e  .  d  .  i  .  s  .  i        1  .  4
tinta sahabat

SALAM
Salam Dari Editor

FOKUS
Cinta Antara Lelaki dan Perempuan

SIRAH
Kerana Cinta

AQIDAH
Hubungan Iman Dengan Cinta

FEQAH
Nama Cahaya Mata; Potret Kasih Ibu dan Bapa

USRAH
Usrah's Corner

TINTA SAHABAT
Terkejut dan Mengejut
You Taught Me Love
Doa
Butterflies and White Doves

KOLEKSI SINAR
Koleksi-koleksi Sinar

Terkejut
 
11/4/2000 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 
Menemui mak yang berada di tanah air, semoga berada dalam keadaan sihat selalu dan semoga panjang umur ibadah, insyaAllah. Buat diri An di sini, alhamdulillah, sihat macam biasa. Cumanya, banyak sangat tugasan yang nak disiapkan. Tambahan pula minggu depan cuti semester bermula. Walaupun seminggu, lecturer memberi kerja yg cukup banyak. Oh ya, macam mana dengan study Alang? Janganlah mak risaukan sangat. Dia pun dah besor panjang. Tahulah dia fikirkan masa depan dia.  

Baiklah mak, tujuan utama An tulis surat ni sebenornya nak bagitau mak satu perkara. Cadangnya nak telefon je asalnya, tapi pikir-pikir balik rasa tak sedap pulak. Mula-mula sekali, An harap mak bertenang, tarik nafas dalam-dalam. An jugak nak mintak ampun dan maap banyak-banyak kalau benda yang An nak bagitau ni agak ‘kontroversi’ sikit. An harap mak dapat terima dengan tabah. Macam mana nak An nak mulakan... Oklah. An sebenarnya dah ‘berjumpa’ sorang budak perempuan ni. Sebenornya kitorang dah lama kenal. Pastu, tah macamana, mungkin dah sampai ‘seru’ gamaknya, kitorang pakat-pakat nak akhiri zaman bujang kitorang kat Melbourne ni. Atau dengan kata lainnya kitorang cadang nak bernikah. Hmm… Itulah lebih kurang ceritanya. Jangan mak salah sangka pulak. Ni bukannya sebab ‘terpaksa’ ataupun kes ‘tangkap basah’, tapi masing-masing rasa itulah jalan yang terbaik untuk kami berdua. 

Sekali lagi An memohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki andaikata berita ni sedikit sebanyak menyinggung perasaan mak ataupun abah. An tau, An takde hak nak mengguris hati orang yang selama ini telah mengorbankan segala-galanya untuk An, apatah lagi nak menghampakan harapan abah dan mak berdua nak tengok An balik dengan segulung ijazah. Tetapi sekiranya sudah ditetapkan olehNya bahawa An akan pulang dengan diiringi oleh ‘kejayaan’ lain maka relakanlah takdir melaksanakan tugasnya. ‘Kejayaan’ yang An maksudkan di sini mungkin sedikit janggal bunyinya bagi mak dan abah. Tetapi percayalah, pilihan yang An buat kali ini tidak akan memudaratkan sesiapa baik diri An mahupun keluarga kedua-dua belah pihak.. 

An sedar, An pernah tersilap langkah dalam memilih sebelum ini dan mak pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali. An sedar, An pernah derhaka kepada mak sebab tak ambik peduli nasihat mak walaupun mak tak habis-habis menyuarakan pendapat mak. Sayangnya mak pada An sehingga mak tak melarang An membuat keputusan. Sayangnya mak kononnya menghormati keputusan yang An buat dan risau akan melukakan hati An. Tapi apa balasan An? Masa tu An cuma memandang lekeh nasihat-nasihat mak, sekadar merungut ataupun tertawa  Kononnya mak dah tua, tak ada pengalaman cinta dan tak tau isi hati naluri orang muda. Tak cukup dengan tu, dek sebab terlaku ikutkan hati agaknya An yakinkan mak yang perhubungan kami akan kekal sampai bila-bila.

Sekarang An dah tersedar mak. Kalau sebelum ini pilihan An mungkin kurang sesuai, sekarang adalah sebaliknya. Orangnya bersopan santun, lemah lembut tutur bahasanya dan menjaga adab pakaiannya, enak mata memandang. Paling penting bagi An, cara hidup dan pegangan serta  kefahamannya kepada Islamnya 
yang bercirikan wanita solehah yang menarik hati An. Kalau dahulu An tidak menitik beratkan batas-batas pergaulan, sekadar nak ikut trend member sebaya dan bukannya menurut lunas-lunas Islam yang sebenar. Sekarang tujuannya tak lain dan tak bukan untuk membina sebuah rumahtangga Islam yang sejati di atas dasar mawaddah (kasih) dan rahmah (sayang) dan seterusnya untuk mengembangkan lagi keluarga kita, InsyaAllah. An yakin mak, pilihan An kali ini ialah yang terbaik. 

