_______________________
e    d    i    s    i         1   3
TINTA SAHABAT
  Keluhan seorang pro
  Take what Comes
  Di kala hati bercahaya
  Discrimination from within
S A L A M   D A R I   E D I T O R
F O K U S
F I Q H
R E F L E K S I   D I R I
S U D U T    B A H A S A
K O L E K S I    S I N A R

Keluhan Seorang Pro
 
Kami hanyalah orang kampung yang menumpang di bumi Allah dan mengharapkan rezeki-Nya. Tidak terfikir difikiran kami untuk melanggar perintah-Nya.
 
Setiap pagi, dikeheningan Subuh kami memulakan penghidupan kami dengan berdoa semoga dimurahkan rezeki oleh Allah. Seperti biasa, sebagai orang kampung yang sememangnya sinonim dengan perdu getah, dan sememangnya tidak pernah lekang dengan bauan sekerap. Tetapi kami bukanlah penoreh getah yang mempunyai ladang yang berekar-ekar ataupun kuli yang berpuluh-puluh. Hidup kami seperti harga getah juga, jika naik harganya, maka bolehlah berbelanja sedikit untuk barang keperluan dan yuran serta buku sekolah anak-anak. Jika turun harganya, maka terpaksalah mengurangkan belanja sedikit. Namun begitu, kami juga bergantung kepada keadaan cuaca, jika panas elok, maka banyaklah susu yang keluar. Jika hujan, maka terpaksalah bercuti untuk hari itu. Tidak seperti orang di bandar, tidak mengira hujan atau panas, sentiasa berada di kerusi empuk di bilik berhawa dingin. Dengan tapak tangan yang kematu dan tulang empat kerat, kami tidak mengenal erti putus asa mengadap pokok getah tua yang kadangkala tidak mengalirkan susu pun. Di tanah yang sekangkang anak kera itulah rezeki kami. Kami sekadar mencari rezeki untuk sesuap nasi. Dengan tidak mengenal penat lelah setiap hari membongkok di perdu getah, tidak terfikir pun oleh kami untuk dikenali sebagai penoreh getah ’professional’. Jangan panggil kami penoreh getah. Jangan.

Setelah itu, sempat juga kami meninjau keadaan sayur-sayuran di kebun yang sebenarnya tidak layak dipanggil kebun yang luasnya sekangkang cucu kera. Kami menanam sayur-sayuran ini bukan untuk dijual di pasar, tetapi untuk keluarga kami. Dengan hasil tanaman ini kuranglah belanja untuk membeli sayur-sayuran di kedai. Mungkin kami rajin menanam sayur, tetapi kami tidak mahu dikenali sebagai pekebun ‘professional’. Jangan panggil kami pekebun. Jangan. 

Setelah berpenat lelah di perdu getah dan di kebun. Tibalah masanya kami bergelumang dengan selut dan lumpur di sawah. Sememangnya bagi orang yang tidak pernah tahu akan jerih pedih kami, mungkin menganggap kami pengotor dan jijik dengan selut di badan seperti kerbau lagaknya. Dengan sawah yang sepetak kecil itu kami tidak mahu dikenali sebagai pesawah yang ‘professional’. Apa yang kami buat adalah untuk sesuap nasi kami dan keluarga kami. Oleh itu, janganlah panggil kami pesawah. Jangan. 

Ketika matahari tegak di atas kepala, tibalah masanya untuk kami pulang ke teratak buruk beratap nipah dan berdinding buluh untuk berehat dan menunaikan kewajipan kami sebagai hamba Allah. Belum pun sempat nasi turun ke perut, parang di sarung sudah tersisip di pinggang. Ke mana lagi kalau bukan ke hutan mencari rotan. Kami mencari rotan bukan untuk dihantar ke kilang. Tetapi hanyalah untuk bahan anyaman isteri kami di rumah. Kami tidak mahu dikenali sebagai pencari rotan ‘professional’. Oleh itu, janganlah panggil kami pencari rotan. Jangan. 

Sebelum pulang sempat juga kami menjenguk padi huma yang kami usahakan. di bukit yang memang tidak boleh dipanggil bukit. Kami tidak menggunakan seluruh tanah di bukit itu. Kami tahu tanah di bukit itu bukan tanah kami, bukan tanah pegawai kerajaan, bukan juga tanah orang kaya, tetapi itu adalah tanah Allah. Jadi, kami bukanlah peneroka tanah haram seperti mana yang diceritakan oleh sesetengah pihak. Walaupun begitu, kami tidak mahu dikenali sebagai penanam padi huma ‘professional’. Jangan panggil kami penanam padi huma. Jangan.

