KUALA LUMPUR -- Dua lelaki yang disabitkan bersalah kerana diliwat
oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah
memutuskan untuk menarik balik pengakuan bersalah mereka dan membuat
rayuan terhadap sabitan (conviction) kesalahan mereka, menurut para
peguam.
Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 37 tahun, dan Dr Munawar Ahmad Anes,
51 tahun, tidak lagi berpegang pada pengakuan bersalah yang mereka
buat, dan semalam mendaftarkan rayuan di Mahkamah Tinggi supaya
membatalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas mereka, ujar para
peguam yang enggan nama mereka didedahkan itu.
Pada 19 September lalu, Sukma, adik angkat Datuk Seri Anwar, dan Dr
Munawar, bekas penulis ucapan beliau, masing-masing mengaku salah
diliwat oleh beliau dan dihukum penjara enam bulan.
Para peguam memberitahu agensi berita Reuters bahawa kedua-duanya kini
telah memutuskan untuk membuat rayuan.
"Rayuannya adalah terhadap sabitan dan hukuman," kata seorang peguam
yang terlibat dalam kes itu.
Ditanya sama ada mereka menarik balik pengakuan bersalah mereka,
seorang peguam berkata: "Mereka kini berkata pengakuan bersalah itu
bukan secara rela."
Datuk Seri Anwar, yang semalam dikenakan lima tuduhan rasuah dan empat
tuduhan salah laku seks di luar tabii, telah berkata beliau percaya
bahawa Sukma dan Dr Munawar dipaksa mengaku bersalah dan mereka tidak
diwakili oleh peguam pilihan mereka semasa dibicarakan.
Mereka telah menukar peguam. -- Reuters