Jun 22, 1998
'Senarai Dr. M', ketelusan dan era baru

KELMARIN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan
senarai syarikat dan individu yang memperoleh projek-projek penswastaan dan
kontrak kerajaan setakat ini. Senarai itu 20 halaman panjangnya dan memuatkan 285
projek. Ia terbahagi kepada dua kategori, 171 yang telah mendapat kelulusan penuh
dan 114 yang mendapat kelulusan prinsip.

Apa yang akan dinobatkan dalam sejarah UMNO dan dunia kewartawanan sebagai
''Mahathir's List'' itu membariskan nama-nama yang mencerminkan ''Who Is Who'' di
Malaysia. Mereka mewakili pemimpin UMNO dulu dan sekarang, bekas anggota
perkhidmatan awam kerajaan, serta tokoh-tokoh perniagaan selain sekian banyak
nama yang mungkin juga proksi individu tertentu.

Senarai itu sebenarnya tidaklah menggemparkan sangat. Sesiapa sahaja boleh
mendapat keterangan mengenai latar belakang syarikat yang memperoleh projek
penswastaan atau yang mendapat kontrak kerajaan daripada Pendaftar Syarikat.
Tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah cara dan masa ia diedarkan. Atau bagi
banyak pecacai dan penganalisis tidak bertauliah di dalam dan di luar UMNO,
mengapa senarai itu dikeluarkan.

Ia akan menjadi buah mulut kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Selama ini ia
hanya menjadi pengkhususan penulis seperti Gomez, Sally Cheong atau Jomo K.S.

Tetapi kali ia terdedah pada umum, untuk tatapan secara terbuka rakyat negara ini.
Dan untuk menjadi modal pembangkang dan pembenci UMNO dan kerajaan.
Senarai ini pasti akan menjadi titik tolak penting bagi parti yang selama ini sentiasa
menjaga dan melindungi dirinya serta penyokong kuatnya dan para simpatisan tidak
berwajah dan tidak bernama ''di luar sana''.

Dr. Mahathir mahu menjawab kritik dan tohmahan bahawa kerajaan mengamalkan
nepotisme dalam pemberian projek penswastaan kepada syarikat-syarikat raksasa
bumiputera. Hal ini telah dibangkitkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Datuk Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO
yang berakhir semalam. Zahid mendakwa beliau hanya menyuarakan pandangan dari
akar umbi.

Isu itu menjadi besar ekoran pelbagai reaksi atau over-reaction pelbagai pihak di
dalam dan di luar UMNO. Dr. Mahathir agaknya berasa perlu untuk membuktikan
bahawa tidak benar kronisme dan nepotisme sampai pada tahap yang mahu
digambarkan oleh sesetengah pihak. Juga dakwaan bahawa anak-anak beliau
mendapat segala manfaat kerana kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan
Perdana Menteri.

Selepas senarai pertama itu, semalam diedarkan pula senarai mengenai mereka yang
mendapat saham daripada penyenaraian syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur
(BSKL), mereka yang disenaraikan sebagai kontraktor berwibawa dan mereka yang
mendapat lesen teksi dan bas.

Kalau inilah ''ketelusan'' yang dituntut oleh ahli-ahli UMNO, ketelusan telah mereka
peroleh. Siapa yang mengundang cabaran, cabaran sudah berjawab. Buku sudah
bertemu ruas.

Soal sama ada pendedahan itu hanya akan membuka pekung di dada, tentulah akan
menjadi bahan perbincangan lama selepas Perhimpunan Agung kali ini berakhir. Soal
mengapa Dr. Mahathir perlu mendedahkan hal itu juga akan menjadi modal
perbincangan - siap dengan intrig politik dan teori konspirasinya.

Nampaknya, meminjam ungkapan Inggeris, selepas ini UMNO dan negara ''will
never be the same again''. Kesannya pasti luar biasa. Cara UMNO melihat diri, cara
UMNO mendepani isu dalaman dan cara para pemimpin UMNO menangani
soal-soal parti juga mungkin akan berbeza. Malah hukum-hakam berparti juga
nampaknya akan mengambil bentuk baru.

Sekiranya ini tuntutan yang dikehendaki ''dari bawah'' maka UMNO ternyata telah
berubah. Dan berubah dengan drastik. Sekali UMNO mengambil langkah
sedemikian, ia tidak boleh berpaling lagi. Pantai sebenarnya sudah berubah.

Kalau itu merupakan sebahagian dari reformasi budaya dalam UMNO, maka UMNO
sedang berada pada persimpangan yang pasti amat menarik, jauh lebih mencabar
malah, bagi sesetengah pihak, cukup menakutkan.

UMNO yang sedemikian telus, demokratis dan terbuka tentulah UMNO yang
bersedia berdepan dengan kritikan. Bagi pengkritik dalamannya selama ini, terimalah
UMNO Era Baru. Sekali lagi, apakah itu baik atau buruk untuk UMNO, hanya orang
UMNO sahaja yang berhak menjawabnya.

Oleh: JOHAN JAAFFAR