------------------------------------------------------------
e    d    i    s    i     1  1
s i r a h

Salam
  Salam Dari Editor

Fokus
  Surah Al-Qiyamah
  Sesal Dahulu Pendapatan
  Hari Kiamat

Cerpen
  Cerpen

Akhlak
  Mus'ab bin Umaer

Suara Muslimah
  Kedudukan Wanita Dalam Islam

Sirah
  Panglima Khalid Al-Walid

Renungan
  Umat Islam Jadi Rebutan
  Cinta Itu Halal Tapi...

Sajak
  Lena Diulit Mimpi

Koleksi Sinar
 

Panglima Khalid Al-Walid

     Ketika Panglima Khalid Al-Walid@‘Pedang Allah’ sedang berperang di Iraq, tiba-tiba datang perintah dari Khalifah Abu Bakar As-Siddiq (632-634M) menyuruh Jeneral Khalid dan pasukannya berangkat ke Syria untuk mengahadapi tekanan tentera Romawi Timur. Walaupun keadaan di Iraq amat tegang, perintah Khalifah perlu dilaksanakan. Oleh sebab itu, setelah menyerahkan tanggungjawabnya kepada Mutsanna bin Harith, berangkatlah Khalid bersama 1500 tenteranya ke Syria. Oleh kerana mereka perlu sampai ke Syria dengan cepat, Khalid telah memilih untuk melalui jalan padang pasir, Badi’us Samawah yang belum pernah dilalui manusia sebelum itu. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah mereka berjaya sampai ke Syria dengan pantas. 

     Apabila sampai di Syria, Khalid telah dipilih memimpin seluruh tentera Islam di Syria. Maka berlakulah pertempuran yang hebat di antara 40000 tentera Islam dengan 240000 tentera Romawi.  Pada saat pertempuran sedang hebat berlaku, datang perutusan daripada Khalifah Umar Al-Khattab pengganti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq yang baru meninggal dunia, membawa surat pemecatan Khalid. Alangkah terkejutnya Khalid setelah membaca surat pemecatan dirinya. Tugasnya harus diserahkan kepada Abu Ubaidah bin Jarrah. Bergetar jantung Khalid dan merah padam mukanya. Alhamdulillah, Khalid seorang satria sejati. Dia masih tersenyum seakan-akan tiada apa yang terjadi. Surat Khalifah disimpan agar tidak menimbulkan keresahan di kalangan tentera Islam yang sedang bertempur. Dengan semangat yang membara, turunlah Khalid ke medan perang memimpin tenteranya lagi. 

     Dalam pertempuran itu, tentera Romawi kehilangan seramai 120000 jiwa. Manakala 3000 orang tentera Islam syahid, Insya Allah. Setelah kemenangan Islam tercapai, Khalid memanggil Abu Ubaidah bin Jarrah dan menunjukkan surat Khalifah kepadanya. Dan pada saat itu, Komando Tertinggi Tentera Islam di Syria pun diserahkan kepada Abu Ubaidah bin Jarrah. Seluruh umat Islam menyaksikan peristiwa itu dengan penuh kehairanan . 

     Sikap Khalid menimbulkan tanda tanya dikalangan tentera Islam. Bahkan ada di antara mereka yang bertanya, mengapa Khalid masih bertempur bermati-matian padahal dia sudah dipecat oleh Khalifah Umar? “Aku berjuang bukan kerana kepentingan Umar. Aku berjuang semata-mata untuk Allah SWT!” jawab Khalid. Mereka pun terdiam. Perasaan terharu, kagum dan hairan menyelimuti mereka. Sementara itu mereka tertanya-tanya pula mengapa Khalifah Umar bertindak tidak adil kepada Khalid yang berjasa itu?

      “Tidak! Aku memberhentikan Khalid bukan kerana tidak suka kepadanya. Juga bukan kerana dia tidak jujur. Bahkan aku kagum padanya. Tindakan yang aku ambil hanyalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kemenangan umat Islam selama ini hanyalah kerana pertolongan Allah SWT. Bukan kerana kehebatan Khalid. Jangan sampai ada tanggapan bahawa kemenangan kita selama ini semata-mata kerana kehebatan Khalid bin Al-Walid sahaja…” kata Khalifah Umar.

     Sekadar renungan, jagalah niat kita dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan kerana di situlah tali ukuran kepada segala perbuatan kita. Jika perbuatan kita bukan diniatkan kerana Allah, sia-sialah amalan kita. Tetapi jika ianya dilakukan hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata, InsyaAllah pahalalah ganjarannya walaupun perbuatan kita itu hanya sebesar zarah.  Dan ingatlah segala kejayaan kita datangnya daripada pertolongan Allah bukannya atas kehebatan kita. Ikhlaslah  dalam perjuangan agar kita tidak  mengharapkan  balasan dunia (seperti pangkat, harta dan pujian) yang hanyalah bersifat sementara. 

     “ Bahawasanya segala amal perbuatan bergantung pada niat. Maka barang siapa yang hijrahnya menuju (keredhaan ) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ke arah (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya itu kerana dunia (harta atau kemegahan dunia) atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu ke arah yang ditujunya.”

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)