Harapan An kini cuma satu agar mak dan abah memberkati keputusan An dan yang paling penting sekali, RESTU mak dan abah agar rumahtangga yang bakal kami bina kelak akan kekal ke anak cucu. Sebarang perbelanjaan, usahlah mak dan abah risau. Cukuplah secara ala kadar. Kawan-kawan di sini pun sudah cukup banyak membantu. Pinta kami hanya doa restu yang berkekalan daripada abah dan mak. Bersama-sama surat ini jugak, An ada kepilkan sekali gambar ‘bakal menantu’ mak dan abah. Semoga bertemu lagi di lain lembaran, sekian. Wassalam. 
 
Yang benar, 
An. 

Mengejut

 
20 - 4 - 2000 
Buat An yang berada jauh di perantauan, 
 
Assalamualaikum. 
 
Semoga An berada dalam keadaan sihat walafiat selalu. Bagi diri mak dan abah, alhamdulillah, macam tu le juga. Yong dan Abang Lan ada balik ke sini dua tiga hari lepas. Si Liana pun bukan main galak dah sekarang. Memang tak terlayan kami dengan kerenahnya. Tak macam dulu, selalu menangis. Makin tembam pulak tu. Alang pulak ada periksa tengah tahun minggu depan. Harap-harapnya lulus le semua mata pelajaran dia. Lagi satu, kucing ‘feveret’ An, si ‘Adik Tie’ tu dah beranak tiga ekor minggu lepas. Lebih kurang rupa dia jugak, bulu panjang, warna kelabu. 
 
Baiklah, untuk pengetahuan An, surat An telah selamat kami terima kelmarin lepas. Secara terus terang, memang mak tak nafikan, mak memang terkejut baca isi surat An tu. Abah kamu, macam biasa jelah, tak cakap banyak. Kata dia, asal kamu bahagia, sudah. Yong pulak bukan main bising lagi. Dia cakap umur kamu masih muda le, tak cukup matang le, terlalu ikutkan perasaan le dan macam-macam lagilah. An pun bukan tak paham perangai dia kan. Biasalah tu. Bagi mak pulak, entahlah. Tak dapat mak nak bagi gambaran sebenar. Mula-mula tu rasa sedih le jugakkan. Tapi bila mak pikirkan patutnya mak rasa seronok. Maklumlah, anak lelaki mak, bakal nak ada keluarga sendiri. Dah terjumpa calon yang sesuai le katakan. Tak taulah An. Mak nak kata tak boleh pun, nampak macam dah terlambat. Mak tau kamu ni bukan senang nak berganjak dari pendirian yang kamu dah buat. Kamu berdua pun nampak macam dah betul-betul bersedia, betul-betul dah bertekad. Lagipun An dah cukup besar nak buat keputusan yang sebesar ni. Cumanya mak mungkin rasa terkilan sedikit tak dapat nak hadir sama berkonsi detik-detik paling bersejarah dalam hidup An.  
 
Apa-apa pun, jauh di sudut hati mak, mak setuju dengan pilihan An kali ni. Daripada gambar yang An kirimkan tu, dari cerita yang An letak sekali dengan gambar tu, mak dapat rasakan yang dia benar-benar ikhlas dengan An dan yang paling penting memenuhi ciri-ciri yang selama ini mak selalu dok bayangkan. Mak juga betul-betul terharu dengan pengakuan ikhlas An pasal pahit maung ‘kisah cinta’ zaman muda An sebelum ni. Usahlah dikenangkan lagi peristiwa silam. Yang lepas tu, lepaslah. Setidak-tidaknya pengalaman macam tulah yang boleh mengajar An tentang erti kehidupan yang sebenar lebih-lebih lagi untuk membentuk sahsiah Islam yang hakiki. Baguslah An sudah sedar dengan kesilapan An dan mampu untuk menerima hakikat duniawi ini. Mak bukannya apa. Mak cuma tidak sangup lagi tengok anak lelaki kesayangan mak diperkotak-katikkan oleh orang yang tak ada kena mengena dengan keluarga kita. Itu saja. An pun pahamkan, ibu manalah yang tidak sayangkan anak. 
 
Baiklah An, kesimpulannya mak tidak melarang berkenaan keputusan kamu. Abah kamu pun nampak gayanya macam tu juga. Harapan kami satu saja, agar An tak lupakan tanggungjawab utama An yang pertamanya, sebagai seorang pelajar Islam yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk pulang sebagai insan yang bakal membangunkan ummah dan yang keduanya sebagai bakal ketua keluarga. Asalkan niat dan tujuan An betul, insyaAllah Allah akan senantiasa di sisi. Mak dan abah di sini merestui perkahwinan kamu berdua dan berdoa semoga kamu berdua panjang umur dan bahagia selalu. Bersama-sama surat ini juga kami ada kirimkan sedikit wang perbelanjaan untuk An. Jumlahnya tidak seberapa tetapi mungkin dapat meringankan sedikit beban An di sana. Jangan lupa untuk maklumkan kepada kami di sini sebarang perkembangan selanjutnya nanti. Setakat ini saja, wassalamualaikum. 
 
Mak.