Sementara hari masih cerah, sempat juga kami menepuk pelanduk atau kancil. Mungkin sesetengah orang di bandar menganggap kami sebagai orang kampung yang tidak mahu mengambil tahu akan hal-hal kepupusan haiwan di dunia ini., sememangnya kami adalah pemburu yang tidak berlesen dan melanggar undang-undang negara. Tapi bagi kami, semua binatang di hutan adalah rezeki Allah untuk kami. Walaupun kami memang pakar dalam memburu, tetapi kami tidak mahu dikenali sebagai pemburu ‘professional’. Kami tidak mempunyai senapang dan juga tidak berlesen. Jadi, jangan panggil kami pemburu. Jangan.

Setelah, itu kami ke sungai untuk menjenguk lukah, kalau murah rezeki kami dapatlah seekor dua keli atau lampam. Kalau tidak mungkin rezeki si ular atau biawak. Kami juga terjun ke lubuk mencari ikan sembunyi di celah batu yang berlumut. Dapat seekor dua ikan sungai sebesar dua jari, bolehlah dibawa pulang untuk anak isteri. Kami bukan pakar menyelam seperti orang di bandar berenang di kolam renang yang bersih dan suci. Jadi, kami tidak mahu dikenali sebagai penangkap ikan ‘professional’. Jangan panggil kami penangkap ikan. Jangan.

Setelah penat merayau di hutan dikala orang di bandar bersesak di jalan pulang dari kerja menaiki bas atau kereta kancil. Tapi kami, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan melangkah laju meredah onak duri di hutan dengan memikul seikat rotan atau juga bersama seekor kancil. Di rumah, kami menunaikan kewajipan kepada Allah sebagai hamba-Nya. Kemudian, setelah habis secawan kopi bersama ubi rebus. Kami ke tanah semula, pergi menjenguk ayam, itik, lembu dan kambing. Bagi kami semua ternakan ini adalah anugerah Allah. Walaupun begitu, bukan semua ternakan ini rezeki kami, mungkin juga ianya rezeki ular atau musang. Setelah itu, kami menjeguk ikan di kolam. Dengan kolam yang sebesar telaga bersama ikan beberapa ekor itulah juga sumber rezeki kami. Semua ikan itu bukannya kami beli di bandar, tetapi sememangnya sudah ada di situ dan beranak pinak. Mungkin juga ikan-ikan ini rezeki kami, ataupun rezeki memerang, kami tidak tahu. Dengan ternakan yang tidak seberapa ini, kami tidak mahu dikenali sebagai penternak ‘professional’. Jangan panggi kami penternak. Jangan.

Setelah selesai tugas harian, kami ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya’ berjamaah. Kami juga dapat menambahkan ilmu akhirat dengan mendengar ceramah imam besar di surau itu. Jika di bandar-bandar besar, setiap imam di masjid mesti mempunyai tauliah, tapi bagi kami, tidak perlu semua itu, asalkan kami tahu niat dan tujuan kami di dunia ini dan apa bekalan yang perlu di bawa untuk akhirat. Di perjalan pulang dari surau, dengan bertemankan lampu suluh yang sememangnya sentiasa malap, tetapi mujur juga ada kelip-kelip yang menerangkan jalan, sempat juga kami bersama teman-teman senasib berbincang hal-hal di kampung. Tidak terlintas di benak kami untuk mencampuri urusan politik luaran. Biarlah kami hidup mengikut resmi ‘keli’ yang sentiasa hidup di air tenang di sungai yang cetek, dan bukannya mengikut resmi ‘jerung’ yang hidupnya sentiasa dilambung ombak tinggi di laut luas, seperti yang diperkatakan oleh orang di bandar. Biarlah kami dengan kampung kami. Mungkin sesetengah pihak menganggap kami ‘seperti katak di bawah tempurung’, dengan pengetahuan dunia yang cetek yang sememangnya tidak akan dapat mengharungi arus kepesatan dunia yang semakin maju dan canggih. Mungkin mereka menganggap kami sebagai orang kampung ‘professional’. Ya, kami memang mahu dikenali sebagai orang kampung dan panggil kami orang kampung. Panggil………. 

 

Hasil nukilan : Budak Kampung ‘professional’
                                                                                                       Le Musafir Da Clayt.  
                                                                                                       da_musafir@yahoo.com