e  .  d  .  i  .  s  .  i        1  .  4
sirah

SALAM
Salam Dari Editor

FOKUS
Cinta Antara Lelaki dan Perempuan

SIRAH
Kerana Cinta

AQIDAH
Hubungan Iman Dengan Cinta

FEQAH
Nama Cahaya Mata; Potret Kasih Ibu dan Bapa

USRAH
Usrah's Corner

TINTA SAHABAT
Terkejut dan Mengejut
You Taught Me Love
Doa
Butterflies and White Doves

KOLEKSI SINAR
Koleksi-koleksi Sinar

Kerana Cinta
 
Kerana cinta... 
 
Terasa sayang di dalam jiwa 
Untuk melangkah meninggalkan semua 
Kasih dan cinta yang terbina  
Ia kan selamanya...... 
 
Wahai saudaraku, 
 
Ke manakah hilangnya rasa cinta di dalam jiwa kita? Sedangkan junjungan besar tidak pernah lenyap baraan kasih sayang terhadap umatnya. Tidak lekang ingatan hatta di kala dicabut nyawanya oleh malakulmaut. “Ummati-ummati”, umatku umatku. Cerminlah diri kita sendiri. Berapa kerap kita mengingati baginda yang berpahit jerih demi menyelamatkan umatnya daripada bakaran neraka jahannam. Berapa kali kita ingat pada baginda dalam sehari dibandingkan dengan ingatan pada isteri, tunang atau buah hati pengarang jantung? Berapa kali lidah kita menyebut selawat dibandingkan dengan jumlah lagu-lagu cinta asmara yang kita nyanyikan bila rindu membara? Berapa dalam seerah baginda kita pelajari dibandingkan dengan sejarah insan lain? Adakah kita hafal kesemua nama gelarannya dan nama nama isterinya dibandingkan dengan nama ‘pokemon-pokemon’ di kaca tv? 
 
Wahai saudaraku, 
 
Di manakah nilai cintamu? Adakah sekadar di atas warkah dan di bibir atau sehebat Shah Jehan yang cuba melahirkan manifestasi cinta dengan Taj Mahalnya? Ke mana hala cintamu? Ke jinjang pelamin, ke pintu syurga atau mungkin ke ambang neraka? Sanggupkah kita menghulurkan kaki untuk disengat jengking atau dipatuk ular kerana melindungi orang tersayang seperti mana Abu Bakar lakukan? Atau sanggupkah kita membiarkan tangan dan kaki dipotong kerana memegang panji-panji Islam. Jaafar ibn Abi Thalib dicantas kedua tangannya dan kepalanya terbelah semata-mata kerana cintanya untuk Islam. Mus’ab ibn Umair meninggalkan segala kemewahan hidup dan matinya dalam keadaan tiada cukup kain kapan. Dia yang dahulunya terkenal kerana wanginya athar yang dipakai akhirnya menggadaikan semuanya kerana cintanya kepada Allah dan Rasulnya. Ingatlah kisah Saad ibn Abi Waqqas dengan ibunya. Jawapan Saad apabila ibunya ingin membunuh diri kerana ia telah Islam: “Ibu andaikata ibu membunuh diri kerana ingin saya kembali kufur lakukanlah nescaya saya tidak akan berubah hati meskipun ibu mempunyai seratus nyawa dan ibu terus lakukan yang sedemikian”. Timbangkanlah semula apabila kita melafazkan rasa cinta kepada Islam. Di mana nilai cintamu? 

Wahai saudaraku, 
 
Percayalah anda tidak akan menikmati Islam hari ini sekiranya tidak berputiknya rasa cinta di dalam hati orang-orang terdahulu. Kerana cintakan Allah dan Rasulnya maka segala-galanya mereka lakukan untuk menegakkan Islam. Kekuatan cinta suci ini membolehkan Islam menjadi empayar agung tidak sampai 100 tahun selepas nabi dilahirkan. Tidak ada di dalam sejarah sebuah tamadun yang berjaya dalam tempoh satu abad melainkan tamadun Islam. Salahuddin al-Ayyubi tidak akan dapat membuka Palestin sekiranya tidak ada rasa cinta kepada Islam di dalam sanubarinya. Cintalah antara faktor perkembangan Islam hari ini. Berpadananlah dengan ungkapan junjungan. ”Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai buat saudaranya apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri”. 
 
Wahai saudaraku, 
 
Dengan cinta Islam didatangkan dengan cinta jugalah Islam runtuh. Ingatlah pesan junjungan tentang cinta dunia. Umat akhir zaman kan menjadi umpama bebuih dibawa arus dek kerana cinta kepada dunia dan takut akan mati. Inilah cinta yang sebenarnya paling berbisa. Tidak hanya merosak empunya diri bahkan berjangkit menjadi epidemik yang merobek-robek kekuatan Islam. Carilah cinta hakiki, cinta yang bersemi di sini dituai di sini dan dinikmati di sana. 
  

-Iskandar Mirza 2000-