaji besar mahupun mengumpul harta. Bagi Menteri-Menteri yang berkereta besar dan bergaji besar dan tidak mengenal erti lapar, ingatlah kemewahan yang anda dapat itu adalah dari hasil usaha rakyat negara ini. Rahim Tambi Chik pernah bersumpah di sebuah Masjid di Melaka mengenai isu tanah di Pantai Kundor. Sumpahnya berbunyi “Demi Allah….Sekiranya saya makan duit orang kampung ini umpama kepala babi di dalam perut saya….”. Maka tak lama selepas itu Rahim pun jatuh dengan penuh malu. Ambil lah pengajaran dari kisah Rahim Tambi Chik wahai kaum politik Malaysia, tak kiralah dari parti pemerintah mahupun pembangkang.

Ini pula satu lagi kisah tentang seorang ayah, tapi bukan dari dunia politik sebaliknya dari sebuah akhbar tempatan. Ayah ini baru naik pangkat bukan sebagai Ketua Pengarang tapi bawah sikit. Sang anak bercerita bahawa ayahnya tak berani menentang wahyu yang diterima dari mereka yang berkuasa walau apa berita yang dihulurkan. Untuk selamat agar dapur terus berasap siayah sanggup melakukan apa saja. Bukankah sekarang ekonomi gawat, kata sang anak.  Namun begitu sang Anak tetap bangga ayahnya telah dinaikkan pangkat. Apalah nak jadi dunia ini kata penulis.

Wahai manusia yang beragama Islam dengarlah bahawa Mahathir atau Ketua pengarang anda bukan pemberi rezeki pada anda ….Mereka tiada kuasa apa….Pemberi rezeki kepada manusia baik yang Islam mahupun yang kafir adalah datang dari Tuhan yang Maha Pemurah. Sekiranya anda lebih takutkan manusia maka simpati penulis kepada anda semua kerana neraka jahanam sedang menanti anda. Jadilah manusia yang berani kerana benar bukan seorang dayus. Malulah pada anak anak anda kerana tanpa anda sedari anda telah mengajar mereka satu perkara ke arah keburukan.

Sekiranya anda salah seorang dari mereka yang dayus ini, sebaik habis membaca AGENDA 2 ini, ambillah Quran dan baca. Kemudian masuk tidur dan sebelum mata tertutup cuba fikirkan apakah betul tindakan anda untuk memilih menjadi seorang ayah yang dayus. Bukankah kita semasa muda mempunyai impian dan cita –cita untuk mencapai kemulian dan keredhaan Illahi. Masih belum terlambat.